Pergi ke kandungan

Altruisme

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Altruisme ialah amalan untuk mengutamakan orang-orang lain berbanding diri sendiri. Amalan ini adalah sifat murni dalam banyak budaya, dan merupakan pokok kepada banyak agama. Dalam budaya Inggeris, idea ini sering diperihalkan sebagai peraturan keemasan etika. Dalam Buddhisme, ia dianggap sebagai sifat asas bagi fitrah manusia.

Altruisme boleh dibezakan daripada perasaan kesetiaan dan kewajipan. Amalan ini menumpukan perhatian pada dorongan untuk membantu orang lain atau untuk melakukan sesuatu yang baik tanpa ganjaran. Sebaliknya, kewajipan menumpukan perhatian pada kewajipan moral terhadap sesuatu individu yang tertentu (umpamanya, Tuhan, dan raja), sesuatu pertubuhan yang khusus (umpamanya, kerajaan), atau sebuah konsep yang abstrak (umpamanya negara). Sesetengah orang mungkin berasa kedua-dua altruisme dan kewajipan, manakala orang-orang yang lain mungkin tidak. Altruisme tulen ialah pemberian tanpa menjangka sebarang ganjaran atau manfaat-manfaat pengakuan.

Konsep altruisme mempunyai sejarah yang panjang dalam pemikiran falsafah dan etika, dan baru-baru ini telah dijadikan topik untuk ahli-ahli psikologi, sosiologi, dan biologi evolusi. Sedangkan idea-idea tentang altruisme daripada satu bidang boleh mempengaruhi bidang-bidang yang lain, kaedah-kaedah dan tumpuan-tumpuan yang berbeza dalam bidang-bidang ini telah menimbulkan sudut-sudut pandangan yang berbeza terhadap altruisme.


Altruisme dalam etika

[sunting | sunting sumber]

Perkataan "altruisme" (berasal daripada bahasa Perancis, autrui, "orang lain") telah dicipta oleh Auguste Comte, pengasas positivisme dari Perancis, untuk memerihalkan doktrin etika yang disokongnya. Beliau mempercayai bahawa individu-individu mempunyai kewajipan moral untuk berkhidmat bagi kepentingan orang lain atau kebaikan kemanusiaan yang lebih besar. Dalam karyanya, Catechisme Positiviste, Comte mengatakan bahawa:

"sudut pandangan sosial tidak boleh mentoleransi tanggapan-tanggapan hak disebabkan tanggapan in berasaskan faham perseorangan. Kita dilahirkan di bawah berbagai-bagai jenis kewajipan kepada pendahulu-pendahulu dan pewaris-pewaris kita, serta orang-orang yang hidup sezaman. Selepas kelahiran kita, kewajipan-kewajipan ini bertambah atau berkumpul buat satu tempoh sebelum kita dapat memulangkan sebarang perkhidmatan... Ini [iaitu hidup untuk orang-orang lain"], rumusan yang paling sahih untuk kesusilaan manusia, memberi kebenaran langsung secara eksklusif kepada naluri-naluri sifat suka membuat kebaikan, punca yang sama untuk kebahagiaan dan kewajipan. [Manusia harus berkhidmat untuk] Kemanusiaan, yang kita merupakan sepenuhnya."

Disebabkan nama doktrin etika ialah "altruisme", perbuatan yang ditetapkan oleh doktrin etika juga telah diistilahkan sebagai "altruisme" — berkhidmat kepada orang-orang lain melalui mengutamakan kepentingan mereka berbanding kepentingan diri sendiri.

Ahli-ahli falsafah yang menyokong keakuan telah memperdebatkan bahawa altruisme merendahkan maruah individu dan sebenarnya, kewajipan moral untuk membantu orang-orang lain tidak wujud. Friedrich Nietzsche menegaskan bahawa altruisme mendasarkan andaian bahawa orang-orang lain adalah lebih penting berbanding diri sendiri, dan kedudukan sebegini merendahkan maruah. Beliau juga menuntut bahawa orang-orang Eropah amat jarang mempertimbangkan pengorbanan kepentingan diri sendiri untuk orang lain sehingga selepas kemunculan agama Kristian. Ayn Rand memperdebatkan bahawa altruisme ialah pengorbanan nilai-nilai seseorang secara rela, dan merupakan kebalikan kesusilaan kerana hanya etika mementingkan diri yang rasional dapat membenarkan seseorang mengejarkan nilai-nilai yang diperlukan untuk hidup.

Penyokong-penyokong altruisme sebagai suatu doktrin etika mempertahankan bahawa seseorang harus bertindak, atau menahan diri supaya tidak bertindak, supaya manfaat atau kebaikan diberi kepada orang-orang lain dan jika perlu, sehingga menjejaskan kepentingan diri sendiri. (Perhatikan bahawa menahan diri daripada membunuh orang lain bukannya altruisme kerana orang itu tidak menerima sebarang manfaat atau bantuan disebabkan dia telah mempunyai hayatnya; ini adalah sama sahaja dengan tidak mempedulikan seseorang).

Altruisme dan agama

[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan, jika bukan kesemua, agama sejagat menggalakkan altruisme (konsep bahawa manusia mempunyai kewajipan etika untuk membantu atau melanjutkan kebajikan orang-orang lain) sebagai suatu nilai kesusilaan yang amat penting. Bukan sahaja agama Kristian dan Buddhisme yang amat menekankan kesusilaan altruisme, tetapi agama Yahudi, Islam, Hinduisme dan banyak lagi agama yang lain juga mempromosikan tingkah lakunya.

Altruisme merupakan pokok ajaran-ajaran Jesus yang didapati dalam kitab Gospel. Dari tradisi Kristian Bible hingga tradisi Kristian pertengahan, ketegangan-ketegangan antara pengakuan diri dan yang bukan kekadang dibincangkan di bawah judul "kasih sayang berkecuali" seperti dalam frasa Pauline, "kasih sayang tidak [hanya] berusaha mencari kepentingan-kepentingan diri". Dalam bukunya mengenai indoktrinasi dan penipuan diri... Roderick Hindery mencuba menjelaskan ketegangan-ketegangan ini melalui perbandingan antara penyamar-penyamar pengakuan diri dan altruisme. Beliau mempergunakan analisis orang-orang yang tidak pernah mengaku diri sebagai penyokong altruisme dalam bidang pengindividuan kreatif diri, serta perbandingan antara kasih sayang terhadap beberapa orang dengan kasih sayang terhadap ramai orang. Jika kasih sayang, yang merupakan pengesahan kebebasan orang-orang lain, menjauhkan diri daripada propaganda dan topeng-topeng, jaminan kehadiran altruisme akhirnya akan disahkan bukan hanya melalui pengakuan daripada orang-orang lain, tetapi juga melalui pengalaman dan amalan setiap orang pada dalam dirinya. Seperti dalam seni-seni praktik, kehadiran dan maksud kasih sayang disahkan dan difahami bukan melalui perkataan-perkataan dan pemikiran sahaja, tetapi melalui melakukannya. Ini bukanlah salah satu mukjizat dunia moden yang tidak dapat diterangkan, dan telah sentiasa dibandingkan dengan sains-sains yang terutama.

Altruisme dalam politik

[sunting | sunting sumber]

Sesetengah pembangkang altruisme bukan yang memperdebatkan bahawa doktrin ini adalah berbahaya kerana altruisme akan mengakibatkan pencabulan-pencabulan kebebasan individu jika negara-negara menguatkuasakan prinsip ini. Umpamanya, David Kelley berkata, "Jika pengorbanan diri merupakan suatu idaman — jika perkhidmatan kepada orang-orang lain merupakan idaman yang tertinggi, iaitu jalan tindakan yang paling mulia — mengapakah kita tidak hendak memaksakan semua orang bertindak sedemikian?" Beliau mempercayai bahawa ini akhirnya akan mengakibatkan negara itu memaksakan semua orang mengamalkan sistem politik kolektivisme, iaitu seperti sistem komunis.

Berdasarkan keyakinan-keyakinan politik, penyokong-penyokong altruisme boleh dibahagikan kepada dua kumpulan:

  • mereka yang mempercayai bahawa altruisme merupakan suatu pilihan peribadi (dan oleh itu, penting diri lampau (bahasa Inggeris: selfishness, berbanding kepentingan diri, self-interest) boleh dan harus diterima); dan
  • mereka yang mempercayai bahawa altruisme merupakan idaman kesusilaan yang harus dipeluk oleh semua manusia, jika boleh.

Salah satu penyokong cabang pemikiran politik altruisme pertama yang terkenal ialah Lysander Spooner yang menulis dalam karyanya, Hukum Semula Jadi:

"Manusia, sudah pasti, berhutang banyak lagi kewajipan kesusilaan kepada sesama makhluk; umpamanya, memberikan makanan kepada mereka yang lapar, memberikan pakaian kepada mereka yang telanjang, memberikan tempat perlindungan kepada mereka yang tiada tempat berteduh, menjaga mereka yang sakit, memperlindungi mereka yang tidak berupaya mempertahankan diri, membantu mereka yang lemah, dan menyedarkan mereka yang jahil. Bagaimanapun, kesemua ini hanya merupakan kewajipan-kewajipan kesusilaan yang mana setiap orang harus membuat keputusan diri, dalam setiap kes yang tertentu, tentang bagaimana dan sejauh mana dia boleh dan akan melakukannya."

Perkara-perkara seperti sebuah undang-undang yang memerlukan pemandu-pemandu kereta menepi untuk memberi laluan kepada kenderaan-kenderaan kecemasan mungkin juga dapat diberi alasan yang kuat melalui pengharapan etika altruisme. Akhirnya, penyokong-penyokong radikal cabang ini mungkin akan melanjutkan perkara-perkara tersebut dan menyokong sesetengah bentuk kolektivisme atau faham perkauman.

Altruisme sering dianggap — termasuk juga oleh orang-orang yang bukan penyokong altruisme — sebagai jenis etika yang harus memandu tindakan ahli-ahli politik serta orang-orang lain yang memegang jawatan-jawatan berkuasa. Orang-orang sebegitu biasanya dijangka harus mengetepikan kepentingan-kepentingan diri dan berkhidmat untuk manfaat penduduk-penduduk. Apabila mereka tidak berbuat demikian, mereka akan dikritik sebagai telah gagal dalam apa yang dipercayai sebagai kewajipan etika untuk mengutamakan kepentingan-kepentingan orang lain berbanding kepentingan diri.

Altruisme dalam psikologi dan sosiologi

[sunting | sunting sumber]

Jika seorang melakukan sesuatu perbuatan yang memanfaatkan orang-orang lain dengan tujuan untuk mendapat sesetengah manfaat peribadi, jadi perbuatan itu bukannya sesuatu yang didorong oleh altruisme. Terdapat beberapa sudut pandangan tentang bagaimana "manfaat" (atau "faedah") harus ditakrifkan. Keuntungan kebendaan (umpamanya wang, ganjaran fizikal, dan sebagainya) jelas merupakan satu bentuk manfaat, sedangkan orang-orang lain mengenal pasti dan memasukkan kedua-dua keuntungan kebendaan serta yang bukan kebendaan (kasih sayang, rasa hormat, kebahagiaan, kepuasan, dan sebagainya) sebagai manfaat-manfaat yang serupa dari segi falsafah.

Menurut egoisme falsafah, sedangkan orang-orang dapat menonjolkan tingkah laku altruisme, mereka tidak boleh mempunyai dorongan altruisme. Ahli-ahli egoisme falsafah mengatakan bahawa sedangkan mereka mungkin menghabiskan masa hidup mereka untuk memanfaatkan orang-orang lain tanpa sebarang manfaat kebendaan (atau kerugian kebendaan bersih) kepada diri mereka, tujuan mereka yang paling asas untuk berbuat demikian sentiasa merupakan pengejaran kepentingan diri. Umpamanya, mereka akan mengatakan bahawa tujuan asas seseorang untuk bertindak sedemikian adalah untuk memajukan kesejahteraan psikologi ("perasaan baik") diri mereka. Para pengkritik sering menolak teori ini atas sebab ketakbolehbuktian; dengan kata yang lain, teori ini direka bentuk dengan cara yang menyebabkannya tidak dapat dibuktikan betul atau salah — kerana keuntungan yang bukan kebendaan, seperti "perasaan baik", tidak dapat diukur atau dibuktikan dalam semua orang yang melakukan perbuatan-perbuatan altruisme. Egoisme psikologi telah dituduh kerana menggunakan logik kitaran: "Jika seorang sanggup melakukan sesuatu perbuatan, itu bermakna bahawa orang ini mendapat keseronokan peribadi daripada perbuatannya itu; oleh itu, orang-orang hanya melakukan perbuatan yang memberi mereka keseronokan peribadi". Kenyataan ini adalah tidak masuk akal kerana simpulannya adalah sama sahaja dengan hipotesisnya (ia mengandaikan bahawa orang-orang hanya melakukan perbuatan untuk memberikan mereka keseronokan peribadi, dan menyimpul bahawa orang-orang hanya melakukan perbuatan yang memberikan mereka keseronokan peribadi).

Berbeza dengan egoisme psikologi, hipotesis altruisme empati menyatakan bahawa ketika seorang individu mengalami empati terhadap seseorang yang memerlukan bantuan, individu itu akan didorong oleh altruisme untuk membantu orang ini; iaitu, individu itu akan mengambil berat, terutamanya, tentang kebajikan orang ini dan bukan kebajikan diri sendiri. Dalam bahasa umum, altruisme biasanya bermakna memberi bantuan kepada orang lain tanpa menjangka sebarang ganjaran kebendaan daripada orang itu atau orang-orang yang lain, walaupun perbuatan itu mungkin akan melibatkan "manfaat" dalaman seperti "perasaan baik", kepuasan, penghargaan diri, penunaian kewajipan (baik dikenakan oleh agama mahupun oleh ideologi, atau hanya disebabkan hati nurani), atau sebagainya. Oleh itu, seseorang tidak perlu meneka niat-niat seorang yang melakukan perbuatan-perbuatan altruisme.

Manusia bukan sahaja menunjukkan sikap altruisme kepada ahli-ahli keluarga, rakan-rakan dahulu, atau bakal sekutu-sekutunya, tetapi boleh menunjukkannya kepada orang-orang yang mereka tidak kenal dan tidak akan berjumpa. Umpamanya, sesetengah manusia mendermakan kepada pertubuhan-pertubuhan amal, dan bersukarela untuk membantu orang-orang yang kurang bernasib dalam masyarakat. Adalah tidak mungkin bagi sesiapa untuk mendakwa bahawa kesemua perbuatan altruisme dilakukan dengan pengharapan balasan. Analisis teori permainan untuk strategi 'kalau-kalau' yang berdasarkan prinsip, "selalu membantu setiap orang kalau-kalau anda memerlukan pembalasan", adalah satu strategi yang nyata sekali tidak optimum kerana perbelanjaan bersih untuk usaha-usaha (tit) jauh melebihi keuntungan bersihnya ketika perbuatan-perbuatan itu sekali sekala mendapat pembalasan (tat).

Menurut sesetengah orang, adalah susah untuk mempercayai bahawa tingkah-tingkah laku itu dapat diterangkan hanya melalui kerasionalan penting diri lampau, baik sedar mahupun tidak. Perumusan matematik untuk pemilihan keluarga yang lebih kurang macam dilema banduan boleh membantu, tetapi apa yang penjelasan teori permainan itu tidak mempertimbangkan adalah bahawa tingkah laku altruisme boleh berasal daripada satu fenomena nyata yang penuh misteri, iaitu hati naluri. Ahli falsafah Daniel Dennett telah mengemukakan satu cadangan ketika mempertimbangkan masalah penumpang percuma dalam tragedi kebaikan umum, satu versi dilema banduan pada skala yang lebih besar.

Dari segi teori permainan, 'penumpang bebas' ialah seorang egen yang menerima manfaat daripada masyarakat koperasi tanpa membuat sebarang sumbangan. Dalam keadaan satu lawan satu, perbuatan penumpang bebas dapat tidak digalakkan dengan mudah dengan strategi balas balik. Bagaimanapun dalam sebuah masyarakat yang lebih besar, dan yang mengumpulkan dan berkongsi sumbangan dan manfaat, penumpang bebas adalah amat susah untuk dielakkan.

Andaikanlah sebuah masyarakat mudah yang terdiri daripada organisma-organisma yang bekerjasama. Ejen-ejen kerjasama itu saling bertindak antara satu sama lain, dengan setiap organisma membuat sumbangan dan menerima daripada kebaikan umum. Kemudian, andaikanlah satu penumpang bebas penyangak, iaitu satu ejen yang menerima manfaat ("anda menggaru bahagian belakang saya") tetapi kemudian enggan membalasnya. Masalahnya adalah bahawa perbuatan penumpang bebas itu akan sentiasa memanfaatkannya sehingga mengorbankan masyarakat. Bagaimanakah ajen-ajen kerjasama yang bertingkah laku baik dapat mengelakkan penipuan? Melalui banyak generasi, satu penyelesaian yang nyata adalah untuk ejen-ejen kerjasama itu mengembangkan keupayaan untuk mengecamkan penumpang-penumpang bebas lebih dahulu dan enggan memulakan sebarang perikatan bersaling dengan mereka. Dengan itu, tindak balas penumpang bebas berkanun adalah untuk mengembangkan penyamaran yang lebih dapat meyakinkan ejen-ejen kerjasama dan menipu mereka supaya "bekerjasama" pada akhirnya. Ini boleh menyebabkan perlumbaan senjata evolusi, dengan kedua-dua penyamaran dan pengesanan menjadi semakin canggih.

Dalam perlumbaan senjata evolusi ini, apakah cara yang terbaik untuk meyakinkan rakan-rakan bahawa seseorang benar-benar merupakan ahli kerjasama sebenar, dan bukannya seorang penumpang bebas yang menyamarkan diri sebagai ahli kerjasama? Salah satu cara ialah untuk benar-benar menjadikan diri sebagai ahli kerjasama sebenar melalui mewujudkan perintang-perintang psikologi supaya dapat mengelakkan mungkir janji-janji, dan mempromosikan fakta ini kepada setiap orang. Dengan kata yang lain, satu penyelesaian yang baik ialah untuk organisma-organisma mengembangkan perkara-perkara supaya setiap orang mengetahui perkara-perkara itu akan menyebabkan mereka menjadi ahli-ahli kerjasama — dan menegaskannya dengan ketara bahawa merekalah yang mengembangkan perkara-perkara itu. Oleh itu, evolusi akan menghasilkan organisma-organisma yang jujur dari segi kesusilaan; dengan pendek kata, evolusi akan menimbulkan fenomena hati naluri.

Teori ini, bersama dengan idea-idea pemilihan keluarga dan perkongsian manfaat satu dengan satu, mungkin dapat menjelaskan bagaimana satu proses yang buta dan pada dasarnya mementingkan diri dapat menghasilkan sejenis altruisme sebenar yang bukan sinis dan yang menimbulkan hati naluri manusia.

Pengkritik-pengkritik terhadap analisis teori permainan teknik menunjukkan bahawa teori ini kelihatan terlupa bahawa manusia adalah rasional serta beremosi. Mana-mana satu teori yang menganalisis tingkah laku manusia tanpa merangkumi kerasionalan atau emosi manusia adalah terlalu sempit dan tidak realistik. Selain itu, teori ini mengandaikan manusia seolah-olah mereka hanya merupakan mesin yang kekadang dipanggil Homo economicus. Lagi satu bantahan adalah bahawa orang-orang sering membuat pendermaan tanpa menyatakan nama dan oleh itu, penentuan adakah mereka benar-benar melakukan perbuatan altruisme merupakan sesuatu yang mustahil.

Bermula dengan pemahaman bahawa manusia rasional hidup dan menerima manfaat daripada sebuah alam semesta yang baik, susulannya adalah bahawa orang-orang tertentu mungkin memperoleh banyak kepuasan daripada perbuatan-perbuatan yang dianggapi mereka akan menyebabkan dunia ini menjadi satu tempat yang lebih baik.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]