Pergi ke kandungan

Sejarah Vietnam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sejarah bertulis Vietnam bermula seawal abad ke-3 SM apabila ditubuhkannya negeri-negeri Âu Lạc dan Nanyue (Nam Việt dalam bahasa Vietnam); Nanyue menakluki Âu Lạc pada 179 SM).[1] Di Vietnam prasejarah letaknya antara tamadun dan masyarakat terawal dunia, oleh itu di sinilah bertempatnya antara manusia terawal yang mengamalkan pertanian.[2][3] Lembah Sungai Merah membentuk sebuah unit geografi dan ekonomi semula jadi yang dikepung oleh gunung-ganang dan hutan belantara di utara dan barat, lautan di timur dan Delta Sungai Merah di selatan. Menurut mitos, negeri pertama Vietnam ditubuhkan pada 2879 SM,[4][5][6] tetapi kajian arkeologi mengusulkan perkembangan ke arah pemerintahan penghulu pada kebudayaan Đông Sơn pada akhir Zaman Gangsa.

Keistimewaan geografi Vietnam menjadikannya sukar diserang, oleh itu Vietnam di bawah raja-raja Hùng begitu kekal lama sebagai negara merdeka yang lengkap. Sungguhpun demikian, pernah sekali Vietnam jatuh ke tangan sebuah kuasa asing malah sukar melepaskan diri selama 1,100 tahun daripada cengkaman dinasti Cina berturut-turut, iaitu Han, Wu Timur, Jin, Liu Song, Qi Selatan, Liang, Sui, Tang, dan Han Selatan; menyebabkan lenturnya warisan budaya, bahasa, dan jati diri bangsa. Ada kala-kalanya dalam 1,100 tahun ini, Vietnam diperintah secara bebas di bawah wangsa Triệu, Trưng Bersaudari, Lý Awal, Khúc dan Dương Đình Nghệ—namun semua kejayaan masing-masing sementara sahaja.

Sewaktu Cina mendominasi Vietnam Utara, adanya tamadun-tamadun yang mekar di wilayah-wilayah yang kini Vietnam tengah dan selatan, khususnya Funan dan Cham, tetapi pengasas dan pemerintah masing-masing bukanlah orang asli Vietnam. Mulai abad ke-10, orang Vietnam yang maju dari nusa teras Delta Sungai Merah mula menakluki tamadun-tamadun tersebut.

Ketika kedaulatan negara dipulihkan oleh Ngô Quyền (Raja Vietnam, 939–944), sealaf yang berikutnya dimajukan oleh dinasti berturut-turut, mulai wangsa Ngô, Đinh, Lê Awal, , Trần, Hồ, Trần Akhir, Lê Akhir, Mạc, Trịnh, Nguyễn, Tây Sơn dan sekali lagi Nguyễn. Ada kala-kalanya sewaktu pemerintahan maharaja inilah Vietnam terjejas dan terpecah-belah oleh perang saudara serta menyaksikan campur tangan oleh wangsa-wangsa Song, Yuan Mongol, Cham, Ming, Siam, Manchu dan Perancis.

Empayar Ming menawan lembah Sungai Merah buat seketika sebelum orang pribumi Vietnam merampas kembali, kemudian Perancis menjinakkan Vietnam sebagai wilayah naungan selama hampir seabad, diikuti pendudukan sementara oleh Empayar Jepun. Pergolakan politik dan kebangkitan komunis menamatkan pemerintahan beraja selepas Perang Dunia Kedua, maka Vietnam diisytiharkan sebagai republik. Vietnam selepas merdeka terbahagi kepada dua, iaitu Vietnam Utara pimpinan komunis Ho Chi Minh dan Vietnam Selatan yang kapitalis dan sekutu rapat Amerika Syarikat sempena Perang Dingin. Pada 1960-an meletusnya perang saudara antara kedua-dua Vietnam, berkesudahan dengan kemenangan pihak Utara dan bersatunya semula negara di bawah pemerintahan Parti Komunis.


Prasejarah

[sunting | sunting sumber]
Gendang gangsa Đông Sơn, kira-kira 800 SM.

Hasil galian kaji purba membongkar kewujudan manusia di wilayah yang kini Vietnam seawal zaman Paleolitik. Fosil Homo erectus bertarikh sekitar 500,000 SM ditemui di gua-gua di wilayah-wilayah Lạng Sơn dan Nghệ An di Vietnam utara.[7] Fosil Homo sapiens dari kawasan Asia Tenggara tanah besar berasal dari zaman Pleistosen Tengah, termasuk cebisan gigi terpisah dari Tham Om dan Hang Hum.[8] Gigi yang dikatakan milik Homo sapiens dari Pleistosen Akhir juga ditemui di Dong Can,[9] dan dari Awal Holosen di Mai Da Dieu,[9] Lang Gao[10] dan Lang Cuom.[11]

Menjelang sekitar 1000 SM, perkembangan menanam padi basah dan mengacu gangsa di dataran banjir Sungai Ma dan Sungai Merah membawa kepada mekarnya Kebudayaan Đông Sơn yang terkenal dengan gendang Đông Sơn yang indah berhias. Pada ketika inilah munculnya kerajaan-kerajaan terawal Văn Lang dan Âu Lạc, malah pengaruh budayanya tersebar ke kawasan-kawasan lain Asia Tenggara sepanjang alaf pertama SM.[12][13]

Pemerintahan beraja di Vietnam

[sunting | sunting sumber]

Umum dianggap bahawa Dinasti Hồng Bàng pimpinan raja-raja Hùng adalah negeri Vietnam pertama sekali yang dikenali tempatan sebagai Văn Lang. Pada 257 SM, raja Hùng terakhir ditumpaskan oleh Thục Phán yang menggabungkan puak-puak Lạc Việt dan Âu Việt untuk membentuk negeri Âu Lạc lalu menggelar dirinya An Dương Vương. Pada 207 SM, seorang panglima Cina bernama Zhao Tuo menumpaskan An Dương Vương lal menyerap Âu Lạc ke dalam negeri Nanyue. Namun begitu, Nanyue itu pun diserap ke dalam jajahan Cina dinasti Han pada 111 SM selepas Perang Han–Nanyue.

Peta Vietnam memaparkan penaklukan selatan (Nam tiến), 1069–1757
  900 AD
  1100 AD
  1475 AD
  1650 AD
  1760 AD

Untuk lebih 1,000 tahun berikutnya, kawasan yang kini Vietnam utara kekal rata-rata di bawah pemerintahan Cina.[14] Gerakan-gerakan kemerdekaan terawal seperti yang diketuai oleh Trưng Bersaudari dan Puan Triệu hanya berjaya buat sementara, tetapi wilayah Vietnam kekal merdeka lebih lama sebagai Vạn Xuân di bawah Dinasti Lý Awal dari tahun 544 hingga 602 M.[15] Menjelang awal abad ke-10, Vietnam memperoleh autonomi tetapi bukan kedaulatan di bawah Dinasti Khúc.

Pada 938 M, pembesar Vietnam Ngô Quyền menumpaskan bala tentera Cina negeri Han Selatan di Sungai Bạch Đằng dan mencapai kemerdekaan penuh buat Vietnam setelah seabad di bawah dominasi Cina.[16] Negara baharu yang memakai gelaran Đại Việt (Viet Raya) menikmati zaman kegemilangan di bawah dinasti-dinasti Lý dan Trần. Sewaktu pemerintahan Trần, Đại Việt menepis tiga kali serangan Mongol.[17] Sementara itu, agama Buddha mekar menjadi agama rasmi.

Ekoran Perang Ming–Hồ 1406–7 yang menggulingkan Dinasti Hồ, kemerdekaan Vietnam disampuk sementara oleh Dinasti Ming, tetapi dipulihkan oleh Lê Lợi, pengasas Dinasti Lê. Pemerintahan dinasti Vietnam mencapai kemuncak dalam Dinasti Lê pada abad ke-15, khususnya ketika pemerintahan Maharaja Lê Thánh Tông (1460–1497). Dari abad ke-11 hingga ke-18, Vietnam menjalankan nam tiến atau perluasan ke arah selatan,[18] di mana ia menakluki kerajaan Champa serta merampas wilayah dari Empayar Khmer.[19][20]

Mulai abad ke-16, Vietnam diselubungi pergolakan dalaman. Mula-mula, kuasa Lê tergugat oleh Dinasti Mạc yang disokong oleh Cina. Selepas Dinasti Mạc ditumpaskan, Dinasti Lê dipulihkan atas nama sedangkan kuasa sebenar terbahagi antara puak Trịnh di utara dan puak Nguyễn di selatan yang berperang sesama sendiri selama lebih empat dekad sebelum perdamaian dicapai pada 1670-an. Pada ketika inilah puak Nguyễn memperluas Vietnam Selatan hingga Delta Mekong, mengilhakkan Tanah Tinggi Tengah dan tanah-tanah Khmer ke dalam Delta Mekong.

Pembahagian negara berakhir seabad kemudian apabila Tây Sơn bersaudara menubuhkan dinasti baharu. Namun demikian, pemerintahan mereka tidak kekal lama dan mereka pun dikalahkan oleh saki-baki pembesar puak Nguyễn lords pimpinan Nguyễn Ánh yang dibantu oleh Perancis.[21] Nguyễn Ánh menyatukan Vietnam, menubuhkan Dinasti Nguyễn, dan memerintah dengan memakai gelaran Gia Long.

Indochina Perancis

[sunting | sunting sumber]
Indochina Perancis pada 1913.

Kemerdekaan Vietnam beransur-ansur dihakis oleh Perancis dengan bantuan militia Katolik yang ramai dalam penaklukan ketenteraan berturut-turut dari 1859 hingga 1885. Pada 1862, sepertiga selatan negara menjadi jajahan Cochinchina Perancis. Menjelang 1884, seluruh Vietnam ditakluki oleh Perancis di mana bahagian Tengah dan Utara Vietnam terbahagi kepada dua buah wilayah naungan iaitu Annam dan Tonkin. Ketiga-tiga wilayah Vietnam digabungkan ke dalam kesatuan Indochina Perancis pada 1887. Selama zaman penjajahan, masyarakat Vietnam dikenakan perubahan politik dan kebudayaan yang ketara oleh pemerintah Perancis. Sebuah sistem pendidikan moden bergaya Barat dimajukan, sementara agama Katolik Rom tersebar luas. Kebanyakan penduduk Perancis di Indochina tertumpu di Cochinchina, khususnya rantau Saigon.[22] Gerakan Cần Vương memberontak terhadap pemerintah Perancis selama sedekad sehingga ditumpaskan pada 1890-an. Dalam tempoh itu ahli-ahli gerila Cần Vương membunuh kira-kira satu pertiga penduduk Kristian Vietnam.[23]

Membangunkan ekonomi dusun untuk memupuk eksport tembakau, nila, teh dan kopi, Perancis rata-rata tidak mengendahkan gesaan daripada rakyat Vietnam untuk diberi hak awam dan pemerintahan sendiri. Maka munculnya sebuah gerakan nasionalis yang dipimpin oleh Phan Bội Châu, Phan Chu Trinh, Phan Đình Phùng, Maharaja Hàm Nghi dan Ho Chi Minh yang memperjuangkan kemerdekaan. Malangnya, Dahagi Yên Bái 1930 oleh Parti Nasionalis Vietnam ditumpaskan dengan mudah.[24] Perancis memeliharan penguasaan penuh ke atas jajahan-jajahannya hingga Perang Dunia Kedua, apabila Jepun menyerang Vietnam pada 1940. Sejurus kemudian, Empayar Jepun dibenarkan untuk menempatkan bala tentera di Vietnam sementara pentadbiran kolonial yang pro-Perancis Vichy dibenarkan untuk terus mentadbir. Japan mengeksploitasi sumber alam Vietnam untuk menyokong kempen ketenterannya sehingga ia mengambil alih pemerintahan Vietnam sepenuhnya pada Mac 1945 menyebabkan seluruh negara mengalami kebuluran yang menyaksikan seramai dua juta orang mati.[25]

Perang Indochina Pertama

[sunting | sunting sumber]
Situasi Perang Indochina Pertama pada akhir 1954.
Petunjuk:
  Kawasan kekuasaan Viet Minh
  Kawasan kekuasaan Perancis
  Perkhemahan/pertempuran gerila Viet Minh

Pada 1941, bangkitnya sebuah gerakan pembebasan komunis-nasionalis bernama Viet Minh yang diketuai oleh pemimpin revolusi negara Ho Chi Minh yang mengejar kemerdekaan bagi Vietnam dari Perancis di akhir zaman Jepun. Ekoran tumpasnya tentera Japan dan jatuhnya negeri bonekanya Empayar Vietnam pada Ogos 1945, Viet Minh menduduki Hanoi lalu mengisytiharkan kerajaan sementara yang menegaskan bahawa negara merdeka pada 2 September. Pada tahun yang sama, Kerajaan Sementara Republik Perancis menghantar Kor Ekspedisi Timur Jauh Perancis untuk memulihkan pemerintahan kolonial, kemudian Viet Minh melancarkan kempen gerila terhadap Perancis pada akhir 1946.[26] Maka timbulnya Perang Indochina Pertama hingga Julai 1954.[27]

Tumpasnya Perancis serta sekutu-sekutu tempatan dalam Pertempuran Dien Bien Phu 1954 memudahkan Ho Chi Minh untuk merundingkan gencatan senjata di Persidangan Geneva. Maka tamatlah pemerintahan kolonial dan Indochina Perancis dibubarkan dan dibahagikan oleh Perjanjian Geneva 1954 kepada tiga negara, iaitu Vietnam, Kemboja dan Laos. Vietnam dibahagikan lagi kepada kawasan pentadbiran Utara dan Selatan di Zon Bebas Tentera Vietnam yang terletak lebih kurang di sepanjang 17th parallel north sementara menunggu pilihan raya yang dijadualkan untuk Julai 1956. Tiada apa-apa yang ditandatangani oleh kerajaan Amerika Syarikat mahupun Negara Vietnam pimpinan Ngô Đình Diệm di Persidangan Geneva. Delegasi Vietnam yang bukan komunis sekeras-kerasnya membantah sebarang pembahagian terhadap wilayah Vietnam, tetapi Perancis menerima usul Viet Minh[28] bahawa Vietnam disatukan oleh pilihan raya di bawah kawal selia "suruhanjaya setempat".[29] Amerika Syarikat dengan sokongan Vietnam Selatan dan United Kingdom membalas kembali dengan "American Plan"[30] yang memperuntukkan pilihan raya penyatuan yang diselia oleh PBB, tetapi pelan itu ditolak oleh Soviet dan delegasi komunis lain.[30] Dibenarkannya tempoh berpindah bebas selama 300 hari bilamana hampir sejuta orang utara yang rata-ratanya Katolik berpindah ke selatan kerana takut akan ditindas oleh komunis.

Pemecahan Vietnam tidak berniat untuk kekal lama mengikut Perjanjian Geneva yang mensyaratkan bahawa Vietnam akan disatukan semula selepas pilihan raya pada 1956.[31] Namun pada 1955, Perdana Menteri Vietnam Selatan Ngô Đình Diệm menjatuhkan Maharaja Bảo Đại dalam pungutan suara palsu yang dianjurkan oleh saudaranya Ngô Đình Nhu lalu menggelar dirinya Presiden Republik Vietnam.[32] Pada ketika inilah Negara Vietnam yang diiktiraf antarabangsa bubar dan digantikan oleh Republik Vietnam di selatan dan Republik Demokratik Vietnam pimpinan Ho Chi Minh di utara.

Perang Vietnam

[sunting | sunting sumber]
Helikopter AS menyemburkan peranggas kimia (barangkalinya Agent Orange) ke atas Delta Mekong, 1969.

Kelompok Viet Cong yang pro-Hanoi melancarkan kempen gerila pada akhir 1950-an untuk menjatuhkan kerajaan Diệm.[33] Dari 1953 hingga 1956, kerajaan Vietnam Utara melaksanakan pelbagai pembaharuan agraria termasuk "pengurangan sewa" dan "pembaharuan tanah" yang menyebabkan penindasan politik yang hebat. Sewaktu pembaharuan tanah, saksi-saksi Vietnam Utara mendakwa bahawa seorang dihukum bunuh daripada setiap 160 orang kampung; jika diekstrapolasikan ke seluruh negara maka dianggarkan seramai 100,000 orang dihukum bunuh. Oleh kerana kempen tertumpu pada kawasan Delta Sungai Merah, anggaran serendah 50,000 orang dihukum bunuh diterima umum oleh ilmuwan ketika itu.[34][35][36][37] Namun begitu, dokumen-dokumen yang diubah status dari arkib Vietnam dan Hungary menunjukkan bahawa bilangan hukuman bunuh jauh lebih rendah pada ketika itu, tetapi mungkin lebih daripada 13,500 orang.[38] Di Selatan, Diệm membalas ancaman Vietanm Utara (yang termasuk pembunuhan lebih 450 pegawai Vietnam Selatan pada 1956) dengan menahan beratus ribu yang disyaki komunis dalam "pusat-pusat pendidikan semula." Ini merupakan sebuah program kejam yang memenjarakan ramai orang bukan komunis tetapi berjaya membendung kegiatan komunis di negara biarpun sementara. Kerajaan Vietnam Utara mendakwa bahawa 2,148 orang individu terbunuh dalam pusat-pusat pendidikan semula hingga November 1957.[39] Pada 1960 dan 1962, Vietnam Utara menandatangani perjanjian dengan Kesatuan Soviet untuk memperoleh sokongan tentera selanjutnya.

Pada 1963, kemarahan penganut Buddha dengan rejim Diệm yang menganut Katolik dan menindas penganut agama lain membawa kepada tunjuk perasaan beramai-ramai yang kemudian mencetuskan penindasan kejam oleh kerajaan.[40] Ini menyebabkan Amerika Syarikat putus hubungan dengan Diệm dan akhirnya terjadi rampasan kuasa 1963 yang mana Diệm dan Nhu dikorbankan.[41] Zaman Diệm disusuli oleh belasan kerajaan tentera berturut-turut sebelum bergandingnya Marsyal Udara Nguyễn Cao Kỳ dan Jeneral Nguyễn Văn Thiệu mengambil alih pada pertengahan 1965. Lambat-laun Thieu mengetepikan Ky lalu mencengkam lagi kuasanya melalui pilihan raya tipu pada 1967 dan 1971.[42] Dalam pergolakan inilah komunis mendapat kelebihan.

Untuk menyokong perjuangan Vietnam Selatan terhadap kebangkitan komunis, Amerika Syarikat mula menambah bekalan penasihat tentera dengan menjadikan Peristiwa Teluk Tonkin 1964 sebagai alasan untuk campur tangan. Tentera AS mula terlibat dalam operasi tempur darat pada 1965, dan pada kemuncaknya mencecah 500,000 orang askar kerahan.[43][44] AS turut terlibat dalam kempen bedilan udara berlarutan. Sementara itu, China dan Kesatuan Soviet membekali Vietnam Utara dengan bantuan material yang ketara serta 15,000 orang penasihat tempur.[45][46] Angkatan komunis yang membekali Viet Cong mengangkut bekalan di sepanjang laluan Ho Chi Minh yang merentasi Laos.[47]

Komunis menyerang sasaran Vietnam Selatan pada Serangan Tet 1968. Biarpun gagal secara ketenteraan, ia cukup untuk menggegarkan kerajaan AS dan menyebabkan rakyat AS mula membantah penglibatan negara mereka dalam perang.[48][49] Sewaktu serangan ini, askar komunis membunuh lebih 3,000 orang awam di bandar Huế.[50] Berdepan dengan meningkatnya jumlah korban, tentangan rakyat sendiri terhadap perang, serta kecaman antarabangsa, AS mula berundur dari pertempuran darat pada awal 1970-an. Tindakan ini juga menyusuli kegagalan usaha untuk memperkuat dan menstabilkan Vietnam Selatan.[51]

Ekoran Perjanjian Damai Paris pada 27 Januari 1973, semua askar tempur AS ditarik keluar menjelang 29 Mac 1973. Pada Disember 1974, Vietnam Utara menawan wilayah Phước Long dan melancarkan serangan besar-besaran yang berkesudahan dengan Kejatuhan Saigon pada 30 April 1975.[52] Vietnam Selatan diperintah seketika oleh sebuah kerajaan sementara tatkala di bawah pendudukan tentera Vietnam Utara. Pada 2 Julai 1976, Vietnam Utara dan Selatan digabungkan menjadi Republik Sosialis Vietnam.[53] Perang saudara Vietnam dahsyat sekali kesannya dengan jumlah kematian dalam 966,000 hingga 3.8 juta orang.[25][54][55]

Penyatuan semula dan pembaharuan

[sunting | sunting sumber]
Makam Ho Chi Minh di Hanoi.

Susulan perang di bawah pentabdiran Lê Duẩn, tiadanya pembunuhan beramai-ramai terhadap warga Vietnam Selatan yang bersubahat dengan kerajaan Saigon mahupun AS, menghairankan pihak Barat yang khuatir.[56] Namun begitu, seramai 300,000 orang Vietnam Selatan dihantar ke kem pendidikan semula di mana ramai mengalami penyeksaan, kebuluran dan penyakit sambil dipaksa melakukan kerja buruh kasar.[57] Kerajaan melaksanakan kempen pengkolektifan ladang dan kilang secara besar-besaran.[58] Ekonomi Vietnam huru-hara dan inflasi berlipat ganda tiga digit, sedangkan usaha membangun semula negara terbantut. Pada 1978, tentera Vietnam menyerang Kemboja untuk menjatuhkan Khmer Rouge yang selama ini menyerang perkampungan sempadan Vietnam.[59] Vietnam berjaya dalam kempen itu lalu mendirikan sebuah pemerintahan di Kemboja yang kekal hingga 1989.[60] Tindakan ini mengeruhkan hubungan dengan China yang melancarkan serangan mendadak seketika ke dalam Vietnam utara pada 1979.[61] Konflik ini menyebabkan Vietnam lebih bergantung kepada bantuan ekonomi dan ketenteraan Soviet.

Di Kongres Kebangsaan Keenam Parti Komunis Vietnam pada Disember 1986, ahli-ahli politik reformis menggantikan kerajaan "takuk lama" dengan kepimpinan baharu.[62][63] Golongan reformis itu dipimpin oleh Nguyễn Văn Linh, 71 tahun, yang menjadi setiausaha agung baharu parti.[62][63] Linh dan angkatan reformis melaksanakan usaha pembaharuan pasaran bebas berturut-turut yang dipanggil Đổi Mới ("Pengubahsuaian"), cermat mengurus peralihan dari ekonomi terancang kepada "ekonomi pasaran berorientasikan sosialis".[64][65]

Biarpun kekuasaan komunis tidak tergugat di bawah Đổi Mới, kerajaan menggalakkan pemilikan swasta terhadap ladang dan kilang, pelonggaran kawalan ekonomi serta pelaburan asing, sementara memelihara penguasaan terhadap industri-industri strategik.[65] Kemudian ekonomi Vietnam mencapai pertumbuhan pesat dalam pengeluaran pertanian dan industri, pembinaan, eksport dan pelaburan asing. Pembaharuan ini juga menyebabkan melebarnya jurang pendapatan dan ketidaksamaan jantina.[66][67]

  1. ^ Taylor, Keith (1983). The birth of Vietnam. Berkeley: University of California Press. m/s. xvii. ISBN 0520074173.
  2. ^ "History of Vietnam" Diarkibkan 2020-08-01 di Wayback Machine.
  3. ^ Hoa Binh Culture
  4. ^ Ancient time Diarkibkan Julai 23, 2011, di Wayback Machine
  5. ^ Lê Huyền Thảo Uyên, 2012–13. Welcome to Vietnam. International Student. West Virginia University.
  6. ^ Handbook of Asian Education: A Cultural Perspective, p. 95
  7. ^ "The Human Migration: Homo erectus and the Ice Age" Diarkibkan 9 Februari 2013 di archive.today. Yahoo!. 27 Mei 2009. Diterima pada 24 Januari 2013.
  8. ^ Kha and Bao, 1967; Kha, 1975; Kha, 1976; Long et al., 1977; Cuong, 1985; Ciochon and Olsen, 1986; Olsen and Ciochon, 1990.
  9. ^ a b Cuong, 1986.
  10. ^ Colani, 1927.
  11. ^ Demeter, 2000.
  12. ^ "Dong Son culture" Diarkibkan 26 April 2013 di Wayback Machine. LittleVietnamTours.com.vn. Retrieved 28 January 2013.
  13. ^ Nola Cooke, Tana Li, James Anderson (2011). The Tongking Gulf Through History. p.46.
  14. ^ "Chinese Colonization (200BC – 938AD)". Asia.msu.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 August 2007. Dicapai pada 28 April 2010.
  15. ^ "Country's Official Name". Easy Riders Vietnam. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 November 2013. Dicapai pada 18 Julai 2013. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  16. ^ "Spears offer insight into early military strategy". Viet Nam News. 22 Januari 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 March 2009.
  17. ^ "The Trần Dynasty and the Defeat of the Mongols". Countrystudies.us. Dicapai pada 28 April 2010.
  18. ^ "The Lê Dynasty and Southward Expansion". Countrystudies.us. Dicapai pada 28 April 2010.
  19. ^ "The Kingdom of Champa". Ancientworlds.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mei 2011. Dicapai pada 28 April 2010. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  20. ^ "The Chams: Survivors of a Lost Civilisation". Cpamedia.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 January 2010. Dicapai pada 28 April 2010.
  21. ^ Colonialism by Melvin Eugene Page and Penny M. Sonnenburg via Google Books. p.723. Retrieved 24 October 2012.
  22. ^ "French Counterrevolutionary Struggles: Indochina and Algeria" (PDF)[pautan mati kekal]. United States Military Academy. 1968. Diterima pada 6 Julai 2013.
  23. ^ Fourniau, Annam–Tonkin, pp. 39–77
  24. ^ "1930: 13 Viet Nam Quoc Dan Dang cadres, for the Yen Bai mutiny". ExecutedToday.com. 17 June 2013. Dicapai pada 6 July 2013.
  25. ^ a b Hirschman, Charles; Preston, Samuel; Vu Manh Loi (1995). "Vietnamese Casualties During the American War: A New Estimate" (PDF). Population and Development Review. 21 (4): 783–812. doi:10.2307/2137774. JSTOR 2137774. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 20 June 2010.
  26. ^ "Vietnam Notebook: First Indochina War, Early Years (1946–1950)". Parallel Narratives. Dicapai pada 25 July 2013.
  27. ^ Declaration of Independence, Democratic Republic of Vietnam (2 September 1945). Vietnam Documents. Diterima pada 15 Oktober 2012.
  28. ^ The Pentagon Papers (1971). Beacon Press. Vol. 3. p. 134.
  29. ^ The Pentagon Papers (1971). Beacon Press. Vol. 3. p. 119.
  30. ^ a b The Pentagon Papers (1971). Beacon Press. Vol. 3. p. 140.
  31. ^ Moïse, Edwin (4 November 1998). "The Geneva Accords". Clemson University. Dicapai pada 12 July 2013.
  32. ^ Moïse, Edwin (4 November 1998). "The Aftermath of Geneva, 1954–1961". Clemson University. Dicapai pada 12 July 2013.
  33. ^ The United States in Vietnam – An Analysis in Depth of America's Involvement in Vietnam. George McTurnin Kahin and John W. Lewis (1967). Delta Books.
  34. ^ Turner, Robert F. (1975). Vietnamese Communism: Its Origins and Development. Hoover Institution Publications. m/s. 143. ISBN 978-0817964313.
  35. ^ cf. Gittinger, J. Price, "Communist Land Policy in Viet Nam", Far Eastern Survey, Vol. 29, No. 8, 1957, p. 118.
  36. ^ Courtois, Stephane; dll. (1997). The Black Book of Communism. Harvard University Press. m/s. 569. ISBN 978-0-674-07608-2. Explicit use of et al. in: |first= (bantuan)
  37. ^ Dommen, Arthur J. (2001), The Indochinese Experience of the French and the Americans, Indiana University Press, p. 340, gives a lower estimate of 32,000 executions.
  38. ^ "Newly released documents on the land reform". Vietnam Studies Group. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 April 2011. Dicapai pada 2016-07-15. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan) cf. Szalontai, Balazs (November 2005). "Political and Economic Crisis in North Vietnam, 1955–56". Cold War History. 5 (4): 395–426. cf. Vu, Tuong (2010). Paths to Development in Asia: South Korea, Vietnam, China, and Indonesia. Cambridge University Press. m/s. 103. ISBN 9781139489010.
  39. ^ Turner, Robert F. (1975). Vietnamese Communism: Its Origins and Development. Hoover Institution Publications. m/s. 174–178. ISBN 978-0817964313.
  40. ^ Spencer C. Tucker, penyunting (2011). The Encyclopedia of the Vietnam War: A Political, Social, and Military History. ABC-CLIO via Google Books. ISBN 9781851099610. Dicapai pada 14 July 2013.
  41. ^ "JFK and the Diem Coup". National Security Archive. 5 November 2003. Dicapai pada 12 July 2013.
  42. ^ "This Day in History (Sep 3, 1967): Thieu-Ky ticket wins national election". History.com. Dicapai pada 26 November 2012.
  43. ^ "Vietnam War". Seasite.niu.edu. Dicapai pada 28 April 2010.
  44. ^ "The War's Costs". DigitalHistory.uh.edu. 2006. Diterima pada 25 Februari 2014.
  45. ^ "Soviet Aid to North Vietnam". GlobalSecurity.org. Dicapai pada 12 March 2013.
  46. ^ "Chinese Support for North Vietnam during the Vietnam War: The Decisive Edge". Military History Online. 2008. Dicapai pada 17 April 2013.
  47. ^ "Riding Vietnam's Ho Chi Minh Trail". The Guardian. 28 July 2011. Dicapai pada 12 July 2013.
  48. ^ "Tet Offensive". Vets With A Mission. Retrieved 10 October 2012. "...NLF/NVA troops and commandos attacked virtually every major town and city in South Vietnam as well as most of the important American bases and airfields...In Saigon, nineteen VC commandos blew their way through the outer walls of the US Embassy..."
  49. ^ "The Massacre at Hue". TIME. 31 October 1969. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 March 2015. Dicapai pada 12 July 2013. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  50. ^ Turner, Robert F. (1975). Vietnamese Communism: Its Origins and Development. Hoover Institution Publications. m/s. 251. ISBN 978-0817964313.
  51. ^ "Vietnamization". The Free Dictionary. Dicapai pada 12 July 2013.
  52. ^ "Saigon's Finale". New York Times. 13 October 1999. Dicapai pada 14 July 2013.
  53. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama Robbers 1021
  54. ^ Shenon, Philip (23 April 1995). "20 Years After Victory, Vietnamese Communists Ponder How to Celebrate". The New York Times. Dicapai pada 24 Februari 2011.
  55. ^ Obermeyer, Ziad; Murray, Christopher J. L.; Gakidou, Emmanuela (2008). "Fifty years of violent war deaths from Vietnam to Bosnia: analysis of data from the world health survey programme". BMJ. 336 (7659): 1482–1486. doi:10.1136/bmj.a137. PMC 2440905. PMID 18566045.CS1 maint: ref=harv (link) Lihat Table 3.
  56. ^ Elliot, Duong Van Mai (2010). "The End of the War". RAND in Southeast Asia: A History of the Vietnam War Era. RAND Corporation. m/s. 499, 512–513. ISBN 9780833047540.
  57. ^ Sagan, Ginetta; Denney, Stephen (October–November 1982). "Re-education in Unliberated Vietnam: Loneliness, Suffering and Death". The Indochina Newsletter. Dicapai pada 2016-09-01.
  58. ^ "Vietnam Outlines Collectivization Goal". The Spokesman-Review. Google News Archive. 28 Jun 1977. Dicapai pada 20 Julai 2013.
  59. ^ Cambodia – The Fall of Democratic Kampuchea. U.S. Library of Congress. Retrieved 9 July 2013.
  60. ^ "Photographer Showcases Legendary Khmer Temple Preah Vihear". National Geographic. 23 Jun 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Ogos 2009. Dicapai pada 12 July 2010.
  61. ^ Chinese Invasion of Vietnam – February 1979. GlobalSecurity.org. Dikemaskinikan pada 2011. Diterima pada 6 Oktober 2012.
  62. ^ a b Stowe, Judy (28 April 1998). "Obituary: Nguyen Van Linh". The Independent (London). p. 20.
  63. ^ a b Ackland, Len (20 March 1988). "Long after U.S. war, Vietnam is still a mess". St. Petersburg Times (Florida). Page 2-D.
  64. ^ Murray, Geoffrey (1997). Vietnam: Dawn of a New Market. New York: St. Martin's Press. p. 24–25. ISBN 0-312-17392-X.
  65. ^ a b Hoang Thi Bich Loan (18 April 2007). "Consistently pursuing the socialist orientation in developing the market economy in Vietnam". Communist Review. TạpchíCộngsản.org.vn. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 May 2011.
  66. ^ Goodkind, D. (1995). "Rising Gender Inequality in Vietnam Since Reunification". Pacific Affairs. 68 (3): 342–359. doi:10.2307/2761129. JSTOR 2761129.
  67. ^ Gallup, John Luke (2002). "The wage labor market and inequality in Viet Nam in the 1990s". Ideas.repec.org. Dicapai pada 7 November 2010.