Bentuk terawal huruf W merupakan huruf V berganda yang dipakai pada abad ke-7 oleh para penulis bahasa Inggeris Lama yang terawal sekali; dari dwihuruf "uu" inilah timbul nama "double U". Dwihuruf ini tidak begitu laris dipakai kerana bunyinya ketika itu lebih banyak ditandai huruf runewynn (Ƿ), namun huruf W semakin laris selepas Penaklukan Norman, dan menjelang tahun 1300 huruf W mengganti huruf wynn dalam kegunaan biasa. Bentuk-bentuk lain huruf ini termasuklah sepasang huruf V yang bertindih cabangnya di tengah; dan satu bentuk kursif yang ditemui dalam tulisan bahasa Inggeris dan Jerman abad ke-19 yang berupa huruf "n" yang cabang kanannya melengkung menjadi bentuk "v" kursif (bandingkan dengan bentuk ƕ).
Cuma ada lima bahasa Eropah moden utama yang memakai huruf W dalam kata-kata jatinya, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Jerman, bahasa Poland, bahasa Belanda, dan bahasa Wales. Dalam bahasa Inggeris bunyinya /w/, dalam bahasa Jerman dan Poland bunyinya /v/ (bahasa Poland memakai huruf Ł bagi /w/), sementara dalam bahasa Belanda bunyinya /ʋ/. Bahasa Wales pula memakai huruf W untuk menandakan bunyi vokal dan konsonan. Bahasa Inggeris juga mengandungi sebilangan kata-kata bermula dengan wsenyap sebelum r yang disebut (dalam sesetengah loghat), yang diwarisi dari Bahasa Anglo-Saxon yang mana bunyi w disebuy: wreak, wrap, wreck, wrench, wroth, wrinkle, dan sebagainya.