Pergi ke kandungan

Terusan Panama

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Terusan Panama
تروسن ڤانام
Canal de Panamá
Skema Terusan Panama, yang menggambarkan urutan kunci dan petikan
Spesifikasi
Pengunci3 locks up, 3 down per transit; all three lanes
(3 lanes of locks)
StatusBuka, pengembangan dibuka Jun 26, 2016
Penguatkuasa navigasiPanama Canal Authority
Sejarah
Pemilik asalSociété internationale du Canal
Jurutera utamaJohn Findlay Wallace (1904–1905), John Frank Stevens (1905–1907), George Washington Goethals (1907–1914)
Tarikh penggunaan pertamaOgos 15, 1914
Sebuah kapal tunda yang menuju ke hujung Caribbean terusan, menunggu untuk disertai kapal dari ruang paling atas Pintu Air Gatun.

Terusan Panama (Jawi: تروسن ڤانام; bahasa Sepanyol: Canal de Panamá) ialah terusan kapal utama yang merentasi Segenting Panama di Amerika Tengah dan mengaitkan Lautan Atlantik dengan Lautan Pasifik. Pembinaan terusan ini merupakan salah satu projek kejuruteraan terbesar dan paling susah yang pernah dilakukan. Ia mempunyai kesan yang hebat pada perkapalan antara kedua-dua lautan tersebut, dan menyebabkan laluan yang panjang dan berbahaya melalui Laluan Drake dan Cape Horn di hujung paling selatan Amerika Syarikat tidak diperlukan lagi. Jarak pelayaran dari New York ke San Francisco melalui terusan ini ialah 9,500 kilometer (6,000 batu), manakala jarak dahulu mengelilingi Cape Horn ialah 22,500 kilometer (14,000 batu). [1]

Walaupun konsep untuk sebatang terusan di Panama telah wujud sejak dari awal abad ke-16, percubaan pertama untuk membina sebuah terusan bermula pada tahun 1880 di bawah pimpinan Perancis. Selepas percubaan itu gagal, kerja itu akhirnya disiapkan oleh Amerika Syarikat, dengan terusan tersebut dibuka pada tahun 1914. Pembinaan terusan sepanjang 77 kilometer (48 batu) dilanda oleh berbagai-bagai masalah, termasuk penyakit (khususnya demam malaria serta demam kuning) dan tanah runtuh. Sebanyak 27,500 orang pekerja dianggarkan maut dalam pembinaan terusan ini.

Sejak pembukaannya, Terusan Panama adalah amat berjaya dan terus merupakan laluan utama untuk perkapalan antarabangsa. Ia membekalkan laluan kepada melebihi 14,000 buah kapal yang membawa muatan melebihi 203 juta tan setiap tahun. 14,011 buah kapal melalui terusan ini pada tahun 2005, dengan jumlah muatan sebanyak 278.8 juta tan, iaitu hampir 40 buah kapal setiap hari. [2]

Terusan Panama boleh menampung kapal-kapal dari kapal pesiaran peribadi yang kecil sehingga kapal komersil yang agak besar. Saiz kapal yang paling besar yang boleh menggunakan terusan ini dikenali sebagai Panamax; semakin banyak kapal moden melebihi had ini, dan dikenali sebagai kapal pasca-Panamax. Jangka masa pelayaran tipikal untuk sebuah kapal kargo merentasi terusan ini ialah sekitar sembilan jam.


Peta ketinggian Terusan Panama ini yang disediakan pada tahun 1923 menunjukkan topografi kawasan terusan.
Kerja pembinaan Gaillard Cut ditunjukkan dalam gambar ini yang diambil pada tahun 1907.

Sebutan pertama terusan merentasi segenting Amerika Tengah wujud sejak dari tahun 1534 apabila Charles V, Maharaja Rom Holy dan raja Sepanyol, mencadangkan sebuah terusan di Panama untuk memudahkan pelayaran dari dan ke Ecuador dan Peru. [3]

Diberikan kedudukan strategik Amerika Tengah sebagai sebuah jalur tanah yang sempit yang membahagikan dua lautan yang utama, hubungan-hubungan perdagangan yang lain pernah dicuba pada sepanjang masa. Skim Darien yang malang merupakan sebuah percubaan untuk mengasaskan laluan perdagangan merentasi daratan oleh Kerajaan Scotland pada tahun 1698. Rancangan tersebut digagalkan oleh keadaan-keadaan yang umumnya amat sukar dan ditinggalkan pada tahun 1700. [4] Akhirnya, Landasan Keretapi Panama dibina merentasi segenting dan dibuka pada tahun 1855. Laluan merentasi daratan ini memudahkan perdagangan dengan ketara, dan infrakstruktur yang penting inilah yang menjadi faktor utama dalam pemilihan laluan terusan yang kemudian.

Sebuah laluan perairan pada keseluruhannya antara kedua-dua lautan masih diperlihatkan sebagai penyelesaian yang unggul dan oleh itu, gagasan terusan sekali-sekala dihidupkan semula, termasuk juga berbagai-bagai laluan perairan yang lain; umpamanya laluan melalui Nicaragua diselidik banyak kali. Akhirnya, dighairahkan oleh kejayaan Terusan Suez, Perancis di bawah Ferdinand de Lesseps memulakan pembinaan sebatang terusan pada aras laut (tanpa pintu air) merentasi provinsi Panama (nama kawasan ketika itu) pada 1 Januari 1880. Pada tahun 1893 selepas amat banyak kerja telah dilakukan, skim Perancis ditinggalkan, akibat penyakit serta kesulitan membina sebatang terusan pada aras laut. [5] Kematian banyak orang merupakan salah satu faktor utama dalam kegagalan ini: walaupun tiada sebarang rekod terperinci yang disimpan, sebanyak 22,000 orang pekerja dianggarkan mati semasa tempoh utama pembinaan Perancis (18811889). [6]

Di bawah Theodore Roosevelt, Amerika Syarikat membeli kelengkapan serta kerja penggalian Perancis dan memulakan kerjanya pada tahun 1904, selepas membantu Panama mengisytiharkan kemerdekaan daripada Colombia sebagai balasan untuk menguasai Zon Terusan Panama. Banyak pelaburan dibuat untuk menghapuskan penyakit daripada kawasan itu, khususunya demam kuning dan demam malaria, dengan punca-punca penyakit itu baru-baru ini ditemui (sila lihat langkah-langkah kesihatan semasa pembinaan Terusan Panama). Dengan penyakit-penyakit dikawal dan selepas kerja-kerja menyediakan infrastruktur disiapkan, pembinaan terusan yang kini ditinggikan dengan pintu-pintu air bermula dengan bersungguh-sungguh. Terusan dibuka secara rasmi pada 15 Ogos 1914 dengan pelayaran Ancon, sebuah kapal kargo. [7]

Kemajuan-kemajuan dalam bidang kesihatan menyebabkan kematian yang agak rendah semasa pembinaan Amerika; walaupun demikian, 5,609 orang pekerja maut semasa tempoh ini (19041914). [8] Dengan itu, kematian untuk pembinaan terusan berjumlah sekitar 27,500 orang pada keseluruhannya.

Menjelang dekad 1930-an, bekalan air diperlihatkan sebagai suatu persoalan untuk Terusan Panama, dan menyebabkan pembinaan Empangan Madden di Sungai Chagres di utara Tasik Gatun. Empangan itu disiapkan pada tahun 1935 dan mencipta Tasik Alajuela yang bertindak sebagai simpanan air tambahan untuk Terusan Panama. [9][10] Pada tahun 1939, pembinaan untuk perbaikan tambahan yang utama dijalankan: satu set baru pintu-pintu air untuk terusan yang sanggup menampung kapal-kapal perang Amerika Syarikat yang lebih besar yang sedang dibina atau dirancang. Kerja itu diteruskan selama banyak tahun, dengan kerja-kerja penggalian yang besar dilakukan untuk saluran-saluran masuk yang baru; bagaimanapun, projek itu kemudian dibatalkan selepas Perang Dunia II. [11][12]

Selepas perang, penguasaan terusan serta Zon Terusan yang mengelilinginya oleh Amerika Syarikat semakin menimbulkan perbalahan dan mengakibatkan hubungan antara Panama dan Amerika Syarikat menjadi semakin tegang. Banyak orang Panama berasa bahawa zon terusan sebenarnya merupakan hak milik Panama; bantahan-bantahan pelajar diatasi oleh pihak Amerika Syarikat dengan pemagaran zon tersebut serta kehadiran tentera yang semakin banyak. [13] Perundingan-perunding untuk penyelesaian baru diadakan pada tahun 1974 dan menyebabkan Persetiaan Torrijos-Carter dimeterai oleh Jimmy Carter, Presiden Amerika Syarikat, dan Omar Torrijos dari Panama, pada 7 September 1977. Ini memulakan proses untuk menyerahkan terusan kepada pihak Panama. Di tengah-tengah perbalahan di Amerika Syarikat, persetiaan itu menyebabkan Panama memiliki kuasa penuh ke atas Terusan Panama pada waktu tengah hari 31 Disember 1999, dengan kuasa terusan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Terusan Panama (ACP).

Reka letak

[sunting | sunting sumber]

Terusan Panama terdiri daripada dua buah tasik buatan, banyak saluran yang diperbaik serta saluran buatan yang baru, dan tiga set pintu air. Tasik Alajuela, tasik buatan tambahan, bertindak sebagai takungan untuk terusan. Disebabkan geografi tempatan, arah utama pelayaran adalah Barat Laut, manakala arah sejagat dari Lautan Pasifik ke Lautan Atlantik ialah Timur.

Reka letak terusan sebagaimana yang dilihat oleh sebuah kapal yang belayar dari hujung Pasifik ke Atlantik adalah seperti yang berikut: [14]

  • Dari permulaan saluran masuk berboya ke Teluk Panama, kapal-kapal belayar 13.2 kilometer (8.2  batu) melalui saluran dan merentasi di bawah Jambatan Amerika ke pintu-pintu air Miraflores;
  • Sistem pintu air Miraflores dua-peringkat, termasuk tembok tuju, ialah 1.7 kilometer (1.1 batu) panjangnya, dengan kenaikan sebanyak 16.5 meter (54 kaki) ketika pasang surut tengah;
  • Tasik Miraflores buatan ialah aras berikut, dengan 1.7 kilometer (1.0 batu) panjangnya, dan 16.5 meter (54 kaki) di atas aras laut;
  • Pintu air Pedro Miguel satu aras yang 1.4 kilometer (0.8 batu) panjangnya ialah bahagian kenaikan terakhir sebanyak 9.5 meter (31 kaki) ke aras utama terusan;
  • Gaillard (Culebra) Cut memotong legeh benua sepanjang 12.6 kilometer (7.8 batu) pada ketinggian 26 meter (85 kaki), dan merentasi di bawah Jambatan Centennial;
  • Sungai Chagres (Río Chagres), jalan air semula jadi, dikukuhkan oleh pengempangan Tasik Gatún dan mengalir 8.5 kilometer (5.3 batu) ke barat untuk bergabung dengan Tasik Gatun;
  • Tasik Gatun, tasik buatan yang dibentuk oleh pembinaan Empangan Gatun, membenarkan kapal-kapal merentasi segenting sejauh 24.2 kilometer (15.0 batu);
  • Pintu-pintu air Gatún, tangga pintu air tiga-peringkat yang panjangnya 1.9 kilometer (1.2 batu), mengembalikan kapal-kapal ke aras laut;
  • Saluran 3.2 kilometer (2.0 batu) membentuk jalan masuk ke pintu-pintu air dari Lautan Atlantik;
  • Teluk Limón (Bahía Limón), sebuah pelabuhan semula jadi yang besar yang lebarnya 8.7 kilometer (5.4 batu) antara pantai dengan pemecah ombak luar, membenarkan kapal-kapal berlabuh semasa menunggu peralihan.
Pengangkut-pengangkut RORO seperti kapal ini di pintu air Miraflores merupakan antara kapal-kapal yang terbesar yang menggunakan Terusan Panama.

Tol terusan diputuskan oleh Pihak Berkuasa Terusan Panama dan berdasarkan jenis dan saiz kapal, serta juga jenis muatan yang diangkut. [15]

Untuk kapal kontena, tol ditaksir berdasarkan "TEU" (Unit Setara 20-Kaki; bahasa Inggeris: Twenty-foot Equivalent Unit) yang merupakan saiz untuk sebuah kontena yang berukuran 20 kaki x 8 kaki x 8.5 kaki (6 m x 2.4 m x 2.6 m). Mulai dari 1 Mei 2006, tol ini ialah AS$49 setiap TEU, dengan kenaikan kepada AS$54 pada 1 Mei 2007 dijadualkan. Sebuah kapal kontena Panamax boleh membawa muatan sehingga 4,400 TEU. Tol yang lebih murah dikenakan pada kapal-kapal kontena yang "membawa balast sahaja", iaitu belayar tanpa membawa muatan atau penumpang.

Kebanyakan jenis kapal yang lain membayar tol mengikut tan bersih PC/UMS, dengan satu "tan" sebenarnya merupakan isi padu sebanyak 100 kaki padu (2.8 ). Penghitungan tanan untuk kapal komersil adalah agak rumit. Pada tahun 2006, tolnya ialah:

  • AS$2.96 setiap tan untuk 10,000 tan pertama;
  • AS$2.90 setan untuk 10,000 tan berikut; dan
  • AS$2.85 setan selepas itu.

Sebagaimana dengan kapal kontena, tol dikurang untuk kapal-kapal pengangkut yang "membawa balast sahaja". Kapal-kapal kecil ditaksir berdasarkan panjangnya. Pada tahun 2006, kadarnya adalah seperti yang berikut:

Panjangnya kapal Tol
Sehingga 15.240 meter (50 kaki) AS$500
Melebihi 15.240 meter (50 kaki) hingga 24.384 meter (80 kaki) AS$750
Melebihi 24.384 meter (80 kaki) hingga 30.480 meter (100 kaki) AS$1,000
Melebihi 30.480 meter (100 kaki) AS$1,500

Tol Terusan Panama yang paling mahal sehingga hari ini ialah tol yang dikenakan pada kapal kontena Maersk Dellys pada 30 Meil 2006; harga yang dibayar ialah AS$249,165.00. Sebaliknya, tol yang paling murah ialah 36 sen yang dikenakan pada Richard Halliburton, pengembara Amerika Syarikat, yang berenang merentasi terusan ini pada tahun 1928. [16] Bagaimanapun, harga tol purata ialah sekitar AS$54,000.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]


Error: tiada nama laman disertakan (help).