Keterbukaan Yang Menuju Kedamaian

Hello hello.

Hari ini hari raya ketiga. Masuk tahun kedua beraya di Labuan. Sudah tentunya kerana dunia masih lagi dilanda pandemik COVID-19. Pagi ini mendung dan hujan renyai-renyai di Labuan. Semangat dah bangun awal pagi tadi, ingatkan nak pergi ride. Dah siap pam tayar dah malam tadi. Heh.

Jadi, disebabkan perancangan asal untuk beriadah tak jadi, maka kita sambung baca buku “Bercakap Dengan Quran” tulisan Syazreen Mohd. Ya ampun, bukunya nipis sahaja, kandungannya pun bagus, TAPI lambatnya nak habiskan sebab mencabar untuk dibaca. 😑

Mencabar bukan sebab topiknya susah, tapi penulisan penulis yang suka guna ayat panjang-panjang macam tak cukup noktah dalam dunia ni. Editor buku ni buat kerja ka tidak ni? Sayang sangat, kandungan/mesej yang ingin disampaikan dalam buku ni sangat baik tapi cara penulisan dan struktur ayat yang menjadikan kita yang membaca ni perlu ambil masa untuk hadam apa yang penulis mahu sampaikan. Oh, belum masuk lagi cerita saiz fontnya kecil yang amat! Haih.

Saya tertarik untuk membeli buku ini kerana ingin mengetahui idea yang dibawa oleh penulis. Itu pun selepas saya melihat iklan buku terkini daripada penulis yang diterbitkan oleh Ilhambooks yang bertajuk “Syahadah Kedua: Menilai Semula Pemahaman Syahadah Masa Kini”. Blurb yang disediakan oleh Ilhambooks di facebook mereka sangatlah mengundang kita untuk membeli.

Progresif dan Liberal?

Mutakhir ini, saya tertarik dengan penulisan-penulisan mereka yang terbuka pemikirannya. Kebanyakannya saya follow di facebook. Mereka yang konservatif dengan mudah akan melabel golongan ini sebagai “liberal” (yang biasanya berkonotasi negatif dan seringkali dikaitkan dengan penyelewengan dalam pemahaman beragama). Hakikatnya, konsep liberal itu tidak sesempit yang mereka andaikan.

Tapi saya faham mengapa mereka memberikan konotasi negatif kepada perkataan liberal. Maksud ‘liberal’ menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah ‘bersifat atau ber­pandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kpd sesuatu aliran pemikiran dsb); meliberalkan menjadikan liberal (bebas dan terbuka)’ – apa yang menjadi trigger kepada golongan konservatif adalah perkaitan liberal dengan perkataan ‘bersifat atau berpandangan bebas’.

Bagi mereka berpemikiran liberal itu adalah sama dengan berpandangan bebas yang terbabas. Contohnya, mereka suka menyamakan liberal = berpandangan bebas = menyokong hak asasi manusia = menyokong LGBT.

Lucu bukan?

Dari segi politik atau ekonomi, liberal itu merujuk kepada ekonomi pasaran bebas (bebas maksudnya campur tangan yang minimal oleh kerajaan). Satu lagi pengertian liberal yang terdapat di dalam Kamus Dewan adalah ‘(bersifat) condong kpd kebebasan dan pemerintahan yg demokratik (mis me­nentang hak-hak istimewa kaum bangsawan)‘.

Kalau saya (menurut pengetahuan yang terhad tentang ekonomi), saya tidak gemar pada konsep pasaran bebas yang banyak menguntungkan kapitalis. Sistem kapitalis telah banyak mendatangkan ketidakadilan buat para pekerja yang makan gaji. Kebanyakan masa, orang-orang kaya semakin kaya dengan perniagaan mereka tetapi semua itu dicapai dengan memerah keringat golongan pekerja yang diberikan gaji ciput sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.

Teringat pula saya pada sebuah sajak yang dikongsikan oleh seseorang di media sosial yang menggambarkan ketidakadilan ini:

Itu adalah bentuk ekonomi “liberal” yang saya tidak sepenuhnya bersetuju. Saya lagi suka kalau kerajaan mengenakan cukai tinggi kepada orang yang super-kaya (bukanlah sampai tahap orang kaya jadi miskin lah).

Tapi kalau manusia boleh hidup dengan rasa cukup (atau dalam bahasa islamiknya, bersifat qanaah), orang kaya bersifat pemurah tentu tidak berapa kisah berkongsi rezeki mereka sama ada dengan kesanggupan membayar cukai tinggi ataupun memberikan nilai gaji yang lebih baik kepada golongan pekerja.

Liberal: Baik atau Tak Baik?

Jika kita lihat maksud liberal yang satu lagi; demokratik dan menentang hak-hak istimewa kaum bangsawan (atau bangsa tertentu) – ini saya setuju. Manusia itu seharusnya sama sahaja. Tak ada yang lebih mulia dari manusia lain, yang perlu diberikan layanan istimewa oleh satu pihak kepada pihak yang lain.

Malahan, semangat ini selari dengan Al-Quran, Surah Al-Hujurat ayat 13 di mana Allah S.W.T berfirman yang maksudnya,

“…sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti“.

Jadi, apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah, perkataan ‘liberal’ ini bukanlah secara simplistik boleh kita gunakan untuk melabelkan sesuatu yang negatif. Ketika saya menulis post ini, saya membuat carian tentang maksud liberal dan menemukan saya satu contoh penggunaan perkataan ‘liberal’ yang malas (ignorant):

“Liberalisme adalah satu bentuk fahaman sekularisme, iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas dari ketentuan agama.”

“Berdasarkan kepada fakta dan kefahaman mereka, jelas kumpulan liberal ini hanya sebahagian kumpulan fahaman sekularisme yang dibangunkan di atas sikap berpaling daripada syariat Allah sebenar, kufur kepada ajaran dan petunjuk Allah dan rasulnya serta menghalang manusia lain mengikut syariat Allah sebenar.”

Penulis artikel tersebut turut menyebut bahawa jika seseorang itu berfikiran liberal maka orang tersebut hanya mengikut logik akal dan membelakangkan Al-Quran dan hadith (dan penulis adalah seorang pensyarah kanan di salah sebuah universiti tempatan). 😅

Saya tidak pasti 100%, tetapi saya boleh agak dari mana datangnya pemahaman seperti itu. Mereka sebenarnya risau umat ini tersesat (ya, ini suatu kepedulian yang bagus). Mereka melihat melalui pengalaman mereka, golongan yang ‘terbuka’ ini sepertinya tersasar. Sebagai contohnya, antara watak-watak ‘liberal’ yang seringkali disebut adalah orang-orang seperti Kassim Ahmad, Siti Kassim, Sisters In Islam, dll.

Tetapi hakikatnya, budaya melarang umat ini daripada berfikir adalah tidak sihat. Bagi saya, semua orang perlu diberi peluang untuk mendengar apa jua pandangan (tanpa melakukan pe-label-an negatif pada pandangan yang tidak sama dengan kita). Kita perlu memberi peluang kepada semua orang untuk memilih dan setelah mereka membuat pilihan, kita perlu menghormati pilihan tersebut (tanpa melabelkan orang itu sesat dan jahat).

Jika kita merasakan pandangan kita adalah kebenaran, maka kita perlu berusaha memberi penjelasan, berbalas hujah, mewujudkan dialog (baca: pertukaran pendapat dan soal jawab mengenai sesuatu). Sama ada orang mahu menerima atau tidak pandangan kita, terpulang. Kerana, setiap pilihan individu itu, apa jua kesan dan akibatnya, dia sendiri yang bertanggungjawab ke atasnya, di dunia dan akhirat.

Kadang-kadang, mereka yang ‘memaksakan’ pandangan mereka ke atas orang lain, menyangka diri mereka melakukan “kerja agama” (atau bahasa fancy-nya, “amar ma’ruf nahi munkar“). Namun mereka lupa, kerja kita hanya menyampaikan, bukan memaksa. Lagi-lagi memaksa dengan menyalahguna kuasa yang mereka ada – itu haram, ini haram!

Keterbukaan: Asas Beragama Dengan Sihat

Jauh juga melencong pemikiran ini, asalnya hanya mahu berkongsi kenapa saya mutakhir ini cenderung kepada penulisan mereka yang berfikiran terbuka. Bila cakap berfikiran terbuka, mahu tidak mahu, tidak dapat lari daripada perkataan ‘liberal’. Nah, sampai ke sini ceritanya tentang liberal yang sering diertikan secara tidak adil. Heh.

Sebenarnya, apa yang saya mahu sampaikan ialah sebagai masyarakat kita perlu menghentikan budaya label-melabel. Sejujurnya, semenjak dari sekolah menengah lagi saya sudah mendengar orang dewasa mengatakan, “Jangan baca buku si polan, pemikirannya berbahaya kepada aqidah“.

Namun, mereka yang mengatakan sedemikian tidak pernah mengajak audiens mereka untuk membaca atau meneliti apatah lagi membincangkan secara terperinci apa yang betul atau salah pada individu atau penulisan yang mereka labelkan ‘salah’ dan ‘sesat’ itu.

Akibatnya, saya membesar dengan “pesanan” tersebut, menerima pandangan orang-orang yang saya tsiqah sahaja (yang pernah menyertai usrah, tentu boleh faham maksud saya ini). Saya kurang terdedah kepada kepelbagaian pendapat. Bersetuju atau tidak bersetuju dengan sesuatu tanpa benar-benar memhami ‘kenapa’ di sebaliknya. Taqlid buta kata orang.

Sehinggalah satu tahap, apabila pandangan yang saya dipaksakan untuk menerima (secara tidak sedar) tanpa boleh mempersoalkan terasa bertentangan dengan nilai kemanusiaan.

Perasaan “eh kenapa rasa macam tak betul saja apa yang mereka buat ni?” timbul apabila melihat mereka yang berjuang atas nama agama melakukan perkara yang tidak selari dengan nilai agama. Lebih parah, dalil agama dipetik seperti memetik daun di tepi jalan, diambil sahaja sesuka hati mengikut kepentingan semasa mereka.

Oleh itu, pentingnya kita didedahkan dengan pelbagai pemikiran dan cara berfikir. Kita perlu baca pandangan yang pelbagai. Setiap pandangan itu ada hujahnya, ada penjelasannya. Jika ia berkenaan dengan tafsiran agama, ada dalilnya sama ada Al-Quran mahupun as-sunnah.

Dan, sebagai makhluk ciptaan Allah yang dikurniakan akal, kita bertanggungjawab untuk memahami setiap pandangan itu dan berdisiplin untuk menerima pandangan yang disertakan dengan dalil yang sahih (bukan main percaya sahaja semua hadith yang dikongsikan). Kita perlu bekerja keras menggunakan akal yang dikurniakan. Kita perlu melalui proses berfikir, bertanya, berbincang, dan merefleksi sebelum menerima atau tidak sesuatu pandangan itu.

Bukan tutup minda kita dan percaya sahaja apa orang kata. Di akhirnya, kita yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T. untuk setiap pilihan kita. Jangan ulangi kesilapan saya yang selalu secara malas dan mudah berhujah, “Dia dia lagi tahu tentang agama, kita tak tahu, jadi ikut sahaja sebab sudah tentu dia betul.”

Sedangkan ulama’ zaman-berzaman pun ada perbezaan pendapat, sehingga wujudnya pelbagai aliran pemikiran. Jangankan kata yang jauh berbeza seperti sunni dan syiah, dalam kalangan ahli sunnah wal jamaah (ASWJ) juga ada pandangan berbeza.

Mereka itu ulama’ ya, yang hafal al-Quran dan beribu hadith! Bagaimana kita boleh dengan mudah percaya dan menerima pandangan satu pihak atau golongan sahaja secara membuta-tuli tanpa melalui proses berfikir yang sepatutnya? Sedangkan ulama’ terdahulu telah mencontohkan kepada kita bahawa berfikir menggunakan akal itu perlu diharmonikan dengan pembacaan Al-Quran dan hadith.

Buku ‘Bercakap Dengan Quran’

Baik, kembali kepada asal post ini tadi. Tentang buku ‘Bercakap Dengan Quran’.

Walaupun saya belum habis membacanya, bagi saya ini antara mesej penting yang terkandung dalam buku tersebut: kepentingan membaca dan mengkaji dari sumber pelbagai dan kepentingan berfikir, kerana dengan akal yang sihat barulah kita boleh beragama dengan sihat.

Kita perlu menerima hakikat bahawa interpretasi terhadap teks itu perlu melihat kepada konteks. Interpretasi golongan terdahulu adalah terhasil dari pengalaman mereka pada ketika itu. Ia bukan sesuatu yang tidak boleh dibahaskan semula. Ia adalah pemikiran ulama’, bukan firman Allah S.W.T. ataupun sunnah Rasulullah S.A.W. yang tidak boleh diubah.

Kita perlu golongan agamawan yang berdisiplin dalam merujuk hanya kepada dalil yang sahih namun cerdas pemikirannya serta rajin berfikir untuk memberikan solusi (atau hukum) yang menjawab permasalahan hari ini. Di akhirnya, solusi agama itu perlu membebaskan manusia daripada penindasan dan kezaliman. Ia perlu menerbitkan rasa kasih-sayang yang membawa kepada perdamaian.

Penutup

Adalah janggal jika kita mengatakan kita memperjuangkan agama dan menggunakan dalil agama, namun ia tidak menjadikan manusia merasa betapa rahmahnya Tuhan itu.

Langkah pertama ke arah menyebarkan rahmah itu adalah dengan menjadi liberal. Asalkan kita tidak berfikiran sempit, menjadi liberal itu tidak salah, malah ia adalah kunci untuk membuka fikiran kita dalam memahami perintah Allah S.W.T. dan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. agar tujuan agama (maqasid syariah) itu dicapai di mana sahaja, pada bila-bila masa.

Oh, jika anda masih berpegang pada tafsiran ‘liberal’ yang negatif, tulisan saya ini tidak akan memberi makna sedikit pun untuk anda.

“Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!”

Wallahu’alam.