Kebudayaan Rusia
Masyarakat Rusia terdiri daripada 160 kelompok etnik dan pribumi yang berbeda.[1] Kaum Rusia yang mengamalkan tradisi Ortodoks Slavik, Tatar dan Basykir dengan budaya Muslim Turkik, kaum nomad Buryat dan Kalmyk yang beragama Buddha, penganut kepawangan di Utara Jauh dan Siberia, masyarakat tanah tinggi di Kaukasus Utara, orang Fino-Ugrik di Timur Jauh Rusia dan Kawasan Volga, semuanya menyumbang kepada kepelbagaian budaya negara gergasi ini.
Kebudayaan rakyat
[sunting | sunting sumber]Hasil kraftangan, seperti mainan Dymkovo, khokhloma, gzhel dan miniatur palekh melambangkan aspek penting dalam kebudayaan rakyat Rusia. Antara pakaian tradisional etnik Rusia ialah kaftan,kosovorotka dan ushanka untuk lelaki, sarafan dan kokoshnik untuk wanita, dengan lapti dan valenki sebagai kasut. Pakaian Kossak dari Rusia Selatan pula merangkumi burka dan papaha yang dikongsi bersama kaum-kaum Kaukasus Utara.
Pelbagainya kelompok etnik Rusia bermakna bermacam-macam juga tradisi muzik rakyatnya. Antara alat-alat muzik etnik Rusia ialah gusli, balalaika, zhaleika dan garmoshka. Muzik rakyat banyak mempengaruhi penggubah klasikal Rusia, dan pada zaman moden ia juga merupakan punca ilham bagi beberapa pemuzik rakyat, termasuk Melnitsa. Lagu-lagu rakyat Rusia dan juga lagu-lagu patriotik Soviet menjadi bahan utama persembahan Koir Tentera Merah yang terkenal.
Warga Rusia gemar bermandi dalam banya, sejenis mandian panas yang serupa dengan sauna. Budaya rakyat Rusia berakar-umbikan agama Slavik yang pagan. Banyak cerita dongeng Rusia dan kisah epik bylina telah diadaptasi dalam bentuk animasi ataupun filem cetera oleh para sutradara handalan seperti Aleksandr Ptushko (Ilya Muromets,Sadko) dan Aleksandr Rou (Morozko, Vasilisa sang Rupawan). Para pemuisi Rusia seperti Pyotr Yershov dan Leonid Filatov menyampaikan semula cerita dongeng klasik secara puitis, ataupun membuat puisi cerita dongeng asli yang tersohor seperti Alexander Pushkin.
Masakan
[sunting | sunting sumber]Masakan Rusia banyak menggunakan ramuan ikan, ayam itik, cendawan, beri, dan madu. Tanaman rai, gandum, barli, dan sekoi dijadikan ramuan untuk pelbagai jenis roti, penkek dan bijiran, dan juga minuman kvass, bir dan vodka. Roti hitam agak popular di Rusia berbanding dengan negara lain.
Masakan Rusia yang pelbagai budaya terdiri daripada sup-sup seperti shchi, borsch, ukha, solyanka dan okroshka; penkek seperti pirozhki, blini dan syrniki, hidangan berdaging seperti kiev ayam (asal Ukraine), pelmeni (asal Tatar), shashlyk (asal Kaukasus) dan golubtsy (kubis gelung berisi daging);[2] dan salad seperti salad Rusia, vinaigrette dan Ikan Hering Siang. Smetana merupakan krim masam pekat yang melengkapi sup dan salad.
Seni bina
[sunting | sunting sumber]Sejak pengkristianan Kievan Rus' lama dahulum, seni bina Rusia banyak dipengaruhi oleh seni bina Byzantium. Selain memasang perkubuan (kremlin), bangunan batuan utama di Rus' purba ialah gereja-gereja Ortodoks dengan banyak kubahnya yang disepuh dengan emas atau dicat berwarna-warni.
Para jurubina Itali seperti Aristotle Fioravanti memperkenalkan pengaruh Zaman Pembaharuan kepada Rusia sejak akhir abad ke-15, manakala abad ke-16 menyaksikan perkembangan gereja berbumbung tenda yang unik[3] terutama sekali Gereja Besar St. Basil. Pada masa itu juga, lahir pula reka bina kubah bawang.[4] Pada abad ke-17, gaya hiasan yang "berapi" mekar di Moscow dan Yaroslavl, sebelum memberi laluan kepada barok Naryshkin pada 1690-an. Selepas pembaharuan Peter Agung, perubahan gaya seni bina di Rusia banyak mengikut langkah Eropah Barat.
Cita rasa terhadap seni bina rokoko pada abad ke-18 melahirkan hasil kerja Bartolomeo Rastrelli dan para anak didiknya. Zaman pemerintahan Yekaterina II dan cucundanya, Alexander I menyaksikan kegemilangan seni bina Neoklasik, khususnya di ibu kota Saint Petersburg. Separuh kedua abad ke-19 dikuasai oleh gaya-gaya Neo-Byzantium dan Kebangkitan Rusia. Gaya-gaya yang menguasai abad ke-20 pula ialah Art Nouveau, Konstruktivis, dan Stalinis.
Pada tahun 1955, Nikita Khrushchev yang mengambil alih tampuk kepimpian Soviet mengecam "keterlaluan" seni bina akademik yang lama,[5] maka zaman akhir Soviet dikuasai oleh seni bina ala kadar yang berasaskan fungsionalisme. Ini banyak membantu menyelesaikan masalah perumahan, tetapi meninggalkan banyak binaan yang rendah mutu seni binanya, jauh ketinggalan dari gaya dahulu yang berseri-seri. Namun, ini semua pulih sejak Kesatuan Soviet berkubur. Tempat-tempat ibadat yang dimusnahkan pada zaman Soviet dibina semula, dan proses ini diteruskan di samping pemulihan bangunan-bangunan bersejarah yang musnah pada Perang Dunia Kedua. Sejumlah 23,000 buah gereja Ortodoks dibina pada tahun 1991-2010, sehingga bilangan gereja yang beroperasi tumbuh empat kali ganda di Rusia.[6]
Seni
[sunting | sunting sumber]Seni lukis Rusia terawal dilambangkan dalam lukisan ikon dan fresko yang menyarau, dua genre yang diwarisi dari Byzantium. Apabila Moscow bangkit, Theophanes si Yunani, Dionisius dan Andrei Rublev menjadi tokoh-tokoh yang terkenal dengan kesenian Rusia yang tersendiri.
Akademi Seni Rusia ditubuhkan pada tahun 1757[7] lalu memberikan peranan dan status antarabangsa kepada seniman Rusia. Ivan Argunov, Dmitry Levitzky, Vladimir Borovikovsky dan ramai lagi cendekiawan abad ke-18 amat tertumpu pada seni lukis potret. Ketika neoklasikalisme dan romantisme mekar pada awal abad ke-19, tema-tema mitos dan Injil telah memberikan ilham kepada beberapa lukisan terkenal, khususnya oleh Karl Briullov dan Alexander Ivanov.
Pada pertengahan abad ke-19, kumpulan seniman Peredvizhniki (Para Kelana) berpisah dari Akademi lalu membuka maktab kesenian yang bebas daripada ikatan akademik.[8] Mereka kebanyakannya ialah pelukis realisme yang merakamkan jati diri Rusia dalam lanskap sungai yang lebar, hutan, dan cerang-cerang pokok birch, di samping latar-latar genre yang penuh bersemangat dan potret-potret tokoh sezaman yang mengesankan. Ada seniman yang tertumpu pada penggambaran detik-detik dramatis dalam sejarah Rusia, dan ada yang menceburi kritikan sosial yang menunjukkan keadaan golongan miskin serta mengkarikaturkan pihak berkuasa; realisme kritis berkembang mekar di bawah pemerintahan Tsar Alexander II. Antara seniman-seniman realis yang terunggul ialah Ivan Shishkin, Arkhip Kuindzhi, Ivan Kramskoi, Vasily Polenov, Isaac Levitan, Vasily Surikov, Viktor Vasnetsov, Ilya Repin dan Boris Kustodiev.
Permulaan abad ke-20 menyaksikan kebangkitan seni lukis simbolis yang diterajui oleh Mikhail Vrubel, Kuzma Petrov-Vodkin dan Nicholas Roerich.
Gerakan avant-garde Rusia merupakan gelombang seni modenis yang besar dan berpengaruh yang gemilang di Rusia sekitar tahun 1890 hingga 1930. Istilah avant-garde merangkumi pelbagai gerakan seni yang berbeza-beza tetapi saling berkaitan tanpa terungkai yang aktif ketika itu, iaitu: neo-primitivisme, suprematisme, konstruktivisme, rayonisme, dan futurisme. Antara pelukis-pelukis yang terunggul dari zaman ini ialah El Lissitzky, Kazimir Malevich, Wassily Kandinsky, dan Marc Chagall. Sejak 1930-an, gagasan revolusi avant-garde bercanggah dengan hala tuju baru realisme sosialis yang konservatif.
Kesenian Soviet melahirkan karya-karya yang berbau teramat patriotik dan anti-fasis sewaktu dan selepas Perang Patriotik Besar. Tugu-tugu peringatan perang yang penuh takzim dan tegang tumbuh bagai cendawan di merata Kesatuan Soviet. Para seniman Soviet sering menggabungkan inovasi dengan realisme sosialis, khususnya para pengarca seperti Vera Mukhina, Yevgeny Vuchetich dan Ernst Neizvestny.
Muzik dan tarian
[sunting | sunting sumber]Muzik di Rusia pada abad ke-19 diperikan oleh persaingan sengit antara penggubah klasikal, Mikhail Glinka dan para pengikutnya yang memeluk jati diri kebangsaan Rusia serta menaruh unsur-unsur agama dan budaya rakyat ke dalam gubahan-gubahan mereka, dengan Persatuan Muzik Rusia yang diketuai oleh Anton dan Nikolay Rubinstein yang bersikap konservatif dari segi muziknya. Ini disusuli oleh tradisi Pyotr Ilyich Tchaikovsky, salah seorang penggubah tersohor dari zaman Romantik, disambungkan hingga abad ke-20 oleh Sergei Rachmaninoff.[9] Antara penggubah-penggubah terkenal abad ke-20 ialah Alexander Scriabin, Igor Stravinsky, Sergei Prokofiev, Dmitri Shostakovich dan Alfred Schnittke.
Konservatori-konservatori di Rusia telah melahirkan generasi demi generasi pemuzik solo yang terkenal, antaranya pemain violin David Oistrakh dan Gidon Kremer; pemain selo Mstislav Rostropovich; pemain piano Vladimir Horowitz, Sviatoslav Richter, and Emil Gilels; dan penyanyi Fyodor Shalyapin, Galina Vishnevskaya, Anna Netrebko dan Dmitry Hvorostovsky.[10]
Muzik rock Rusia moden berakar umbi pada rock and roll dan heavy metal dari Barat, serta tradisi kugiran zaman Soviet, seperti Vladimir Vysotsky dan Bulat Okudzhava.[11] Antara kumpulan-kumpulan rock yang terunggul dari Rusia ialah Mashina Vremeni, DDT, Aquarium, Alisa, Kino, Kipelov, Nautilus Pompilius, Aria, Grazhdanskaya Oborona, Splean dan Korol i Shut. Muzik pop Rusia berkembang daripada estrada pada zaman Soviet menjadi sebuah industri yang serba lengkap dan mampu melahirkan artis terkenal antarabangsa seperti t.A.T.u. dan Vitas.
Pada awal abad ke-20, bangkitnya penari-penari balet Rusia yang terkenal seperti Anna Pavlova dan Vaslav Nijinsky, tidak lupa juga jelajah antarabangsa Sergei Diaghilev dan kumpulan Ballets Russes yang membawa pengaruh yang mendalam kepada seni tarian sedunia.[12] Balet Soviet mengekalkan tradisi abad ke-19 yang disempurnakan,[13] dan sekolah-sekolah tarian Kesatuan Soviet melahirkan ramai bakat yang terkenal di mata dunia, seperti Maya Plisetskaya, Rudolf Nureyev, dan Mikhail Baryshnikov. Balet Bolshoi di Moscow dan Balet Mariinsky di St. Petersburg masih masyhur di seluruh dunia.[14]
Sastera dan falsafah
[sunting | sunting sumber]Kesusasteraan Rusia dianggap sebagai antara yang paling maju dan berpengaruh di dunia kerana menyumbangkan sebilangan besar karya-karya sastera yang termasyhur di dunia. Pada abad ke-18, perkembangannya didorong oleh karya-karya Mikhail Lomonosov dan Denis Fonvizin. Menjelang awal abad ke-19, bangkitnya satu tradisi sastera moden tempatan yang melahirkan antara pengarang-pengarang yang terkenal sepanjang zaman. Zaman ini yang dikenali sebagai Zaman Keemasan Puisi Rusia bermula dengan Alexander Pushkin yang dikenali sebagai bapa sastera moden Rusia dan sering disifatkan sebagai "Shakespeare versi Rusia".[15] Kegemilangan ini berterusan sepanjang abad ke-19 dengan puisi-puisi Mikhail Lermontov dan Nikolay Nekrasov, drama-drama Alexander Ostrovsky dan Anton Chekhov, dan prosa-prosa Nikolai Gogol dan Ivan Turgenev. Leo Tolstoy dan Fyodor Dostoevsky merupakan tokoh-tokoh handalan yang disanjungi sebagai novelis-novelis terhebat sepanjang zaman oleh ramai pengulas sastera.[16][17]
Menjelang 1880-an, zaman novelis terunggul pun berlalu dan membuka laluan kepada penguasaan genre cerpen dan puisi ringkas. Puluhan tahun yang berikutnya dikenali sebagai Zaman Keperakan Puisi Rusia, apabila realisme sastera yang berkuasa dahulu diganti oleh simbolisme. Antara sasterawan-sasterawan yang terkenal dari zaman ini ialah pemuisi Valery Bryusov, Vyacheslav Ivanov, Alexander Blok, Nikolay Gumilev dan Anna Akhmatova, dan novelis Leonid Andreyev, Ivan Bunin, dan Maxim Gorky.
Falsafah Rusia berkembang mekar sejak abad ke-19, apabila wujudnya pertembungan hebat antara kelompok Zapadnik ("Pembarat") yang mendukung model-model politik dan ekonomi Barat, dan Slavofilia yang bertegas supaya Rusia dimajukan sebagai tamadun yang tersendiri. Kelompok Slavofilia pernah dianggotai oleh Nikolai Danilevsky dan Konstantin Leontiev, iaitu para pengasas eurasianisme. Dalam perkembangan selanjutnya, falsafah Rusia bercirikan hubungan mendalam dengan kesusasteraan dan minat terhadap daya cipta, masyarakat, politik dan nasionalisme; tidak lupa juga kebesaran kosmisme Rusia dan falsafah keagamaan. Antara ahli-ahli falsafah Rusia yang berbakti pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 ialah Vladimir Solovyev, Sergei Bulgakov, dan Vladimir Vernadsky.
Ekoran Revolusi Rusia 1917, ramai pengarang dan ahli falsafah terkenal yang meninggalkan negara, termasuk Ivan Bunin, Vladimir Nabokov dan Nikolay Berdyayev, sementara sebuah generasi baru bakat sastera berganding bahu dalam usaha membentuk budaya golongan pekerja yang tersendiri dan sesuai dengan negara Soviet yang baru. Pada 1930-an, penapisan terhadap bahan sastera diperketat selaras dengan dasar realisme sosialis. Sejak akhir 1950-an, sekatan terhadap sastera dilonggarkan, dan menjelang akhir zaman Soviet, para penulis makin hari makin mengabaikan garis panduan rasmi. Antara pengarang-pengarang yang tersohor dari zaman Soviet ialah novelis Yevgeny Zamyatin, Ilf and Petrov, Mikhail Bulgakov dan Mikhail Sholokhov, dan pemuisi Vladimir Mayakovsky, Yevgeny Yevtushenko, dan Andrey Voznesensky.
Perfileman, animasi dan media
[sunting | sunting sumber]Industri perfileman Rusia menjadi lubuk reka cipta sejurus selepas revolusi 1917, melahirkan filem-filem yang terkenal di seluruh dunia sebagai Kapal Perang Potemkin oleh Sergei Eisenstein.[18] Eisenstein ialah seorang anak didik pembikin filem dan ahli teori, Lev Kuleshov, yang memajukan teori montaj Soviet bagi bidang penyuntingan filem di maktab perfileman sulung di dunia, iaitu Institut Sinematografi Se-Kesatuan. Dziga Vertov, dengan teori kino-glaz (“mata filem”) bahawa kamera umpama mata manusia, paling baik digunakan untuk menerokai kehidupan sebenar, meninggalkan impak yang besar dalam perkembangan pembikinan filem dokumentari dan realisme kamera. Dasar realisme sosialis kerajaan yang menyusul banyak membatasi daya kreatif, namun masih banyak filem Soviet yang bergaya sedemikian disambut baik dari segi kesenian, contohnya Chapaev, Burung Jenjang Berterbangan, dan Balada Seorang Askar.[18]
Era 1960-an dan 1970-an menyaksikan pelbagai gaya kesenian dalam perfileman Soviet. Filem-filem komedi oleh Eldar Ryazanov dan Leonid Gaidai ketika itu mendapat sambutan luar biasa dan meninggalkan kesan dalam bentuk ungkapan pemikat yang masih diungkapkan hari ini. Pada tahun 1961–68, Sergey Bondarchuk mengarah sebuah filem adaptasi epik Perang dan Damai oleh Leo Tolstoy yang memenangi Anugerah Akademi, iaitu filem termahal yang pernah dibikin.[19] Pada tahun 1969, keluarnya Matahari Putih di Gurun oleh Vladimir Motyl, sebuah filem yang amat popular dalam genre ostern; filem ini menjadi tontonan kegemaran angkasawan sebelum melakukan perjalanan di angkasa.[20]
Animasi Rusia sudah lama wujud sejak akhir zaman Empayar Rusia. Pada zaman Soviet, studio Soyuzmultfilm merupakan pengeluar animasi terbesar. Para juruanimasi Soviet mengembangkan pelbagai teknik perintis dan gaya estetik, bersama sutradara terkenal seperti Ivan Ivanov-Vano, Fyodor Khitruk dan Aleksandr Tatarsky. Banyak wira kartun Soviet, seperti Winnie-the-Pooh ala Rusia, Cheburashka yang kecil dan comel, Sang Serigala dan Sang Arnab dari Nu, Pogodi! merupakan ikon-ikon terkenal di Rusia dan negara-negara jirannya.
Pada lewat 1980-an dan 1990-an, seni perfileman dan animasi Rusia diancam krisis. Walaupun para pembikin filem Rusia mendapat lebih kebebasan untuk berekspresi, namun subsidi kerajaan menyusut secara mendadak hingga jumlah filem yang dihasilkan turut merosot. Mujurlah awal abad ke-21 telah menyaksikan perfileman Rusia bangkit semula dengan lebih ramai penonton ekoran kebangkitan semula ekonomi, sehingga mampu mengatasi pengeluaran di Britain dan Jerman.[21] Pada tahun 2002, Bahtera Rusia menjadi filem cetera pertama yang dirakam dalam satu ambilan sahaja. Tradisi animasi Soviet dikembangkan lagi oleh para pengaran seperti Aleksandr Petrov dan studio-studio seperti Melnitsa Animation.
Rusia adalah antara negara pertama yang memperkenalkan perkhidmatan radio dan televisyen. Walaupun bilangan saluran tidak banyak pada zaman Soviet, namun sejak Soviet tumbang, timbulknya banyak stesen radio dan TV milik kerajaan dan swasta. Pada tahun 2005, saluran TV bahasa Inggeris milik kerajaan, Russia Today TV mula bersiaran, diikuti saluran bahasa Arab, Rusiya Al-Yaum pada tahun 2007.
Sukan
[sunting | sunting sumber]Setelah mengambil kira jumlah pingat Kesatuan Soviet dan Persekutuan Rusia sekali, negara ini meraih pingat kedua terbanyak di dunia dari Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk. Kontinjen atlit Soviet dan Rusia selalu memasuki tangga tiga teratas jumlah pingat emas yang diraih di Sukan Olimpik Musim Panas. Rusia paling cemerlang dalam sukan gimnastik, balapan dan padang, angkat berat, gusti, tinju, lawan pedang, menembak, lumba ski rentas desa, biathlon, luncur laju dan luncur ais berbunga adalah antara yang terunggul di dunia, di samping bola keranjang, bola baling, bola tampar dan hoki ais.[22] Sukan Olimpik Musim Panas 1980 diadakan di Moscow sementara Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 diadakan di Sochi.
Biarpun hoki ais hanya diperkenalkan pada zaman Soviet, namun pasukan hoki ais mampu meraih pingat emas di kebanyakan acara Olimpik dan Kejohanan Dunia yang disertainya. Valery Kharlamov, Sergey Makarov, Vyacheslav Fetisov dan Vladislav Tretiak mengisi empat daripada enam kedudukan dalam Team of the Century IIHF.[23] Liga Hoki Kontinental ditubuhkan pada tahun 2008 sebagai pengganti Superliga Rusia, dan juga dipandang sebagai pesaing ketat NHL dan menjadi liga hoki ais terunggul di Eropah pada tahun 2009.[24] Bandy ataupun "hoki Rusia" juga satu lagi sukan ais sukaramai.[25] Kesatuan Soviet menjuarai kesemua Kejohanan Dunia Bandi pada tahun 1957-79.[26]
Di samping hoki ais dan bola keranjang, bola sepak ialah salah satu sukan yang popular di Rusia moden. Pasukan kebangsaan Soviet menjadi Juara Eropah yang sulung dengan memenangi kejohanan Euro 1960. Bola sepak Rusia yang mengalami kejatuhan pada 1990-an tetapi akhirnya bangkit semula. Piala UEFA 2005 dan 2008 masing-masing digondol oleh kelab-kelab CSKA Moscow dan Zenit St Petersburg dari Rusia. Rusia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2018.
Larisa Latynina yang memegang rekod untuk pingat Olimpik terbanyak yang digondol oleh satu orang dan pingat emas Olimpik terbanyak oleh seorang wanita, menjadikan KRSS sebagai sebuah kuasa besar dalam sukan gimnastik untuk bertahun-tahun akan datang.[27] Kini, Rusia meneraju gimnastik berirama dengan bintang-bintang seperti Alina Kabayeva, Irina Tschaschina dan Yevgeniya Kanayeva. Rusia juga paling handal dalam sukan renang rama, kerana banyak pingat emas yang disapu oleh Rusia di Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia. Luncur ais berbunga juga disukai ramai di Rusia. Di hampir setiap Sukan Olimpik Musim Sejuk sejak tahun 1964, sebutir pingat emas pasti digondol oleh pasangan Rusia. Sejak berakhirnya zaman Soviet, tenis makin diminati ramai dan Rusia berjaya melahirkan beberapa bintang tenis seperti Maria Sharapova, ahli sukan wanita yang paling mahal dibayar di dunia.[28] Warga Rusia juga gemar mengisi masa lapang dengan bermain catur; sejak tahun 1927, kejohanan catur sedunia sering dikuasai oleh jaguh Rusia.[29]
Cuti dan lambang kebangsaan
[sunting | sunting sumber]Terdapat tujuh cuti umum di Rusia,[30] kecuali yang sentiasa disambut pada hari Ahad. Cuti yang pertama dan terutama ialah Tahun Baru. Adat resam Tahun Baru Rusia seakan-akan Krismas di negara Barat, dengan pokok Tahun Baru dan hadiah, dan Ded Moroz (Pak Ibun) yang serupa dengan Santa Claus. Krismas Ortodoks jatuh pada 7 Januari kerana Gereja Ortodoks Rusia masih memakai takwim Julius dan setiap perayaan Ortodoks adalah 13 hari selepas perayaan yang sama oleh Katolik. Dua lagi cuti Kristian yang utama ialah Easter dan Ahad Triniti. Umat Islam di Rusia pula menyambut Kurban Bayram (Aidil'adha) dan Uraza Bayram (Aidilfitri).
Cuti-cuti umum Rusia yang lain pula ialah Hari Pembela Tanah Air (23 Februari) yang memperingati bakti warga lelaki Rusia, khususnya yang berkhidmat dalam tentera; Hari Wanita Antarabangsa (8 Mac) yang menggabungkan tradisi Hari Ibu dan Hari Valentine; Hari Musim Bunga dan Buruh (1 Mei); Hari Kemenangan (9 Mei); Hari Rusia (12 Jun); dan Hari Perpaduan (4 November) yang memperingati pemberontakan rakyat yang mengusir penjajah Poland dari Moscow pada tahun 1612.
Hari Kemenangan ialah cuti umum kedua paling popular di Rusia; ia memperingati kemenangan Kesatuan Soviet ke atas Nazi dalam Perang Patriotik Besar. Sebuah perarakan tentera besar-besaran yang diacarakan oleh Presiden Rusia, diadakan di Dataran Merah, Moscow, setiap tahun. Perarakan-perarakan seumpamanya juga diadakan di semua bandaraya utama di Rusia yang bertaraf "Kota Perwira" atau "Kota Kegemilangan Tentera".
Hari-hari cuti bukan umum pula termasuk Tahun Baru Lama (Tahun Baru mengikut takwim Julius pada 14 Januari), Hari Tatiana (cuti para pelajar pada 25 Januari), Maslenitsa (perayaan musim bunga pagan, seminggu sebelum Great Lent), Hari Kosmonautik (hari perjalanan angkasa sulung Yury Gagarin pada 12 April), Hari Ivan Kupala (satu lagi perayaan Slav pagan pada 7 Julai) dan Hari Peter dan Fevronia (8 Julai, serupa dengan Hari Valentine tetapi tertumpu kepada kasih sayang dan ketaatan sesama ahli keluarga).
Antara lambang-lambang kebangsaan Rusia ialah helang berkepala dua Byzantium yang bergabung dengan St. George dari Moscow dalam jata Rusia. Bendera Rusia berasal dari zaman akhir ketsaran Rusia dan digunakan secara meluas sejak zaman Empayar Rusia. Lagu kebangsaan Rusia berkongsi muzik dengan Lagu kebangsaan Kesatuan Soviet tetapi berlainan seni katanya. Cogan kata diraja, Tuhan di sisi kita dan cogan kata Soviet, Wahai murba semua negara, bersatulah! kini tidak dilaungkan lagi tanpa penggantinya. Lambang tukul dan sabit serta jata Soviet penuh masih kelihatan di merata kota-kota Rusia sebagai hiasan seni bina lama. Juga kelihatan ialah Bintang Merah Soviet yang terdapat pada kelengkapan tentera dan tugu peringatan perang. Sepanduk Merah masih dihormati, khususnya Sepanduk Kemenangan 1945.
Anak patung Matryoshka ialah satu lagi lambang kebudayaan Rusia yang terkenal, begitu juga dengan menara-menara Kremlin Moscow dan Gereja Besar St. Basil di Moscow selaku ikon seni bina Rusia. Cheburashka ialah maskot pasukan Olimpik kebangsaan Rusia. St. Maryam, St. Nikolas, St. Andreas, St. Georgius, St. Alexander Nevsky, St. Sergius dari Radonezh dan St. Seraphim dari Sarov merupakan santo-santo penaung Rusia. Kamomil ialah bunga kebangsaan, sementara Betula ialah pokok kebangsaan. Beruang Rusia ialah lambang haiwan dan personifikasi negara Rusia, namun konsepsi ini berasal dari negara Barat dan rakyat Rusia agak lewat menerima haiwan ini sebagai lambang. Personifikasi negara Rusia yang seadanya ialah Ibu Rusia.
Pelancongan
[sunting | sunting sumber]Industri pelancongan di Rusia telah menyaksikan perkembangan pesat sejak akhir zaman Soviet, iaitu pelancongan dalam negara diikuti oleh pelancongan antarabangsa. Kekayaan warisan budaya dan kepelbagaian alam menempatkan Rusia di kalangan negara-negara yang paling ramai pelawat di dunia. Antara tarikan jalan-jalan pelancong yang utama di Rusia ialah mengitari Lingkaran Emas kota-kota purba, melayari sungai-sungai besar seperti Volga, dan perjalanan lama di atas Kereta Api Trans-Siberia yang terkenal.
Destinasi-destinasi yang paling menarik pelawat di Rusia ialah Moscow dan St. Petersburg, iaitu ibu negara sekarang dan dahulu negara ini. Dengan pengiktirafan Bandar Raya Dunia, kedua-dua bandaraya ini tampil dengan muzium-muzium Galeri Tretyakov dan Hermitage yang terkenal, teater-teater terkenal seperti Bolshoi and Mariinsky, gereja-gereja berhias seri seperti Gereja Besar St. Basil, Gereja Besar Kristus sang Penyelamat, Gereja Besar St. Isaak dan Gereja Penyelamat atas Darah, kubu-kubu yang tersergam Kremlin Moscow dan Kota Peter dan Paul, dataran-dataran dan jalan-jalanan seperti Dataran Merah, Dataran Istana, Jalan Tverskaya dan Lebuh Nevsky. Istana-istana dan taman-taman yang serba kaya ditemui di bekas kediaman diraja di pinggir bandar Moscow (Kolomenskoye, Tsaritsyno) dan St. Petersburg (Peterhof, Strelna, Oranienbaum, Gatchina, Pavlovsk dan Tsarskoye Selo). Di Moscow paling menonjolnya seni bina Soviet di samping pencakar-pencakar langit moden, sementara St. Petersburg yang bergelar Venice Utara memperagakan seni bina klasik, banyaknya sungai, saluran dan jambatan.
Kazan, ibu negeri Tatarstan, berbangga dengan campuran kebudayaan Rusia Kristian dan Tatar Muslim. Bandaraya ini menggelar diri sebagai Ibu Kota Ketiga Rusia, tetapi gelaran itu direbut oleh bandar-bandar lain seperti Novosibirsk, Yekaterinburg dan Nizhny Novgorod.
Antara barang-barangan cenderamata Rusia ialah anak patung matryoshka dan bermacam-macam jenis kraftangan, pemanas airsamovar, topi ushanka dan papaha dan pakaian buatan bulu. Minuman vodka dan makanan kaviar adalah antara hidangan yang menarik pelancong asing ke Rusia.
Pantai Laut Hitam yang beriklim subtropika di Rusia ialah tempat terletaknya beberapa tempat penginapan terkenal seperti Sochi, tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014. Di pergunungan Kaukasus Utara terletaknya tempat riadah ski yang terkenal seperti Dombay. Destinasi alam yang paling terkenal di Rusia ialah Tasik Baikal, iaitu Mata Biru Siberia. Tasik unik yang merupakan tasik yang tertua dan terdalam di dunia,[31] berisi air yang jernih bak permata dan dikelilingi oleh pergunungan yang disaluti taiga. Destinasi-destinasi alam yang lain pula termasuk Kamchatka dengan gunung-gunung berapi dan geiser-geisernya, Karelia dengan tasik-tasik dan batu-batuan granitnya, Pergunungan Altai yang penuh dengan salji, dan kawasan steppe yang penuh dengan hidupan liar di Tyva.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Ethnic groups in Russia, Banci 2002, Demoscope Weekly. Diambil pada 5 Februari 2009.
- ^ "How to Cook Golubtzy". Moscow Russia Insider's Guide.
- ^ Gereja berbumbung tenda batu pertama dan asal-usul seni bina bumbung tenda oleh Sergey Zagraevsky di tapak RusArch.ru (Rusia)
- ^ Bentuk-bentuk kubah gereja Rusia kuno oleh Sergey Zagraevsky di tapak RusArch.ru (Rusia)
- ^ Постановление ЦК КПСС и СМ СССР "Об устранении излишеств в проектировании и строительстве", 04.11.1955 (Rusia)
- ^ Over 20,000 churches rebuilt in Russia in 20 years - Patriarch Kirill RIA Novosti
- ^ Russian Academy of Arts official site.
- ^ Gray, Camilla (2002). Russian Experiment in Art. London: Thames and Hudson. m/s. 9.
- ^ Norris, Gregory; ed. Stanley, Sadie (1980). The New Grove Dictionary of Music and Musicians, 2nd edition. London: MacMillian. m/s. 707. ISBN 0333231112.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ "Russia::Music". Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 5 Okt. 2009. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ History of Rock Music in Russia at Russia-InfoCentre
- ^ Garafola, L (1989). Diaghilev's Ballets Russes. Oxford University Press. m/s. 576. ISBN 0195057015.
- ^ Cashin, K K. "Alexander Pushkin's Influence on Russian Ballet—Chapter Five: Pushkin, Soviet Ballet, and Afterward" (PDF). Dicapai pada 27 Dec. 2007. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ "A Tale of Two Operas". Petersburg City. Dicapai pada 11 Jan. 2008. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ Kelly, C (2001). Russian Literature: A Very Short Introduction (Paperback). Oxford Paperbacks. ISBN 0192801449.
- ^ "Russian literature; Leo Tolstoy". Encyclopedia Britannica. Dicapai pada 11 Apr. 2008. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ Otto Friedrich (6 Sep. 1971). "Freaking-Out with Fyodor". Time Magazine. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-12-21. Dicapai pada 10 Apr. 2008. Check date values in:
|accessdate=
dan|date=
(bantuan) - ^ a b "Russia:Motion pictures". Encyclopædia Britannica. 2007. Dicapai pada 27 Dec. 2007. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ Sergei Bondarchuk's War and peace, di filmforum.org
- ^ "White Sun of the Desert". Film Society of Lincoln Center. Dicapai pada 18 Jan. 2008. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ Dzieciolowski, Z. "Kinoeye: Russia's reviving film industry". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-12-21. Dicapai pada 27 Dec. 2007. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ "The USSR and Olympism" (PDF). Olympic Review. International Olympic Committee (84): 530–557. 1974. Dicapai pada 2008-03-28. Unknown parameter
|month=
ignored (bantuan) - ^ "Gretzky headlines IIHF Team of the Century". Reuters. Dicapai pada 16 Mei 2011.[pautan mati kekal]
- ^ "Russian league tops first CHL ranking". Dicapai pada 3 Nov. 2009. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ "Russian Bandy Championship, 2006–7 season". bandy.ru. Dicapai pada 2010-10-03.
- ^ Bandy at hickoksports.com
- ^ "Legendary Olympians". CNN. 19 Ogos 2008.
- ^ Tom Van Riper and Kurt Badenhausen. "Top-Earning Female Athletes". Forbes. Dicapai pada 1 Aug. 2008. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan) - ^ "Chessgames guide to the World Championship". Chessgames.com. Dicapai pada 2010-10-29.
- ^ "Official days off for public holidays in Russia". Sras.org. Dicapai pada 2010-10-29.
- ^ "Lake Baikal—A Touchstone for Global Change and Rift Studies". United States Geological Survey. Dicapai pada 26 Dis. 2007. Check date values in:
|accessdate=
(bantuan)