Pergi ke kandungan

Sharifah Aini

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sharifah Aini

شريفة عيني
Sharifah Aini pada 2011.
Kelahiran
Sharifah Aini binti Syed Jaafar

(1953-07-02)2 Julai 1953
Meninggal dunia5 Julai 2014(2014-07-05) (umur 61)
Pusat Perubatan Pakar KPJ Damansara, Selangor, Malaysia
Sebab kematianFibrosis paru-paru
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur
Nama lain
  • Kak Pah
  • Kak Ani
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • pelakon
  • penulis lagu
  • pengacara
  • ahli perniagaan
  • dermawan
  • qariah
PasanganAli Bakar (k. 1981–1982)
Anak-anakAliff Omar Ali
Saudara
  • Syed Tahir Syed Jaafar (adik)
  • Sharifah Maimunah Syed Jaafar (adik)
Kerjaya muzik
Genre
  • Pop
  • balada
  • R&B
InstrumenVokal
Tahun aktif1968–2014
Syarikat rakaman
EMI Music Malaysia
Pengkarya berkait
Broery Marantika, Herman Tino, Sudirman, Too Phat

Datuk Hajah Sharifah Aini Syed Jaafar (2 Julai 1953 – 5 Julai 2014) merupakan seorang penyanyi wanita Malaysia. Beliau disifatkan sebagai antara penyanyi dan pemuzik Malaysia terbaik sepanjang zaman.[1]

Dilahirkan di Johor Bahru, Johor[a] dari keturunan kacukan Melayu-Arab, beliau yang lebih dikenali sebagai Kak Pah, mula menunjukkan minat terhadap bidang muzik pada usia awal. Beliau memulakan kerjaya muzik secara profesional apabila beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Bintang Adubakat RTS 1968 dengan mendendangkan lagu "Tiga Malam". Selepas memenangi pertandingan itu, beliau menandatangi kontrak bersama EMI Music Malaysia dan merakamkan album pertama, Seri Dewi Malam pada tahun 1969 pada usia 16 tahun. Sepanjang 40 tahun bersama EMI, beliau telah merakamkan dan melancarkan sebanyak lebih 100 album, menjadikan beliau antara satu-satunya penyanyi yang paling lama bertahan dengan satu syarikat rakaman, sekaligus menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records. Beliau turut berkecimpung dalam bidang lakonan dengan membintangi filem pertamanya, Hapuslah Air Matamu (1976) bersama Latif Ibrahim dan penyanyi Indonesia, Broery Marantika. Sharifah Aini meninggal dunia pada 5 Julai 2014, tiga hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-61, selepas sekian lama menghidap penyakit fibrosis paru-paru.

Dikenali dengan vokalnya yang merdu, bakat beliau banyak diasah oleh komposer, Ahmad Nawab, yang menerbitkan albumnya dari 1974 sehingga 1978. Selain mampu mempersembahkan pelbagai genre lagu, suara beliau serta-merta dapat dikenali setiap kali salah satu lagunya dimainkan di radio atau televisyen tempatan. Pada permulaan tahun 2000, beliau banyak membuat persembahan tertutup untuk menyara badan-badan amal. Pada tahun 2003, beliau dikurniakan anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Syed Sirajuddin Putra Jamalulail. Beliau telah menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat, iaitu pada tahun 2004 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Pada tahun 2006, beliau dikurniakan gelaran Biduanita Negara selepas Saloma atas sumbangannya kepada industri muzik.

Beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti amal dan kedermawanan kerana kejujuran dan keikhlasannya yang sentiasa membantu golongan yang kurang bernasib baik selain turut membuat 2,518 persembahan amal tanpa menerima sebarang bentuk bayaran. Selain itu, Sharifah Aini merupakan antara artis yang menerima bayaran royalti tertinggi bagi satu penjualan album dan juga ialah antara artis yang menerima bayaran tertinggi dan termahal bagi suatu undangan nyanyian.[b]

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada Jumaat, 2 Julai 1953 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor[a] dan dibesarkan di Kampung Majidee, Johor Bahru.[4] Beliau ialah anak kedua daripada tujuh beradik kepada pasangan Syed Jaafar Syed Sahil, seorang pemandu teksi dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas. Antara adik-beradkinya ialah Syed Tahir dan Sharifah Maimunah. Beliau pernah diserahkan di bawah jagaan sebuah keluarga Cina di Singapura, kemudian dibawa pulang ke Johor oleh datuk dan neneknya, Syed Sahil Syed Ali dan Tengku Wan Mariam Tengku Tahir selepas ibu bapanya bercerai.[5] Beliau bersekolah di sekolah agama bahasa Arab.[3][6] Nenek sebelah bapanya, Che Engku Maryam, ialah keturunan kerabat diraja Pahang dan datuknya berasal dari masyarakat Arab Al-Jufri di Johor. Datuk moyangnya di sebelah neneknya juga seorang pegawai yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Johor.[7]

Sharifah berkebolehan mengalunkan ayat suci al-Quran dah pernah menjuarai tilawah Al-Quran beberapa kali pada usia mudanya.[1][4][8] Selain aktif dalam bidang nyanyian di sekolah, beliau turut membantu neneknya menjual pelbagai jenis kuih hasil buatan neneknya sendiri di merata tempat di sekitar Johor.[4] Di usia belasan tahun pula, Sharifah mendapat pendidikan menengah Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau begitu popular sewaktu di zaman sekolahnya dahulu. Sharifah sering diundang menyanyi di majlis-majlis anjuran sekolah setiap kali majlis diadakan. Sharifah bukan sahaja sering diundang menyanyi di sekolahnya, malahan di sekolah-sekolah lain di Johor Bahru seperti Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Tun Aminah dan Sekolah Menengah Tun Fatimah juga turut mengundangnya menyanyi ketika mengadakan majlis tertentu di sekolah tersebut. Selain memenuhi undangan nyanyian di beberapa majils anjuran sekolah, Sharifah juga menjadi artis jemputan di majlis-majlis perkahwinan dan juga majlis perasmian.[6][9]

Selepas tamat tingkatan 5, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dengan membawa duit poketnya sebanyak RM75 dengan hasrat untuk menceburi bidang nyanyian.[10] Selain itu, Sharifah juga pernah bercita-cita untuk menceburi bidang kedoktoran.[4] Namun, beliau akhirnya memilih bidang muzik kerana merasakan itulah jalan terbaik baginya untuk meringankan beban datuknya untuk menyara hidup mereka yang ketika itu amat susah.[6][11]

1968–1969: Penglibatan awal

[sunting | sunting sumber]

Bakat Sharifah Aini dikesan oleh pemuzik, Taib Osman yang kemudian membawanya menyertai pertandingan nyanyian sekaligus menyertai pertandingan nyanyian Bintang Adu Bakat RTS anjuran Radio Televisyen Singapura (RTS; kini Mediacorp) di Singapura pada tahun 1968 dengan menyanyikan lagu berjudul "Tiga Malam" dan sekaligus dinobatkan sebagai juaranya.[12] Setahun kemudian, iaitu pada Disember 1969, beliau ialah antara 6 penyanyi yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan Johan 69. Selain Kak Pah, peserta lain yang mara ialah M. Ismail, Masni Salleh dan Zaleha Hamid.[13]

Pada Januari 1970, beliau berjaya memenangi tempat ketiga di pertandingan nyanyian Johan 69.[14] Selepas itu, beliau dilamar oleh syarikat rakaman EMI dan bersama-sama dengan Anita Sarawak, beliau berpeluang merakamkan suara dalam piring hitam dalam bentuk stereo.[15] Album pertamanya yang berjudul Seri Dewi Malam dikeluarkan pada Julai 1970 dan mendapat sambutan yang baik daripada peminat.[12] Album ini diterbitkan oleh komposer Kassim Masdor dengan lagu "Seri Dewi Malam" dan "Kini Hatiku Telah Tertawan" dikeluarkan sebagai single. Beliau kemudian merakamkan beberapa lagi album piring hitam termasuk Aku Dan Dia (1972), Inikah Manusia (1973), Jangan Putarkan Laguku (1974) dan Surat Dari Seberang (1977).

Pada 24 September 1971, beliau bersama-sama dengan 8 penyanyi lain termasuk Rafeah Buang, Sarena Hashim dan Sanisah Huri berkongsi satu pentas dalam konsert Malam Muzikarama anjuran EMI yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur.[16]

Pertengahan 1970-an menjadi tempoh yang paling sibuk bagi Kak Pah sebagai penyanyi dan meletakkan beliau sebagai 'bintang pujaan' kerana album-album beliau yang diterbitkan oleh Ahmad Nawab mendapat sambutan hebat. Antara album-album tersebut ialah Sharifah Aini (1976)[17] dan album triloginya, Inilah Laguku (1977) dan Inilah Laguku II (1978).

Kerjaya lakonan Kak Pah bermula apabila beliau ditawarkan membintangi filem Hapuslah Airmatamu arahan M. Amin lakonan bersama Latif Ibrahim dan penyanyi veteran Indonesia, Broery Marantika,[18][19] yang ditayangkan pada Julai 1976. Beliau turut menyanyikan lagu duet bersama Broery, yang bertajuk "Seiring dan Sejalan" telah menjadi siulan peminat di Malaysia dan Indonesia sekaligus melonjakkan namanya dalam industri muzik tanah air.[20]

Pada Mac 1977, bagi membalas jasanya kepada Ahmad Nawab yang telah banyak membantunya memgembangkan bakatnya dalam bidang muzik dengan melancarkan sebuah lagu bertajuk "Kau Sumber Ilham Seni Ku" yang merupakan hasil nukilan beliau sendiri.[21] Pada Julai tahun yang sama, beliau menandatangani kontrak selama setahun bersama Bahagian Pengurusan Artis, EMI yang mana semua urusannya diuruskan oleh EMI.[22]

Selepas puas merakamkan album berbahasa Melayu, Sharifah Aini merakamkan album bahasa Inggeris pertama, Forever and Ever dan diterbitkan dengan lebih input daripada EMI yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepadanya. Menerusi album ini, beliau bekerjasama dengan Reggie Verghese selaku penerbit album.[23] Ekoran dari kejayaan album Forever and Ever, Kak Pah muncul dengan album Inggeris keduanya, Woman In Love (1978) yang juga mendapat sambutan hangat dan telah mempopularkan kembali lagu rentak disko "One Way Ticket", lagu sentimental "Woman In Love" dan lagu tarian, "Let Me Teach You How To Dance".[24] Dari Februari sehingga April 1978, beliau menerima undangan mengadakan persembahan di Jepun, Hong Kong, Filipina, Australia, Thailand dan Jerman.[25] Pada Mac, beliau melanjutkan kontraknya bersama EMI bagi tempoh lima tahun, iaitu sehingga 1983,[26] dan pada 19 Mac, beliau muncul sebagai artis jemputan dalam rancangan Hegemeyer Special di Saluran 5 RTS dan sebagai artis utama dalam rancangan Dendang Sharifah Aini di TV2.[27] Pada September, beliau bersama komposer, S. Atan berkunjung ke Hong Kong dalam satu pertemuan khas bersama artis-artis piring hitam antarabangsa. Pada pertemuan tersebut, beliau dijadualkan akan menghiburkan para hadirin dengan mempersembahkan lagu-lagunya.[28] Bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir di majlis tersebut.[29]

Pada tahun 1979, beliau merakamkan album Melayu Asli yang bertajuk Lela Manja (1979), diterbitkan oleh tokoh muzik terkenal, mendiang Alfonso Soliano dan diringi oleh pemain biola solo terhebat, Hamzah Dolmat,[30] ini kemudian diikuti oleh siri ketiga album Inilah Laguku yang diterbitkan oleh S. Atan.[31][32][33]

Pada tahun 1980, Kak Pah meraikan 10 tahun bergelar artis rakaman di bawah EMI Music Malaysia. Bersempena dengan hari istimewanya itu, sebuah album kompilasi khas bertajuk Koleksi 10 Tahun Lagu-Lagu Pujaan Sharifah Aini telah dikeluarkan. Album ini menghimpunkan lagu-lagu popular beliau disamping 3 lagu baru termasuk sebuah puisi berlagu tulisan sasterawan A. Samad Said yang menceritakan kisah-duka, pahit-manis dan senyum-tangis Sharifah Aini sebagai anak seni.[34]

Selepas kejayaan dua album bahasa Inggeris terdahulu, Kak Pah merakamkan album Inggeris ketiga, Just For You di Singapura. Album ini mengandungi lagu-lagu popular tahun 1950-an dan 1960-an. Beliau turut merakamkan lagu Melayu klasik, "Rasa Sayang" dalam versi bahasa Inggeris.[35][36] Kak Pah menjadi salah seorang pelakon utama di samping Latif Ibrahim dan Mahmud Jun dalam filem Sumber Ilhamku arahan Aziz Jaafar dengan memegang watak sebagai Linda. Ditayangkan pada Ogos 1980, filem ini kembali menggandingkan beliau bersama Latif.[37]

Selepas berkahwin dengan Ali Bakar, Kak Pah muncul dengan album Harum Dalam Kenangan pada November 1981,[38] diikuti dengan dua album, Rahsia Hati pada 1982 dan Suara Kedamaian pada 1983.[39]

Pada April 1984, beliau menerima undangan khas daripada Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC; kini Mediacorp) sebagai salah seorang juri pertandingan pencarian bakat Bintang 84, dan pada masa yang sama, beliau membuat rakaman beberapa rancangan hiburan khas di TV dan Radio Dua SBC.[40][41][42]

Kak Pah mengumumkan pada November 1984 bahawa beliau mahu menerbitkan filem pertamanya di bawah syarikat miliknya. Tetapi, hasrat itu dilupakan.[43] Beliau juga mengumumkan akan menulis sebuah buku yang berupa sebuah memoir mengenai kisah hidupnya yang diambil daripada 30 dari peribadinya. Bagaimanapun, ia juga tidak direalisasikan.[44]

Pada Mei 1987, beliau melancarkan album studionya yang ke-37, Kasih yang mendapat sentuhan oleh penyanyi dan komposer, M. Nasir. Ditanya mengenai kerjasamanya dengan Nasir, Kak Pah berkata: "Saya mahukan perubahan. Saya sentiasa mahu bekerjasama dengan Nasir [...dan beliau...] benar-benar memiliki gaya tersendiri". Proses rakaman album ini dijalankan pada Disember 1986 dan siap sepenuhnya pada April 1987.[45]

Beliau bersama-sama dengan Noreen Noor, Ahmad Fauzee, Salih Yaacob dan Andre Goh telah dijemput untuk menghiburkan para hadirin di Festival Filem Malaysia ke-7 yang diadakan di Bandar Melaka pada Disember.[46]

Beliau kembali aktif dalam industri muzik dan membuat persiapan untuk merakamkan album terbaharu yang dijadualkan akan dikeluarkan pada Julai 1992.[47]

Beliau mengadakan persembahan di konsert Tribute to Sharifah Aini Bersama Orkestra Kuala Lumpur yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan iringan 55 pemuzik Orkestra DBKL selama 3 hari, pada 17 sehingga 19 November 1995.[48][49][50][51] Sebuah album persembahan secara langsung sempena konsert ini, Kemuncak Konsert Penghormatan 30 Tahun Sharifah Aini telah dikeluarkan pada 14 Disember dan mendapat sambutan di pasaran. Album ini diterbitkan sempena 30 tahun penglibatan beliau sebagai penyanyi telah mendapat anugerah platinum kerana jualannya melebihi 100,000 unit.[52][53]

Pada Januari 1997, beliau muncul dalam album kompilasi Raya bertajuk Ceria Aidilfitri yang mana beliau menyumbangkan suaranya dalam lagu "Suasana Hari Raya" ciptaan Akbar Nawab dan liriknya pula ditulis olehnya sendiri,[54] dan pada masa yang sama, beliau muncul dengan album Pilihan Klasik Aidilfitri yang memuatkan 10 lagu termasuk 3 lagu instrumental dan 1 lagu medley serta ucapan ringkas Raya oleh beliau. "Nostalgia Aidilfitri" dikeluarkan sebagai single Raya untuk album ini.[55]

Pada 30 Jun 1998, album Yayadan telah dikeluarkan.[56][57] Album ini mengandungi lagu-lagu yang sarat dengan mesej ketuhanan, kemanusian dan nasihat.[58][59][60] Album ini diterbitkan oleh empat penerbit iaitu S. Atan, Eddie Marzuki, Pak Ngah dan Ramli M. S. dan telah terjual melebihi 22 ribu unit dalam tempoh dua bulan.

Pada tahun 1999, bersempena dengan ulangtahun ke-30 beliau bersama syarikat rakaman EMI, dua album kompilasi istimewa telah dikeluarkan. Album kompilasi klasik Melayu yang berjudul Takkan Melayu Hilang Di Dunia telah berada di pasaran pada awal September. Dari 10 sehingga 18 September, beliau mengadakan persembahan di Restoran Berputar Seri Angkasa di Menara Kuala Lumpur.[61][62] Album popnya, Seri Dewi dikeluarkan pada Disember dengan majlis pelancarannya diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur.[63]

Autobiografi

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2005, beliau telah menerbit sebuah novel. Novel tersebut berjudul 55 Reason Why Sharifah Aini Was Not Lying. Ia mengisahkan tentang segala dugaan dan onak duri cabaran serta keperitan hidup beliau selama bergelar anak seni. Paling menarik, novel ini bukan sahaja dijual di Malaysia, ia juga dijual di beberapa negara di Asia seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Hong Kong, dan Jepun. Beberapa novel yang juga membabitkan beliau ialah seperti novel Biografi Tokoh Wanita Malaysia, The Malaysian Peak dan A tribute To A Woman In Malaysia.

Beliau meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi pada 5 Julai 2014, di Pusat Perubatan Pakar Damansara, dari komplikasi fibrosis paru paru (pulmonary fibrosis). Allahyarhamah berusia 61 tahun.[64][2] Allahyarhamah telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada 1 Julai 2014. Jenazah telah dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Doktor Ismail selepas solat Subuh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor.[65]

Pencapaian

[sunting | sunting sumber]

Setelah berusaha keras dalam memperjuangkan diri dalam bidang seni, usaha dan bakat yang dimiliki oleh beliau akhirnya diiktiraf oleh industri muzik tanah air. Sharifah telah menerima pelbagai anugerah yang telah membawanya hingga ke luar negara sekaligus meletakkan dirinya di tahap antarabangsa setanding dengan artis-artis popular di Asia. Antara anugerah yang pernah diterima oleh beliau ialah seperti Anugerah Penghibur Terbaik (Anugerah Sri Angkasa 1972-1977), Anugerah Penghibur Wanita Popular 1970-1976, 1979 (Persatuan Pencipta Lagu, Penyanyi Dan Penghibur Tanah Air), Anugerah Aktres Terbaik (Hapuslah Airmatamu-Festival Filem Asia Pasifik 1977), Anugerah Seri Wirama (Anugerah Industri Muzik 2000), Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman (Darjah Kebesaran Sultanah Kedah), Anugerah Emas Era (Anugerah Era 2002), Anugerah Khas Bintang Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003), Anugerah Tertinggi Biduanita Negara (Anugerah Kecapi 2006).

Biduanita Lagenda

[sunting | sunting sumber]

Datuk Sharifah Aini adalah satu-satunya artis Malaysia yang digelar Biduanita Negara selepas Allahyarhamah Puan Sri Saloma memegang gelaran tersebut. Ia adalah gelaran yang tertinggi dan gelaran seperti ini hanya diberikan kepada artis wanita yang begitu berjasa kepada rakyat, negara dan juga membawa nama hingga ke tahap antarabangsa. Ia adalah suatu penghormatan kepada Sharifah Aini setelah lama penghormatan ini diberikan kepada Saloma. Kini, selain gelaran Biduanita Negara seperti gelaran Biduanita Muda Negara, artis yang menyandang gelaran ini adalah Siti Nurhaliza. Gelaran tersebut pernah disandang oleh Datuk Sharifah Aini sewaktu di zaman kegemilangannya dahulu. Beliau telah menerima Anugerah Tertinggi Biduanita Negara di Anugerah Kecapi anjuran RTM. Penerimaan anugerah tersebut adalah sebagai tanda penghormatan kepada beliau yang telah lama memperjuangkan diri dalam bidang seni suara sekaligus telah mengharumkan nama negara hingga ke arena seni antarabangsa.

Kontroversi

[sunting | sunting sumber]

Pertelingkahan dengan ibu

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1978, telah berlakunya suatu pertelingkahan antara Sharifah dan ibunya akibat tulisan di sebuah tabloid. kes saman adalah antara Sharifah Aini dan Mingguan Tabloid tersebut bukanlah menyaman ibunya.

Perkahwinan di ambang perceraian

[sunting | sunting sumber]
Wedding of the Year 1981

Pada tahun 1981, telah berlakunya peristiwa yang bersejarah iaitu perkahwinan Sharifah Aini dengan suaminya, Ali Bakar. Namun, perkahwinannya hanya bertahan selama setahun selepas Sharifah melahirkan anaknya, Aliff. Perceraian itu berlaku setelah Sharifah Aini mendapati bahawa suaminya itu mempunyai seorang isteri sebelum menikahinya. Setelah beliau bercerai dengan suaminya, Sharifah telah mengahwini dengan seorang ahli korporat yang berpangkat Datuk di luar negara. Perkahwinan kali kedua yang dibina oleh Sharifah juga gagal bertahan. Sharifah telah bercerai dengan suami keduanya pada tahun 1992.

Datuk Sharifah Aini dipelawa untuk menjadi salah seorang mentor untuk rancangan realiti Mentor 5.

Diskografi

[sunting | sunting sumber]

Profil Vokal

[sunting | sunting sumber]

Vocal Type: Dramatic Mezzo-Soprano

Vocal Range: F2-B5 (3 octaves and a diminished fifth) (B2-E6)

Whistle Register: No

Kejayaan Karier

[sunting | sunting sumber]
  • Memenangi tempat pertama dalam pertandingan Bintang RTS 1968 dengan mendendangkan lagu 'Tiga Malam'.
  • Penghibur wanita pertama yang menerima anugerah di Festival Filem Asia Pasifik 1977 di Korea.
  • Sharifah adalah merupakan artis yang terkenal dan begitu diminati oleh semua peminat di rantau Asia. Ia sekaligus menjadikan diri beliau sebagai penghibur tersohor Asia.
  • Menjuarai pertandingan di Anugerah Lagu Asia Pasifik pada tahun 1975.
  • Merupakan artis Malaysia dan Asia pertama mengadakan persembahan di Victoria Concert Hall, Singapura.
  • Artis pertama paling lama bertahan dengan satu syarikat rakaman (EMI) di Malaysia.
  • Sharifah adalah artis Malaysia pertama digelar Superstar. Ia adalah berdasarkan kehebatan populariti beliau yang tiada tandingan serta mampu merentasi di beberapa buah negara di seluruh Asia.
  • Pernah mengadakan persembahan eksklusif dan konsert besar di beberapa negara seperti Jerman, United Kingdom, Belanda, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Hong Kong, Jepun, Brunei, Singapura dan Indonesia
  • Artis malaysia pertama paling banyak menghasilkan album di dalam dan luar negara.
  • Nama tercatat di dalam 'Malaysia Book Of Records' sebagai 'Artis Malaysia Pertama Paling Lama Bertahan Di Bawah Satu Syarikat Rakaman'.
  • Sharifah adalah salah seorang tokoh seni yang digelar sebagai Dermawan kerana kejujuran dan keikhlasannya yang sentiasa memberi pertolongan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Di sebalik keikhlasan dan kemulian hatinya, beliau juga turut digelar antara Usahawan paling berjaya sekaligus telah menjadi dirinya sebagai seorang Jutawan terkenal. Sharifah mempunyai aset hampir ratusan juta ringgit. Ia adalah hasil daripada kerja keras serta titik peluhnya sendiri selama hampir empat dekad beliau berkecimpung dalam bidang seni suara sekaligus telah meletakkan diri beliau setaraf dengan artis-artis antarabangsa. Namun begitu, beliau tetap merendah diri dan tidak pernah lupa asal-usulnya. Itulah keistimewaan Biduanita Negara dan Asia ini.
  • Sharifah merupakan satu-satunya artis yang masih dijadikan contoh ataupun dipanggil sebagai 'Role Model' oleh semua lapisan masyarakat.
  • Artis Malaysia yang mampu menyanyikan pelbagai rentak lagu seperti Ghazal, Deli, Pop, Evergreen, dan juga Rock serta Hip Hop dengan baik.
  • Sharifah pernah tersenarai dalam 'Lima Tangga Teratas Artis Paling Popular Asia' di sekitar era 70an dahulu.
  • Beliau pernah berbakti dengan membuat 2,518 persembahan amal tanpa bayaran. [66]

Filemografi

[sunting | sunting sumber]
Tahun Tajuk Watak Catatan
1976 Hapuslah Air Matamu Aini
1979 Sumber IIhamku Linda
1981 Bintang Pujaan Rina
2006 Diva Popular Dirinya sendiri Penampilan istimewa
2013 Penanggal Sharifah Aminah

Anugerah Malaysia

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b Biarpun terdapat sumber berbeza yang menyatakan beliau dilahirkan di Nee Soon (kini Yishun), Singapura,[2][3] kenyataan di akhbar Berita Minggu menyatakan beliau dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, begitu juga dengan yang lain.[4]
  2. ^ Selain Kak Pah, artis lain yang menerima bayaran tertinggi ialah Ziana Zain, Anita Sarawak, Sheila Majid, Fauziah Latiff, Ella, Erra Fazira, Ning Baizura dan Siti Nurhaliza.
  1. ^ a b Nur Kasih (18 Februari 2024). "Jom kenali Biduanita negara Allahyarhamah Datuk Hajjah Sharifah Aini punyai lebih 140 buah album". Nextstep Malaysia. Dicapai pada 11 Julai 2024.
  2. ^ a b Feride Hikmet Atak (6 Julai 2014). "Kematian Sharifah Aini Satu Kehilangan Besar". mStar Online. Dicapai pada 7 Julai 2014.
  3. ^ a b Aliza Shahand; Ben Tan (6 Julai 2014). "Nation pays tribute to Kak Pah" [Negara memberi penghormatan kepada Kak Pah] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 8 Julai 2014.
  4. ^ a b c d e Zul Husni Abdul Hamid (6 Julai 2014). "Perginya Biduanita Negara: Tiada Lagi Seri Dewi Malam". Berita Minggu. Dicapai pada 14 Julai 2014.
  5. ^ Mariam Mahadzir (Disember 2000). "Better Than Ever Sharifah Aini" [Sharifah Aini Lebih Baik Daripada Sebelumnya]. The Malaysian Women's Weekly (dalam bahasa Inggeris). Blu Inc Media. Dicapai pada 11 Julai 2019.
  6. ^ a b c "Farewell to our queen of songs" [Selamat jalan buat ratu lagu kita] (dalam bahasa Inggeris). The Sun Daily. 10 Julai 2014. Dicapai pada 9 Julai 2019.
  7. ^ Ben Tan (10 Julai 2014). "Humble beginnings of a singing legend" [Permulaan sederhana seorang penyanyi legenda] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 9 Julai 2019.
  8. ^ Azman Ahmad (25 Mei 1998). "Moving on to a new horizon" [Beralih ke ufuk baharu] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 16 Julai 2019.
  9. ^ "So, this is goodbye" [Jadi, inilah selamat tinggal] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 13 Julai 2014. Dicapai pada 9 Julai 2019.
  10. ^ Zurina Waji (19 Julai 1998). "Rahsia suara Kak Pah". Metro Ahad. Dicapai pada 21 Julai 2019.
  11. ^ Amirul Fikry (2 Ogos 2023). "Kisah Allahyarhamah Sharifah Aini-"Lupakan Hasrat Menjadi Doktor Kerana Ingin Membantu Pendapatan Atuk"". Murai.my. Dicapai pada 9 Julai 2024.
  12. ^ a b Azizah Ismail (Julai 1997). "Sharifah Aini penyanyi legenda". Mastika. Utusan Karya. Dicapai pada 13 Julai 2019.
  13. ^ "6 penyanyi ka-peringkat akhir peraduan 'Johan 69'". Berita Harian Singapura. 16 Disember 1969. m/s. 8. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  14. ^ "Sharifah Aini: 'Sama sa-kali saya tidak duga menang'". Berita Harian Singapura. 8 Januari 1970. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  15. ^ "Sharifah Aini dan Anita S. rakam suara dlm stereo". Berita Harian Singapura. 11 Jun 1970. m/s. 2. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  16. ^ "Penyanyi Malaysia, S'pora sertai malam Muzikarama". Berita Harian Singapura. 19 September 1971. m/s. 10. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  17. ^ Nuryati Duriat (3 Oktober 1976). "Sharifah Aini jaya bawa lagu2 lama yg dibarukan". Berita Harian Singapura. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  18. ^ Suriram (16 November 1975). "SUDUTPOP". Berita Harian Singapura. m/s. 7. Dicapai pada 14 Julai 2019.
  19. ^ Nuryati Duriat (22 Ogos 1976). "Sharifah Aini sedia utk lakunkan adegan seks?". Berita Harian. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  20. ^ "Lirik lagu dim album Hapusiah Airmata Mu dianggap bermutu". Berita Harian Singapura. 9 Mei 1976. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  21. ^ "Sharifah Aini balas jasa Ahmad Nawab dgn lagu terbaru". Berita Harian Singapura. 20 Mac 1977. m/s. 7. Dicapai pada 17 Julai 2019.
  22. ^ "AINI PUNYAI PENGURUS". Berita Harian Singapura. 10 Julai 1977. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  23. ^ "SYABAS, AINI!". Berita Harian Singapura. 8 Januari 1978. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  24. ^ "Sharifah Aini rakam rekod lagu2 Inggeris yg kedua". Berita Harian Singapura. 10 Mac 1978. m/s. 8. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  25. ^ "AINI MAKIN BERTUAH". Berita Harian Singapura. 22 Januari 1978. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  26. ^ "AINI ARTIS TERMEWAH". Berita Harian Singapura. 5 Mac 1978. m/s. 7. Dicapai pada 17 Julai 2019.
  27. ^ "AINI TAMBAH HADIAH". Berita Harian Singapura. 19 Mac 1978. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  28. ^ "ATAN – AINI DI HONGKONG". Berita Harian Singapura. 17 September 1978. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  29. ^ "RAMAI HAMPA KERANA AINI". Berita Harian Singapura. 1 Oktober 1978. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  30. ^ "Sharifah Aini tidak lupakan penerbit2". Berita Harian Singapura. 23 September 1984. m/s. 6. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  31. ^ "Aini mengaku curah rahsia peribadi". Berita Harian Singapura. 21 Julai 1979. m/s. 1. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  32. ^ Haron Abdul Majid (22 Julai 1979). "Sharifah Aini curahkan rasa dalam album baru". Berita Harian Singapura. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  33. ^ Taurus Sitara (15 Julai 1979). "Suami yang dirindukan Aini..." Berita Harian Singapura. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  34. ^ "Sharifah Aini menangis dalam sidang akhbar". Berita Harian Singapura. 16 Mac 1980. m/s. 7. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  35. ^ "Sharifah Aini rakam LP lagu2 Inggeris yang ketiga". Berita Harian Singapura. 8 April 1981. m/s. 3. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  36. ^ Michael Chiang (3 Jun 1981). "Sharifah loves a quiet life". New Nation. m/s. 18. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  37. ^ "Hanya artis2 kekuatan Sumber Ilhamku". Berita Harian Singapura. 10 Ogos 1980. m/s. 9. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  38. ^ Haron Abdul Majid (8 November 1981). "Kenapa Sharifah Aini tak tulis lirik lagi?". Berita Harian Singapura. m/s. 7. Dicapai pada 17 Julai 2019.
  39. ^ "Suara Sharifah Aini tambah merdu dlm 'Suara Kedamaian'". Berita Harian Singapura. 6 Februari 1983. m/s. 7. Dicapai pada 17 Julai 2019.
  40. ^ "Sharifah Aini artis yang paling sibuk". Berita Harian Singapura. 1 April 1984. m/s. 7. Dicapai pada 17 Julai 2019.
  41. ^ "Sharifah Aini jadi pengadil..." Berita Harian Singapura. 25 Mac 1984. m/s. 2. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  42. ^ "Sharifah Aini disahkan jadi pengadil". Berita Harian Singapura. 6 April 1984. m/s. 2. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  43. ^ "Sharifah Aini bercita2 untuk terbitkan filem". Berita Harian Singapura. 11 November 1984. m/s. 6. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  44. ^ "Sharifah Aini hendak tulis riwayat hidup". Berita Harian Singapura. 29 Disember 1985. m/s. 8. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  45. ^ "'Kasih' Sharifah Aini lain dari biasa". Berita Harian Singapura. 17 Mei 1987. m/s. 9. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  46. ^ "Sharifah Aini antara yang akan menghibur". Berita Harian Singapura. 6 Disember 1987. m/s. 8. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  47. ^ Suraya Al-Attas (7 Mei 1992). "Aini's perfect comeback" [Kemunculan semula sempurna Aini] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 15 Julai 2019.
  48. ^ Huzz (15 Oktober 1995). "Konsert istimewa Sharifah Aini buat peminat". URTV. Utusan Karya. Dicapai pada 16 Julai 2019.
  49. ^ "Rahsia hidup Sharifah Aini akan terus terpendam". Berita Harian Singapura. 17 Oktober 1995. m/s. 6. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  50. ^ "Sharifah Aini sibuk senam untuk konsert". Berita Harian. 12 November 1995. m/s. 11. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  51. ^ Ainul Zaharah (16 November 1995). "Sharifah Aini's concert tomorrow" [Konsert Sharifah Aini esok] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 21 Julai 2019.
  52. ^ Roslen Fadzil (9 Disember 1995). "Sharifah Aini tidak tipu". Harian Metro. Dicapai pada 21 Julai 2019.
  53. ^ Zainal Alam Kadir (14 Disember 1995). "Special album release of Sharifah Aini's concert" [Keluaran album khas konsert Sharifah Aini] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 21 Julai 2019.
  54. ^ "Sharifah Aini muncul dalam album Raya". Berita Harian Singapura. 20 Januari 1997. m/s. 6. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  55. ^ Rasiah Halil (30 Januari 1997). "Pilihan Klasik Aidilfitri Sharif ah Aini". Berita Harian Singapura. m/s. 6. Dicapai pada 18 Julai 2019.
  56. ^ "Sharifah Aini harapkan tuah Yayadan". Berita Minggu. 12 Julai 1998. Dicapai pada 21 Julai 2019.
  57. ^ Suraya Al-Attas (15 Julai 1998). "Spiritually Sharifah Aini" [Santapan rohani Sharifah Aini] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 21 Julai 2019.
  58. ^ Roslen Fadzil (23 Mei 1998). "Yayadan Sharifah Aini". Harian Metro. Dicapai pada 16 Julai 2019.
  59. ^ Zurina Waji (14 Jun 1998). "Santapan jiwa Sharifah Aini". Metro Ahad. Dicapai pada 21 Julai 2019.
  60. ^ Zainal Alam Kadir (6 Julai 1998). "Good news for Sharifah Aini fans" [Berita baik untuk peminat Sharifah Aini] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 21 Julai 2019.
  61. ^ Nor Asmah Zakaria (11 September 1999). "Perkahwinan saya pun tak kekal sebagaimana bertahannya saya bersama syarikat rakaman". Hai. Utusan Karya. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  62. ^ Wanda Idris (25 September 1999). "Cerita Sharifah Aini tentang tahi lalatnya yang dah hilang". Hai. Utusan Karya. Dicapai pada 19 Julai 2019.
  63. ^ Marina Abdul Ghani (11 Disember 1999). "Kak Pah still shines - after 30 years" [Kak Pah masih bersinar - selepas 30 tahun] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 20 Julai 2019.
  64. ^ Aini meninggal dunia Berita Harian 2014/07/05 -02:08:22 AM
  65. ^ Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini meninggal dunia. - Muzaffar Mustapa, Astro Awani, Kemas kini: Julai 05, 2014, (Diterbitkan pada: Julai 05, 2014 01:45 MYT)
  66. ^ BEKAS SUAMI SHARIFAH AINI TERSENTUH HATI, oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Bi Pop: Berita Minggu, 7 Januari 2007)
  67. ^ "2,319 to receive awards in conjunction with the King's birthday". The Star (dalam bahasa Inggeris). 7 Jun 2003. Dicapai pada 25 Januari 2021.
  68. ^ "SMJ for Sharifah Aini", New Straits Times, 8 April 1983.
  69. ^ "Sharifah Aini & Anugerah". carmahlms.com. Dicapai pada 25 Januari 2021.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]