Nebula Belantik
Nebula Belantik (Inggeris: Orion Nebula, juga dikenali sebagai Messier 42, M42 atau NGC 1976) adalah nebula resap yang terletak di selatan Bintang Tiga Beradik di buruj Belantik, atau di tali pinggang Orion si pemburu dalam mitologi Yunani. Ia terletak sejauh 1,344 ± 20 tahun cahaya dari Bumi.[1] Saiznya pula dianggarkan 24 tahun cahaya.
Ia boleh dilihat dengan mata kasar pada malam gelap sebagai tompok cahaya malap berkabus. Ia adalah tempat terbentuknya bintang baru daripada gumpalan gas dan debu antaranajam yang terdapat di dalam nebula itu.
Sebagai nebula resap, ia adalah sebahagian daripada Kompleks Awan Molekul Belantik yang bersambung dengan nebula lain seperti Gelung Barnard, Nebula Kepala Kuda, M43, M78 dan Nebula Nyala (Flame Nebula).
Nebula Belantik mengandungi kelompok najam terbuka seperti Kertika di buruj Taurus, dipanggil Trapezium kerana terdiri daripada empat biji bintang yang membentuk trapezium. Bagaimanapun, dua daripadanya adalah bintang dedua (binary star), menjadikan jumlahnya enam biji. Usia kelompok najam ini masih muda, dianggarkan mencapai tidak sampai 300,000 tahun.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Hirota, Tomoya (2007). "Distance to Orion KL Measured with VERA". Publications of the Astronomical Society of Japan. 59 (5): 897–903. Dicapai pada 13 Mei 2009.