Pergi ke kandungan

Simanggang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Sri Aman)
Simanggang (Daerah)
سيمڠڬڠ
Daerah Sarawak
Bandar Simanggang, Sri Aman
Bandar Simanggang, Sri Aman
Bendera Simanggang (Daerah) سيمڠڬڠ
Mohor rasmi Simanggang (Daerah) سيمڠڬڠ
Nama panggilan: Bandar Benak
Negara Malaysia
Negeri Sarawak
BahagianBahagian Sri Aman
DaerahSimanggang
Pentadbiran
 • PentadbiranMajlis Daerah Sri Aman
 • WalikotaAnthony Abell anak Chendan
 • Jumlah ahli62 orang
Keluasan
 • Jumlah3,845.7 km2 (1,484.8 batu persegi)
Penduduk
 (2022[1])
 • Jumlah258,996
 • Kepadatan67/km2 (170/batu persegi)
Poskod
95xxx
Kawalan Kod Panggilan Antarabangsa+6083 (Talian tetap)
Laman sesawangLaman web rasmi MDSA

Simanggang merupakan sebuah bandar pelabuhan dan daerah yang terletak di Sarawak, Malaysia. Simanggang juga dikenali sebagai Bandar Sri Aman. Ini kerana daerah Simanggang adalah merupakan pintu gerbang bagi pelawat untuk menuju ke Taman Negara Batang Ai dan melawat rumah panjang tadisional kaum Iban yang terdapat di sepanjang sungai tersebut. Selain Taman Negara, daerah ini juga terkandungnya Sungai Batang Lupar yang terkenal dengan kisah legenda Bujang Senang dan merupakan salah satu daripada kira-kira 400 sungai dan muara di dunia yang mengalami fenomena benak yang berlaku beberapa kali setahun[2]. Fenomena ini berlaku apabila benak sering kali muncul dari kuala dan memenuhi sungai dengan cepat dalam jangka masa kira-kira 10 minit, serta puncaknya boleh mencapai ketinggian 2-3 meter. Disebabkan ini, Pesta Benak sering diadakan setiap tahun.

Pada asalnya, Simanggang merupakan nama asal daerah ini, sebelum ditukar dengan nama Sri Aman yang diilhamkan sejak dari tahun 1974 sempena peristiwa Deklarasi Sri Aman, apabila anggota Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang dipimpin oleh Bong Kee Chok menyerah diri kepada pegawai kerajaan Sarawak dan dimeterai oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yakub pada 21 Oktober 1973. Namun demikian, penduduk daerah ini sudah lama mesra dengan nama Simanggang, sehingga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Abang Openg menerima semula nama Simanggang pada 25 Oktober 2019.[3]

Simanggang juga terkenal dengan sejenis ikan yang begitu popular dalam kalangan penduduk tempatan, Ikan Bulu. Ikan ini ialah sejenis ikan sungai yang sering dipansuh (masak di dalam buluh) atau dipais (ikan dibalut dengan daun pisang atau daun apong dan dibakar). Terdapat juga ikan-ikan yang disalai seperti ikan jan salai & ikan lumek salai.

Pentadbiran

[sunting | sunting sumber]

Sebahagian besar kawasan Daerah Simanggang kini diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Daerah Sri Aman (MDSA). Sebelum ini, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) juga memegang tiga buah daerah kecil (subdistricts), iaitu daerah Lingga, daerah Pantu, dan daerah Lachau. Ketiga-tiga daerah kecil ini dinaik taraf sepenuhnya menjadi kawasan daerah berkuatkuasa 12 Disember 2021.

Kawasan daerah Simanggang, daerah Pantu, dan daerah Lachau kini dimasukkan dalam prospek utama pembangunan perbandaran mampan Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA). Selain daerah Kuching, daerah Samarahan dan pekan Balai Ringin, pembangunan menyeluruh kawasan Daerah Simanggang juga harus diutamakan. Ini termasuk :

  • Transformasi pembangunan pertanian berasaskan padi beras dan lada hitam di Sri Aman.
  • Transformasi sektor agrikultur moden yang lebih baik dan kompleks, selaras dengan dasar keterjaminan makanan oleh Kerajaan Malaysia.
  • Projek pembinaan kolej kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di kawasan bandar Simanggang.
  • Pembangunan sektor pendidikan, sektor ekonomi, serta sektor perkhidmatan awam dan swasta yang menyeluruh.
  • Pembangunan sistem jaringan telekomunkasi dan liputan internet kelajuan tinggi yang menyeluruh di daerah Simanggang, daerah Engkilili, dan daerah Lubok Antu.
  • Pembangunan kawasan bandar-bandar baharu yang moden dan lebih bersepadu di kawasan sekitar daerah Simanggang.
  • Memantapkan sepenuhnya pembangunan sistem pengangkutan utama wilayah Sarawak, termasuk penggunaan bas berkuasa hidrogen dan kenderaan elektrik (EV).
  • Melaksanakan penggunaan pengangkutan baharu Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan menghubungkan antara Daerah Simanggang dengan tiga daerah lain di Sarawak, iaitu Daerah Serian, Daerah Samarahan, dan Daerah Kuching.
  • Memulihara serta mengekalkan warisan alam semulajadi dan biodiversti di semua daerah di Sarawak.
  • Memelihara serta melindungi semua artifak dan khazanah sejarah Sarawak yang ada di daerah Simanggang.

Kawasan daerah Simanggang pada mulanya amat mengutamakan sepenuhnya aspek pembangunan berasakan agrikultur dan pertanian moden. Ini kerana Simanggang adalah pusat perdagangan berasaskan padi beras, kelapa sawit, getah, dan lada hitam. Meskipun kawasan daerah Simanggang banyak mengalami perubahan pembangunan yang pesat dan moden, namun kegiatan berasaskan pertanian masih menjadi keutamaan bagi masyarakat setempat di Simanggang.

Menurut satu tinjauan umum yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian Sarawak pada tahun 2022, dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada majoriti masyarakat di kawasan daerah Simanggang tetap memilih sektor pertanian sebagai keutamaan penduduk, manakala 32 peratus penduduk di daerah Simanggang adalah bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan awam dan swasta.

Daerah Simanggang kini dipilih sebagai salah satu lokasi tumpuan untuk pembangunan menyeluruh projek pengangkutan Transit Aliran Autonomi (ART) di bawah inisiatif Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS). Ini kerana lokasi daerah Simanggang amat signifikan dengan dua kawasan bahagian berhampiran, iaitu Bahagian Samarahan dan Bahagian Serian.

Demografi

[sunting | sunting sumber]

Populasi penduduk

[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2022, jumlah populasi penduduk dalam kawasan daerah Simanggang adalah seramai 258,996 orang penduduk.

Masyarakat etnik Iban mencatatkan jumlah penduduk yang sangat banyak di kawasan daerah Simanggang iaitu dengan jumlah sebanyak 189,265 orang penduduk. Ini diikuti oleh populasi masyarakat etnik Melayu dengan jumlah penduduk sebanyak 27,903 orang penduduk, manakala populasi masyarakat etnik Bidayuh pula hanya sebanyak 22,734 orang penduduk. Jumlah penduduk yang berbangsa Cina adalah sebanyak 13,876 orang. Hanya sebanyak 5,218 orang penduduk sahaja yang berasal dari kalangan etnik-etnik lain.

Jumlah populasi penduduk mengikut etnik di Daerah Simanggang (setakat 31 Disember 2022)

Etnik / Kaum Jumlah
Iban 189,265
Melayu 27,903
Bidayuh 22,734
Cina 13,876
Melanau 1,067
Kenyah 928
Kelabit 476
Lun Bawang 827
Kayan 152
Lain-lain etnik 1,768
JUMLAH 258,996

Agama Kristian merupakan ajaran agama yang paling ramai di kawasan daerah Simanggang. Berdasarkan satu tinjauan umum pada tahun 2023, sebanyak 167,895 orang penduduk di daerah Simanggang adalah beragama Kristian. Manakala jumlah penduduk yang beragama Islam hanya sebanyak 28,640 orang penduduk. Jumlah penduduk yang menganuti agama Buddha adalah sebanyak 11,958 orang, manakala penduduk yang beragama Taoisme adalah seramai 10,932 orang penduduk. Baki 39,571 orang penduduk adalah masyarakat yang mempunyai agama-agama lain, termasuk mereka yang mengamalkan animisme.

Jumlah populasi penduduk di daerah Simanggang mengikut agama pada tahun 2023
No. Kategori Jumlah (orang) Agama Jumlah (orang)
1 Warganegara Malaysia 258,996 Islam 28,640
2 Katolik Anglikan 86,482
3 Roman Katolik 81,413
4 Buddha 11,958
5 Taoisme 10,932
6 Hindu 1,380
7 Bahaisme 389
8 Mazuisme 14,887
9 Katolik Adventisme 8,173
10 Lain-lain agama 14,742

Setelah berakhirnya Perang Beting Marao, Raja Putih kedua Sarawak, Charles Anthoni Brooke pada masa itu telah mengarahkan sebuah kubu dibina di Skrang. Arahan ini bertujuan untuk memusatkan pentadbiran Brooke di wilayah Skrang pada masa itu dan bagi memerhati pergerakan kaum Iban Skrang yang sering memberontak. Sekitar tahun 1849, sebuah kubu yang dinamakan Fort James atau Kubu James telah dibina. Nama kubu tersebut diambil sempena nama Rajah Pertama Sarawak iaitu Rajah James Brooke.

Antara peristiwa yang telah berlaku di Kubu James sepanjang operasinya ialah sebuah mesyuarat penting yang berlaku sekitar tahun 1863. Setelah memenangi Ekspedisi Kayan, Charles Brooke telah mengadakan mesyuarat dengan kesemua pemimpin Iban Skrang yang membantunya di dalam ekspedisi tersebut seperti Orang Kaya Pemancha Nanang dan pengikutnya. Sebagai tanda penghargaan kepada Orang Kaya Pemancha Nanang, 400 buah tajau milik kepada pengikut Iban Skrang telah dipulangkan semula. Persetujuan untuk menerima beberapa peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Raja Putih itu juga telah dicapai. Antara peraturannya ialah:

  • Kesemua urusniaga yang melibatkan timbangan hendaklah menggunakan chupak, gantang serta menggunakan timbangan dacing dan ukuran ela.
  • Duda atau Janda yang kematian pasangan mereka dibolehkan untuk berkahwin semula 6 bulan selepas kematian pasangan masing-masing.
  • Tempoh berkabung (adat Ulit) hanya dibenarkan selama 3 bulan sahaja.
  • Penggunaan tanda ulit (tanda berkabung) yang diletakkan di rumah panjang yang kematian komunitinya tidak digunakan lagi.

Pada tahun 1864, Kubu James tidak dapat bertahan lama kerana dibina di atas tanah rendah dan berlaku hakisan tanah di Nanga Skrang, lalu menyebabkan keruntuhan kubu ini.


Kubu Alice

[sunting | sunting sumber]
Kubu Alice.
Kubu Alice sebelum dibaik pulih.
Keadaan Kubu Alice yang terbiar sebelum dibaik pulih.

Kubu Alice telah dibina oleh Rajah Charles Brooke pada tahun 1864, setelah berjaya menewaskan Rentap dalm peperangan tahun 1861[5]. Fungsi utama kubu ini adalah sebagai pusat pentadbiran selain menjadi benteng pertahanan bagi mengekalkan keamanan di Sungai Batang Lupar. Kubu ini juga berperanan sebagai mahkamah rakyat dan mempunyai penjara di tingkat bawah. Pembinaannya mengambil masa kira-kira 12 bulan dan merupakan keringat orang tempatan sendiri. Semua perbelanjaan dibiayai oleh Charles Brooke. Lokasinya terletak di atas bukit berhampiran tebing Sungai Batang Lupar.[6]

Kubu ini berukuran 67 meter panjang dan 60 meter lebar, berbentuk segi empat, mempunyai dua tingkat serta dicat berwarna putih. Bahan utama struktur kubu ini yang dibawa dari muara Sungai Batang Skrang adalah daripada kayu belian. Terdapat sebuah tanah lapang yang menghadap Sungai Batang Lupar di bahagian belakang bangunan. Di bahagian kiri dan kanan bangunan pula, terdapat menara yang tinggi manakala di sekeliling kubu, terdapat meriam-meriam besar bagi mempertahankan kubu. Pada mulanya, kubu ini tidak mempunyai nama sehinggalah pada tahun 1870, ketika isteri Rajah Charles Brooke, Ranee Margaret Alice berkunjung ke Simanggang dan mengilhamkan namanya menjadi Kubu Alice.

Antara sebab Kubu Alice didirikan di Simanggang adalah bagi mengawal pergerakan suku kaum tempatan yang mendiami persisiran Sungai Skrang dan Batang Ai. Sepanjang pemerintahan Brooke, banyak ekspedisi-ekspedisi telah dilancarkan daripada Kubu Alice. Antara ekspedisi yang telah dilancarkan adalah:[Source]

  1. Ekspedisi Ulu Ai Pertama – Oktober 1875
  2. Ekspedisi Ulu Ai Kedua – Disember 1875
  3. Ekspedisi Kolera Deluk – Jun 1902
  4. Ekspedisi Menyebat dan Engkari – Oktober 1902
  5. Ekspedisi Ulu Ai Pau – November 1902
  6. Ekspedisi Menentang Delok – September 1908
  7. Ekspedisi Ke Delok dan Jengin – November 1915

Kemenangan berpihak kepada Rajah Brooke dalam kesemua ekspedisi-ekspedisi yang telah dilancarkan bagi memastikan kestabilan Negara Sarawak pada masa itu.

Pada 10 Februari 1971, Kubu Alice telah diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah[7]. Setelah berada dalam keadaan terbiar untuk tempoh yang lama, pada Mei 2013, kerajaan Negeri Sarawak melalui Jabatan Muzium Sarawak telah memulakan proses pembinaan semula Kubu Alice. Kos pembinaan semula Kubu Alice ini adalah sebanyak RM 5 juta. 72 tahun selepas menutup pintunya, pada 18 April 2015 Kubu Alice dibuka semula kepada umum sebagai pusat pengumpulan peradaban dan sejarah bahagian kedua Sri Aman. Kini, Kubu Alice juga dikenali sebagai Muzium Warisan Sri Aman.[8]

Ringkasan sejarah perkembangan Kubu Alice:

Tahun Peristiwa
1864 Kubu Alice mula dibina oleh Charles Brooke. Nama kubu Alice diambil sempena nama isterinya, Ranee Margaret Alice Brooke.
1865-1941 Kubu Alice digunakan sebagai pusat pentadbiran, mahkamah rakyat, kubu pertahanan dan penjara.
1941-1945 Serangan Jepun ke atas Sarawak menyebabkan Kubu Alice ditutup.
1945-2013 Kubu Alice di biarkan tanpa sebarang pengurusan khusus dan semakin usang dimamah zaman.
2013 Proses pembinaan semula di bawah seliaan Jabatan Muzium Sarawak dimulakan. Kos pembinaan semula menelan belanja sebanyak RM5 juta.
2015 Kubu Alice dibuka semula kepada umum sebagai Muzium Warisan Sri Aman.

Mercu Tanda

[sunting | sunting sumber]

Tugu Burung Merpati merupakan salah satu daripada mercu tanda Simanggang. Ia dibina pada awal tahun 1990-an di mana struktur utamanya membentuk dua ekor burung merpati putih. Burung merpati yang sering dikaitkan dengan keamanan dijadikan simbol tugu tersebut sebagai peringatan peristiwa bersejarah Deklarasi Sri Aman[9]. Lokasi tugu tersebut yang terletak tidak jauh dari bulatan utama menuju pusat bandar merupakan tempat berlakunya peristiwa bersejarah itu diadakan.

Tokong Tze Yin Khor yang telah dibina pada kurun ke-19, merupakan tokong cina tertua di Simanggang. Kedudukannya terletak di tebing Sungai Batang Lupar, di jalan Sim Kim. Tokong ini amat unik kerana mempunyai bumbung berwarna hijau berbanding warna merah yang selalu digunakan dalam pembinaan tokong cina[10]. Lokasi pembinaan tokong ini adalah berdasarkan kawasan fengshui ketam hidup. Oleh itu, pemilihan warna hijau untuk bumbung tokong adalah dipercayai mengelakkan ketam "dimasak" lalu mati.

Gereja Katolik Mount Hosanna atau bahasa Inggerisnya Mount Hosanna Catholic Church mempunyai gaya seni bina yang sangat menarik dan unik. Bangunan gereja ini melambangkan tiga lilin putih yang besar. Terdapat 100 anak tangga tang dinamakan Tangga Jacob (Jacob's Ladder) untuk menuju ke gereja yang terletak di puncak bukit. Gereja ini terletak di KM157 Jalan Kuching-Sri Aman. Pembinaan gereja unik ini diusahakan oleh Father Richard Khoo[11], iaitu salah seorang daripada pemimpin agama Kristian Roman Katolik yang tersohor di Sarawak. Gereja ini dibina suatu waktu dahulu atas jerit perih dan sumbangan penganut agama Kristian di Sri Aman pada masa itu. Gereja ini terkenal di kalangan penduduk Kristian kerana setiap hari Ahad akan diadakan upacara Healing bermula jam 10.00 pagi.[12]

Tarikan Lain

[sunting | sunting sumber]

Taman Panorama Benak merupakan kawasan strategik bagi menyaksikan fenomena benak di sungai Batang Lupar. Taman ini terletak bertentangan dengan Pejabat Residen Sri Aman.

Wong Tapang Rumput Gua merupakan sebuah kawasan rekreasi yang sesuai untuk aktiviti seperti berkelah. Lokasinya terletak di Jalan Sri Aman-Kuching dan 1.5km dari Kampung Gua. Kawasan ini diusulkan oleh Tuai Rumah Milu pada tahun 1998, dan diberi peruntukan oleh Majlis Daerah Sri Aman. Mata air jernih di sini mengalir dari Banjaran Kelingkang yang merupakan banjaran terpanjang di Borneo dan juga merupakan sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia.

  1. ^ Jabatan Perangkaan Malaysia, 2022
  2. ^ http://espace.library.uq.edu.au/view/UQ:185349 | Proceedings of the International Workshop on Environmental Hydraulics IWEH09, Theoretical, Experimental and Computational Solutions, Valencia, Spain, 29-30 Oct., P.A. LOPEZ-JIMENEZ, V.S. FUERTES-MIQUEL, P.L. IGLESIAS-REY, G. LOPEZ-PATINO, F.J. MARTINEZ-SOLANO, and G. PALAU-SALVADOR Editors, Invited keynote lecture, 20 pages (CD-ROM).
  3. ^ https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/510796/sri-aman-jadi-simanggang-semula
  4. ^ "FORT JAMES, SKRANG, SARAWAK". Borneo Oracle. 5 Sep 2015. Dicapai pada 9 Sep 2016.
  5. ^ "SEJARAH & LATAR BELAKANG". Muzium Warisan Sri Aman. Dicapai pada 8 Sep 2016.
  6. ^ "KUBU ALICE – WARISAN SEJARAH YANG USANG DIMAMAH WAKTU". Borneo Oracle. 21 Mac 2013. Dicapai pada 8 Sep 2016.
  7. ^ "SRI AMAN". 14 Jul 2012. Dicapai pada 7 Sep 2016.
  8. ^ "Kubu Alice ke Muzium Warisan Sri Aman: Sebuah Perjalanan Sejarah Si Bandar Mati". Muzium Warisan Sri Aman. Dicapai pada 8 Sep 2016.
  9. ^ "The British Village Town, Simanggang". 1 Jun 2008. Dicapai pada 13 Sep 2016.
  10. ^ "Sri Aman Town". Sarawak Tourism. Dicapai pada 13 Sep 2016.
  11. ^ "MOUNT HOSANNA CHAPEL, SRI AMAN, SARAWAK". 6 Mac 2016. Dicapai pada 13 Sep 2016.
  12. ^ "Pelancongan". 27 Nov 2014. Dicapai pada 13 Sep 2016.



Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.