0% found this document useful (0 votes)
196 views8 pages

Dialektika Tokoh-Tokoh Falsafah Barat Zaman Revolusi Sains Mengenai Sains Dan Nilai

Uploaded by

ashiqeen
Copyright
© © All Rights Reserved
We take content rights seriously. If you suspect this is your content, claim it here.
Available Formats
Download as PDF, TXT or read online on Scribd
0% found this document useful (0 votes)
196 views8 pages

Dialektika Tokoh-Tokoh Falsafah Barat Zaman Revolusi Sains Mengenai Sains Dan Nilai

Uploaded by

ashiqeen
Copyright
© © All Rights Reserved
We take content rights seriously. If you suspect this is your content, claim it here.
Available Formats
Download as PDF, TXT or read online on Scribd
You are on page 1/ 8

UMRAN International Journal of Islamic and Civilizational Studies Full Paper

Dialektika Tokoh-Tokoh Falsafah Barat Zaman Revolusi Sains


Mengenai Sains dan Nilai
Mohd Syahmir Alias*
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang.
*Corresponding author: [email protected]
Article history
Received: 2016-01-15 Received in revised form: 2016-02-22 Accepted: 2016-04-17

Abstract

Scientific Revolution which happened in Europe beginning from 17th to 18th century show the philosophers of
science such as Francis Bacon and Immanuel Kant appeared with their ideas to strengthen the scientific
methodology. Among the issues being debated is relevance of values towards science. However, different
perspectives from these philosophers lead to the dialectic between science and values. This raises a question mark
about their arguments and conclusions regarding the issue between science and values. Therefore, this paper aims to
identify the outstanding philosophers of science whose involved in such debate from 17th to 18th century AD with
their arguments. Next, the paper aims to analyze the relationship among these philosophers and their conception of
science and values. Based on the content analysis method used, there are three important findings. First, Francis
Bacon, the founder of Western scientific methods reject the practice of confounding superstitions and human
biasness in scientific research. Second, there is a clear continuity between the thought of René Descartes, David
Hume and Immanuel Kant’s dualism of science, but with different perspectives, i.e. mind-body dualism, fact-value
dualism, phenomena-noumena dualism respectively. Third, the arguments of these philosophers of science,
especially Kant implied in the concept of value-free scientific research for the following centuries.

Keywords: Value-free, Francis Bacon, René Descartes, Immanuel Kant, Scientific Methodology

Abstrak

Revolusi Sains yang berlaku di Eropah pada abad ke-17 hingga abad ke-18 Masihi menyaksikan tokoh-tokoh
falsafah sains seperti Francis Bacon dan Immanuel Kant tampil bersama idea-idea mereka untuk memantapkan
metodologi saintifik. Antara perkara yang dibahaskan ialah perkaitan sains dengan nilai. Walau bagaimanapun,
perbezaan pandangan tokoh-tokoh ini membawa kepada dialektika tentang sains dan nilai. Hal ini menimbulkan
tanda tanya mengenai hujah-hujah mereka dan kesimpulan yang dibuat berkenaan sains dengan nilai. Justeru,
makalah ini ditulis dengan dua tujuan utama. Pertama, mengenal pasti konteks perbahasan sains dan nilai oleh tokoh-
tokoh falsafah sains abad ke-17 hingga abad ke-18 yang terlibat. Kedua, menganalisis perkaitan antara pemikiran
tokoh-tokoh tersebut berkenaan konsepsi mereka tentang hubungan sains dan nilai. Berdasarkan kaedah analisis
kandungan yang digunakan, makalah ini mendapati tiga dapatan penting. Pertama, Francis Bacon selaku pengasas
kaedah saintifik Barat menolak amalan campur aduk perkara khurafat dan berat sebelah dalam penyelidikan sains.
Kedua, terdapat kesinambungan yang jelas di antara pemikiran René Descartes, David Hume, dan Immanuel Kant
mengenai dualisme ilmu, namun dari perspektif yang berbeza. René Descartes memfokuskan dualisme akal-jasad,
David Hume pula pada dualisme fakta-nilai, manakala Immanuel Kant menumpukan dualisme sains-agama. Ketiga,
hujah-hujah kesemua tokoh falsafah sains tersebut, khususnya Kant memberi natijah kepada konsep bebas nilai
dalam penyelidikan saintifik bagi abad-abad berikutnya.

Kata kunci: Bebas Nilai, Francis Bacon, René Descartes, Immanuel Kant, Metodologi Saintifik

© 2014 Penerbit UTM Press. All rights reserved


| 03 (2016) pp. 01-08 | www.http://jurnalumran.utm.my/index.php/umran |
Mohd Syahmir Alias / UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies. vol. 3, no. 3 (2016) 01–08

1.0 PENGENALAN
Makalah ini mempunyai dua tujuan utama. Pertama, mengenal pasti tokoh-tokoh falsafah sains abad
ke-17 hingga abad ke-18 yang terlibat dengan perbahasan sains dan nilai. Kedua, menganalisis
perkaitan antara pemikiran tokoh-tokoh tersebut berkenaan konsepsi mereka tentang hubungan sains
dan nilai. Menurut Okasha (2002), Revolusi Sains berlangsung di Eropah sekitar tahun 1500 hingga
1750 Masihi. Pada ketika ini, pembangunan sains berlaku dengan rancaknya. Seiringan dengan itu,
proses pemisahan ilmu pengetahuan daripada nilai-nilai agama Kristian turut bermula (Abdul
Rahman Abdullah, 2010). Kesannya, penyelidikan di Barat mula disesuaikan dengan keadaan neutral
nilai atau dikenali sebagai konsep bebas nilai.
Secara dasarnya, konsep bebas nilai mempunyai makna yang berbeza-beza bergantung kepada
konteks dan tujuan tokoh-tokoh yang terlibat (Proctor 1991). Hal ini kerana, pemikiran tokoh-tokoh
falsafah Barat banyak memberi impak kepada pengertian sebenar penyelidikan saintifik masa kini
dan perlu diteliti dengan kritis (Ahmad Murad Merican 2009). Oleh itu, makalah ini dibahagikan
kepada dua bahagian. Bahagian pertama merupakan perincian konsepsi tokoh-tokoh yang terlibat
dengan dialektika hubungan nilai dengan sains. Manakala, bahagian kedua merupakan
penganalisisan konsep bebas nilai berasaskan dialektika ahli-ahli falsafah tersebut.

2.0 DIALEKTIKA TOKOH-TOKOH FALSAFAH BARAT TENTANG


SAINS DAN NILAI
Terdapat beberapa tokoh penting yang membahaskan mengenai sains dan nilai. Menurut Lacey
(1999) dan Proctor (1991), tokoh falsafah Barat yang mula-mula membincangkan persoalan nilai dan
hubungannya dengan penyelidikan saintifik ialah Francis Bacon (1561-1626). Mulaik (2004) dan
Sorell (2015) pula menjelaskan cendekiawan terawal yang terbabit dalam wacana ini ialah René
Descartes (1596-1650). Wacana ini kemudiannya diteruskan oleh David Hume (1711-1776) dan
Immanuel Kant (1724-1804) (Mulaik 2004; Scruton 2001). Oleh itu, konsepsi tentang sains dan nilai
keempat-empat tokoh ini diperincikan dalam empat subtopik berikut.
2.1 FRANCIS BACON
Menurut McErlean (2000), sains yang diketahui pada hari ini sangat terhutang budi dengan seorang
tokoh falsafah sains British bernama Francis Bacon. Oleh yang demikian, Bacon sering disebut
sebagai pengasas kaedah saintifik (Klein 2012; Bajaj 1988). Hal ini kerana beliau mengemukakan
idea yang meletakkan kepentingan prosedur induktif berbanding penghujahan deduktif dalam
mendapatkan ilmu dan mencapai kebenaran (Howell 2013).
Dari konteks kurun pertengahan, sains pada masa tersebut dikenali sebagai falsafah tabii
(philosophiae naturalis) oleh para ahli falsafah Eropah. Hal ini kerana, falsafah tabii terikat dengan
persoalan-persoalan epistemologi seperti yang dibincangkan dalam sains pada masa kini (Mat Rofa
Ismail 2006). Menurut Proctor (1991), Bacon sangat berpegang kepada prinsip “kebenaran sains
adalah untuk sains itu sendiri”. Oleh itu, bagi Bacon (1902), penyingkapan pengetahuan tentang alam
tabii tidak seharusnya dicampuradukkan atau diterbitkan daripada pengetahuan yang berkait dengan
kepercayaan. Beliau menyatakan:
“Keruntuhan falsafah melalui percampurannya dengan tahyul dan teologi adalah sangat meluas
dan menjadi sangat parah kepada kedua-duanya, baik secara keseluruhan atau bahagian-
bahagian tertentu.” (Bacon 1902:37)
Walaupun Bacon dilihat menolak hubungan sains dengan kepercayaan agama, namun beliau
turut berpandangan bahawa sains berfungsi untuk meraikan keagungan Tuhan dan menambah
keselesaan kepada manusia (Proctor 1991). Jelasnya, pencampuran sains dengan unsur tahyul dan
Page | 2
Mohd Syahmir Alias / UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies. vol. 3, no. 3 (2016) 01–08

keagamaan boleh mengakibatkan kebenaran yang ingin diperoleh dipengaruhi oleh perkara-perkara
khayalan. Malah penyelidikan alam tabii yang bercampur aduk ini juga akan menggalakkan
penyelidik bersifat berat sebelah atau bias yang berpunca daripada beberapa fahaman sains yang
palsu. Dalam hal ini Bacon menegaskan:
“Secara umumnya, manusia memahami asas falsafah (sains) mereka sama ada melebih-lebihkan
perkara yang kecil atau mengambil mudah perkara yang besar; dalam kedua-dua kes ini, falsafah
mereka diasaskan pada pengujian dan sejarah tabii yang sempit serta kesimpulan atas landasan
yang tidak mencukupi... Oleh itu, terdapat tiga punca kesalahan dan tiga jenis sains yang palsu
iaitu sofistik, empirik, dan tahyul.” (Bacon 1902:35)
Bagi memperincikan lagi permasalahan berat sebelah yang diperoleh daripada kepalsuan tiga
jenis sains tersebut, Bacon mengemukakan empat punca berat sebelah yang kebiasaannya wujud
pada manusia (Weathington, Cunningham & Pittenger 2010). Pertama, berat sebelah yang berpunca
daripada arca suku (Idols of the Tribe) iaitu pemikiran yang bergantung kepada intuisi dan
pemahaman setempat (common sense). Kedua, berpunca daripada arca gua (Idols of the Den) iaitu
pemikiran berasaskan latar belakang kebudayaan individu. Ketiga, bersumberkan arca pasar (Idols of
the Market) iaitu kesalahan yang timbul daripada penggunaan istilah dan nama. Keempat,
bersumberkan arca panggung (Idols of the Theatre) atau implikasi kesilapan daripada didikan dan
pembelajaran. Demikianlah antara perkara-perkara penting yang dibangkitkan oleh Bacon mengenai
keterkaitan nilai dengan sains.
2.2 RENÉ DESCARTES
Menurut McNeill dan Chapman (2005), abad ke-18 dan ke-19 menyaksikan penggantian daripada
ilmu keagamaan kepada ilmu sains sebagai sumber ilmu utama dalam kalangan masyarakat Barat.
Hal ini kerana sains dilihat lebih bersifat objektif dalam memberikan kebenaran. Berdasarkan
penelitian Mulaik (2004), perbahasan konsep objektiviti di Eropah berlaku dalam kalangan ahli
falsafah dan ahli mantik yang diwakili antaranya oleh Descartes dari Perancis, Hume dari British dan
Kant dari Jerman.
Malah, wacana tersebut menjadi asas kepada pemahaman sains moden pada masa kini.
Perbahasan berkenaan objektiviti bermula dengan tokoh rasionalisme iaitu Descartes yang
berpendapat bahawa ilmu berkenaan objek (knowledge of objects) dapat disingkap melalui kaedah
analisis dan sintesis (Wilson 2008). Beliau menyarankan bahawa penyelidikan perlu bermula dengan
keraguan terhadap sesuatu objek kerana objek cenderung menjadi ilusi kepada pancaindera (Hartfield
2008). Descartes menyatakan:

“... dan sebagaimana saya telah memerhati kebenaran pernyataan ini (iaitu) saya berfikir, justeru
saya wujud (cogito, ergo sum), maka tidak ada asas untuk saya meraguinya walaupun dakwaan
orang-orang yang skeptik mampu menggoyahkannya, tanpa kesangsian lagi, saya menyimpulkan
bahawa saya menerimanya sebagai prinsip pertama dalam falsafah yang saya cari.” (Descartes,
1912:27)
Pada hakikatnya, idea beliau ini diasaskan daripada konsep dualisme akal-jasad (mind-body
dualism) (Hatfield 2008). Menurut Muhammad Mumtaz Ali (1994), konsep dualisme Descartes
sememangnya mempunyai hubungan dengan kaedah keraguan beliau. Hal ini kerana, beliau percaya
bahawa seseorang dapat mengenal pasti tentang dirinya melalui akal walaupun tidak mengetahui
tentang kewujudan jasadnya. Implikasi daripada konsep ini ialah ilmu yang berkualiti tinggi perlulah
berasaskan rasional akal dan penggunaan ilmu matematik. Sebaliknya, jika sains diasaskan kepada
pancaindera dan eksperimen, maka ilmu yang diperoleh adalah bermutu rendah (Scruton 1989). Hasil
penelitian Descartes berkenaan dualisme akal-jasad menjadi asas kritikan kepada tokoh berikutnya
iaitu Hume.
Page | 3
Mohd Syahmir Alias / UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies. vol. 3, no. 3 (2016) 01–08

2.3 DAVID HUME


Hume secara dasarnya lebih menumpukan kepada perbahasan yang membezakan fakta dengan
nilai. Pembahagian antara fakta dengan nilai oleh Hume menjadi perdebatan penting dalam sejarah
keintelektualan Barat (Kincaid, Dupré & Wylie 2007). Malah, ideanya dikatakan telah mencapai had
logik yang tertinggi (ultimate logical limits) sebagai seorang tokoh empirisisme (Mulaik 2004).
Dalam karyanya A Treatise of Human Nature, Hume (1888) berpendapat bahawa pengkaji sistem
moral mempunyai gaya penghujahan yang kebiasaannya berusaha mempamerkan kewujudan Tuhan.
Namun apabila mereka membicarakan hal ehwal cerapan terhadap manusia, beliau menyatakan:
“...saya terkejut apabila menjumpai di samping kebiasaan penggabungan proposisi perkara yang
ada (is) dan perkara yang tiada (is not), saya juga mendapati proposisi tersebut sentiasa
dikaitkan dengan perkara yang sepatutnya (ought) atau perkara yang tidak sepatutnya (ought
not)... bagaimanakah perkaitan ought dan ought not ini boleh dideduksi daripada is atau is not
yang sama sekali tidak sama?... saya mengharapkan perhatian terhadap perkara ini boleh
menumbangkan semua pencabulan sistem moral, dan kita dapat lihat bahawa perbezaan buruk
dan baik tidaklah diasaskan kepada perkaitannya dengan objek mahupun dengan hujah.” (Hume
1888:469-470)
Dalam perkataan lain, Hume (1888) ingin menegaskan bahawa pernyataan sesuatu fakta
daripada pemerhatian empirikal tidak boleh diikuti oleh sebarang kesimpulan yang berunsurkan nilai
terutamanya nilai moral. Menurut Kincaid, Dupré dan Wylie (2007), penegasan ini memberi
implikasi bahawa penghujahan yang menghasilkan kesimpulan berpaksikan nilai adalah diasaskan
daripada premis yang berunsurkan nilai juga. Oleh yang demikian, Hume (1921) menekankan aspek
penghujahan sebab dan akibat dalam meneliti fakta daripada objek. Beliau berpandangan seperti
berikut:
“Oleh sebab kita mahu memuaskan hati kita berkenaan tabii sesuatu pembuktian yang
meyakinkan kita tentang perihal fakta, kita perlu menyelidiki cara untuk sampai kepada
pengetahuan sebab dan akibat. Sebagai suatu proposisi umum yang diakui tanpa pengecualian,
saya berani menegaskan bahawa pengetahuan jenis ini tidak dapat diperoleh sama sekali secara
a priori, tetapi ia timbul daripada pengalaman (iaitu) apabila kita mencari hubungkait secara
malar di antara sesuatu objek dengan objek-objek yang lain.” (Hume 1921:25)
Secara implisitnya, penolakan beliau terhadap ketidakupayaan penghujahan sebab-akibat yang
diasaskan kepada pengetahuan a priori merupakan sebahagian daripada kritikan beliau terhadap
prinsip “I think, hence I am” yang dikemukakan Descartes (1912). Menurut Hume (1921) lagi,
dengan mencari hujah sebab-akibat berasaskan pengetahuan aposteriori (pengalaman pancaindera),
penyelidik dapat meramalkan peristiwa akan datang yang menjangkaui akal dan deria manusia. Oleh
yang demikian, dapat disimpulkan bahawa Descartes mewakili aliran pemikiran rasionalisme,
manakala Hume pula mewakili aliran empirisisme pada peringkat awal perdebatan untuk
memperoleh pengetahuan yang objektif. Hal ini sama sekali berbeza dengan aliran pemikiran Kant
yang dibincangkan dalam subtopik berikutnya.
2.4 IMMANUEL KANT
Menurut Kant, terdapat kekeliruan terhadap pandangan aliran rasionalisme mengenai pengetahuan,
sama juga seperti kekeliruan pandangan aliran empirisisme (Scruton 1989 & 2001). Oleh itu Kant
meneliti semula hujah-hujah kedua-dua belah pihak dan melalui usaha sintesis, beliau berjaya
merumuskan konsep objektiviti yang digunakan sehingga kini (Mulaik 2004). Secara ringkasnya,
konsep objektiviti beliau adalah seperti berikut:

Page | 4
Mohd Syahmir Alias / UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies. vol. 3, no. 3 (2016) 01–08

“Tanpa pancaindera, tidak ada objek yang diberi kepada kita; tanpa pemahaman, tidak ada objek
yang boleh difikirkan. Pemikiran tanpa isi (objek) adalah kosong, intuisi tanpa konsep adalah
buta.” (Kant, 1929:93)
Dari sudut epistemologinya, Kant (1929) menegaskan bahawa pengetahuan manusia pada
awalnya bermula dengan intuisi yang kemudiannya membentuk konsep dan berakhir dengan idea.
Sungguhpun demikian, ketiga-tiga elemen ini tidak boleh sama sekali menjangkaui perkara-perkara
yang mungkin dialami oleh deria manusia. Oleh yang demikian, beliau memperkenalkan elemen
kesedaran diri (consciousness of self apperception). Menurut Kant (1929), kesedaran diri dapat
dicapai apabila seseorang individu berupaya membezakan objek yang ditanggapinya dengan apa-apa
jua perkara subjektif yang difikirkannya. Justeru, Kant membawa satu lagi jenis dualisme iaitu
pemisahan noumena (perkara dalaman manusia) dan fenomena (perkara cerapan manusia) (Proctor
1991; Muhammad Mumtaz Ali 1994).
Menurut Proctor (1991), wacana falsafah Kant memberi kesan terhadap pemencilan sains
daripada agama dan pemisahan kepada dua bidang ilmu yang berlainan antara satu sama lain. Perkara
ini terjadi kerana bagi Kant, sains (fenomena) dan agama (noumena) masing-masing berurusan
dengan dua kewujudan alam yang terpisah secara keseluruhannya, iaitu alam empirikal dan alam
ketuhanan. Secara implisitnya, Kant menyebut hal ini dalam kenyataan berikut:
“Aturan dan tujuan alam tabii mesti dijelaskan daripada asas alam tabii dan berdasarkan hukum
tabii; manakala hipotesis yang berasaskan fizik adalah lebih baik daripada hipotesis hiperfizik,
seperti unsur ketuhanan.” (Kant, 1929:615)
Daripada fahaman Kant yang ditafsirkan semula, maka terbentuklah gerakan cendekiawan neo-
Kantianisme yang diwakili oleh Rickert dan Windelband (Reiss & Sprenger 2014). Gerakan ini
berusaha untuk menjadikan sains sebagai suatu bidang yang berdaya tahan daripada kritikan mana-
mana nilai agama, politik dan juga falsafah. Dengan suara majoriti, gerakan ini mendapat sokongan
dalam kalangan cendekiawan Jerman (Proctor 1991). Oleh yang demikian, pemikiran Kant memberi
implikasi yang besar berkenaan wacana sains dan nilai bagi abad-abad berikutnya.
3.0 SAINS BEBAS NILAI MENURUT PERSPEKTIF TOKOH-TOKOH
FALSAFAH BARAT
Setelah meneliti pandangan setiap seorang tokoh falsafah Barat mengenai perkaitan nilai dengan
sains, makalah ini menganalisis secara keseluruhan dialektika yang berlaku dari konteks konsep
bebas nilai. Secara ringkasnya, bebas nilai merupakan suatu konsep penyelidikan yang memerlukan
seseorang pengkaji membebaskan dirinya daripada pertimbangan nilai subjektif yang terhasil dalam
pemikirannya (Weber 1949; McLean 2006). Menurut Bajaj (1988), idea Bacon mengenai
pembebasan sains daripada unsur tahyul dan teologi tidak bermakna bahawa beliau merupakan ahli
falsafah pertama yang memperkenalkan pengasingan “fakta” dengan “nilai” secara mutlak. Hal ini
kerana, sarjana yang benar-benar menyuarakan pendapat mengenai pemisahan sains dan nilai ialah
Hume.
Walau bagaimanapun, kenyataan Bacon ini sudah cukup untuk membuka ruang kepada
perbincangan lanjut dan lebih penting iaitu mengenai kaedah memperoleh ilmu berasaskan objek
(Howell 2013). Dalam perkataan lain, pemerolehan ilmu tersebut perlulah tanpa pembatasan daripada
aspek metafizik atau sifat subjektif manusia. Oleh yang demikian, objektiviti dijadikan matlamat
penting yang perlu dicapai untuk memperoleh fakta yang sebenar dan tepat atau diistilahkan sebagai
sains (Myrdal 1969; Howell 2013).
Hal ini sekaligus menjadikan Bacon sebagai tokoh terawal yang cuba menstrukturkan sains
melalui prosedur induktif. Penstrukturan awal ilmu sains oleh Bacon yang dibincangkan ini dapat
dijelaskan dalam Rajah 1.
Page | 5
Mohd Syahmir Alias / UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies. vol. 3, no. 3 (2016) 01–08

Rajah 1: Sains bebas nilai menurut Bacon


Berdasarkan Rajah 1, perbahasan yang menyentuh mengenai konsep bebas nilai oleh Bacon
bermula dengan prosedur induktif yang menghasilkan fakta empirikal. Hasil daripada peri
pentingnya prosedur induktif sebagai kaedah mendapatkan ilmu yang sah atau ilmu sains, campur
aduk sains dengan perkara khayalan dan teologi perlu dielakkan. Dengan yang demikian, ilmu sains
yang berasaskan fakta tentang sesuatu objek dapat dicapai tanpa sifat berat sebelah oleh para
pengkaji.
Perbahasan dualisme ilmu pula melibatkan tiga aliran pemikiran. Pertama, rasionalisme yang
diwakili oleh Descartes; kedua, empirisisme yang ditonjolkan melalui pemikiran Hume; dan ketiga,
penggabungan antara rasionalisme dengan empirisisme yang diharmonikan oleh Kant. Intipati
daripada perbahasan oleh ketiga-tiga pemikir ini dan hubungannya dengan konsep bebas nilai dapat
digambarkan dalam Rajah 2.

Rajah 2: Sains bebas nilai menurut Descartes, Hume dan Kant


Page | 6
Mohd Syahmir Alias / UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies. vol. 3, no. 3 (2016) 01–08

Berdasarkan Rajah 2, ketiga-tiga pemikir ini mempunyai asas yang berbeza dari tiga aspek.
Pertama, penghujahan sebab-akibat; kedua, pendekatan untuk memperoleh hujah; dan ketiga,
implikasi daripada pendekatan mereka dalam konteks konsep bebas nilai. Kesemua asas yang
dikemukakan ini pada dasarnya berfungsi untuk mendapatkan ilmu sains yang bersifat objektif.
Justeru, secara keseluruhannya, terdapat empat konteks utama yang menjadi asas kepada
pembentukan konsep bebas nilai berdasarkan tokoh-tokoh yang terlibat. Pertama, penstrukturan awal
sains moden oleh Bacon; kedua, dualisme akal dan jasad oleh Descartes; ketiga, dualisme fakta dan
nilai moral oleh Hume; dan keempat, dualisme fenomena dan noumena oleh Kant.

4.0 KESIMPULAN
Secara umumnya, dapat disimpulkan sekurang-kurangnya tiga perkara khusus daripada
perbincangan makalah ini. Pertama, Francis Bacon selaku pengasas kaedah saintifik Barat menolak
amalan campur aduk perkara khurafat dan berat sebelah dalam penyelidikan sains. Kedua, terdapat
kesinambungan yang jelas di antara pemikiran René Descartes, David Hume dan Immanuel Kant
mengenai dualisme ilmu, namun dari perspektif yang berbeza. Ketiga, hujah-hujah kesemua tokoh
falsafah sains tersebut memberi implikasi kepada konsep bebas nilai dalam penyelidikan saintifik
bagi abad-abad berikutnya.

Rujukan
Abdul Rahman Abdullah. (2010). Wacana Falsafah Sains: Sejarah dan Pemikiran. Pulau Pinang: Pusat Kajian
Pengurusan Pembangunan Islam Universiti Sains Malaysia.
Ahmad Murad Merican. (2009). “Sejarah dan Falsafah Sains dalam Memahami Pemikiran Oksidental”, dlm. Azizan
Baharuddin (ed.). Wacana Sejarah dan Falsafah Sains: Pemantapan Pengajian Sejarah, Falsafah dan Dasar
Sains. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bacon, Francis. (1902). Novum Organon. New York: P. F. Collier and Sons.
Bajaj, Jatinder K. (1988). “Francis Bacon, the First Philosopher of Modern Science: A Non-Western View”, dlm.
Nandy, Ashis (ed.). Science, Hegemony and Violence: A Requiem for Modernity. New Delhi: Oxford University
Press.
Descartes, Rene. (1912). A Discourse on Method, terj. Veitch, John. London: J. M. Dent and Sons.
Hatfield, Gary. (2008). Rene Descartes. Diakses melalui http://plato.stanford.edu/entries/descartes/. Tarikh akses: 30
Disember 2014.
Howell, Kerry E. (2013). An Introduction to the Philosophy of Methodology. London: Sage Publication.
Hume, David. (1888). A Treatise of Human Nature. Oxford: Oxford University Press.
Hume, David. (1921). An Enquiry Concerning Human Understanding and Selections from A Treatise of Human
Nature. Chicago: The Open Court Publishing Co.
Kant, Immanuel. (1929). Critique of Pure Reason, terj. Smith, Norman Kemp. London: Macmilian and Co., Ltd.
Kincaid, Harold, Dupré, John & Wylie, Alison. (2007). Value-Free Science: Ideals and Illusions?. New York:
Oxford University Press.
Klein, Jürgen. (2012). Francis Bacon. Diakses melalui http://plato.stanford.edu/entries/francis-
bacon/#SciMetNovOrgTheInd. Tarikh akses: 10 Mac 2014.
Lacey, Hugh. (1999). Is Science Value Free? Values and Scientific Understanding. London: Routledge.
Page | 7
Mohd Syahmir Alias / UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies. vol. 3, no. 3 (2016) 01–08

Mat Rofa Ismail. (2006). Falsafah Sains Pendekatan Kualitatif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
McErlean, Jennifer. (2000). Philosophies of Science: From Foundations to Contemporary Issues. United States of
America: Thompson Learning.
McLean, Craig. (2006). “Value-Free Research”, dlm. Jupp, Victor (ed.). The SAGE Dictionary of Social Research
Methods. London: Sage Publication.
McNeill, Patrick & Chapman, Steve. (2005). Research Methods (Third Edition). New York: Routledge.
Muhammad Mumtaz Ali. (1994). Islamic and Western Philosophy of Knowledge: Contemporary Methodological
Issues. Petaling Jaya, Selangor: Pelanduk Publications.
Mulaik, Stanley A. (2004). “Objectivity in Science and Structural Equation Modeling”, dlm. Kaplan, David (ed.).
The SAGE Handbook of Quantitative Methodology for the Social Sciences. London: Sage Publication.
Myrdal, Gunnar. (1969). Objectivity in Social Research. New York: Pantheon Books.
Okasha, Samir. (2002). Philosophy of Science: A Very Short Introduction. New York: Oxford University Press.
Proctor, Robert N. (1991). Value-Free Science?: Purity and Power in Modern Knowledge. America: Harvard
University Press.
Reiss, Julian & Sprenger, Jan. (2014). Scientific Objectivity. Diakses melalui
http://plato.stanford.edu/entries/scientific-objectivity/. Tarikh akses: 16 Oktober 2014.
Scruton, Roger. (1989). Sejarah Ringkas Falsafah Moden: Daripada Descartes hingga Wittgenstein, terj. Baharudin
Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Scruton, Roger. (2001). Kant: A Brief Insight. New York: Sterling.
Sorell, Tom. (2015). Descartes: Pengenalan Ringkas, terj. Salbiah Hashim. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan
Buku Malaysia.
Weber, Max. (1949). On the Methodology of the Social Sciences. United States of America: The Free Press.
Wilson, Fred. (2008). Descartes, Rene Scientific Method. Diakses melalui http://www.iep.utm.edu/desc-sci/. Tarikh
akses: 30 Mac 2015.

Page | 8

You might also like