Pergi ke kandungan

Kebolehan menggambarkan ruang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kebolehan menggambarkan ruang adalah kebolehan untuk mengolah benda-benda dua, tiga dan empat dimensi secara mental. Ia sering diukur dengan ujian kognitif yang ringkas serta meramal prestasi pengguna dengan sesuatu jenis antara muka pengguna.

Antara ujian-ujian kognitif yang digunakan untuk mengukur penggambaran ruang adalah kerja-kerja pemutaran mental serta ujian-ujian seumpama Kit of Factor-Reference terbitan Educational Testing Service, Amerika Syarikat iaitu khususnya VZ-1 (Form Board), VZ-2 (Paper Folding), dan VZ-3 (Surface Development). Walaupun takrifan penggambaran ruang dengan pemutaran mental serupa takrifknya, namun pemutaran mental adalah kerja tertentu yang boleh dicapai dengan menggunakan penggambaran ruang.[1]

Dalam ujian Form Board (Papan Bentuk), peserta diberi sebuah bentuk besar dan seperanggu bentuk-bentuk yang lebih kecil, kemudian diarahkan untuk menentukan kombinasi bentuk kecil manakah yang muat ke dalam bentuk besar selengkapnya tanpa bertindanan.

Dalam ujian Paper Folding (Melipat Kertas), peserta diberi seturutan lipatan untuk sehelai kertas yang ditebuk lubang-lubang. Peserta mesti memilih lipatan kertas yang manakah sepadan dengan yang mereka telah lihat.

Dalam ujian Surface Development (Membuat Permukaan), peserta diberi sekeping bentuk pipih dengan sisi-sisi berangka dan sebuah bentuk tiga dimensi dengan sisi-sisi berhuruf, kemudian dimina untuk menyatakan sisi berangka mana yang sepadan dengan sisi berhuruf yang mana.

Perbezaan jantina

[sunting | sunting sumber]

Lelaki pada puratanya mencatatkan darjah kecerdasan ruang sisihan piawai yang lebih tinggi daripada perempuan.[2] Inilah antara sebilangan kecil bidang yang mana terdapat perbezaan kognisi antara jantina yang ketara. Juga didapati bahawa kemampuan mencerap ruang berhubung kait dengan kemampuan lisan bagi perempuan tetapi bukan bagi lelaki, oleh itu perempuan mungkin menggunakan strategi yang berlainan dengan lelaki untuk penggambaran visual. Akan tetapi, keupayaan menggambarkan ruang berhubung kait dengan pendedahan kepada permainan video atau kegiatan-kegiatan seumpamanya mungkin lebih rapat kaitannya dengan perbezaan dalam pencerapan ruang daripada perbezaan sebenar dalam keupayaan sejadi. Sememangnya, para penyelidik Universiti Toronto telah mendapati terkikisnya perbezaan antara lelaki dan perempuan untuk sesetengah kerja yang memerlukan kemahiran mencerap ruang setelah kedua-dua kelompok bermain permainan video selama beberapa jam.[3] Walaupun ada yang mengatakan bahawa wanita lebih "bersandarkan penglihatan" daripada lelaki,[4] namun ini telah pun dipertikai.[5] Maka sebarang keketaraan keunggulan lelaki dalam navigasi ruang turut dipersoal.[6]

Kebolehan menggambarkan ruang itu bukan sesuatu yang baru. Gagasan kebolehan menggambarkan ruang mula-mula dikenal pasti sebagai berasingan dengan kecerdasan am pada abad ke-20, malah implikasinya untuk reka bentuk sistem komputer dikenal pasti pada 1980-an.

Pada tahun 1987, Kim Vicente dan rakan-rakan sejawatnya menjalankan serentetan ujian kognisi ke atas beberapa orang peserta, lalu menentukan kebolehan kognisi yang mana berhubung kait dengan prestasi ke atas kerja mencari berkomputer. Mereka mendapat bahawa peramal-peramal prestasi yang ketara hanyalah kosa kata dan kebolehan menggambarkan ruang, malah mereka yang tinggi kebolehan menggambarkan ruang itu adalah dua kali lebih pantas dalam melakukan kerja itu daripada mereka yang rendah kebolehan tersebut.[7]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Mitchell, J.; Kent, L. (2003). "Mental rotation: What is it?". International Journal of Human-Computer Studies. 49 (1): 59–78. doi:10.1006/ijhc.1998.0200.CS1 maint: ref=harv (link)
  2. ^ Robert & Chevrier (2003).
  3. ^ "Playing Video Games Reduces Sex Differences In Spatial Skills". ScienceDaily. 26 October 2007. Dicapai pada 2013-10-29.
  4. ^ Witkin, H. A.; Lewis, H. B.; Hertzman, M.; Machover, K.; Meissner, P. B.; Wapner, S. (1954). Personality through perception: An experimental and clinical study. Harper and Brother. LCCN 53010927.
  5. ^ Barnett-Cowan, M.; Dyde, R. T.; Thompson, C.; Harris, L. R. (2010). "Multisensory determinants of orientation perception: Task-specific sex differences". European Journal of Neuroscience. 31 (10): 1899–907. doi:10.1111/j.1460-9568.2010.07199.x. PMID 20584195.
  6. ^ Clint, E.; Sober, E.; Garland, T Jr.; Rhodes, J. S. (2013). "Male superiority in spatial navigation: Adaptation or side-effect?". The Quarterly Review of Biology. 87 (1): 289–313. doi:10.1086/668168.CS1 maint: ref=harv (link)
  7. ^ Vicente, K. J.; Hayes, B. C.; Williges, R. C. (1987). "Assaying and isolating individual differences in searching a hierarchical file system". Human Factors. 29 (3): 349–359. PMID 3623569.CS1 maint: ref=harv (link)