Pergi ke kandungan

Kiub Rubik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kelainan-kelainan Kiub Rubik (dari kiri ke kanan: Dendam Rubik, Kiub Rubik, Kiub Profesor, & Kiub Poket)
Kiub Rubik klasik

Kiub Rubik ialah sebuah mainan teka-teki mekanik yang dicipta pada tahun 1974 oleh Ernő Rubik, pengarca dan profesor senibina Hungary. Kiub plastik ini boleh didapati dalam empat versi: "Kiub Poket" (2×2×2) , Kiub Piawai (3×3×3), "Dendam Rubik" (4×4×4), dan "Kiub Profesor" (5×5×5). Sebuah syarikat yang lain sedang mencipta kiub-kiub sehingga peringkat 11×11×11 yang masih dapat dimainkan dengan pantas, [1] berbanding dengan kiub-kiub Rubik yang tidak sesuai untuk dimainkan selain daripada peringkat 3×3×3 kerana mudah pecah, sebagaimana yang dinasihati oleh syarikat asli. [2]

Versi 3×3×3 yang merupakan versi yang dirujuk dengan istilah "Kiub Rubik" mempunyai 27 unit kuib dan sembilan buah segi empat sama pada setiap sisi untuk memberikan 54 buah segi empat sama pada keseluruhannya kepada enam sisinya. Biasanya, permukaan kiub dilitupi oleh pelekat dalam enam warna tunggal, dengan satu warna tunggal pada setiap sisi kiub. Apabila teka-teki diselesaikan, setiap sisi kiub mempunyai satu warna tunggal.

Versi 3×3×3 yang asal meraikan hari ulang tahun ke-25nya pada tahun 2005 dengan sebuah kiub edisi khas dalam kotak peragaan. Ia menonjolkan sekeping pelekat logo "Kiub Rubik 1980-2005" di pusat sisi yang putih (yang digantikan dengan permukaan reflektif), dan tidak memberikan buku penyelesaian 1976. Pada asalnya digelar "Kiub Magik" oleh perekanya, kiub ini dinamai semula sebagai "Kiub Rubik" pada tahun 1980 dan disebarkan ke seluruh dunia pada Mei tahun yang sama. Kiub tersebut memenangi anugerah khas Spiel des Jahres untuk Teka-teki Terbaik dan dikatakan merupakan mainan terlaris di dunia, dengan sekitar 250 juta buah Kiub Rubik dan kiub-kiub tiruan dijual di seluruh dunia. [3]

Pengkonsepsian dan perkembangan

[sunting | sunting sumber]

Kiub Magik direka pada tahun 1974 oleh Ernő Rubik, seorang pengarca dan profesor senibina anak Hungary yang berminat akan bidang geometri serta bentuk tiga dimensi. Ernő memperoleh paten Hungary, HU170062, untuk kiub tersebut pada tahun 1975, tetapi tidak memohon sebarang paten antarbangsa. Kelompok-kelompok ujian kiub pertama dikeluarkan pada lewat 1977 untuk dijual di kedai-kedai mainan Budapest .

Kiub ini menjadi semakin popular di seluruh Hungary melalui komunikasi percakapan. Pada bulan September 1979, persefahaman dicapai oleh syarikat Ideal Toys untuk mengeluarkan Kiub Magik pada peringkat antarabangsa. Kiub ini menarik banyak perhatian dalam pameran-pameran mainan di London, New York, Nuremberg, dan Paris pada awal 1980.

Penjualan di kedai-kedai mainan Barat dihentikan sebentar supaya reka bentuknya dapat dikeluarkan menepati piawai keselamatan dan spesifikasi pembungkusan barat. Versi kiub yang lebih ringan dicipta, dan syarikat Ideal Toys memutuskan untuk menamainya semula. Nama-nama berpotensi seperti "Simpul Gordium" dan "Emas Inca" dipertimbangkan tetapi akhirnya, syarikat tersebut memutuskan nama "Kiub Rubik", dan kelompok pertama dieksport dari Hungary pada Mei 1980.

Mengambil kesempatan atas kekurangan Kiub Rubik di pasaran, banyak barangan tiruan yang murah beleluasa. Pada tahun 1984, Ideal kalah dalam tuntutan mahkahmahnya terhadap apa yang dikatakan pelanggaran paten oleh Larry Nichols yang memiliki paten US3655201. Terutoshi Ishigi memperoleh paten Jepun, JP55‒8192, untuk mekanisme yang hampir serupa semasa paten Rubik sedang diproses, tetapi Ishigi secara umumnya diberikan penghargaan untuk rekaan semula yang tersendiri. [4][5]

Syarikat Ideal Toys menerbitkan Surat Berita Kiub Rubik dari tahun 1982 hingga tahun 1983.

Kemasyhuran

[sunting | sunting sumber]

Melebihi seratus juta buah Kiub Rubik dijual dalam tempoh antara tahun 1980 dan 1982. [6] Kiub ini memenangi anugerah Mainan Tahunan BATR pada tahun 1980, dan semula lagi pada tahun 1981. Banyak mainan teka-teki yang serupa dikeluarkan tidak lama kemudian, kedua-dua daripada Rubik sendiri dan sumber-sumber yang lain. Dendam Rubik ialah versi kiub 4×4×4 oleh Rubik. Terdapat juga versi-versi kiub 2×2×2 dan 5×5×5 (masing-masing dikenali sebagai Kiub Poket dan Profesor Rubik), serta mainan-mainan teka-teki dalam bentuk yang lain, seperti Piraminks, sebuah tetrahedron.

Pada bulan Mei 2005, Panagiotis Verdes, anak Yunani, membina Kiub Rubik 6×6×6 dan pada 23 Mei 2006, Frank Morris, johan dunia untuk pertandingan Kiub Rubik, menguji versi ini. Beliau menyelesaikan versi 3×3×3 dalam masa 15 saat, versi 4×4×4 dalam 1 minit dan 10 saat, dan versi 5×5×5 dalam 2 minit. Morris mengucapkan tahniah kepada pereka kerana mencipta versi 6×6×6 yang mengambil masa 5 minit dan 37 saat untuk diselesaikannya, dan beliau dikatakan berkata bahawa kiub yang lebih besar ini memberikannya lebih banyak kegembiraan. Pada Julai 2006, Verdes berjaya membina kuib 7x7x7 dan pada 27 Oktober 2006, sebuah video yang menonjolkan Frank Morris menguji kiub tersebut diterbitkan. Video ujian-ujian boleh dilihat di laman web http://www.olympicube.com.

Pada tahun 1981, Patrick Bossert, seorang murid sekolah England yang berumur 12 tahun, menerbitkan penyelesaiannya sendiri dalam sebuah buku yang berjudul Anda Boleh Menyelesaikan Kiub (You Can Do the Cube) (ISBN 0-14-031483-0). Jualannya mencapai melebihi 1.5 juta naskhah di seluruh dunia (dalam 17 buah edisi) dan mencapai kedudukan pertama dalam kedua-dua senarai buku terlaris The Times dan New York Times dalam tahun tersebut.

Pada kemuncak kepopularan mainan teka-teki ini, helai-helai peletak berwarna yang berasingan telah dijual supaya pemain-pemain yang kecewa atau tidak sabar dapat memulihkan mainan teka-teki mereka kepada rupa yang asal.

Tarikan antarabangsa dan pencapaian eksport Kiub Rubik telah dicadangkan sebagai merupakan salah satu faktor penyumbang dalam reformasi dan pembebasan ekonomi Hungari antara tahun-tahun 1981 dan 1985 yang akhirnya menyebabkan peralihan daripada komunisme kepada kapitalisme. [6]. Dari segi kewangan, Kiub Rubik amat berjaya sehingga menjadikan Ernő Rubik sebagai elit swajaya yang pertama di sebuah negara komunis.

Nama "Kiub Rubik" adalah sama dalam banyak bahasa, kecuali bahasa Ibrani dan bahasa Hungary. Dalam bahasa Ibrani, kiub ini dipanggil "Kiub Hungary", manakala dalam bahasa Hungary, ia dipanggil "Kiub Magik" (Bűvös kocka).

Pertandingan menkiub

[sunting | sunting sumber]

Menkiub ialah sebuah sukan yang melibatkan menyelesaikan Kiub Rubik dengan masa yang tersingkat. Terdapat banyak pertandingan menkiub yang diadakan di seluruh dunia.

Pertandingan menkiub pertama diadakan oleh Rekod Dunia Guinness di Munich pada 13 Mac, 1981. Pertandingan tersebut menggunakan pencampuran biasa dan masa pemeriksaan yang ditetapkan. Pemenang-pemenang pertandingan tersebut ialah Ronald Brinkmann dan Jury Fröschl, dengan masing-masing mendapat masa 38 saat.

Kejohanan dunia menkiub pertama ialah Kejohanan Dunia Kiub Rubik 1982, yang diadakan di Budapest. Pertandingan tersebut dimenangi oleh Minh Thai, seorang pelajar berwarganegara Vietnam daripada Los Angeles dengan masa 22.95 saat.

Sejak 2003, pemenang sebuah pertandingan ditentukan oleh purata masa tiga masa penyelesaian tengah ( tidak mengira masa terpantas dan masa terlambat) daripada lima penyelesaian. Masa terpantas daripada semua penyelesaian juga dicatatkan. Persatuan Kiub Dunia menyimpan sejarah berkaitan dengan rekod dunia. Pada tahun 2004, PKD telah menetapkan bahawa peserta pertandingan menkiub wajib menggunakan alat mencatat masa khas yang dinamakan Pencatat masa Stackmat.

Acara-acara Kiub Rubik

[sunting | sunting sumber]

Selain daripada penyelesaian biasa Kiub Rubik, PKD juga mengadakan acara-acara yang melibatkan Kiub Rubik diselesaikan dengan cara yang berbeza:

  • Penyelesaian menggunakan satu tangan
  • Penyelesaian pergerakan tersedikit
  • Penyelesaian menutup mata
  • Penyelesaian menutup masa berganda, di mana peserta menyelesaikan sebilangan kiub sambil menutup mata

Dalam acara penyelesaian menutup mata, peserta-peserta mula-mula memeriksa kiub yang telah dicampurkan (melihatnya sebelum menutup mata), kemudian menutup mata mereka sebelum membuat pergerakan pada kiub. Masa yang dikira untuk acara ini bermula apabila peserta memeriksa kiub dan berakhir apabila kiub telah diselesaikan. Pemenang acara ini ditentukan oleh purata masa daripada tiga penyelesaian.

Dalam acara penyelesaian menutup mata berganda, peserta-peserta diberikan masa 1 jam untuk memeriksa dan menyelesaikan kiub-kiub yang jumlahnya yang telah ditetapkan oleh mereka. Skor acara ini dicatatkan dengan jumlah markah yang dikumpulkan selepas masa 1 jam telah tamat. Jumlah markah ditentukan dengan bilangan kiub yang dieselasaikan dengan betul. Kiub-kiub yang tidak diselesaikan tidak akan menyumbang pada jumlah markah. Jumlah markah yang tertinggi akan menentukan pemenang acara tersebut. Apabila terdapat banyak peserta yang mengkumpulkan jumlah markah yang sama, kedudukan akan ditentukan berdasarkan masa yang diambil, di mana masa yang lebih singkat akan mendapat kedudukan yang lebih baik.

Dalam acara penyelesaian pergerakan tersedikit, peserta-peserta diberikan tempoh masa 1 jam untuk mencari jalan penyelesaian yang memberikan pergerakan yang paling sedikit untuk menyelesaikan kiub. peserta-peserta juga perlu menulis jalan penyelesaian mereka.

Rekod dunia

[sunting | sunting sumber]

Satu penyelesaian

[sunting | sunting sumber]
  • Penyelesaian biasa: Masa terpantas dimiliki oleh Yusheng Du dari China dengan masa 3.47 saat di pertandingan Wuhu Open 2018.[7]
  • Penyelesaian satu tangan: Masa terpantas dimiliki oleh Max Park dari Amerika Syarikat dengan masa 6.82 saat di pertandingan Bay Area Speedcubin' 20 2019.[8]
  • Penyelesaian tutup mata: Masa terpantas dimiliki oleh Max Hilliard dari Amerika Syarikat dengan masa 15.50 saat di pertandingan CubingUSA Nationals 2019[9]
  • Penyelesaian tutup mata berganda: Masa terpantas dan jumlah markah yang terbanyak dimiliki oleh Graham Siggins dari Amerika Syarikat, dengan 59 kiub diselesaikan dengan betul daripada 60 kiub dan masa 59 minit 46 saat.[10]
  • Penyelesaian pergerakan tersedikit: Pergerakan tersedikit dimiliki oleh Sebastiano Tronto dari Itali dengan 16 jumlah pergerakan di pertandingan FMC 2019.[11]

Purata penyelesaian

[sunting | sunting sumber]
  • Penyelesaian biasa: Purata masa daripada tiga masa tengah daripada lima penyelesaian tersingkat dimiliki oleh Feliks Zemdegs dari Australia dengan purata masa 5.69 saat di pertandingan Koalafication Brisbane 2019.[12]
  • Penyelesaian satu tangan: Purata masa daripada tiga masa tengah daripada lima penyelesaian tersingkat dimiliki oleh Max Park dari Amerika Syarikat dengan purata masa 9.42 saat di pertandingan Berkeley Summer 2018.[13]
  • Penyelesaian tutup mata: Purata masa daripada tiga penyelesaian tersingkat dimiliki oleh Max Hilliard dari Amerika Syarikat dengan purata masa 18.28 saat di pertandingan Yakima Valley Cubing Spring 2019.[14]
  • Penyelesaian pergerakan tersedikit: Purata pergerakan daripada tiga penyelesaian tersedikit dimiliki oleh oleh Sebastiano Tronto dari Itali dengan purata 22 pergerakan di pertandingan FMC 2019.[15]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ http://www.olympicube.com/
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-09-28. Dicapai pada 2007-02-19.
  3. ^ Marshall, Ray. Bersedia untuk berlawan dalam cabaran Rubik. icNewcastle. Dicapai pada 15 Ogos 2005.
  4. ^ http://cubeman.org/cchrono.txt
  5. ^ http://inventors.about.com/library/weekly/aa040497.htm
  6. ^ a b "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-10-20. Dicapai pada 2006-11-17.
  7. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333/single
  8. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333oh/single
  9. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333bf/single
  10. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333mbf/single
  11. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333fm/single
  12. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333/average
  13. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333oh/average
  14. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333bf/average
  15. ^ https://www.worldcubeassociation.org/results/rankings/333fm/average
  • Handbook of Cubik Math oleh Alexander H. Frey, Jr. dan David Singmaster
  • Notes on Rubik's 'Magic Cube' oleh David Singmaster. ISBN 0-89490-043-9
  • Metamagical Themas oleh Douglas R. Hofstadter mengandungi dua bab yang berwawasan mengenai Kiub Rubik dan mainan-mainan teka-teki yang serupa. Kedua-dua bab ini pada asalnya diterbitkan sebagai makalah dalam terbitan-terbitan Mac 1981 dan Julai 1982 majalah Scientific American.
  • Four-Axis Puzzles oleh Anthony E. Durham.
  • Mathematics of the Rubik's Cube Design oleh Hana M. Bizek. ISBN 0-8059-3919-9

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]