Sumeria
Sumeria ialah tamadun Timur Dekat Kuno terawal yang diketahui. Ia terletak di bahagian selatan Mesopotamia (Iraq tenggara) sejak dari pertengahan milenium ke-4 SM sehingga kebangkitan Babylonia pada akhir milenium ke-3 SM. Istilah "orang Sumer" merujuk kepada semua penutur bahasa Sumer. Sumer, bersama-sama dengan Mesir Kuno dan Tamadun Lembah Indus, telah dianggap sebagai masyarakat-masyarakat pertama di dunia yang mempunyai semua ciri untuk melayakkan diri dianggap sebagai suatu "tamadun".
Etnonim
Istilah "orang Sumer" ialah eksonim yang digunakan untuk merujuk kepada penghuni-penghuni kuno di Mesopotamia oleh orang Akkad Semit, pengganti mereka. Bagaimanapun, orang Sumer merujuk kepada diri sendiri sebagai sag-giga yang secara harfiah membawa pengertian "orang kepala hitam" [1] dan tanah mereka sebagai ki-en-gir, [2] perkataan yang pada asalnya mungkin bermaksud "tanah lidah Sumer". [3][4]
Perkataan Shumer mungkin merujuk kepada nama ini dalam bahasa loghat Akkad, tetapi mengapa orang Akkad merujuk kepada tanah selatan sebagai Shumeru masih tidak dapat diketahui. [2][4] Perkataan Shinar dalam kitab Bible, Sngr dalam bahasa Mesir, dan Šanhar(a) dalam bahasa Hittite mungkin merupakan kelainan-kelainan barat untuk perkataan Šumer. [2]
Latar belakang
Orang Sumer bukannya orang Semit dan pada suatu ketika, dipercayai merupakan penjajah kerana sebilangan ahli bahasa telah mengesan sebuah bahasa substrat di bawah bahasa Sumer. Bagaimanapun, rekod arkeologi jelas menunjukkan keseinambungan kebudayaan yang tidak terputus-putus sejak dari masa penempatan-penempatan Zaman Ubaid Awal (5200-4500 SM melalui pentarikhan radiokarbon C-14, dan 6090-5429 SM mengikut calBC) di Mesopotamia selatan. Orang Sumer yang menetap di sini mengerjakan tanah-tanah di kawasan ini yang disuburkan oleh kelodak yang dimendapkan oleh sungai Tigris dan Furat.
Cabaran untuk mana-mana penduduk mencuba menghuni di dataran banjir selatan Iraq yang gersang, dengan kurang daripada 5 inci hujan setahun pada masa ini, adalah untuk mengurus sungai Tigris dan Furat supaya dapat membekalkan air pertanian dan minuman pada sepanjang tahun. Bahasa Sumer mempunyai banyak istilah untuk terusan, daik, dan takungan, dengan penutur-penuturnya merupakan para petani yang berpindah dari utara selepas menguasai teknik-teknik pengairan pertanian di sana.
Tembikar Ubaid dari Mesopotamia selatan telah dikaitkan dengan tembikar kebudayaan Samarra (k.k. 5700-4900 SM melalui pentarikhan radiokarbon C-14, 6640-5816 SM menurut calBC) di utara, melalui barang-barang "Choga Mami Peralihan". Orang Samarra merupakan orang pertama untuk mengamalkan sejenis pertanian pengaliran yang primitif di sepanjang kawasan pertengahan Sungai Tigris dan cawang-cawangnya. Hubungan ini paling ketara di Tell Awayli (Oueilli, Oueili) yang terletak berhampiran dengan Larsa. Orang Perancis yang mengekskavasi kawasan itu pada dekad 1980-an telah menemui tembikar pra-Ubaid yang seakan-akan barang Samarra pada lapan aras ekskavasi tersebut. Orang-orang petani tersebar masuk ke Mesopotamia selatan kerana mereka telah mengembangkan sebuah organisasi sosial berasaskan kuil yang berupaya mengawal air melalui buruh dan teknologi dan dengan itu, membolehkan mereka hidup dan berkembang maju di persekitaran-persekitaran yang sukar.
Negara-negara kota
Menjelang akhir milenium ke-4 SM, Sumer terbahagi kepada lebih kurang sedozen negara kota merdeka yang sempadan masing-masing ditakrifkan oleh terusan-terusan dan batu-batu sempadan. Setiapnya berpusat pada sebuah kuil yang didedikasikan kepada dewa atau dewi penaung kota yang khusus dan yang diperintah oleh seorang paderi (ensi) atau raja (lugal) yang amat berkait dengan upacara-upacara amal keagamaan kota.
Tapak-tapak Sumer yang utama (dari utara ke selatan) ialah kota-kota:
- Mari --
- Agade --
- Kish (Tell Uheimir & Ingharra) --
- Borsippa (Birs Nimrud) --
- Nippur (Nuffar) --
- Isin (Ishan al-Bahriyat) --
- Adab (Tell Bismaya) --
- Shuruppak (Fara) --
- Girsu (Tello) --
- Lagash (Al-Hiba) --
- Bad-Tibira (Al Medina) --
- Uruk (Warka) --
- Larsa (Tell as-Senkereh) --
- Ur (al Muqayyar) --
- Eridu (Abu Shahrain) --
Kota-kota kecil:
- Sippar (Abu Habba) --
- Kutha (Tell Ibrahim) --
- Dilbat (Tell ed-Duleim) --
- Marad ((Wanna es-) Sadun) --
- Kisurra (Abu Hatab) --
- Zabala (Tell Ibzeikh) --
- Umma (Tell Jokha) --
- Kisiga (Tell el-Lahm) --
- Awan
- Hamazi
- Eshnunna
- Akshak
- Zimbir
Selain daripada kota Maria yang terletak 330 kilometer di barat laut Agade tetapi terangkum dalam senarai raja untuk Zaman Dinasti Awal II, kesemua kota itu terletak di dataran aluvium Euphrates-Tigris di selatan Baghdad yang kini merupakan kawasan-kawasan gabenor Wasit, Dhi Qar, Al-Muthannā, dan Al-Qādisiyyah di Iraq.
Sejarah
Negara-negara kota Sumer bangkit untuk berkuasa pada zaman-zaman Ubaid dan Uruk prasejarah. Rekod-rekod sejarah bermula beransur-ansur dengan zaman Dinasti Awal sejak dari kira-kira abad ke-29 SM, tetapi masih tidak banyak catatan sehingga Zaman Dinasti Lagash bermula pada abad ke-26 SM. Zaman Sumer Klasik tamat dengan Empayar Akkad pada abad ke-24 SM. Menyusul Zaman Guti, terdapat "Zaman Pembaharuan Sumer" yang singkat pada abad ke-22 SM. Zaman itu disingkatkan oleh serangan-serangan orang Amorite pada sekitar tahun 2000 SM. "Dinasti Isin" Amorite kekal sehingga kira-kira tahun 1730 SM apabila Mesopotamia disatukan di bawah pemerintahan Babylonia.
- Zaman Ubaid, 5300-3900 SM
- Zaman Uruk IV, 3900-3200 SM
- Zaman Uruk III, 3200-2900 SM
- Zaman Dinasti Awal I, 2900-2800 SM
- Zaman Dinasti Awal II, 2800-2600 SM
- Zaman Dinasti Awal IIIa, 2600-2500 SM
- Zaman Dinasti Awal IIIb, 2500-2334 SM
- Zaman Dinasti Lagash, 2550-2380 SM
- Zaman Dinasti Akkad, 2450-2250 SM
- Zaman Gutian, 2250-2150 SM
- Zaman Ur III, 2150-2000 SM
Lihat juga
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Sumeria |
- Bahasa Sumer
- Mahakarya Gilgamesh
- Orang Arab Paya
- Senarai raja Sumer
- Sejarah menulis nombor
- Sejarah Sumer
- Seni bina Sumer
Nota
- ^ W. Hallo, W. Simpson (1971). The Ancient Near East. New York: Harcourt, Brace, Jovanovich. m/s. 28.
- ^ a b c K. van der Toorn, P. W. van der Horst (Jan 1990). "Nimrod before and after the Bible". The Harvard Theological Review. 83 (1): 1-29.
- ^ John Nicholas Postgate (1994). Early Mesopotamia: Society and Economy at the Dawn of History. Routledge (UK). dengan Dr. Postgate mempercayai bahawa eme (lidah), kemudian menjadi en (tuan) melalui penyerapan konsonan.
- ^ a b Soal Jawab Sumer
Bacaan tambahan
- Ascalone, Enrico. Mesopotamia: Assyrians, Sumerians, Babylonians (Kamus-kamus Tamadun; 1). Berkeley: Percetakan Universiti California, 2007 (buku kulit lembut, ISBN 0-520-25266-7).
- Bottéro, Jean. Everyday Life in Ancient Mesopotamia.
- Crawford, Harriet. Sumer and the Sumerians.
- Leick, Gwendolyn. Mesopotamia.
- Lloyd, Seton. The Archaeology of Mesopotamia: From the Old Stone Age to the Persian Conquest.
- Nemet-Nejat, Karen Rhea. Daily Life in Ancient Mesopotamia.
- Kramer, Samuel Noah. Sumerian Mythology: A Study of Spiritual and Literary Achievement in the Third Millennium BC.
- Kramer, Samuel Noah. The Sumerians : Their History, Culture, and Character.
- Roux, Georges. Ancient Iraq.
- Schomp, Virginia. Ancient Mesopotamia: The Sumerians, Babylonians, And Assyrians.
- Sumer: Cities of Eden (Timelife Lost Civilizations). Alexandria, VA: Time-Life Books, 1993 (buku kulit tebal, ISBN 0-8094-9887-1).
- Woolley, C. Leonard. The Sumerians.
Pautan luar
- Geografi
- Peta Kawasan Bentuk Bulan Sabit Subur Diarkibkan 2012-02-06 di Wayback Machine
- Sejarah
- Bahasa
- Laman web Bahasa Sumer – mungkinnya laman web Sumer yang tertua dalam internet (wujud sejak 1996) yang menonjolkan leksikon tersusun, Soalan Lazim terperinci, banyak pautan, dll.
- Laman web Korpus Teks Elektronik Kesusasteraan Sumer (ETCSL) – mengandungi terjemahan lengkap untuk melebihi 400 buah teks kesusasteraan Sumer
- PSD: Kamus Sumer Pennsylvania
- CDLI: Initiasif Perpustakaan Digital Tulisan Pepaku (CDLI) – korpus besar teks-teks Sumer dalam transliterasi, dengan sebahagian besar dari zaman-zaman Dinasti Awal dan Ur III