Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya
Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya (kyūjitai: 大東亞共榮圈, shinjitai: 大東亜共栄圏 , Dai-tō-a Kyōeiken) ialah konsep yang dicipta dan disebar luaskan oleh pemerintah dan tentera Empayar Jepun awal zaman Shōwa yang mewakili keinginan untuk mendirikan "blok negara-negara Asia di bawah pimpinan Jepun dan bebas daripada kuasa negara-negara Barat".[1] Ia telah diumumkan dalam perutusan radio bertajuk "Keadaan Antarabangsa dan Kedudukan Jepun" oleh Menteri Luar Negeri, Hachirō Arita, pada 29 Jun 1940.[2]
Percubaan Jepun dengan imperialisme kewangan disebut "diplomasi yen" atau "blok yen" yang ditujukan kepada negara-negara jajahan Jepun yang rasmi mahupun separa rasmi. Sepanjang tempoh yang bermula dengan penaklukan Jepun ke atas Taiwan pada tahun 1895 dan tahun 1937 yang ditandai dengan meletusnya Perang Sino-Jepun Kedua, pakar kewangan di Tokyo memimpin dan menyelaras program pembaharuan kewangan di Taiwan, Korea, Manchuria, dan pulau-pulau dalam penguasaan Jepun di Pasifik. Pembaharuan kewangan tersebut bertujuan untuk membina jaringan hubungan ekonomi dan politik. Usaha-usaha tersebut terhenti setelah konsep Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya gagal sepenuhnya.[3]
Perdana Menteri Fumimaro Konoe mencanang konsep Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya dalam usaha mencipta kawasan Asia Timur Raya yang terdiri daripada Jepun, Manchuria, China, dan negara-negara di Asia Tenggara yang menurut Empayar Jepun merupakan aturan antarabangsa baru untuk mencipta "kesemakmuran bersama" bagi negara-negara Asia, dalam bentuk perdamaian dan kesejahteraan bersama yang bebas daripada penjajahan dan penguasaan Barat.[4] Antara tujuan pelebaran ketenteraan Jepun termasuk memencilkan Australia dan gerakan-gerakan angkatan laut di Lautan Hindi.[5]
Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya hanyalah salah satu konsep dan slogan yang diciptakan untuk membenarkan tindakan ganas Jepun di Asia Timur sejak tahun 1930-an hingga berakhirnya Perang Dunia II. Istilah Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya hingga kini diingati sebagai propaganda Empayar Jepun untuk menguasai negara-negara yang ditakluki ketika Perang Dunia Kedua.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Sepanjang Perang Dunia Kedua, sebahagian negara-negara yang diduduki Jepun diperintah oleh kerajaan boneka yang menzalimi penduduk dan ekonomi semata-mata untuk keuntungan Jepun, dengan menunjuk-nunjukkan Asia yang bersatu tanpa pengaruh negara-negara Eropah. Konsep ini dibuat oleh Tentera Darat Imperial Jepun berdasarkan buah fikiran Jeneral Hachiro Arita yang waktu itu menjawat jawatan Menteri Luar Negeri dan pakar strategi tentera darat.
Konsep Lingkungan Kesemakmuran Bersama secara rasminya diumumkan oleh Menteri Luar Negeri Matsuoka Yosuke dalam wawancara pers 1 Ogos 1940, namun konsep ini bertahun-tahun sebelumnya telah ada dalam berbagai bentuk. Pemimpin-pemimpin Jepun telah sejak lama tertarik dengan konsep yang dalam kenyataannya dapat memperluas kekuasaan Jepun berdasarkan model negara-negara eropah dengan iming-iming membebaskan Asia daripada imperialisme.
Sebelum mengusir kekuasaan imperialisme Barat dari negara-negara Asia, Empayar Jepun memakai slogan "Asia untuk Orang Asia" untuk mengambil hati penduduk setempat. Slogan tersebut merupakan pernyataan anti-penjajah Barat dan menonjolkan imej Jepun sebagai pembela negara-negara Timur.[6] Menurut slogan tersebut, negara-negara Asia hanya untuk orang-orang Asia, dan negara-negara Barat tidak ada yang berhak atas negara-negara Asia.
Menurut Perdana Menteri Shigenori Togo, apabila Kawasan Kemakmuran Bersama berjaya diwujudkan, Jepun akan tampil sebagai pemimpin Asia Timur dan Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya ialah nama lain untuk Empayar Jepun.[4] Dokumen rahasia berjudul An Investigation of Global Policy with the Yamato Race as Nucleus yang selesai disusun Pemerintah Jepun pada tahun 1943, secara terang-terangan menyatakan bangsa Jepun lebih unggul daripada bangsa-bangsa Asia lainnya, dan menyarankan agar Kawasan Kemakmuran Bersama dipakai untuk menyamarkan maksud sebenarnya Jepun mendominasi seluruh Asia.[7] Konsep Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya berakhir dengan sendirinya setelah penyerahan kalah Jepun kepada Pihak Bersekutu.
Persidangan Asia Timur Raya
[sunting | sunting sumber]Mesyuarat Asia Timur Raya (大東亜会議 , Dai Toa Kaigi) diadakan di Tokyo dari 5–6 November 1943. Jepun menjadi tuan rumah Persidangan yang sering disebut sebagai Persidangan Tokyo. Persidangan ini dihadiri Ketua negara dari Kawasan Persemakmuran Bersama Asia Timur Raya.
Persidangan ini hanya sedikit membahas masalah penting, dan lebih sebagai propaganda untuk menunjukkan komitmen Empayar Jepun terhadap gagasan Asia Raya dan menekankan peranan Jepun sebagai "pembebas" bangsa-bangsa Asia daripada kolonialisme Barat.
Pemimpin negara yang hadir:
- Perdana Menteri Jepun Hideki Tojo,
- Perdana Menteri Manchukuo Zhang Jinghui
- Presiden Pemerintah Reformasi Republik Cina Wang Jingwei
- Ketua Negara Burma Ba Maw
- Pemimpin negara Pemerintahan Sementara India Merdeka (Arzi Hukumat-e-Azad Hind) Subhas Chandra Bose
- Presideaan Republik Filipina Kedua José P. Laurel
- Pangeran Wan Waithayakon, utusan Kerajaan Thailand.
Persidangan Tokyo menghasilkan Deklarasi Bersama untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan politik melawan kekuatan negara-negara Bersekutu.[8]
Kegagalan Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya
[sunting | sunting sumber]Walaupun Jepun berjaya mengobarkan semangat anti-Barat di Asia, Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya tidak pernah wujud menjadi Asia yang bersatu. Dr. Ba Maw, Presiden Burma di bawah pemerintahan Jepun menyatakan bahawa penyebab kegagalan tersebut ialah ketenteraan Jepun:
- Pemimpin tentera Jepun hanya melihat segala sesuatu dari sudut pandang Jepun dan lebih buruk lagi, mereka memaksa pihak-pihak lain untuk melakukan hal yang sama. Bagi mereka hanya ada satu cara untuk melakukan sesuatu, iaitu cara Jepun; hanya ada satu tujuan dan kepentingan, iaitu kepentingan Jepun; hanya ada satu masa depan untuk negara-negara Asia Timur, untuk menjadi seperti Manchuria atau Korea yang terikat selama-lamanya dengan Jepun. Pemaksaan etnik seperti ini...menyebabkan rasa saling persefahaman yang sebenarnya antara tentera Jepun dan orang-orang di wilayah kami hampir-hampir mustahil.[9]
Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya ternyata tidak dimaksudkan untuk kemajuan negara-negara Asia Timur, melainkan untuk kepentingan Jepun, dan akhirnya gagal mendapat sokongan negara-negara Asia Timur. Namun dikalangan nasional di negara-negara Asia Timur dalam beberapa aspek mahu bekerjasama dengan Jepun. Namun Willard Elsbree, profesor emeritus ilmu politik di Universiti Ohio menyatakan bahawa antara Pemerintah Jepun dan para pemimpin nasionalis tidak pernah membentuk "kesatuan kepentingan yang sebenarnya antara kedua belah pihak, [dan] tiada penduduk negara-negara Asia yang rasa putus asa secara berlebihan setelah Jepun tewas."[10]
Kegagalan Jepun dalam memahami tujuan dan kepentingan negara-negara dalam Lingkungan Kesemakmuran Bersama menyebabkan hubungan Jepun dengan negara-negara lain di Asia hanya berlangsung secara teori dan bukan dalam semangat yang sebenar. Dr. Ba Maw menyatakan nasib Jepun sangat berbeza, apabila Jepun dapat bertindak selari dengan konsep sokonganya bagi "Asia untuk orang Asia". Beliau menambah apabila Jepun menggunakan slogan tersebut dan menjalankan dasar yang sesuai dengan slogan tersebut
- "Kekalahan secara ketenteraan tidak akan merampas kepercayaan dan rasa terima kasih daripada sesetengah rakyat Asia atau bahkan lebih, dan hal tersebut akan sangat bermakna dalam memberikan sebuah tempat yang baru, agung, dan abadi bagi Jepun di dunia pasca perang, ketika Asia akan berada di bawah pengaruh Jepun."[11]
Parti politik dan gerakan disokong Jepun
[sunting | sunting sumber]- Azad Hind
- Liga Kemerdekaan India (gerakan nasionalis India)
- Parti Nasionalis Indonesia
- Khmer Issarak (kelompok nasionalis Kemboja-Khmer)
- Dobama Asiayone (gerakan nasionalis Burma anti-Inggeris)
- Republik Filipina Kedua
- Kesatuan Melayu Muda
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Catatan kaki
[sunting | sunting sumber]- ^ Gordon, William. "Greater East Asia Co-Prosperity Sphere." Diarkibkan 2009-11-24 di Wayback Machine Mac 2000.
- ^ William Theodore De Bary (2008), Sources of East Asian Tradition: The modern period, p. 622, ISBN 0-231-14323-0
- ^ Vande Walle, Willy et al. The 'money doctors' from Japan: finance, imperialism, and the building of the Yen Bloc, 1894-1937 (abstract). FRIS/Katholieke Universiteit Leuven, 2007-2010.
- ^ a b Iriye, Akira. (1999). Pearl Harbor and the coming of the Pacific War :a Brief History with Documents and Essays, p. 6.
- ^ Ugaki, Matome. (1991). Fading Victory: The Diary of Ugaki Matome, 1941-1945, p. __.
- ^ Lee Sin Lian; Aleeya Atiqah Ammar. Sejarah. Pelangi Publishing Group Bhd. m/s. 280. ISBN 9-8300-3216-7.
- ^ Dower, John W. (1986). War Without Mercy: Race and Power in the Pacific War, pp. 262-290.
- ^ World War II Database (WW2DB): "Greater East Asia Conference."
- ^ Lebra, Joyce C. (1975). Japan's Greater East Asia Co-Prosperity Sphere in World War II: Selected Readings and Documents, p. 157.
- ^ Lebra, p. 160.
- ^ Lebra, p. 158.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Dower, John W. (1986). War Without Mercy: Race and Power in the Pacific War. New York: Pantheon Books. 10-ISBN 0-394-50030-X; 13-ISBN 978-0-394-50030-0; OCLC 13064585
- Iriye, Akira. (1999). Pearl Harbor and the coming of the Pacific War :a Brief History with Documents and Essays. Boston : St. Martin's Press. 10-ISBN 0-312-21818-4; 13-ISBN 978-0-312-21818-8; OCLC 40985780
- Lebra, Joyce C. (1975). Japan's Greater East Asia Co-Prosperity Sphere in World War II: Selected Readings and Documents. Oxford: Oxford University Press. 10-ISBN 0-19-638265-3; 13-ISBN 978-0-19-638265-4; OCLC 1551953
- Ugaki, Matome. (1991). Fading Victory: The Diary of Ugaki Matome, 1941-1945. Pittsburgh: University of Pittsburgh Press. 10-ISBN 0-8229-3665-8; 13-ISBN 978-0-8229-3665-7
- Myers, Ramon Hawley and Mark R. Peattie. (1984) The Japanese Colonial Empire, 1895-1945. Princeton: Princeton University Press. 10-ISBN 0-691-10222-8; 13-ISBN 978-0-691-10222-1
- Peattie, Mark R. (1988). "The Japanese Colonial Empire, 1895-1945," in The Cambridge History of Japan: the Twentieth Century (editor, Peter Duus). Cambridge: Cambridge University Press. 10-ISBN 0-521-22357-1; 13-ISBN 978-0-521-22357-7
- Vande Walle, Willy et al. The 'money doctors' from Japan: finance, imperialism, and the building of the Yen Bloc, 1894-1937 (abstract). FRIS/Katholieke Universiteit Leuven, 2007-2010.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- (Inggeris) Kawasan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya Diarkibkan 2009-11-24 di Wayback Machine, makalah
- (Inggeris) Foreign Office Files for Japan and the Far East
- (Inggeris) WW2DB: Mesyuarat Asia Timur Raya