Lambang negara Republik Rakyat China
Lambang negara Republik Rakyat China (中华人民共和国国徽) mengandungi representasi Gerbang Tiananmen yang merupakan tempak masuk ke dalam Bandar Terlarang di Beijing, di dalam sebuah bulatan merah. Di atas imej Gerbang Tiananmen ini terdapat lima butir bintang yang juga boleh didapati di bendera negara China. Bintang-bintang ini mempunyai pelbagai makna di kalangan rakyat China. Ada yang mengatakan bahawa ia melambangkan kesatuan seluruh rakyat China, khususnya, kesatuan lima bangsa terbesar di tanah China. Ada juga yang mengatakan bintang-intang tersebut melambangkan kesatuan lima kelas sosial di negara itu.
Bulatan merah ini dikelilingi tangkai bijiran gandum yang melambangkan falsafah Mao mengenai revolusi pertanian. Di sebeblah bawah bahagian tengah adalah sebuah roda bergigi yang melambangkan para pekerja perindustrian.
Elemen-elemen yang terdapat di jata ini memberi simbol kepada perjuangan rakyat China sejak Pergerakan Empat Mei dan juga melambangkan gabungan rakyat dan puak proletariat yang berjaya membangunkan sebuah negara Republik Rakyat China.
Jata ini direka oleh Liang Sicheng, seorang arkitek yang terkenal, di dalam sebuah pertandingan sempena penubuhan Republik Rakyat China, dan direka dengan simbol-simbol yang serupa dengan jata negara USSR, sebuah lagi negara komunis. Rekaan Liang ini dirasmikan sebagai lambang negara oleh Pusat Pemerintahan Rakyat China pada 20 September 1950.