Bomba
Bomba | |
---|---|
Pertubuhan awam, swasta, kerajaan atau sukarela |
Jabatan bomba merupakan sebuah organisasi awam atau swasta yang menyediakan perkhidmatan memadam serta meredakan bencana kebakaran mengikut tahap penguatkuasaan, sama ada perbandaran, mukim, daerah, negeri atau kebangsaan.[1]
Para anggotanya disebut sebagai ahli bomba.
Perkataan Bomba berasal dari Bahasa Portuguese iaitu Bombeiros
Organisasi
Sesebuah jabatan bomba lazimnya mempunyai fungsi asas untuk memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran serta menyelamatkan nyawa, premis dan harta benda daripada musnah akibat kebakaran. Di Malaysia, fungsi-fungsi bomba adalah tertakluk di bawah Seksyen 5(1) & (2) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) seperti berikut:- [2]
- Memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran.
- Melindungi nyawa dan harta sekiranya berlaku kebakaran.
- Menentukan adanya jalan keluar kebakaran, penyelengaraan dan pengawalseliaan yang sempurna.
- Menjalankan penyiasatan tentang sebab, punca dan hal kebakaran.
- Melaksanakan khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya apa-apa bencana.
Sejarah
Peristilahan
Perkataan bomba mula-mula muncul pada abad ke-16 dengan tibanya pihak Portugal ke Nusantara yang lagi-lagi menduduki Melaka pada ketika itu. "Bomba" itu sendirinya dalam bahasa Portugis bermaksud "pam" (bandingkan pump dalam bahasa Inggeris);[3] malah perkataan yang hampir mirip "pompa" pernah digunakan dengan makna sama.[4]
Perkembangan
Jabatan bomba terawal ditubuhkan semasa zaman Rom Purba oleh Egnatius Rufus yang menggunakan hamba abdinya untuk menyediakan perkhidmatan bomba percuma.[5] Mereka menentang kebakaran dengan menggunakan timba berantai serta meronda jalan-jalan dengan kuasa menghukum sesiapa yang melanggar peraturan pencegahan kebakaran.
Jabatan bomba kemudian ditubuhkan oleh syarikat insurans pada abad ke-18 dan 19. Pada tahun 1736, Benjamin Franklin telah menubuhkan syarikat insurans kebakaran pertama bernama Union Volunteer Fire Company di Philadelphia.[6] Bandar raya Boston menubuhkan jabatan bomba pertama yang dibiayai orang awam di Amerika pada tahun 1679.[7]
Pada lewat abad ke-19, permintaan terhadap pemerintahan berpusat terhadap syarikat bomba swasta muncul berikutan tindakan syarikat bomba berkenaan kerana syarikat bomba tersebut ada kalanya enggan memadamkan kebakaran di bangunan yang tidak memiliki insurans kebakaran. Harta yang diinsuranskan biasanyanya mempunyai plak yang menandakan syarikat insurans masing-masing. Tindakan tersebut menyebabkan sebahagian bandar raya musnah teruk serta banyak nyawa yang terkorban. Bandar-bandar raya mula menubuhkan jabatan bomba sendiri sebagai satu bentuk perkhidmatan awam, sekaligus memaksa syarikat bomba swasta ditutup.
Rujukan
- ^ Cote, Arthur E. (2003). "Basics of Fire and Fire Science". Organizing for Fire And Rescue Services. Jones & Bartlett Publishers. m/s. 92. ISBN 9780877655770.
- ^ "Objektif dan Fungsi". Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Dicapai pada 1 Mac 2011.
- ^ Muzzi, Geraldo Affonso (2014). The Portuguese in Malay Land. Ediçoes Vercial. m/s. 112.
- ^ "pompa". Kamus Pelajar (ed. ke-2). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Dicapai pada 3 Jun 2020 – melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
- ^ "Fire-brigades in the Roman realm". Economypoint.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-26. Dicapai pada 3 July 2010.
- ^ IFSTA (2004). Fire Service Orientation and Terminology. Fire Protection Publications, University of Oklahoma. ISBN 9780879392321.
- ^ Klinoff, Robert (2007). "Public Fire Protection". Introduction to Fire Protection, 3rd Edition. Thomson Delmar Learning. m/s. 59. ISBN 9781418001773.
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Bomba |