Dewan Undangan Negeri di Malaysia
Negara Anggota ASEAN |
Portal Malaysia |
Dewan Undangan Negeri di Malaysia ialah badan perundangan tertinggi peringkat negeri di Malaysia. Ia terdiri daripada ketua negeri (Yang di-Pertuan Besar, Sultan, Raja dan Yang di-Pertua Negeri), seorang pengerusi dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (atau kebiasannya disingkatkan kepada ADUN). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ini terdiri daripada orang yang dilantik mengikut undang-undang negeri masing-masing.
Ketua Negeri akan mengadakan persidangan dari semasa ke semasa dan akan mengetuai persidangan tersebut. Ketua Negeri boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dikekalkan selama lima tahun sekiranya tidak dibubarkan dalam jangka masa tersebut. Setelah dibubarkan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam jangka masa enam puluh (60) hari dari tarikh pembubaran.
Senarai dewan
- Dewan Negeri Johor[1]
- Dewan Negeri Pahang[1]
- Dewan Negeri Perak[1]
- Dewan Negeri Selangor[1]
- Dewan Negeri Kedah
- Dewan Negeri Kelantan
- Dewan Undangan Negeri Melaka
- Dewan Negeri Negeri Sembilan
- Dewan Undangan Negeri Perlis
- Dewan Undangan Pulau Pinang
- Dewan Undangan Negeri Terengganu
- Dewan Undangan Negeri Sarawak
- Dewan Undangan Negeri Sabah
Keanggotaan
Pengerusi
Pengerusi bagi sesebuah dewan undangan ialah Yang di-Pertua Dewan (atau juga disebut Speaker ataupun Pengerusi DUN). Ia dibantu oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan. Namun, terdapat negeri yang tidak mempunyai Timbalan Yang di-Pertua Dewan iaitu Terengganu. Pelantikan Yang di-Pertua Dewan dibuat dengan pencalonan daripada ahli dewan[2]. Calon Yang di-Pertua Dewan boleh dalam kalangan ahli Dewan, bekas ahli Dewan atau calon bebas yang tidak mewakili mana-mana parti politik di Malaysia.
Berikut ialah senarai penjawat Yang di-Pertua Dewan semasa:
Negeri | Penyandang | Parti | Mula khidmat |
---|---|---|---|
Johor | Mohd Puad Zarkashi | BN (UMNO) | 21 April 2022 |
Kedah | Juhari Bulat | PN (BERSATU) | 25 Ogos 2020 |
Kelantan | Abdullah Ya'kub | PN (PAS) | 13 Jun 2013 |
Melaka | Ibrahim Durum | BN (UMNO) | 27 Disember 2021 |
Negeri Sembilan | Zulkefly Mohamad Omar | PH (AMANAH) | 2 Julai 2018 |
Pahang | Ishak Muhamad | BN (UMNO) | 1 Julai 2013 |
Perak | Mohammad Zahir Abdul Khalid | BN (UMNO) | 12 Mei 2020 |
Perlis | Hamdan Bahari | BN (UMNO) | 28 Jun 2013 |
Pulau Pinang | Law Choo Kiang | PH (PKR) | 28 Jun 2013 |
Sabah | Kadzim M. Yahya | BN (UMNO) | 8 Oktober 2020 |
Sarawak | Mohamad Asfia Awang Nassar | GPS (PBB) | 15 November 2000 |
Selangor | Ng Suee Lim | PH (DAP) | 26 Jun 2018 |
Terengganu | Yahaya Ali | PN (PAS) | 1 Julai 2018 |
Ahli
Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan[3]. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada negeri dan Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan perlembagaan.
Seorang ahli DUN boleh memegang jawatan sebagai ahli Parlimen Malaysia (sama ada Dewan Negara atau Dewan Rakyat) serentak.
Ahli Dipilih
ADUN (atau ADN di sesetengah negeri) secara lazimnya dipilih melalui pilihan raya untuk satu sesi perkhidmatan. Ia dikekalkan selama lima tahun sekiranya tidak dibubarkan dalam jangka masa tersebut. Sebilangan ADUN di pihak parti pemerintah akan dilantik menganggotai badan eksekutif negeri iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Kabinet Negeri (bagi Sabah[4] dan Sarawak).
Ahli Lantikan
Terdapat beberapa negeri yang dibenarkan oleh undang-undang negeri masing-masing untuk melantik sebilangan individu menjadi ADUN tanpa melalui pilihan raya, iaitu Sabah yang memperuntukkan enam orang ADUN dilantik, Terengganu yang memperuntukkan empat orang; iaitu dua wanita dan dua bukan Muslim, dan Pahang yang memperuntukkan lima orang[5].
Berikut ialah senarai ADUN Lantikan semasa:
Negeri | Penyandang | Parti |
---|---|---|
Pahang | Kosong | |
Kosong | ||
Kosong | ||
Kosong | ||
Kosong | ||
Sabah | Aliakbar Gulasan | PN (PAS) |
Raime Unggi | BN (UMNO) | |
Suhaimi Nasir | BN (UMNO) | |
Jaffari Waliam | GRS (Gagasan Rakyat) | |
Amisah Yassin | GRS (Gagasan Rakyat) | |
Yong Teck Lee | GRS (SAPP) | |
Terengganu | Kosong | |
Kosong | ||
Kosong | ||
Kosong |
Rujukan
- ^ a b c d Badan perundangan negeri di Johor, Pahang, Perak dan Selangor menggunakan istilah Dewan Negeri sebagai nama rasmi, tidak seperti negeri-negeri lain yang menggunakan istilah Dewan Undangan Negeri.
- ^ NOR FARHANA YAACOB (11 Mei 2020). "Pelantikan speaker baharu ikut peraturan". Sinar Harian. Dicapai pada 30 Disember 2021.
- ^ "Adun DAP tiba lambat, terlepas sesi angkat sumpah DUN Melaka". Malaysiakini. Disember 27, 2021. Dicapai pada 30 Disember 2021.
- ^ Yun Mikail (September 29, 2020). "Hajiji Ketua Menteri Sabah ke-16". Harian Metro. Dicapai pada 30 Disember 2021.
- ^ NORSHAHZURA MAT ZUKI (21 November 2020). "Pelantikan ADUN tanpa pilihan raya bukan perkara baharu". Sinar Harian. Dicapai pada 30 Disember 2021.