Bahasa perantaraan antarabangsa
Bahasa perantaraan antarabangsa (bahasa Inggeris: international auxiliary language , singkatan IAL atau auxlang) atau bahasa antara ialah bahasa kegunaan perhubungan antara insan dari negara berlainan yang tidak sama bahasa ibundanya, iaitu selalunya bahasa kedua.
Bahasa-bahasa dari masyarakat yang lebih berkuasa selama berabad-abad lamanya telah berperanan sebagai bahasa perantaraan, yang adakalanya menghampiri peringkat antarabangsa. Bahasa Perancis dan Inggeris dijadikan bahasa perantaraan di merata dunia pada masa kini.[1] Sungguhpun demikian, disebabkan hubung kait dengan dominasi kebudayaan, politik dan ekonomi yang menjulang martabatnya, maka bahasa-bahasa tersebut turut menghadapi tentangan hebat dari masyarakat bukan penutur bahasa tersebut. Oleh yang demikian, ramai yang mencadangkan rekaan bahasa buatan sebagai penyelesaian.[1]
Istilah "auxiliary" membayangkan peranan sebagai bahasa tambahan untuk masyarakat sedunia, tanpa niat untuk menggantikan bahasa setempat masing-masing. Ungkapan IAL juga diterjemah menjadi "bahasa buatan antarabangsa" yang memaksudkan bahasa buatan yang bertujuan memudahkan komunikasi antarabangsa sedunia, seperti bahasa-bahasa Esperanto, Ido, dan Interlingua. Walaupun begitu, ungkapan tersebut juga memaksudkan konsep bahasa sedemikian yang ditentukan melalui kata sepakat antarabangsa, termasuklah penyeragaman bahasa semula jadi (contohnya, Bahasa Inggeris Antarabangsa), apatah lagi juga dikaitkan dengan usaha mencipta bahasa sejagat.