Pergi ke kandungan

Syeikh Muhammad Abduh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Muhammad Abduh)
NamaSyeikh Muhammad Abduh
LahirMuhammad bin Abduh bin Hasan Khairullah
1849 (1849)M/1266H[1]
Delta Nil, Mesir
Wafat11 Julai 1905/7 Jamadilawal 1323H (berumur 56)
Iskandariah, Mesir
NegaraMesir
EtnikArab
WilayahTimur Tengah
DenominasiIslam
PergerakanSalafi,[2][3][4] Modenisme Islam[5]
Alma materal-Azhar
dipengaruhi oleh

Syeikh Muhammad Abduh (Bahasa Arab: محمد عبده) merupakan seorang pakar undang-undang berbangsa Mesir, ilmuan agama, dan reformis pendidikan melalui pengislahan dalam sistem pendidikan.

Riwayat hidup

[sunting | sunting sumber]

Nama sebenar Syeikh Muhammad Abduh ialah Muhammad bin Abduh bin Hasan Khairullah (Bahasa Arab: محمد بن عبده بن حسن خير الله). Bapanya, Abduh bin Hasan Khairullah, merupakan seorang petani dan mempunyai salasilah keturunan dengan bangsa Turki. Ibunya, Junaidah Uthman, dikatakan mempunyai salasilah perhubungan dengan Saidina Umar bin al-Khattab r.a.. Nama Abduh diambil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w., iaitu abduhu wa rasuluh (Bahasa Arab: عبده ورسوله). Beliau dilahirkan pada tahun 1849 Masihi bersamaan dengan 1265 Hijrah di Kampung Mahallat Nasr, Mukim Sujubrakhit, Daerah Buhairah, Mesir.

Syeikh Muhammad Abduh pernah dibuang negeri kerana dikatakan terlibat dengan Pemberontakan Urabi. Beliau dibuang negeri pada tahun 1882 Masihi. Semasa menjalani hukuman tersebut, beliau pergi ke Perancis dan menerbitkan majalah al-Urwah al-Wuthqa (Bahasa Arab: العروة الوثقى) bersama gurunya, Sayid Jamaluddin al-Afghani.

Beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam kerajaan. Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah:

  • guru di Masjid al-Husaini di Mesir;
  • pensyarah di Darul 'Ulum, Mesir;
  • guru di Sekolah as-Sultaniah, Beirut;
  • Ketua Editor Akhbar al-Waqa'i'a al-Misriyah (Bahasa Arab: الوقائع المصرية) di Mesir;
  • Ketua Hakim Mahkamah Rayuan di Mesir;
  • anggota Majlis Pengurusan Universiti al-Azhar di Mesir;
  • mufti kerajaan Mesir (1899 - 1905).

Beliau meninggal dunia pada tahun 1905 bersamaan dengan tahun 1314 Hijrah di Iskandariah, Mesir.

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Syeikh Muhammad Abduh telah belajar menulis dan membaca daripada bapanya semasa kecil. Seepas itu, beliau telah mempelajari dan menghafaz al-Quran semasa berusia 10 tahun. Setelah selesai menghafaz al-Quran, beliau menyempurnakan tajwidnya dan mempelajari ilmu bahasa Arab di Masjid al-Ahmadi. Beliau juga mempelajari tasawuf dan tatabahasa Arab daripada Syeikh Darwish Khudr dan Syeikh Darwish.

Semasa menuntut di Universiti al-Azhar, beliau telah mempelajari banyak ilmu, termasuklah matematik dan falsafah daripada Syeikh Hasan at-Tawil.

Pada tahun 1877, beliau memperolehi ijazah daripada Universiti al-Azhar.

Pada tahun 1896, Syeikh Muhammad Abduh berkesempatan bertemu dengan Sayid Jamaluddin al-Afghani yang mengunjungi Mesir dan sempat mendalami bidang akademik dan pemikiran Islam.

Keperibadian

[sunting | sunting sumber]

Syeikh Muhammad Abduh memiliki sifat keperibadian yang tinggi. Beliau berani menyatakan idea-idea islahnya walaupun terpaksa berhadapan dengan rintangan yang besar. Beliau juga berani menyatakan kebencian bangsa Mesir terhadap tentera Inggeris kepada tokoh-tokoh Inggeris semasa mengunjungi London pada tahun 1881. Beliau juga mendesak agar segera keluar dari bumi Mesir kerana Islam ditegah memberi ketaatan kepada yang lain daripada Islam.

Walaupun Syeikh Muhammad Abduh seorang yang tegas, namun di sebalik ketegasannya itu, ada sifat penyayang kepada anak-anak muridnya. Beliau menubuhkan al-Jami'iah al-Khairiah al-Islamiah (Bahasa Arab: الجمعية الخيرية الإسلامية) untuk membantu murid-muridnya yang menghadapi masalah kewangan.

Selain itu, beliau merupakan seorang ulama yang berketerampilan. Beliau diberi kepercayaan untuk menjawat beberapa jawatn penting negara seperti Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Mesir, Ahli Majlis Pengurusan Universiti al-Azhar Mesir dan Mufti Kerajaan Mesir.

Di samping itu, Syeikh Muhammad Abduh merupakan seorang yang berdaya kreatif dalam menghasilkan tulisan-tulisan yang bernas, sehingga dapat mempengaruhi pemikiran umat Islam ketika itu.

Aliran pemikiran serta perjuangan

[sunting | sunting sumber]

Syeikh Muhammad Abduh banyak mengambil inspirasi daripada Gerakan Islah yang dipelopori oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani. Kesannya, beliau lebih bersikap terbuka berbanding sebelumnya.

Beliau banyak memberi saranan ke arah pembangunan rohani dan jasmani umat Islam. Saranan-saranan beliau meliputi aspek-aspek berikut:

  • Akidah: Syeikh Muhammad Abduh menyeru umat Islam agar kembali kepada ajaran sebenar dalam bentuk yang asal dan murni serta menyesuaikannya dengan kehendak semasa. Syaratnya, ia tidak boleh bercanggah dengan kehendak al-Quran dan Sunnah. Beliau menolak sekeras-kerasnya konsep Taqlid al-A'ma (Bahasa Arab: تقليد الأعمى) atau taklid buta. Beliau mengajak umat Islam mempelajari ilmu-ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah untuk membina umat yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan seterusnya mampu keluar daripada belenggu penjajahan.
  • Integrasi ilmu: Syeikh Muhammad Abduh mendapati sisitem pendidikan pada masa itu hanya tertumpu kepada bidang-bidang agama dalam bentuk huraian kitab-kitab klasik tanpa cuba disesuaikan dengan kehendak semasa. Berdasarkan pengalamannya belajar di Tanta dan Universiti al-Azhar, beliau mendapati keadaan pembelajaran di Tanta terlalu mundur, sehingga disifatkan anak muda yang suka belajar di situ sentiasa dibendung rasa putus asa. Keadaan di Universiti al-Azhar juga sama. Beliau mengkritik dengan katanya:

"Aku sangka pengajian seperti ini hanya berlaku di Tanta sahaja, tetapi juga berlaku di al-Azhar. Aku dapati 95 peratus daripada pelajarnya tidak dapat bertahan lebih lama dengan corak pengajaran seperti ini. Para guru mengajar apa yang dia faham ilmu itu tanpa mengira kemampuan pemahaman seseorang pelajar. Mereka menyangka pelajar telah faham, sedangkan sebenarnya mereka tidak faham."

Beliau menyarankan supaya bidang-bidang ilmu Fardu Kifayah dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah dan universiti. Saranan itu diterima oleh Kerajaan Mesir. Sukatan pengajian di Universiti al-Azhar diubah selaras dengan saranan beliau dan dijadikan sebagai model kepada pusat-pusat pengajian tinggi lain di seluruh dunia Islam.

  • Kecekapan pentadbiran: Ketika Syeikh Muhammad Abduh bertugas sebagai Hakim di Mahkamah Rayuan Mesir, beliau mendapati kepincangan dalam sistem pentadbiran kehakiman. Beliau berpendapat ia tidak sistematik dan perlu dengan pengislahan. Pengislahan yang dilakukan dimuatkan di dalam karyanya yang berjudul at-Tahrir fi Islah al-Mahakim as-Syar'iyyah (Bahasa Arab: التحرير في إصلاح المحاكم الشرعية).

Faktor melakukan pengislahan dalam sistem pendidikan

[sunting | sunting sumber]
  • Beliau mendapat inspirasi Gerakan Islah Sayid Jamaluddin al-Afghani yang menjurus ke arah mewujudkan integrasi ilmu.
  • Kesedaran Syeikh Muhammad Abduh terhadap keperluan kepada Islah dalam kurikulum sekolah dan universiti yang sudah ketinggalan zaman.
  • Sistem pendidikan masa itu menjurus ke arah taqlid buta dan pasfi (jumud).
  • Kekurangan prasarana pendidikan serta bantuan dari Kerajaan Mesir kepada golongan miskin.
  • Kadar gaji guru yang rendah.

Kaedah Islah

[sunting | sunting sumber]

Disebabkan proses Islah memakan masa yang panjang dan dengan strategi yang baik, Syeikh Muhammad Abduh menggunakan pelbagai metode untuk menyalurkan idea-idea Islahnya. Antara saluran-saluran idea Islahnya ialah:

  • melalui proses pengajarannya di Masjid al-Husaini, Darul 'Ulum, dan Universiti al-Azhar;
  • melalui media massa seperti majalah al-Urwah al-Wuthqa, akhbar al-Waqa'i'a al-Misriyyah dan al-Ahram (Bahasa Arab: الأهرام);
  • melalui karya-karya ilmiah beliau seperti Risalah at-Tauhid (Bahasa Arab: الرسالة التوحيد), Tafsir Juz' 'Amma (Bahasa Arab: تفسير جزء عم), at-Tahrir fi Islah al-Mahakim as-Syar'iyyah, al-Islam Wa ar-Raddu 'ala Muntaqidih (Bahasa Arab: الإسلام والرد على منتقديه), dan al-Islam wa an-Nasraniyyah ma'a al-'ilmi wa al-Madaniyyah (Bahasa Arab: الإسلام والنصرانية مع العلم والمدنية).
  • melalui jawatan-jawatan yang disandang seperti Hakim Mahkamah Rayuan Mesir, ahli Majlis Pengurusan Universiti al-Azhar Mesir dan Mufti Kerajaan Mesir.

Sumbangan dalam bidang pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Idea-idea yang dibawa oleh Syeikh Muhammad Abduh telah mengubah pandangan umat Islam terhadap Islam yang sering terikut-ikut dengan sebahagian sarjana Muslim yang jumud dan pasif. Syeikh Muhammad Abduh berjaya memberi gambaran yang jelas tentang keperluan umat Islam kepada Islah, khususnya dalam bidang pendidikan. Idea Islah Syeikh Muhammad Abduh dalam bidang pendidikan, khususnya di Universiti al-Azhar telah memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan ilmu pengetahuan umat Islam. Antara idea tersebut ialah:

  • mewujudkan mata pelajaran matematik, geometri, algebra, geografi, sejarah dan seni khat;
  • mewujudkan piawaian dalam penganugerahan sijil;
  • mewujudkan farmasi khusus untuk pelajar Universiti al-Azhar;
  • menyediakan peruntukan gaji guru dari perbendaharaan negara dan waqaf negara;
  • memperbaiki asrama pelajar dengan menekankan aspek-aspek keselamatan dan kesihatan.

Syeikh Muhammad Abduh Juga meninggalkan beberapa karya yang bermutu dan menjadi sumber rujukan utama dalam dunia Islam seperti:

  • Riasalah at-Tauhid
  • Tafsir Juz' 'Amma
  • Tafsir Surah al-'Asr
  • Risalah ar-Raddi 'ala ad-Dahriyyin yang merupakan terjemahan karya Sayid Jamaluddin al-Afghani
  • Syarh Nahji al-Balaghah
  • Syarh Maqamat al-Badi'
  • at-Tahrir fi Islah al-Mahakim as-Syar'iyyah
  • al-Islam wa ar-Raddu 'ala Muntaqidih
  • al-Islam wa an-Nasraniyyah ma'a al-'ilmi wa al-Madaniyah

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Apandi Sahi, Amir Abdul Hamid, Mohd. Zaini Yahya, 2004. Master Studi Sasbadi SPM Pendidikan Islam Tingkatan 4 dan 5. Selangor: Sasbadi Sdn. Bhd.
  • Samsu Adabi Mamat, Wan Ramli Wan Muhamad, 2002. Cendekiawan Islam: Perintis Peradaban Manusia. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
  1. ^ Kerr, Malcolm H. (2010). "'Abduh Muhammad". Dalam Hoiberg, Dale H. (penyunting). Encyclopædia Britannica. I: A-ak Bayes (ed. 15th). Chicago, IL: Encyclopædia Britannica Inc. m/s. 20–21. ISBN 978-1-59339-837-8.
  2. ^ Chris Heffelfinger, Radical Islam in America: Salafism's Journey from Arabia to the West, Chapter 2, p.3. ISBN 1597976032
  3. ^ John L. Esposito, The Oxford Handbook of Islam and Politics, p 33. ISBN 0195395891
  4. ^ Richard Gauvain, Salafi Ritual Purity: In the Presence of God, p 33. ISBN 071031356X
  5. ^ "On Salafi Islam Dr. Yasir Qadhi". Muslim Matters. April 22, 2014. Dicapai pada 14 Ogos 2017.
  6. ^ Hussein Abdul-Raof (2012), Theological Approaches to Qur'anic Exegesis: A Practical Comparative-contrastive Analysis, Routledge, m/s. 3, ISBN 9780415449588