Pergi ke kandungan

Terendak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Terendak Vietnam, nón lá

Terendak (Jawi: تريندق) merupakan sejenis topi yang umumnya berbentuk kerucut dengan tepi lebar dan berasal dari Asia Timur, Selatan dan Tenggara, khususnya Bangladesh, Bhutan, China, Kemboja, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Myanmar, Filipina, sesetengah kawasan Manchuria Rusia dan Vietnam.

Terendak diikat pada kepala dengan kain pengikat dagu yang lazimnya diperbuat daripada sutera.

Kegunaan am

[sunting | sunting sumber]

Terendak digunakan terutamanya sebagai perlindungan daripada matahari dan hujan. Terendak yang diperbuat daripada jerami atau anyaman pula boleh dicelup ke dalam air lalu dipakai sebagai alat pendingin sejat yang spontan.[1]

Di Filipina, terendak kosong lazimnya dipakai oleh kaum petani, sedangkan golongan atasan membuat terendak berhias dengan pelbagai barang kemas, ataupun terendak yang diperbuat daripada karapas kura-kura dengan pancang di atas. Ia pernah dipakai oleh askar Tentera Jajahan Sepanyol keturunan pribumi, terutamanya kaum Tagalog, Kapampangan, dan Ilokano di hujung zaman penjajahan Sepanyol.

Begitu juga di India dan Borneo, terendak kosong dipakai oleh orang jelata dalam kerja harian, tetapi sewaktu perayaan, terendak yang berwarna-warni pula digunakan. Di Sabah, terendak berwarna-warni dipakai untuk sesetengah tarian. Di Assam, India pula terendak berhias tergantung di rumah sebagai barang hias ataupun dipakai oleh golongan atas sempena sambutan khas.

Di negara China, terendak sering dikaitkan dengan petani, sedangkan golongan pembesar memakai topi ketat seakan kopiah, terutamanya pada musim sejuk.[2]

Nama setempat

[sunting | sunting sumber]

Dalam bahasa Cina, terendak dipanggil dǒulì (斗笠). Di Jepun ia dipanggil sugegasa (菅笠), di Kemboja do'un, dan di Korea pula satgat (삿갓). Di Asia Selatan, terendaknya tidak begitu sempurna bentuk kerucutnya, seperti yang terlihat pada jaapi Assam yang diperbuat daripada tenunan ketat antara buluh atau rotan dengan tokou paat (Trachycarpus martianus).

Di Vietnam, terendak dipanggil nón lá (topi daun). Gambar terendak terukir timbul pada gendang Ngoc Lu dari sekitar 2500 hingga 3000 tahun dahulu. Antara semua terendak, nón lá Vietnam terbentuk kerucut bulat sempurna yang lancar menirus dari bibir ke hulu. Terendak istimewa Vietnam mempunyai gambar atau seni kata jahitan tangan yang berwarna-warni, malah kawasan Huế terkenal dengan nón bài thơ (terendak sajak) yang mempunyai rangkap sajak dan tulisan Hán tự (huruf Cina) yang jelas apabila terendak diterangi cahaya matahari. Kini, terendak merupakan salah satu pakaian tradisional kebangsaan Vietnam.

  1. ^ "Conical Hats". Nguyentientam.com. Dicapai pada 2012-05-23.
  2. ^ Encyclopaedia Britannica, Eleventh Edition. New York: Encyclopaedia Britannica, Inc. 1910. m/s. 173.