Pergi ke kandungan

Musim luruh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pemandangan dedaun yang menguning dan berluruhan di musim luruh.

Musim luruh (Mal.,[1] Sin., Bru.) atau musim gugur[2] (Ind.[3] - bahasa Inggeris: autumn[2] di United Kingdom, fall di Amerika Syarikat) ialah salah satu daripada empat musim di daerah beriklim sederhana. Musim ini ialah musim peralihan daripada musim panas kepada musim sejuk.[4] Pada ketika ini kebanyakan tumbuhan dituai serta ada pokok-pokok jenis luruh (deciduous) menggugurkan daun-daunnya. Ia juga merupakan musim ketika mana siang hari mula bertambah pendek dan bercuaca dingin (terutama di latitud utara) serta meningkatnya kerpasan di beberapa bahagian dunia.

Secara astronomi, ia bermula dengan ekuinoks (sekitar 23 September di belahan Utara, dan 21 Mac di belahan Selatan, dan berakhir pada solstis musim dingin (sekitar 21 Disember) di belahan Utara dan 21 Jun di belahan Selatan). Namun, ahli meteorologi menghitung bulan-bulan Mac, April, dan Mei di belahan Selatan, dan September, Oktober, dan November di belahan Utara. Suatu pengecualian definisi ini ditemukan di Kalendar Ireland di mana mereka masih mengikuti putaran Celtic, di mana musim gugur dihitung dari bulan-bulan Ogos, September, dan Oktober. Meskipun hari-hari mula memendek di bulan Julai atau Ogos di latitud utara dan dalam bulan Januari dan Februari di selatan, biasanya pada September atau Mac matahari terbenam cepat dengan sangat jelas.

Di kebanyakan negara, tempoh persekolahan lazim dijadikan permulaan tahun sekolah kerana biasanya mulai pada awal September atau awal Mac tergantung dari latitud.

Peristilahan

[sunting | sunting sumber]

"Musim luruh" lazim dipakai baku Malaysia merangkumi penuturan di Malaysia, Singapura dan Brunei di mana "luruh" itu sendiri difahamkan sebagai keadaan yang gugur "kerana sudah masak" atau "sampai masanya" untuk buah-buahan dan daun,[5] kamus dwibahasa Melayu-Belanda Malaische-Nederlandsch Wordboek (1893) dihimpunkan H. C. Klinkert pula menakrifkan loeroeh itu sebagai "jatuh pada waktunya misalnya daun-daun, rambut, buah-buahan dan sebagainya".[6] "Musim gugur" pula dipakai baku Indonesia di mana "gugur" difahamkan tepatnya sebagai "lahir sebelum masanya" (maksud pertama) atau "jatuh sebelum masak" (maksud kedua) di Kamus Dewan,[7] begitu juga takrifan goegoer oleh Klinkert iaitu "jatuh sebelum waktunya".[6]

Meskipun "luruh" dianggap lebih bersesuaian untuk menerangkan keadaan musim yang dinamakan sebegini, "musim gugur" sudah melekat pada penuturan di Indonesia sehingga diterimapakai secara rasmi di sana.[3][8][6]

Keadaan alam

[sunting | sunting sumber]
Guguran daun luruh yang bertiupan.

Dedaun pokok bunga mula berubah warna menjadi kejinggaan, kekuningan dan kemerahan pada ketika ini kerana kandungan klorofil (pemberi warna hijau daun) yang semakin menurun seiring dan sepeka suhu sekitar sambil meninggalkan pigmen lain;[9][10][11] Warna jingga dan kuning pada daun-daun ini datangnya dari pigmen karotenoid yang dihasilkan sepanjang tahun manakala warna merah datangnya dari pigmen antosianin yang dihasilkan pada hujung musim panas.[10] Dedaun ini akan mengering lalu gugur dari ranting-ranting pokok.[4]

Hubungan dengan manusia

[sunting | sunting sumber]

Dalam pertanian

[sunting | sunting sumber]

Pada ketika inilah buahan, sayuran dan bijirin yang ditanam di kawasan beriklim sederhana paling ranum lebat hasilnya dan banyak masyarakat yang mengalami musim ini meraikan hasil tuaian mereka bahkan perayaan sebegini menjadi kemuncak dalam peredaran masa mereka terutamanya pada lewat musim seperti Hari Kesyukuran di Amerika Utara, Perayaan Kuih Bulan di Alam Cina, Chuseok di Korea serta Sukkot dalam kalangan orang Yahudi.

Dalam penanggalan hari

[sunting | sunting sumber]

Negara-negara di Hemisfera Utara memulakan penggal persekolahan baik di tingkat rendah dasar atau menengah tinggi selepas musim panas yang dijadikan tempoh percutian. Di Amerika Utara terutamanya, musim ini dijadikan tempoh bermulanya acara besar seperti perlawanan sukan bola sepak benua dan besbol besar-besaran, penyiaran rancangan televisyen baharu serta penayangan filem-filem seni tinggi berbajet kecil dalam acara seperti Oscars dan BAFTA.

Warna-warna musim gugur di Westonbirt Arboretum, Gloucestershire, England.
Pokok-pokok di musim luruh berwarna kilaun oren dilimpahi cahaya matahari

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ 'musim luruh'. Kamus Dewan (ed. keempat). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Dicapai pada 17 Mac 2020 – melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
  2. ^ a b "Istilah MABBIM: autumn". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
  3. ^ a b "musim gugur". Kamus Besar Bahasa Indonesia (ed. ke-3). Badan Pengembangan Bahasa dan Perbukuan Indonesia. 2016.
  4. ^ a b Mohd Faizal Aziz (Jun 2009). "Sains dan pergantian musim". Estidotmy. Utusan Malaysia. m/s. 14-15.
  5. ^ "'luruh' - Maklumat Kata". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Dicapai pada 17 Mac 2020.
  6. ^ a b c Holy Adib (14 Mac 2020). "'Musim Luruh' - Wisata Bahasa". Pikiran Rakyat. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  7. ^ 'gugur'. Kamus Dewan (ed. keempat). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Dicapai pada 17 Mac 2020 – melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
  8. ^ "'autumn' - Istilah MABBIM". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Dicapai pada 17 Mac 2020.
  9. ^ Redd, Nola Taylor (19 September 2015). "Autumn: The Cooling-Off Season". LiveScience.
  10. ^ a b Archetti, Marco; Döring, Thomas F.; Hagen, Snorre B.; Hughes, Nicole M.; Leather, Simon R.; Lee, David W.; Lev-Yadun, Simcha; Manetas, Yiannis; Ougham, Helen J. (2011). "Unravelling the evolution of autumn colours: an interdisciplinary approach". Trends in Ecology & Evolution. 24 (3): 166–73. doi:10.1016/j.tree.2008.10.006. PMID 19178979.
  11. ^ "8 interesting facts about autumn". MetOffice. Dicapai pada 16 November 2021.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]