Hormon peptida
Hormon peptida ialah hormon yang diperbuat daripada peptida. Hormon peptida memiliki panjang rantaian asid amino yang lebih pendek daripada hormon protein. Hormon-hormon ini memiliki kesan terhadap sistem endokrin haiwan, termasuk manusia.[1]
Kebanyakan hormon boleh dikelaskan sebagai sama ada berdasarkan asid amino (amina, peptida atau protein) atau hormon steroid. Jenis hormon pertama adalah larut air, dan bertindak pada permukaan sel sasaran melalui pengutus kedua; jenis kedua yang larut dalam lipid pula bergerak melalui membran plasma sel sasaran (kedua-dua sitoplasma dan nukleus) lalu bertindak dalam nukleus sel.
Seperti semua peptida, hormon peptida disintesis dalam sel daripada asid amino mengikut transkripsi mRNA yang disintesis daripada templat DNA di dalam nukleus. Praprohormon, pendahulu hormon peptida, kemudiannya diproses dalam beberapa peringkat, biasanya dalam retikulum endoplasma, termasuk penyingkiran peptida pengisyaratan terminal N dan kadangkala pengglikosilan, menghasilkan prohormon. Prohormon kemudiannya dibungkus ke dalam vesikel rembesan terikat membran yang boleh dirembeskan daripada sel melalui eksositosis sebagai tindak balas kepada rangsangan tertentu (cth. peningkatan Ca2+ dan kepekatan cAMP dalam sitoplasma).[2]
Prohormon ini selalunya mengandungi sisa-sisa asid amino berlebihan yang diperlukan untuk mengarahkan lipatan molekul hormon menjadi konfigurasi aktifnya, tetapi tidak mempunyai fungsi apabila hormon terlipat. Endopeptidase berkhusus dalam sel memecah prohormon sejurus sebelum ia dilepaskan ke dalam aliran darah, menghasilkan bentuk hormon yang matang. Hormon peptida matang kemudiannya bergerak melalui darah ke semua sel badan, di mana ia berinteraksi dengan reseptor tertentu di permukaan sel sasarannya.
Sesetengah neurotransmiter dirembes dan dilepaskan dalam cara yang serupa dengan hormon peptida, dan beberapa "neuropeptida" boleh digunakan sebagai neurotransmiter dalam sistem saraf selain bertindak sebagai hormon apabila dilepaskan ke dalam darah.
Apabila hormon peptida mengikat kepada reseptor pada permukaan sel, pengutus kedua muncul dalam sitoplasma yang mencetuskan transduksi isyarat yang membawa kepada tindak balas selular.[3]
Sebilangan peptida (angiotensin II, faktor pertumbuhan fibroblas bes 2, protein berkaitan hormon paratiroid) juga bertindak dengan reseptor intrasel di sitoplasma atau nukleus dalam mekanisme intrakrin.[4]
Senarai separa hormon
[sunting | sunting sumber]- Hormon adrenokortikotropik (ACTH)
- Adropin
- Amilin
- Angiotensin
- Peptida natriuretik atrium (ANP)
- Kalsitonin
- Kolesistokinin (CCK)
- Gastrin
- Grelin
- Glukagon
- Polipeptida insulitropik bergantungan glukosa (GIP)
- Peptida seperti glukagon 1 (GLP-1)
- Hormon pertumbuhan
- Hormon perangsang folikel (FSH)
- Insulin
- Leptin
- Hormon peluteinan (LH)
- Hormon perangsang melanosit (MSH)
- Oksitosin
- Hormon paratiroid (PTH)
- Prolaktin
- Renin
- Somatostatin
- Hormon perangsang tiroid (TSH)
- Hormon perangsang tirotropin (TRH)
- Vasopresin atau vasopresin arginina (AVP) atau hormon antidiuretik (ADH)
- Peptida usus vasoaktif (VIP)
- Somatotropin (GH1)
- Hormon pelepas gonadotropin 1 (GNRH1)
- Hormon pelepas gonadotropin 2 (GNRH2)
- Hormon pelepas hormon pertumbuhan (GHRH)
- Protein berkaitan hormon paratiroid (PTHLH)
- Hormon pelepas kortikotropin (CRH)
- Hormon anti-Müller (AMH)
- Hormon somatomamotropin korion 1 (CSH1)
- Hormon somatomamotropin korion 2 (CSH2)
- Hormon penumpu promelanin (PMCH)
- Resistin (RETN)
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Siddle K, Hutton JC (1991). Peptide Hormone Secretion/Peptide Hormone Action: A Practical Approach. Oxford University Press. ISBN 0-19-963073-9.
- ^ Hutton JC (1991). Peptide Hormone Secretion: A Practical Approach. Hull University Press. ISBN 0-19-963068-2.
- ^ Wermuth CG (2003). The Practice of Medicinal Chemistry. Academic Press. ISBN 0-12-744481-5.
- ^ Kraemer WJ, Rogol AD (2005). The Endocrine System in Sports and Exercise. Blackwell Publishing. ISBN 1-4051-3017-2.