Australia
Koordinat: 35°18′S 149°8′E / 35.300°S 149.133°E
Australia (Jawi: أوستراليا ) atau secara rasminya dipanggil Komanwel Australia (bahasa Inggeris: Commonwealth of Australia[6]) ialah sebuah negara di Hemisfera Selatan yang terdiri daripada tanah besar yang merupakan benua yang terkecil di dunia, dan sebilangan pulau di Lautan Selatan, Hindi, dan Pasifik. Negara-negara jirannya termasuk Indonesia, Timor Leste dan Papua New Guinea di utara, Kepulauan Solomon, Vanuatu, dan New Caledonia (wilayah tanggungan Perancis) di timur laut, serta New Zealand di tenggara.
Tanah besar Australia telah dihuni sejak 60.000 tahun lagi oleh orang-orang asli Australia. Setelah lawatan sekali-sekala oleh nelayan-nelayan dari utara serta para penjelajah dan pedagang dari Eropah, namun mulai daripada abad ke-17, sebelah timur tanah besar ini dituntut oleh pihak British pada tahun 1770, dan New South Wales dijadikan sebuah tanah jajahan untuk hukuman secara rasmi pada 26 Januari 1788. Apabila jumlah penduduk bertumbuh dan kawasan-kawasan baru dijelajahi, lagi lima buah kawasan yang lebih merupai Tanah Jajahan penguasaan diri ditubuhkan berturut-turut pada sepanjang abad ke-19.
Pada 1 Januari 1901, enam buah tanah jajahan bergabung menjadi sebuah persekutuan, dan Komanwel Australia dibentuk. Sejak masa itu, Australia telah mengekalkan sistem politik demokratik liberal yang stabil dan tetap merupakan sebahagian Alam Komanwel. Ibu negaranya, Canberra, terletak di Wilayah Ibu Kota Australia. Jumlah penduduk negara yang kini di sekitar 20,6 juta orang tertumpu khususnya di bandaraya-bandarya tepi pantai seperti Sydney, Melbourne, Brisbane, Adelaide, dan Perth.
Penamaan
[sunting | sunting sumber]Nama 'Australia' diakar kata Latin australis "sebelah selatan" terbitan auster "angin selatan".[7] Legenda tentang "sebuah tanah yang tidak dikenali di selatan" (terra australis incognita) telah diceritakan sejak zaman Rum purba lagi, dan benua ini wujud dalam geografi zaman pertengahan, tetapi tidak mendasarkan pengetahuan sebenar. Bentuk kata sifat Belanda, Australische, telah digunakan seawal 1638 lagi oleh pegawai-pegawai Belanda di Batavia (kini Jakarta) untuk merujuk kepada sebuah tanah di selatan yang baru ditemui. Nama "Australia" mula digunakan dalam bahasa Inggeris menjermahkan novel Perancis Les Aventures de Jacques Sadeur dans la Découverte et le Voyage de la Terre Australe setahun selepas ia terbit tahun 1692.[8]
Alexander Dalrymple kemudian menggunakan perkataan ini dalam karyanya, Himpunan Sejarah Perjalanan-perjalanan dan Penemuan-Penemuan di Lautan Pasifik Selatan, untuk merujuk kepada seluruh kawasan Pasifik Selatan. Pada tahun 1793, George Shaw dan Sir James Smith menerbitkan Zoologi dan Botani Holland Baru. Dalam karya itu, mereka menulis tentang sebuah "pulau yang luas terbentang, atau lebih merupai benua, yang dinamakan Australia, Australasia, atau Holland Baru."
Nama "Australia" dimasyhurkan oleh karya Perjalanan ke Terra Australis, yang ditulis Matthew Flinders, orang pertama yang dicatat untuk belayar mengelilingi Australia, pada tahun 1814. Walau judul bukunya yang membayangkan pandangan Admiralti British, Flinders menggunakan perkataan "Australia" dalam bukunya yang dibaca secara meluas dan istilah itu semakin tersebar luas. Gabenor Lachlan Macquarie dari New South Wales kemudian menggunakan perkataan ini dalam perutusan-perutusan rasminya ke England. Beliau menyesyorkan nama ini diterimaguna secara rasmi pada tahun 1817. Pada tahun 1824, Admiralti British bersetuju bahawa benua itu harus dikenali sebagai "Australia" secara rasmi.
Nama lain
[sunting | sunting sumber]Sebelum ketibaan penjajah British ke benua ini, para pelayar Mengkasar dari pulau Sulawesi yang sudah lama mengenal malah berdagang teripang dengan masyarakat asli di kawasan rangkuman Kimberley dan Tanah Arnhem memberi nama Marege' (aksara Lontara: ᨆᨑᨙᨁᨙ, tulisan Serang: مَريڬيءْ) kepada keseluruhan kawasan jelajahan tersebut.[9]
Abel Tasman, seorang pemeta bangsa Belanda, memberi nama Nieuw Holland ("Belanda Baru") pada 1644 yang kemudiannya diinggeriskan menjadi New Holland dalam catatan penjelajah Inggeris selepasnya seperti William Dampier tahun 1688 dan James Cook tahun 1770;[10][11] nama ini termaktub sebagai nama rasmi jajahan British yang dituntut milik Charles Fremantle atas nama Raja George VI kepada segala tanah benua ini "tidak termasuk dalam kawasan [jajahan] New South Wales".[12] Jajahan ini berubah namanya kepada West Australia ("Australia Barat") secara rasmi pada 1832 seiring penamaan benua Australia; namun nama Marege' kekal dikaitkan kepada Nieuw Holland dan kawasan Australia Barat" yang baharu dan lebih meluas selatan dalam catatan dagangan seawal 1843.[9]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Tarikh kediaman manusia pertama di Australia dianggarkan antara 42.000 dan 48.000 tahun dahulu. [13] Penduduk-penduduk Australia pertama adalah nenek moyang Orang Asli Australia kini; mereka tiba melalui jambatan tanah dan lintasan laut pendek dari benua Asia Tenggara kini. Kebanyakan daripada penduduk-penduduk ini adalah pemburu-pemungut, dengan budaya lisan yang rumit serta nilai-nilai kerohanian yang berdasarkan rasa hormat kepada tanah dan kepercayaan dalam Masa Mimpi. Penduduk-penduduk Selat Torres yang tergolong dalam etnik Melanesia, mendiami di Kepulauan Selat Torres dan bahagian-bahagian di jauh utara Queensland; amalan-amalan kebudayaan mereka berbeza daripada amalan-amalan orang asli.
Rekod pertama yang tidak dipertikaikan tentang penemuan tanah besar Australia oleh orang Eropah adalah penemuan yang dibuat oleh ahli pelayaran Belanda, Willem Janszoon, yang menemui pantai Semenanjung Tanjung York pada tahun 1606. Semasa abad ke-17, orang-orang Belanda mencartakan garis-garis pinggir laut barat dan utara bagi apa yang dipanggil oleh mereka sebagai Holland Baru, tetapi mereka tidak mencuba mengasaskan sebarang penempatan. Pada tahun 1770, James Cook belayar di sepanjang pantai timur Australia dan memetakan garis pinggir pantai itu. Beliau menamakan tanah itu New South Wales dan menuntutnya untuk Britain. Penemuan-penemuan ekspedisi mendorong penubuhan tanah jajahan untuk hukuman di sana.
Tanah Jajahan British di New South Wales bermula dengan penempatan Pelabuhan Jackson oleh Kapten Arthur Phillip pada 26 Januari 1788. Tarikh ini kemudian menjadi Hari Australia, iaitu hari kebangsaan Australia. Tanah Van Diemen, kini dikenali sebagai Tasmania, diduduki pada tahun 1803 dan menjadi sebuah tanah jajahan yang berasingan pada tahun 1825. Britain menuntut secara rasmi bahagian barat Australia pada tahun 1829. Tanah-tanah jajahan yang berasingan ditubuhkan daripada bahagian-bahagian New South Wales: Australia Selatan pada tahun 1836, Victoria pada 1851, dan Queensland pada 1859. Wilayah Utara (NT) ditubuhkan pada tahun 1863 sebagai sebahagian Provinsi Australia Selatan. Australia Selatan ditubuhkan sebagai sebuah "provinsi bebas", iaitu kawasan ini tidak pernah menjadi sebuah tanah jajahan untuk hukuman. Victoria dan Australia Barat diasaskan dengan tujuan sedemikian juga, tetapi kemudian menerima banduan-banduan terangkut. Penghantaran banduan-banduan ke Australia dihentikan secara berperingkat-peringkat antara tahun 1840 dan 1868.
Jumlah penduduk orang asli Australia, yang dianggarkan di sekitar 350.000 orang pada masa penempatan Eropah, [14] merosot dengan teruk selama 150 tahun menyusul penempatan, diakibatkan sebahagian besar oleh penyakit berjangkit bersama-sama dengan penempatan semula terpaksa dan perpecahan kebudayaan. Pemindahan kanak-kanak yang sesetengah ahli sejarah dan orang asli Australia menganggap sebagai suatu penghapusan bangsa mengikut sebilangan takrif, [15] mungkin merupakan antara sebab kemerosotan jumlah penduduk orang asli. Tafsiran-tafsiran sejarah orang asli ini telah dipertikaikan oleh sesetengah orang sebagai dibesar-besarkan atau diada-adakan atas alasan politik atau ideologi. [16] Perdebatan ini dikenali di Australia sebagai Perang-perang Sejarah. Menyusul pungutan suara 1967, kerajaan persekutan memperoleh kuasa untuk melaksanakan dasar-dasar dan menggubal undang-undang mengenai orang-orang asli. Pemilikan tanah tradisi — hak milik tanah orang asli — tidak diakui sehingga kes Mahkamah Tinggi, Mabo lwn Queensland (No 2), menterbalikkan tanggapan bahawa Australia adalah sebuah terra nullius pada masa pendudukan Eropah.
Kerubut emas bermula di Australia pada awal dekad 1850-an, dan pemberontakan Kubu Eureka yang menentang pengenaan yuran lesen pelombongan pada tahun 1854 merupakan penyataan keingkaran awam yang awal. Antara tahun 1855 dan 1890, enam buah tanah jajahan secara berasingan memperoleh kerajaan bertanggungjawab sendiri dan mengendalikan kebanyakan hal ehwal, semasa merupakan sebahagian Empayar British. Namun demikian, Pejabat Kolonial di London masih mengekalkan penguasaan dalam hal-hal, khususnya tentang hal ehwal luar negeri, pertahanan, dan perkapalan antarabangsa di Australia. Pada 1 Januari 1901, persekutuan tanah-tanah jajahan dibentuk selepas satu dekad perancangan, perundingan dan pengundian, dan Komanwel Australia dilahirkan sebagai satu Dominion Empayar British. Wilayah Ibu Kota Australia dibentuk daripada sebahagian New South Wales pada tahun 1911 untuk memberi kawasan kepada Canberra, ibu negara persekutuan yang baru (Melbourne merupakan ibu negara dari tahun 1901 hingga 1927). Penguasaan Wilayah Utara dipindahkan dari kerajaan Australia Selatan ke Komanwel pada tahun 1911. Australia sanggup menyertai Perang Dunia I; [17] banyak orang Australia menganggap kekalahan Kor Tentera Australia dan New Zealand (ANZAC) dalam Perang Gallipoli, yang merupakan tindakan ketenteraan utama yang pertama, sebagai kelahiran negara mereka. Amat serupa dengan Gallipoli, Kempen Denai Kokoda dianggap oleh banyak orang sebagai perang pentakrifan negara daripada Perang Dunia II.
Statut Westminster 1931 secara rasmi menamatkan kebanyakan pertalian perlembagaan antara Australia dengan United Kingdom apabila Australia menguatkuasakannya pada 1942. Kejutan daripada kekalahan United Kingdom di Asia pada tahun 1942 serta ancaman serangan Jepun menyebabkan Australia beralih ke Amerika Syarikat sebagai sekutu dan pelindungnya yang baru. Sejak tahun 1951, Australia adalah sekutu ketenteraan Amerika Syarikat yang rasmi di bawah naungan perjanjian ANZUS. Selepas Perang Dunia II, Australia menggalakkan imigrasi secara besar-besaran dari Eropah; sejak dekad 1970-an dan pemansuhan Dasar Australia Putih, imigrasi dari Asia dan bahagian-bahagian lain di dunia juga digalakkan. Oleh itu, demografi, budaya, dan imej Australia terhadap diri sendiri telah berubah secara radikal. Pertalian-pertalian perlembagaan terakhir antara Australia dengan United Kingdom diputuskan pada tahun 1986 dengan pelulusan Akta Australia 1986 dan dengan itu, menamatkan sebarang peranan British di Negeri-negeri Australia serta rayuan kehakiman kepada Majlis Privi. [18] Pengundi-pengundi Australia menolak langkah untuk menjadi sebuah republik dalam pemungutan suara pada tahun 1999 dengan majoriti sebanyak 55%. [19] Sejak pemilihan Kerajaan Whitlam pada tahun 1972, terdapat penumpuan yang semakin meningkat terhadap masa hadapan negara sebagai sebahagian kawasan Asia-Pasifik.
Politik
[sunting | sunting sumber]Komanwel Australia ialah sebuah negara raja berperlembagaan yang mengamalkan sistem parlimen kerajaan. Raja Charles III bertindak sebagai Raja Australia, satu peranan yang berbeza dengan kedudukannya sebagai raja Alam Komanwel yang lain. Raja diwakili pada nama sahaja oleh Gabenor Jeneral pada peringkat Persekutuan dan oleh Gabenor-gabenor pada peringkat negeri. Walaupun Perlembagaan memberi kuasa eksekutif yang meluas kepada Gabenor Jeneral, kuasa ini biasanya digunakan hanya atas nasihat Perdana Menteri Australia. Penggunaan kuasa simpanan yang terkenal oleh Gabenor Jeneral di luar arahan Perdana Menteri adalah ketika menyingkirkan Kerajaan Whitlam dalam krisis perlembagaan pada tahun 1975. [20]
Terdapat tiga cabang dalam kerajaan:
- Badan Perundangan: Komanwel Parlimen yang terdiri daripada Raja, Senat, dan Dewan Rakyat; Raja diwakili oleh Gabenor Jeneral yang, secara amalan, menggunakan kuasa perlembagaannya hanya atas nasihat Perdana Menteri.
- Badan Eksekutif: Majlis Eksekutif Persekutuan (Gabenor Jeneral sebagaimana yang dinasihati oleh Ahli-ahli Majlis Eksekutif); secara amalan, ahli-ahli majlis eksekutif ialah Perdana Menteri dan Menteri-menteri Negara.
- Badan Kehakiman: Mahkamah Tinggi Australia dan mahkamah-mahkamah persekutuan yang lain. Mahkamah-mahkamah negara dibebaskan secara rasmi daripada Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privi apabila Akta Australia diluluskan pada tahun 1986.
Parlimen Komanwel dwidewan terdiri daripada Raja, Senat (dewan pertuanan yang terdiri daripada 76 senator), dan Dewan Rakyat (terdiri daripada 150 wakil rakyat). Wakil-wakil rakyat dipilih daripada kawasan pilihan raya ahli tunggal yang biasanya dikenali sebagai electorate atau 'kerusi'. Kerusi-kerusi dalam Dewan Rakyat diperuntukkan kepada negeri-negeri berdasarkan jumlah penduduk masing-masing. Tidak menghiraukan jumlah penduduknya, setiap negeri diwakili oleh 12 senator dalam Senat, manakala kedua-dua wilayah besar, iaitu Wilayah Ibu Kota Australia dan Wilayah Utara, masing-masing diwakili oleh dua senator. Pilihan raya umum bagi kedua-dua dewan diadakan setiap tiga tahun; biasanya hanya setengah daripada kerusi-kerusi Senat ditanding dalam setiap pilihan raya kerana senator-senator menjawat selama enam tahun yang bertindih. Parti dengan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat membentuk Kerajaan, dengan ketuanya menjadi Perdana Menteri.
Terdapat tiga buah parti politik yang utama di Australia: Parti Buruh, Parti Liberal dan Parti Nasional. Ahli-ahli bebas dan banyak parti kecil — termasuk Parti Hijau dan Parti Demokrat Australia — pernah memenangi kerusi dalam parlimen Australia, khususnya dalam Dewan Pertuanan, walaupun pengaruh mereka adalah sedikit. Sejak pilihan raya umum 1996, Parti Campuran Liberal/Nasional yang diketuai oleh Perdana Menteri John Howard telah memegang kuasa di Canberra. Dalam pilihan raya umum 2004, parti campuran ini memenangi penguasaan Senat yang merupakan kali pertama sebuah parti (atau parti gabungan pemerintahan) yang membentuk kerajaan berjaya menguasai dewan pertuanan sejak melebihi 20 tahun. Parti Buruh berkuasa di setiap negeri dan wilayah. Pengundian adalah wajib bagi semua warganegara melebihi 18 tahun di dalam setiap negeri dan wilayah, serta pada peringkat persekutuan. [21]
Negeri dan wilayah
[sunting | sunting sumber]Australia terdiri daripada enam buah negeri, dua wilayah besar di tanah besar, serta wilayah-wilayah kecil yang lain. Negeri-negeri tersebut ialah New South Wales, Queensland, Australia Selatan, Tasmania, Victoria and Australia Barat, manakala dua wilayah tanah besar ialah Wilayah Utara dan Wilayah Ibu Kota Australia. Dari kebanyakan segi, wilayah-wilayahnya mempunyai fungsi yang serupa dengan negeri-negerinya, tetapi Parlimen Komanwel boleh menolak sebarang undang-undang yang diluluskan oleh parlimen-parlimen wilayah. Secara perbandingan, undang-undang persekutuan hanya boleh menolak undang-undang negeri dalam beberapa bidang yang diterangkan dalam Seksyen 51 di dalam Perlembagaan; semua kuasa perundangan yang baki dikekalkan oleh parlimen-parlimen negeri, termasuklah kuasa terhadap hospital, pendidikan, polis, badan kehakiman, jalan raya, pengangkutan awam, dan kerajaan tempatan.
Setiap negeri dan wilayah mempunyai badan perundangan sendiri (Wilayah Utara, Wilayah Ibu Kota Australia dan Queensland mempunyai satu badan perundangan, manakala negeri-negeri yang lain mempunyai dua badan perundangan). Dewan Rakyat dikenali sebagai Legislative Assembly (House of Assembly di Australia Selatan dan Tasmania), manakala Dewan Pertuanan dikenali sebagai Legislative Council. Ketua kerajaan di setiap negeri dan wilayah masing-masing dipanggil Perdana Menteri dan Ketua Menteri. Raja diwakili di dalam setiap negeri oleh Gabenor; Pentadbir Wilayah Utara dan Gabenor Jeneral Wilayah Ibu Kota Australia mempunyai peranan yang sama.
Australia juga mempunyai beberapa wilayah kecil; kerajaan persekutuan mentadbirkan Wilayah Teluk Jervis, sebuah kawasan yang berasingan di New South Wales, sebagai pangkalan tentera laut dan bandar pelabuhan untuk ibu negara. Selain daripada itu, Australia mempunyai wilayah-wilayah luar yang didiami penghuni, iaitu Pulau Norfolk, Pulau Christmas, serta Kepulauan Cocos (Keeling), dan beberapa wilayah luar yang tidak banyak berpenghuni: Kepulauan Ashmore dan Cartier, Kepulauan Laut Coral, Pulau Heard and Kepulauan McDonald dan Wilayah Antartik Australia.
Geografi
[sunting | sunting sumber]Daratan Australia yang seluas 7,686,850 kilometer persegi (2,967,909 batu persegi) terletak di Plat Indo-Australia. Dikelilingi oleh Lautan-lautan Hindi, Selatan dan Pasifik, Australia dipisahkan daripada Asia oleh Laut Arafura dan Laut Timor. Panjangnya garis pinggir laut Australia 25,760 kilometer (16,007 batu). Negara ini menuntut Zon Ekonomi Eksklusif yang luas, sebanyak 8,148,250 kilometer persegi (3,146,057 batu persegi). Zon ini tidak termasuk Wilayah Antartik Australia.
Terumbu Sawar Besar, terumbu karang yang terbesar di dunia, terletak tidak jauh dari pantai timur laut Australia dan terbentang melebihi 2,000 kilometer (1,250 batu). Gunung Augustus, monolit yang terbesar di dunia, terletak di Australia Barat. Dengan tingginya sebanyak 2,228 meter (7,310 kaki), Gunung Kosciuszko di Banjaran Bahagi Besar adalah gunung yang tertinggi di tanah besar Australia, walaupun Puncak Mawson di Pulau Heard, sebuah wilayah terpencil Australia, adalah lebih tinggi. Tingginya 2,745 meter (9,006 kaki).
Sebahagian besar Australia terdiri daripada gurun dan tanah separa gersang. Australia adalah benua terkering yang didiami manusia, serta benua yang paling datar, dan mempunyai tanih-tanih yang tertua serta yang paling kurang subur. Hanya sudut-sudut tenggara dan barat daya benua ini mempunyai iklim yang sederhana. Sebahagian besar penduduknya tinggal di sepanjang garis pinggir laut tenggara yang beriklim sederhana. Bahagian utara negara ini yang beriklim tropika mempunyai tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada hutan hujan, hutang jarang, padang rumput, paya bakau, serta gurun. Iklimnya amat dipengaruhi oleh arus-arus lautan, termasuk pengayunan selatan El Niño, yang berhubung kait dengan kemarau berkala, dan sistem tekanan rendah tropika bermusim yang mengakibatkan siklon di Australia utara.
Ekonomi
[sunting | sunting sumber]Australia mempunyai ekonomi campuran gaya barat yang kaya, dengan KDNK per kapita yang lebih tinggi sedikit daripada United Kingdom, Jerman dan Perancis dari segi pariti kuasa beli. Negara ini ditempatkan ketiga dalam Indeks Pembangunan Manusia 2005 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan keenam dalam indeks kualiti hidup sedunia 2005 oleh The Economist. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, ekonomi Australia telah mudah pulih ketika menghadapi kemerosotan ekonomi sejagat. Kenaikan keluaran di dalam ekonomi dalam negara berupaya mengimbangi kemerosotan sejagat, dan keyakinan perniagaan dan pengguna masih tegap. Isu-isu terkini yang membimbangkan sesetengah ahli ekonomi adalah defisit akaun semasa yang tinggi serta tahap-tahap hutang asing bersih yang dipinjam oleh sektor swasta.
Pada dekad 1980-an, pentadbiran Hawke memulakan proses pembaharuan ekonomi melalui pengapungan dolar Australia pada tahun 1983, serta pembatalan kawal selia sistem kewangan. Sejak tahun 1996, kerajaan Howard telah meneruskan proses pembaharuan mikroekonomi, termasuk pembatalan kawal selia separa pasaran buruh dan penswastaan perniagaan-perniagaan milik kerajaan, khususnya industri telekomunikasi. Pembaharuan sistem cukai tak langsung yang cukup besar dilaksanakan pada Julai 2000, dengan pengenalan 10% Cukai Barangan and Perkhidmatan yang dapat mengurangkan sedikit pergantungan kepada cukai pendapatan perseorangan dan cukai pendapatan syarikat yang masih mencirikan sistem cukai Australia.
Ekonomi Australia tidak pernah mengalami kemelesetan sejak awal dekad 1990-an. Pada Julai 2006, kadar pengangguran adalah 4,8%, dengan 10.223.300 orang bekerja. Sektor perkhidmatan dalam ekonomi, termasuk pelancongan, pendidikan, dan perkhidmatan kewangan, terdiri daripada 69% KDNK. Pertanian dan sumber alam terdiri daripada 3% dan 5% KDNK tetapi merupakan antara sebab prestasi eksport Australia yang kukuh. Pasaran-pasaran eksport Australia yang terbesar termasuk Jepun, China, Amerika Syarikat, Korea Selatan, dan New Zealand.
Secara tradisi, ketiadaan industri pengeluaran berorientasi eksport telah dianggap sebagai suatu kelemahan utama ekonomi Australia. Baru-baru ini, kenaikan harga-harga komoditi eksport Australia dan pertumbuhan pelancongan telah mengurangkan kritikan itu pada setakat tertentu. Walau bagaimanapun, Australia telah mencapai defisit akaun semasa yang ketiga terbesar di dunia secara mutlak (melebihi 7% KDNK secara perbandingan). Ini telah dianggap menyusahkan oleh sesetengah ahli ekonomi, terutamanya kerana perkembangan ini berbetulan dengan harga tinggi untuk barang-barang eksport Australia serta kadar faedah yang rendah yang mengekalkan kos bayar balik hutang asing pada tahap yang begitu rendah.
Demografi
[sunting | sunting sumber]Kebanyakan penduduk Australia yang dianggarkan sebanyak 20.6 juta orang adalah keturunan peneroka-peneroka abad ke-19 dan ke-20. Kebanyakannya adalah dari Great Britain dan Ireland. Jumlah penduduk Australia telah berganda empat kali sejak akhir Perang Dunia I, [22] didorong oleh rancangan imigrasi yang hebat. Pada tahun 2001, lima kumpulan yang terbesar daripada 23,1% penduduk Australia yang dilahirkan di luar negeri berasal dari United Kingdom, New Zealand, Itali, Vietnam and China.[23] Menyusul pemansuhan Dasar Australia Putih pada tahun 1973, banyak inisiatif kerajaan telah dimulakan untuk menggalakkan dan mempromosikan keharmonian kaum, berasaskan dasar pelbagai budaya. [24]
Jumlah penduduk orang asli Australia — orang asli tanah besar dan kaum Kepulauan Selat Torres — ialah 410,003 (2,2% daripada jumlah penduduk Australia) pada tahun 2001. Ini merupakan suatu kenaikan yang ketara daripada banci 1976 yang menunjukkan bahawa jumlah penduduk orang asli adalah 115,953 orang ketika itu. Orang-orang asli Australia mengalami kadar pemenjaraan dan pengangguran yang lebih tinggi, serta taraf pendidikan dan jangka hayat yang lebih rendah untuk kedua-dua lelaki and wanita, iaitu 17 tahun lagi kurang daripada penduduk-penduduk Australia lain. [23] Ketaksamaan kaum tertanggap merupakan suatu isu politik dan hak asasi manusia yang masih wujud antara penduduk-penduduk Australia.
Seperti dengan banyak negara maju yang lain, Australia sedang mengalami perubahan demografi kepada penduduk-penduduk yang lebih tua, dengan pertambahan bilangan pesara serta pengurangan orang umur bekerja. Sebilangan besar penduduk Australia (759,849 untuk tempoh 2002–03 [25]) tinggal di luar negara asal mereka. Australia mengekalkan salah satu rancangan imigrasi yang paling aktif di dunia bagi menggalakkan pertumbuhan jumlah penduduk. Kebanyakan pendatang mempunyai kemahiran, tetapi kuota imigresen termasuk kategori-kategori untuk ahli keluarga serta pelarian.
Bahasa Inggeris ialah bahasa rasmi [26] yang dituturkan serta ditulis dalam kelainan yang tersendiri, dan yang dikenali sebagai bahasa Inggeris Australia. Menurut banci 2001, bahasa Inggeris ialah bahasa tunggal yang dituturkan di rumah bagi sekitar 80% daripada jumlah penduduk. Bahasa-bahasa lain yang paling biasa dituturkan di rumah ialah bahasa Cina (2.1%), bahasa Itali (1.9%), dan bahasa Greek (1.4%). Sebahagian besar pendatang-pendatang generasi pertama dan kedua adalah dwibahasa. Adalah dipercayai bahawa terdapat antara 200 dan 300 bahasa orang asli Australia pada masa hubungan pertama Eropah. Hanya kira-kira 70 daripada bahasa-bahasa itu masih wujud, dengan kesemuanya kecuali 20 bahasa ini terancam. Sebuah bahasa orang asli masih merupakan bahasa utama bagi kira-kira 50,000 (0,02%) orang. Australia mempunyai sebuah bahasa isyarat yang dikenali sebagai Auslan yang merupakan bahasa utama untuk kira-kira 6,500 orang pekak.
Australia tidak mempunyai agama rasmi. Banci 2001 mengenal pasti bahawa 68% daripada penduduk Australia menganggap diri sebagai penganut Kristian: 27% menganggap diri sebagai Roman Katolik, manakala 21% menganggap diri sebagai ahli mazhab Gereja England. Penduduk Australia yang menganggap diri sebagai bukan pengikut Kristian berjumlah 5%. Sejumlah 16% dikelaskan sebagai "Tiada Ugama" (termasuk kepercayaan bukan-teisme seperti humanisme, ateisme, agnostisisme dan rasionalisme) dan sejumlah 12% yang lain enggan menjawab atau tidak memberi balasan yang mencukupi untuk penafsiran. Sebagaimana dengan kebanyakan negara Barat, tahap penyertaan aktif dalam upacara sembahyang gereja adalah lebih rendah daripada jumlah ini; kehadiran mingguan untuk upacara sembahyang gereja adalah di sekitar 1.5 juta, iaitu kira-kira 7.5% daripada jumlah penduduk. [27]
Kehadiran sekolah adalah wajib di seluruh Australia antara usia 6–15 tahun (tempoh pendidikan selama 16 tahun di Australia Selatan serta Tasmania, dan 17 tahun di Australia Barat) merupakan antara sebab kadar kenal huruf dewasa yang dianggap sebagai 99%. Bantuan kerajaan telah membantu penubuhan 38 buah universiti Australia, dan sungguhpun terdapat banyak universiti swasta yang ditubuhkan, sebahagian besarnya menerima pembiayaan kerajaan. Terdapat sistem kolej latihan vokasional berasaskan negeri yang dikenali sebagai Institut-institut TAFE, dan banyak industri juga memberi latihan perantisan untuk pekerja-pekerjanya yang baru. Kira-kira 58% daripada penduduk Australia yang berusia antara 25 dan 64 tahun mempunyai kelayakan vokasional atau pendidikan tinggi [23] dan kadar penyampaian ijazah sebanyak 49% adalah kadar yang tertinggi di kalangan negara-negara OECD. Nisbah pelajar antarabangsa dengan pelajar tempatan dalam pendidikan tinggi di Australia adalah yang tertinggi antara negara-negara OECD.[28]
Budaya
[sunting | sunting sumber]Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Population clock and pyramid". Australian Bureau of Statistics website. Commonwealth of Australia. 5 March 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 February 2024. Dicapai pada 5 March 2024. The population estimate shown is automatically calculated daily at 00:00 UTC and is based on data obtained from the population clock on the date shown in the citation.
- ^ "National, state and territory population". Australian Bureau of Statistics. 26 September 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 November 2022. Dicapai pada 26 September 2022.
- ^ a b c d "World Economic Outlook Database, April 2024 Edition. (Australia)". www.imf.org. International Monetary Fund. 16 April 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 April 2024. Dicapai pada 16 April 2024.
- ^ "Australia Gini Coefficient, 1995 – 2023 | CEIC Data". www.ceicdata.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 March 2024. Dicapai pada 2024-03-04.
- ^ "Human Development Report 2023/24" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Rancangan Pembangunan PBB. 13 March 2024. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 13 March 2024. Dicapai pada 13 March 2024.
- ^ Commonwealth of Australia Constitution Act (Imp) 63 & 64 Vict, c 12, s 3 Diarkibkan 9 Januari 2024 di Wayback Machine
- ^ "auster". K. Prent, J. Adisubrata, W. J. S. Poerwadarminta (1969). Kamus Latin-Indonesia. Jogjakarta: Penerbitan Jajasan Kanisius. m/s. 85. "1. a) angin selatan [...] b) angin pujuh; angin ribut, badai. 2. selatan ; sebelah selatan..."
- ^ Sidney J. Baker, The Australian Language, edisi kedua, 1966.
- ^ a b Macknight, Charles Campbell (2011). "The view from Marege': Australian knowledge of Makassar and the impact of the trepangindustry across two centuries". Aboriginal History. 35: 121–143. doi:10.22459/AH.35.2011.06. JSTOR 24046930.
- ^ Captain William Dampier (1699). A New Voyage round the World (dalam bahasa Inggeris) (ed. 4th, Corrected). London. m/s. 463–472. OCLC 1435604968. Wikidata Q126678570.
- ^ Wharton, W.J.L. (7 April 1893). "Preface". Captain Cook's Journal. Wimbledon Park. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 April 2016. Dicapai pada 10 August 2020 – melalui University of Adelaide Library, Electronic Texts Collection.
- ^ Western Australian Year Book (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Perth: Australian Bureau of Statistics. 1979. m/s. 11. ISSN 0083-8772. LCCN 86641587. OCLC 8261989. Wikidata Q126683302.
- ^ Gillespie, R. (2002). Mentarikhkan penduduk-penduduk Australia pertama. Radiokarbon 44:455–72
- ^ Smith, L. (1980), Jumlah penduduk orang asli di Australia, Percetakan Universiti Nasional Australia, Canberra
- ^ Tatz, C. (1999). Genosid di Australia Diarkibkan 2005-08-08 di Wayback Machine, Kertas Perbincangan Penyelidikan AIATSIS No. 8, Institut Orang Asli dan Penduduk Kepulau Selat Torres Australia, Canberra
- ^ Windschuttle, K. (2001). Mengada-adakan Sejarah Orang Asli, The New Criterion, Jilid 20, No. 1, 20 September.
- ^ Bean, C. Ed. (1941). Jilid I - Cerita Anzac: Fasa pertama Diarkibkan 2008-08-28 di Wayback Machine, Sejarah-sejarah Rasmi Perang Dunia I, Edisi Ke-11.
- ^ Teks Akta Australia [1]
- ^ Suruhanjaya Pilihan Raya Australia (2000).1999 Laporan dan Statistik Pungutan Suara
- ^ Perpustakaan Parlimen (1997). Kuasa-kuasa Simpanan Gabenor Jeneral Diarkibkan 2010-07-26 di Wayback Machine
- ^ "Apakah akan terjadi jika saya tidak mengundi?". Pengundian di Australia - Soalan Lazim. Australian Electoral Commission. Dicapai pada 21 Oktober 2006.
- ^ Biro Statistik Australia, Pertumbuhan Jumlah Penduduk Australia[pautan mati kekal]
- ^ a b c Biro Statistik Australia, Buku Tahunan Australia 2005 Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "Year Book 2005" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ Jabatan Imigresen dan Hal-ehwal Pelbagai Budaya dan Orang Asli. (2005). Perkembangan Dasar Pelbagai Budaya
- ^ Parlimen Australia, Senat (2005). Penyelidikan tentang Kkspatriat-ekspatriat Australia
- ^ Jabatan Imigresen dan Hal-ehwal Pelbagai Budaya. (1995). Negara-negara pemajmuk: Dasar-dasar Bahasa Pemajmuk?
- ^ NCLS menerbitkan anggaran-anggaran terbaru tentang kehadiran upacara sembahyang geraja, Tinjauan Hidup Gereja Nasional, penerbitan media, 28 Februari 2004
- ^ Pendidikan Sepintas Lalu 2005 Diarkibkan 2013-07-23 di Wayback Machine oleh OECD: Peratusan pelajar asing dalam pendidikan tinggi.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Ketahui lebih lanjut tentang Australia di Wikipedia: | |
Takrifan dari Wikikamus | |
Imej dan media dari Commons | |
Sumber pembelajaran dari Wikiversity | |
Berita dari Wikiberita | |
Petikan dari Wikipetikan | |
Teks sumber dari Wikisumber | |
Buku teks dari Wikibuku |
Templat:Spoken Wikipedia-2 Atlas Wikimedia Australia
- Templat:Wikimapia
- About Australia Diarkibkan 2014-12-31 di Wayback Machine from the Department of Foreign Affairs and Trade
- Governments of Australia Entry Point (Federal, State & Territory)
- Australian Government Entry Portal
- Parliament of Australia: Who's Who (includes head of state) Diarkibkan 2012-02-15 di Wayback Machine
- Parliament of Australia: Ministry List
- Australian Bureau of Statistics
- Community organisations portal Diarkibkan 2010-05-02 di Wayback Machine
- Cultural Institutions Diarkibkan 2007-07-14 di Wayback Machine
- Tourism Australia
Wikikembara memiliki panduan pelancongan bagi Australia. - "Australia". CIA World Factbook (ed. 2024). Agensi Perisikan Pusat.
- Australia at UCB Libraries GovPubs
- Australia di Curlie