Pergi ke kandungan

Tasik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tasik Bukit Besi di Taman Botani Johor, Johor, Malaysia
Tasik Blowdown di pergunungan berhampiran Pemberton, British Columbia
Tasik Oeschinen di Alp Switzerland
Tasik Mapourika di New Zealand

Tasik (Jawi: تاسيق) atau danau (Jawi: داناو‎) ialah sejenis sifat rupa bumi atau sifat fizikal yang berbentuk takungan air pedalaman beraliran perlahan lebih besar, luas[1] dan dalam berbanding kolam serta bukan sebahagian lautan, di mana ia tidak semestinya ditempatkan di bawah lembangan (satu lagi ciri-ciri rupa bumi) dan disalurkan oleh sungai.[2][3]

Tasik-tasik semula jadi biasanya terdapat di kawasan pergunungan, zon rengkahan, dan kawasan yang baru atau sering mengalami pengglasieran. Tasik-tasik lain pula dijumpai di lembangan endoreik atau sepanjang aliran sungai matang. Di sesetengah tempat di dunia terdapat banyak sekali tasik kesan corak-corak penyaliran camuk yang ditinggalkan dari Zaman Ais yang lalu. Semua tasik hanya wujud sementara sepanjang skala masa geologi, kerana lambat-laun tasik akan ditimbus mendapan atau tumpah keluar dari lembangan yang menakungnya.

Peristilahan dan kefahaman

[sunting | sunting sumber]

Istilah tasik digunakan secara dominan di Malaysia, Singapura serta Riau (juga dieja sebagai tasek) dan Sumatera di Indonesia.[4][5] Ia turunan akar Austronesia *tasik yang pada asalnya memberi maksud jasad air masin besar yang kini dipadankan dengan istilah "laut" sebelum beralih maknanya; bahasa-bahasa serumpun seperti bahasa Dayak, bahasa Jawa dan bahasa Madura masih mengekalkan makna asalnya dalam ungkapan ini[6] sedangkan takrifan asal dalam bahasa Melayu hanya disempitkan dalam sastera lama sahaja.[5]

Istilah danau pula turunan terus dari *danaw bermaksud sama.[7]

Takrifan tepat

[sunting | sunting sumber]

Dalam konteks hidrologi, tasik diusulkan umum terdiri daripada ciri-ciri berikut:[8][9][10]

  • bersifat mengisi satu atau beberapa buah lembangan terhubung oleh selat dikelilingi pesisiran daratan dari seluruh penjuru arah
  • mempunyai paras air yang sama di semua bahagian (melainkan terjejas oleh unsur luar seperti cuaca pada jangka masa singkat)
  • perbezaan isipadu antara air yang masuk dan air ditakung dalam jasad sangat kecil sehingga adanya mendakan di dasar
  • kawasan diukur adanya purata paras air melebihi suatu ambangan yang ditetapkan pihak pengukur.

Taburan tasik

[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan tasik di Bumi berisi air tawar, dan terletak di kawasan latitud tinggi di Hemisfera Utara. Lebih 60% tasik di dunia ini terletak di Kanada kerana sistem saliran berserabut yang mendominasi kawasan negara ini.

Finland dikenali sebagai Tanah Seribu Tasik, (sebenarnya terdapat 187,888 buah tasik Finland, 60,000 daripadanya adalah besar),[11] sementara negeri Minnesota di Amerika Syarikat pula bergelar Tanah Sepuluh Ribu Tasik.

Kebanyakan tasik ini ada saliran keluar semula jadi yang berbentuk sungai atau anak sungai, tetapi ada juga tasik tanpa saliran keluar, sebaliknya hanya kehilangan air melalui penyejatan atau tirisan bawah tanah atau kedua-duanya sekali. Tasik-tasik sebegini merupakan tasik endoreik (lihat di bawah).

Banyak juga tasik buatan manusia yang dibina untuk tujuan janaan kuasa hidroelektrik, tujuan rekreasi, kegunaan industri atau pertanian, ataupun bekalan air setempat.

Di luar bumi juga terbukti wujudnya tasik; "bukti definitif wujudnya tasik-tasik berisi metana" diumumkan oleh NASA menurut pantauan Prob Cassini di bulan Titan yang mengorbit planet Zuhal.

Di seluruh dunia, bilangan tasik jauh diatasi bilangan kolam: dari kira-kira 304 juta kumpulan air pegun di seluruh dunia, 91% darinya berkeluasan 1 hektar (2.5 ekar) ke bawah (lihat kolam) [12]. Tasik kecil juga melebihi tasik besar dari segi jumlah: dari segi keluasan, satu pertiga kumpulan air pegun di dunia merupakan tasik dan kolam bersaiz 10 hektar (25 ekar) ke bawah. Namun begitu, tasik besar banyak sangat sumbangannya kepada keluasan air pegun, iaitu 122 buah tasik besar seluas 1,000 kilometer persegi (390 batu persegi, 100,000 ha, 247,000 ekar) atau lebih yang menjadi 29% daripada jumlah air pegun daratan di Bumi.

Kejadian tasik semula jadi

[sunting | sunting sumber]
Pantai Ipperwash, Tasik Huron, Ontario, Kanada

Terdapat sebilangan proses semula jadi yang boleh membentuk tasik. Julangan tektonik terbaru di banjaran gunung boleh menghasilkan lembangan yang boleh menngumpul air lalu membentuk tasik. Fenomena kemaraan dan pengunduran glasier boleh mengikis lekukan di permukaan di mana berkumpulnya air; tasik-tasik sedemikian sering didapati di Scandinavia, Patagonia, Siberia, dan Kanada. Contoh-contoh terbaik tasik sebegini adalah Tasik-tasik Besar di Amerika Utara.

Tasik juga boleh terbentuk akibat tanah runtuh atau sumbatan glasier. Satu contoh tasik yang terbentuk akibat sumbatan glasier terjadi ketika Zaman Ais lalu di kawasan yang kini ditakluki negeri Washington, Amerika Syarikat, di mana sebuah tasik gergasi terbentuk di sebalik aliran glasier; apabila ais berundur, hasilnya banjir besar yang membentuk Air Terjun Dry di Sun Lakes, Washington.

Tasik garam (atau tasik masin) boleh terjadi apabila tiadanya alur keluar semula jadi atau di mana air cepat menyejat dan permukaan saliran muka air tanah mengandungi lebih garam dari biasa. Contoh tasik garam termasuk Tasik Garam Besar, Laut Kaspia, Laut Aral, dan Laut Mati (tasik-tasik sebegini bergelar laut bersempena air masin di laut).

Sebuah tasik buatan di Arizona ketika matahari terbenam
  • Tasik periglasier: Sebahagian pinggir tasik terbentuk dari lembar ais, litupan ais, atau glasier, dan ais itu menghalang saliran tanah semula jadi.
  • Tasik subglasier: Tasik yang dilitupi ais secara berkekalan. Tasik-tasik ini terjadi di bawah glasier, itupan ais, atau lembar ais. Tidak kurang tasik sebegini di dunia, dan yang terbesar adalah Tasik Vostok di Antartika. Tasik-tasik ini kekal cecair kerana litupan ais bertindak sebagai penebat haba yang menyimpan tenaga yang dimasukkan di sebelah bawah melalui geseran, oleh serapan air melalui kervas, oleh tekanan dari jisim lembar ais di atas, atau oleh pemanasan geoterma di bawah.
  • Tasik glasier: Tasik yang berasal dari glasier yang cair.
  • Tasik buatan: Tasik yang terhasil daripada proses pembanjiran tanah di sebalik empangan yang dipanggil pembendungan atau takungan; melalui kerja penggalian oleh manusia; atau pembanjiran kejadian penggalian ke operasi mengekstrak bahan galian seperti lombong terbuka atau kuari. Sesetengah tasik terbesar di dunia merupakan takungan.
Tasik buatan manusia di Keukenhof, Belanda
  • Tasik endoreik: Tasik tanpa aliran keluar yang besar, baik melalui sungai mahupun pembauran bawah tanah. Mana-mana air dalam lembangan endoreik hanya dapat keluar dari tasik sebegini melalui penyejatan atau peresapan. Tasik-tasik sebegini, misalnya Tasik Eyre di tengah Australia atau Laut Aral di Asia Tengah, paling kerap dijumpai di kawasan gurun.
  • Tasik meromiktik: Tasik yang terdiri daripada lapisan-lapisan air yang tidak saling bercampur. Lapisan air terdalam dalam tasik sebegini tidak mengandungi apa-apa oksigen yang terlarut. Lapisan endapan di dasar tasik meromiktik tenang airnya kerana tiadanya hidupan dalamnya yang boleh mengacaunya.
  • Tasik fjord: Tasik di lembah yang dihakis glasier yang sudah terhakis ke bawah aras laut.
  • Tasik ladam: Tasik yang terbentuk apabila liku sungai yang luas terpisah dari sungai. Nama "tasik ladam" bersempena bentuk lengkung unik yang terhasil dari proses ini.
  • Tasik rengkahan: Tasik yang terbentuk kesan penenggelaman bumi sepanjang sesar geologi dalam plat tektonik Bumi. Contoh: Tasik-tasik Rift Valley di Afrika Timur dan Tasik Baikal di Siberia.
  • Tasik bawah tanah: Tasik yang terbentuk di bawah permukaan kerak Bumi. Tasik sebegini boleh dikaitkan dengan gua, akuifer, atau mata air.
Tasik kawah Volcán Irazú, Costa Rica
  • Tasik kawah: Tasik yang terbentuk dalam kaldera atau kawah gunung berapi yang lama pendam. Air dalam tasik sebegini mungkin tawar atau kuat berasid dan mungkin mengandungi pelbagai larutan mineral. Ada tasik kawah yang mengalami aktiviti geoterma, khususnya jika gunung berapi itu cuma pendam dan bukannya mati.
  • Tasik lahar: Lubuk lahar lebur yang ditakung dalam kawah gunung berapi atau mana-mana kejadian lekukan yang lain. Tasik lahar yang sudah pejal juga dipanggil tasik lahar.
  • Bekas tasik: Tasik yang sudah tidak wujud lagi. Jenis tasik ini termasuk tasik prasejarah dan tasik yang kering sepenuhnya akibat penyejatan atau campur tangan manusia. Tasik Owens di California, A.S., ialah satu contoh bekas tasik.
  • Tasik bermusim: Tasik yang hanya wujud sebagai takungan air pada satu jangka masa dalam setahun.
  • Tasik susut: Berhubung rapat dengan bekas tasik, tasik jenis ini adalah tasik yang airnya berkurangan secara mendadak sepanjang masa geologi. Tasik Agassiz yang pernah meliputi banyak kawasan tengah Amerika Utara, merupakan contoh tasik susut.
  • Tasik eolik: Tasik yang terbentuk dalam lekukan yang terhasil daripada kegiatan angin.
  1. ^ Elya Nusantari (2010). "Kerusakan Danau Limboto dan Upaya Konservasi Melalui Pemberdayaan Masyarakat dan Peran Perguruan Tinggi". Jurnal Pendidikan Biologi. 1 (2): 1. ISSN 2085-6873.
  2. ^ Brittanica online. "Lake (physical feature)". Dicapai pada 2008-06-25. [a Lake is] any relatively large body of slowly moving or standing water that occupies an inland basin of appreciable size. Definitions that precisely distinguish lakes, ponds, swamps, and even rivers and other bodies of nonoceanic water are not well established. It may be said, however, that rivers and streams are relatively fast moving; marshes and swamps contain relatively large quantities of grasses, trees, or shrubs; and ponds are relatively small in comparison to lakes. Geologically defined, lakes are temporary bodies of water.
  3. ^ "a body of fresh or salt water of considerable size, surrounded by land". Dictionary.com. Dicapai pada 2008-06-25.
  4. ^ Lihat:
    • "danau". Kamus Melayu Riau. Balai Bahasa Sumatera Utara Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa Republik Indonesia. 2018. m/s. 75. danau; tasek; telage
    • "tasik". Kamus Melayu Sumatera Utara-Indonesia. Balai Bahasa Sumatera Utara Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa Republik Indonesia. 2018. m/s. 219.
  5. ^ a b "tasik". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017. 2. sl lautCS1 maint: date and year (link)
  6. ^ Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*tasik: sea, saltwater". Austronesian Comparative Dictionary. Dicapai pada 2 Ogos 2021.
  7. ^ Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*danaw: lake". Austronesian Comparative Dictionary. Dicapai pada 2 Ogos 2021.
  8. ^ Esko Kuusisto and Veli Hyvärinen (2000). "Hydrology of Lakes". Dalam Pertti Heinonen (penyunting). Hydrological and Limnological Aspects of Lake Monitoring. John Wiley & Sons. m/s. 4–5. ISBN 978-0-470-51113-8.CS1 maint: uses authors parameter (link)
  9. ^ "Ecohydrology & Hydrobiology 2004". International Journal of Ecohydrology et Hydrobiology. Index Copernicus: 381. 2004. ISSN 1642-3593.
  10. ^ Shahin, M. (2002). Hydrology and Water Resources of Africa. Springer. m/s. 427. ISBN 978-1-4020-0866-5.
  11. ^ Statistics Finland
  12. ^ Downing JA, Prairie YT, Cole JJ, Duarte CM, Tranvick LJ, Striegel RG, McDowell WH, Kortelainen P, Melack JM, Middleburg JJ (2006). The global abundance and size distribution of lakes, ponds and impoundments. Limnology and Oceanography, 51: 2388-2397.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]