Xuan Zang
Lihat juga: Xuanzang (tokoh fiksyen)
Xuanzang (Bahasa Cina: 玄奘 ; pinyin: Xuán Zàng; Wade-Giles: Hsüan-tsang) merupakan seoarang biku Buddha China, pelajar, pelancong, dan penterjemah yang memberikan pengaruh terhadap interaksi antara China dan India pada zaman awal dinasti Tang.
Xuanzang lahir di Luoyang, Henan pada tahun 602 sebagai Chén Huī atau Chén Yī (陳 褘) dan meninggal dunia pada 5 Februari 664[1] di Yu Hua Gong (玉華宮). Dia terkenal mengenai perjalanan tujuh belas tahunnya ke India, di mana beliau berguru dengan beberapa guru besar, terutama di Nalanda. Semasa kembali ke China, beliau membawa 657 teks dalam bahasa Sanskrit. Dengan sokongan maharaja, beliau melakukan kerja-kerja pentermah teks tersebut di Chang'an (kini Xi'an), menarik ramai murid dan penyumbang dari seluruh Asia Timur. Ia dikenali disebabkan jasanya atas penerjemahan 1,330 skrip ke dalam Bahasa Mandarin.
Nama
[sunting | sunting sumber]Xuanzang juga dikenali dengan nama Táng-sānzàng (唐三藏) dalam Bahasa Mandarin; dalam Bahasa Hokkien sebagai Tông-sam-cōng; dalam Bahasa Kantonis sebagai Tong Sam Jong dan Bahasa Vietnam sebagai Đường Tam Tạng. Romanisasi lainnya yang agak jarang adalah Hhuen Kwan, Hiouen Thsang, Hiuen Tsiang, Hsien-tsang, Hsuan Chwang, Hsuan Tsiang, Hwen Thsang, Xuan Cang, Xuan Zang, Shuen Shang, Yuan Chang, Yuan Chwang, dan Yuen Chwang. Dalam Bahasa Jepun, beliau dikenali sebagai Genjō, atau Genjō-sanzō (Xuanzang-sanzang). Dalam Bahasa Vietnam, beliau dikenali sebagai Đường Tăng (Bhikkhu Buddha Tang), Đường Tam Tạng (Bhikkhu "Tiga koleksi Tang"), Huyền Trang (nama Vietnam untuk Xuanzang)
Sānzàng (三藏) adalah sebutan bahasa Mandarin untuk Tripitaka.
Kehidupan
[sunting | sunting sumber]Kehidupan Awal
[sunting | sunting sumber]Xuanzang, dengan nama Chen Hui semasa dilahirkan, lahir dalam sebuah keluarga yang berpegang tinggi terhadap pendidikan. Ia merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Nenek moyangnya adalah seorang pegawai, dan datuknya dilantik sebagai profesor di kolej kerajaan di ibu negara. Ayahnya merupakan seorang penganut Kong Hu Cu yang melepaskan semua jawatan untuk melepaskan diri daripada konflik politik di China pada masa itu. Menurut biografi tradisional, Xuanzang menunjukkan kebijaksanaan yang kuat. Bersama dengan saudaranya, beliau menerima pendidikan daripada ayahnya, yang memberikan pelajaran tentang sumber-sumber klasik dan beberapa ajaran Kong Hu Cu.
Walaupun keluarganya beragama Kong Hu Cu, semasa muda beliau menunjukkan minat untuk menjadi Bhikkhu. Setelah ayahnya meninggal dunia pada tahun 611, beliau hidup bersama dengan kakak sulungnya di Chensu (kini Chanjie) selama lima tahun di kuil Jingtu (淨土寺) di Luoyang. Dalam masa ini beliau mempelajari ajaran Buddha sama ada aliran Theravada ataupun Mahayana, dan kemudan lebih condong memilih Mahayana.
Pada tahun 618, dinasti Sui runtuh dan Xuanzang beserta dengan kakak sulungnya mengelak ke Chang'an, di mana dijadikan sebagai ibukota dinasti Tang, kemudian ke Chengdu, Sichuan. Di sinilah kedua-dua beradik menghabiskan waktu dua hingga tiga tahunnya melanjutkan pengajian di kuil Kong Hui.
Xuanzang menjadi seorang bhikkhu pada tahun 622 ketika berumur dua puluh tahun. Terdapat pelbagai percanggahan dan perbezaan dalam pelbagai sumber mengenai masa di mana Xuanzang memutuskan untuk melakukan perjalanan ke India. Ia kemudian meninggalkan kakak sulungnya dan kembali ke Chang'an untuk mempelajari bahasa asing dan melanjutkan pelajarannya. Ia menguasai bahasa Sanskrit pada tahun 626, dan kemungkinan juga mempelajari Bahasa Tokharia. Pada masa ini Xuanzang menjadi tertarik kepada bidang metafizik Yogacara.
Ziarah
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 629, dilaporkan bahawa Xuanzang bermimpi yang kemudian meyakinkannya untuk melakukan perjalanan ke India. Pada masa itu Dinasti Tang dan Turki Timur Göktürks sedang berperang; Maharaja Taizong melarang perjalanan ke luar negeri. Xuanzang meyakinkan beberapa penjaga pintu gerbang di Yumen dan berjaya keluar dari kerajaan melalui Liangzhou (Gansu), dan wilayah Qinghai. Ia kemudian melakukan perjalanan merentasi Gurun Gobi ke Kumul (Hami), mengikuti gunung Tian Shan ke arah Barat, dan sampai ke Turpan pada tahun 630. Di sinilah beliau bertemu dengan Raja Turpan, seorang penganut Buddha yang memberinya beberapa peralatan dan barang-barang berharga untuk membiayai perjalanannya.
Berjalan menuju ke barat, Xuanzang melarikan diri daripada perompak dan tiba ke Yanqi, kemudian pergi ke kuil Theravada di Kucha. Lebih jauh lagi, beliau merentasi Aksu sebelum berpusing ke arah barat laut untuk merentasi Tian Shan ke daerah yang sekarang dikenal sebagai Kyrgyzstan. Ia menuju ke Issyk Kul sebelum mengunjungi Tokmak di bahagian barat daya, dan bertemu dengan Khan Turki barat, yang pada masa itu baik dengan Maharaja Dinasti Tang. Setelah jamuan pesta, Xuanzang meneruskan perjalanannya ke arah barat kemudian barat daya ke Tashkent (Chach/Che-Shih), ibukota Uzebkistan kini. Dari sini, beliau menyeberangi padang pasir ke barat menuju Samarkand. Di Samarkand, dimana di bawah kekuasaan Kerajaan Parsi, beliau menjadikan raja tempatan di sana kagum dengan khutbah ajarannya. Terus ke arah selatan, Xuanzang menyeberangi Gunung Pamir. Lebih jauh lagi, beliau mencapai Amu Darya dan Termez, di mana dia mendapati sebuah komuniti dengan lebih daripada 1,000 bhikkhu.
Lebih jauh ke arah timur, beliau menziarahi Kunduz, di mana beliau menginap untuk beberapa waktu menyaksikan pengebumian Pangeran Tardu. Di sinilah beliau bertemu dengan Bhikkhu Dharmasimha, dan atas anjurannya beliau melakukan perjalanan ke arah barat menuju Balkh (Afganistan) untuk menyaksikan tapak dan peninggalan Buddha, terutama wihara Nava, atau Nawbahar, dimana beliau dikatakan sebagai institusi biarawan paling barat di dunia. Di sini Xuanzang juga mendapati lebih daripada 3,000 bhikkhu Theravada, termasuk Prajnakara, seorang bhikkhu yang pernah belajar bersama-sama dengan beliau. Ia mendapatkan teks penting Mahāvibhāṣa di sini, dan kemudian beliau menterjemahkannya ke dalam Bahasa Mandarin. Prajnakara kemudian menemani beliau ke arah selatan menuju Bamiyan, di mana Xuanzang bertemu dengan raja dan melihat sepuluh kuil Theravada, dengan tambahan dua patung raksasa Buddha Bamiyan. Romobongan kemudian melanjutkan perjalanan ke arah timur, melalui Shibar dan menuju ibukota Kapisi (sekitar 60 ilometer dari Kabul). Xuanzang kemudian meneruskan perjalanan ke Jalalabad dan Laghman, di mana dia telah tiba ke India pada tahun 630.
India
[sunting | sunting sumber]Xuanzang kemudian meninggalkan Jalalabad, yang hanya terdapat beberapa bhikkhu, namun dengan banyak stupa dan biara. Ia merentasi Hunza dan Khyber Pass ke arah timur, sehingga Peshawar. Agama Buddha di Peshawar mengalami kemunduran pada masa itu. Xuanzang mengunjungi beberapa stupa di sekitar Peshawar.
Xuanzang meninggalkan Peshawar dan bergerak ke timur laut ke Lembah Swat. Setibanya di Udyana, beliau menemui 1,400 lebih biara tua, yang dikatakan pernah menampung 18,000 bhikkhu. Xuanzang terus ke arah utara dan menuju ke Lembah Buner, sebelum kembali melalui Shabaz Gharni untuk menyeberangi Sungai Indus di Hund. Dari sana kemudian beliau menuju Taxila, sebuah kerajaan Buddha. Di sini beliau menemui 5,000 lebih bhikkhu di lebih 100 kuil. Di sini juga beliau menemui seorang bhikkhu berbakat dan menghabiskan masa selama dua tahun (631-633) untuk mempelajari Mahayana. Pada masa inilah, Xuanzang menulis catatan mengenai kejadian konsili keempat umat Buddha yang terjadi pada tahun 100 di bawah perintah Raja Kanishka dari Kushan.
Pada 633, Xuanzang meninggalkan Kashmir dan meneruskan perjalanan ke selatan menuju Chinabhukti.
Pada tahun 634, beliau menuju ke timur Jalandhara di bahagian timur Punjab, sebelum mendaki gunung ke kuil Theravada di Lembah Kulu dan kemudian berpusing ke arah selatan kembali ke Bairat kemudian ke Mathura. Terdapat sebanyak 2,000 bhikkhu di Mathura daripada dua aliran Agama Buddha walaupun dikuasai oleh Hindu. Xuanzang berjalan ke Srughna sebelum menyeberang ke timur menuju Matipura dan sehingga pada tahun 635. Dari sini, beliau menuju ke selatan Sankasya (Kapitha), kemudian meneruskan ke ibukota kerajaan India Harsha, Kanyakubja (Kanauji). Di sini, pada tahun 636, Xuanzang menemui 100 kuil dengan 10,000 bhikkhu, dan kagum dengan kebijakan raja yang mempromosikan Agama Buddha. Xuanzang menghabiskan masa di kota ini dengan mempelajari aliran Theravada, sebelum menuju ke timur Ayodhya (Saketa). Xuanzang kemudian berjalan ke selatan menuju Kausambi (Kosam).
Xuanzang kemudian kembali ke utara menuju Sravasti, berjalan melalu Terail di bahagian selatan Nepal, kemudian ke Kapilavastu, hentian terakhir beliau sebelum Lumbini, tempat lahir Siddharta Gautama. Setibanya di Lumbini, beliau mengunjungi tiang berhampiran pokok Ashoka di mana Buddha dikatakan lahir. Pilar ini dibangunkan oleh Raja Ashoka, dan kemudian ditemui kembali oleh A. Fuhrer tahun 1895.
Pada tahun 637, Xuanzang meninggalkan Lumbini ke Kusinagara, dimana tempat Sang Buddha meninggal dunia, sebelum menuju ke barat daya Sarnath di mana Sang Buddha pernah memberikan khutbah pertamanya. Berjalan ke timur, pertama melalui Varanasi, Xuanzang tiba ke Vaisali, Pataliputra (Patna) dan Bodh Gaya. Ia kemudian ditemani oleh bhikkhu tempatan menuju ke Nalanda, universiti kuno yang terkenal di India, di mana beliau menghabiskan masa dua tahun di sana. Xuanzang mempelajari bahasa Sanskrit dan Yogacara ketika berada di Nalanda.
Peninggalan
[sunting | sunting sumber]Xuanzang dikenali luas atas usahanya menterjemahkan teks Agama Buddha ke dalam Bahasa Mandarin. Ia juga mendirikan sekolah Agama Buddha Faxiang walaupun tidak bertahan lama, namun memberikan pengaruh yang besar. Selain itu, beliau juga diketahui mencatat kejadian-kejadian penting yang terjadi di kerajaan India utara, Harsha.
Pada tahun 646, atas permintaan maharaja, Xuanzang menghabiskan bukunya yang bertajuk Perjalanan ke Barat di Dinasti Tang (大唐西域記), yang menjadi sumber utama sejarah abad pertengahan Asia Tengah dan India. Buku ini pertama kali diterjemahkan ke dalam Bahasa Perancis oleh Stanislas Julien pada tahun 1857. Terdapat buku biografi mengenai Xuanzang yang ditulis oleh bhikkhu Huili (慧立). Kedua-dua buku tersebut pertama kali diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh Samuel Beal, pada tahun 1884 dan 1911.[2] [3]
Perjalanan Xuanzang melalui Jalur Sutra dan legenda yang muncul, menginspirasikan novel Perjalanan ke Barat, merupakan satu daripada mahakarya klasik kesusasteraan China. Tokoh Xuanzang di dalam novel merupakan kelahiran semula daripada seorang murid Sang Buddha, dan dilindungi oleh tiga murid sakti. Salah satunya adalah Sun Wukong, watak yang terkenal di kebudayaan China.
Pada zaman Dinasti Yuan, terdapat sebuah opera oleh Wu Changling (吳昌齡) yang menceritakan perjalanan Xuanzang mengambil kitab suci.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Sally Hovey Wriggins. Xuanzang: A Buddhist Pilgrim on the Silk Road. Westview Press, 1996. Revised and updated as The Silk Road Journey With Xuanzang. Westview Press, 2003. ISBN 0-8133-6599-6, pp. 7, 193
- ^ Beal, Samuel. 1884. Si-Yu-Ki: Buddhist Records of the Western World, by Hiuen Tsiang. 2 vols. Translated by Samuel Beal. London. 1884. Reprint: Delhi. Oriental Books Reprint Corporation. 1969.
- ^ Beal, Samuel. 1911. The Life of Hiuen-Tsiang. Translated from the Chinese of Shaman Hwui Li by Samuel Beal. London. 1911. Reprint Munshiram Manoharlal, New Delhi. 1973.
- Sally Hovey Wriggins. Xuanzang: A Buddhist Pilgrim on the Silk Road. Westview Press, 1996. Revised and updated as The Silk Road Journey With Xuanzang. Westview Press, 2003. ISBN 0-8133-6599-6.
- On Yuan Chwang’s Travels in India tr.Thomas Watters. Reprint. New Delhi, Munshiram Manoharlal, 1996 ISBN 81-215-0336-1.
- Stanislas Julien. 1857. Memoires sur les contrées occidentales. Paris.
Senarai Pustaka
[sunting | sunting sumber]- Beal, Samuel. 1884. Si-Yu-Ki: Buddhist Records of the Western World, by Hiuen Tsiang. 2 vols. Translated by Samuel Beal. London. 1884. Reprint: Delhi. Oriental Books Reprint Corporation. 1969.
- Beal, Samuel. 1911. The Life of Hiuen-Tsiang. Translated from the Chinese of Shaman (monk) Hwui Li by Samuel Beal. London. 1911. Reprint Munshiram Manoharlal, New Delhi. 1973.
- Bernstein, Richard. Ultimate Journey: Retracing the Path of an Ancient Buddhist Monk (Xuanzang) who crossed Asia in Search of Enlightenment. Alfred A. Knopf, New York, 2001. ISBN 0-375-40009-5
- Li, Rongxi (translator). 1995. A Biography of the Tripiṭaka Master of the Great Ci’en Monastery of the Great Tang Dynasty. Numata Center for Buddhist Translation and Research. Berkeley, California. ISBN 1-886439-00-1
- Li, Rongxi (translator). 1995. The Great Tang Dynasty Record of the Western Regions. Numata Center for Buddhist Translation and Research. Berkeley, California. ISBN 1-886439-02-8
- Saran, Mishi 2005. Chasing the Monk’s Shadow: A Journey in the Footsteps of Xuanzang. Penguin/Viking, New Delhi.
- Sun Shuyun. 2003. Ten Thousand Miles without a Cloud (retracing Xuanzang's journeys). Harper Perennial. ISBN 0-00-712974-2
- Wriggins, Sally Hovey. 2004. The Silk Road Journey with Xuanzang. Boulder, Colorado, WestviewPress. ISBN 0-8133-6599-6
- Waley, Arthur. The Real Tripitaka, and Other Pieces. London: G. Allen and Unwin, 1952.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- (Inggeris)Jilid 1 dari penerjemahan Samual Beal [1]
- (Inggeris)Keterangan terperinci mengenai kehidupan dan hasil kerja Xuanzang [2]
- (Inggeris)History of San Zang Sebuah naratif mengenai perjalanan Xuanzang ke India
- (Inggeris)Perjalanan Xuanzang Diarkibkan 2003-02-07 di Wayback Machine
- Bahasa Cina: {{{1}}}大慈恩寺三藏法师传 (全文) Diarkibkan 2005-02-13 di Wayback Machine Teks Bahasa Mandarin mengenai kehidupan Xuanzang, oleh Hwui Li (Hui Li) (沙门慧立)