x86-64
x86-64 (atau x64, x86_64, dan AMD64) ialah set arahan x86 versi 64-bit. Bilangan ingatan maya dan ingatan fizikalnya adalah jauh lebih besar (secara teori, 264 bait atau 16 eksbibait) berbanding pendahulu-pendahulu 32-bitnya, lantas membolehkan program menyimpan lebih banyak data dalam ingatan. x86-64 turut menyediakan daftar tujuan am bersaiz 64-bit serta pelbagai peningkatan lain. Tentuan asalnya dicipta oleh AMD, dan kini telah dilaksanakan oleh AMD, Intel dan VIA. Ia juga serasi ke belakang dengan kod x86 16-bit dan 32-bit. Oleh kerana set-set arahan 16-bit dan 32-bit kekal terlaksana dalam perkakasan tanpa sebarang pelagakan, beboleh laku x86 sedia ada dapat dijalankan tanpa kemunduran prestasi, manakala aplikasi-aplikasi yang dikodkan semula supaya menggunakan ciri-ciri baharu rekaan pemproses x86-64 mungkin mendapat peningkatan dari segi prestasi.
Pelbagai nama telah digunakan untuk set arahannya; sebelum pelancaran, x86-64 dan x86_64 telah digunakan, sementara AMD menamakannya AMD64 semasa dikeluarkan. Intel pada awalnya menggunakan nama IA-32e dan EM64T sebelum akhirnya menggunakan nama Intel 64 untuk pelaksanaan mereka. Sesetengah anggota industri, termasuk Apple, menggunakan x86-64 dan x86_64, manakala yang lain, umumnya Sun Microsystems (kini Oracle Corporation) dan Microsoft, menggunakan x64 sementara keluarga sistem pengendalian BSD dan beberapa edaran Linux menggunakan AMD64.
Pemproses AMD K8 ialah pemproses pertama yang melaksanakan seni bina sebegini; ini merupakan peningkatan penting kepada seni bina x86 yang pertama datang daripada syarikat selain Intel. Intel terpaksa mengikut dan memperkenalkan keluarga NetBurst terubahsuai yang serasi secara perisian dengan rekaan dan tentuan AMD. VIA memperkenalkan x86-64 dalam seni bina VIA Isaiah menerusi VIA Nano.
Tentuan x86-64 berbeza dengan seni bina Itanium (dahulunya IA-64) Intel yang set arahannya adalah tidak serasi dengan set arahan seni bina x86.
AMD64
[sunting | sunting sumber]Set arahan AMD64 telah dilaksanakan pada pemproses-pemproses milik AMD iaitu Opteron, Athlon 64, Athlon 64 FX, Athlon 64 X2, Athlon II, Athlon X2, Turion 64, Turion 64 X2, kemudian Sempron, Phenom, Phenom II, FX, dan Fusion.
Intel 64
[sunting | sunting sumber]Intel 64 ialah pelaksanaan x86-64 bagi Intel. Ia digunakan pada versi-versi baru pemproses Pentium 4, Celeron, Celeron D, Xeon dan Pentium Dual-Core; Atom 230, 330, D410, D425, D510, D525, N450, N455, N470, N475, N550, N570, N2600 dan N2800 serta pada semua versi pemproses Pentium Extreme Edition, Core 2, Core i7, Core i5, dan Core i3.
Resam penamaan dalam industri
[sunting | sunting sumber]Oleh kerana AMD64 dan Intel 64 secara asasnya serupa, kebanyakan produk perisian serta perkakasan menggunakan istilah tanpa nama vendor bagi menunjukkan bahawa produk tersebut serasi dengan mana-mana pelaksanaan. Nama asal "x86-64" yang diberikan oleh AMD, kadang-kala masih digunakan untuk tujuan ini, sama seperti "x86_64". Syarikat lain seperti Microsoft dan Sun Microsystems (kini Oracle Corporation) menggunakan "x64" dalam bahan pemasaran mereka.
Kebanyakan sistem pengendalian dan produk, khususnya yang menyokong x86-64 sebelum penyertaan Intel dalam pasaran, menggunakan istilah "AMD64" atau "amd64" bagi merujuk kepada kedua-dua AMD64 dan Intel 64.
- Sistem-sistem BSD seperti FreeBSD, MidnightBSD, NetBSD dan OpenBSD menggunakan nama seni bina "amd64" bagi merujuk kepada AMD64 dan Intel 64.
- Inti Linux dan DragonFly BSD merujuk seni bina 64-bit sebagai "x86_64".
- Debian, Ubuntu dan Gentoo merujuk AMD64 dan Intel 64 sebagai "amd64".
Isu pelesenan
[sunting | sunting sumber]Intel memberi kebenaran kepada AMD untuk menggunakan seni bina x86 yang asal (asas kepada x86-64 AMD).[1][2] Pada tahun 2009, AMD dan Intel menyelesaikan beberapa tindakan undang-undang dan perselisihan pelesenan silang, melanjutkan persetujuan pelesenan silang mereka.[3][4]
Catatan dan rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "AMD plays antitrust poker for Intel's X86 licence". Incisive Media Limited. 2009-02-03. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-28. Dicapai pada 2015-01-07.
- ^ "Patent Cross License Agreement Between AMD and Intel". 2001-01-01. Dicapai pada 2015-01-07.
- ^ "AMD Intel Settlement Agreement".
- ^ Stephen Shankland dan Jonathan E. Skillings (2009-11-12). "Intel to pay AMD $1.25 billion in antitrust settlement". CNET. Dicapai pada 2015-01-07.