Brek gelendong
Brek gelendong merupakan sejenis brek di mana geseran berpunca daripada kasut brek yang menekan permukaan dalaman gelendong berputar. Gelendong tersebut disambung ke roda.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Brek gelendong automotif moden dicipta oleh Louis Renault pada tahun 1902, walaupun versi yang kurang canggih telah pun digunakan oleh Maybach setahun sebelumnya. Pada brek gelendong terawal, kasut brek digerakkan oleh mekanisme tuas, rod dan kabel. Mulai pertengahan 1930an kasut brek dikendalikan oleh tekanan minyak di dalam satu silinder kecil dan omboh (seperti di dalam gambar), walaupun masih terdapat sesetengah kenderaan yang masih menggunakan sistem mekanikal sepenuhnya.
Kasut brek di dalam brek gelendong tertakluk kepada kehausan dan perlu dilaras secara berkala sehinggalah sistem pelarasan sendiri diperkenalkan pada tahun 1950an. Pada tahun 1960an dan 1970an brek gelendong hadapan kereta secara beransur-ansur digantikan dengan brek cakera dan secara lazimnya kesemua kereta menggunakan brek cakera hadapan dan brek belakang sama ada jenis cakera ataupun gelendong. Walau bagaimanapun, brek gelendong masih digunakan dalam mekanisme brek tangan, memandangkan sudah terbukti amat sukar bagi mereka satu sistem brek cakera yang mampu menahan kereta semasa tidak digunakan. Tambahan pula, adalah amat mudah untuk memuatkan satu brek tangan gelendong di dalam brek cakera supaya satu unit boleh berfungsi sebagai brek tangan dan brek kaki.
Kasut brek terawal mengandungi asbestos. Semasa bekerja dengan sistem brek pada kereta lama, langkah keselamatan mestilah diambil dengan tidak menghidu sebarang habuk yang ada pada pemasangan brek. Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat mula mengawal pengeluaran asbestos, dan pengeluar brek diwajibkan untuk beralih kepada kasut brek bebas asbestos. Pada awalnya pengguna merungut dengan mengatakan brek bebas asbestos "kurang makan" berbanding brek asbestos; walau bagaimanapun, teknologi yang lebih moden membolehkan kasut brek bebas asbestos yang lebih baik dihasilkan. Kini kebanyakan negara telah melarang penggunaan asbestos di dalam sistem brek.
Kelebihan
[sunting | sunting sumber]- Kos yang murah.
- Mudah disepadukan dengan mekanisme brek tangan.
Kelemahan
[sunting | sunting sumber]- Haba yang terhasil daripada brek gelendong turut mengakibatkan komponen sistem brek yang berdekatan menjadi panas.
- Haba akibat gelendong brek yang terlampau panas akan mengakibatkan kerosakan pada gelendong brek.
- Kurang cekap mengendalikan haba dan air berbanding brek cakera.
- Brek gelendong pada motosikal dan kereta yang lebih lama perlu dilaras semula dengan kerap.
Pelarasan
[sunting | sunting sumber]Brek gelendong terawal (sebelum tahun 1955) memerlukan pelarasan berkala bagi menyesuaikan dengan tahap kehausan kasut brek dan gelendong. Jika tidak dilaras dengan betul, kehausan pada kasut brek akan mengakibatkan gerak bebas injak brek yang terlampau besar. Jika keadaan ini berteruskan, ia akan mengakibatkan brek gagal berfungsi apabila injak brek sudai sampai ke dasar lantai kereta.
Pelarasan brek secara manual seperti yang masih digunakan pada sesetengah motosikal memerlukan pengguna memutarkan nat atau skru pelaras pada bahagian gelendong brek. Proses ini mudah dilakukan pada motosikal, tetapi jika dilakukan pada kereta pula ia memerlukan pengguna meniarap di bawah kereta.
Pelarasan secara automatik pada kebanyakan brek gelendong kereta moden dilakukan melalui mekanisme gear sala yang bertindak apabila brek tangan digunakan. Sekiranya pergerakan tuas brek tangan melebihi jarak tertentu, gear sala tersebut akan memutar skru pelaras yang melaras kasut brek ke gelendong.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Brek gelendong |