KL Menjerit

Filem aksi romantik Malaysia 2002 arahan Bade Hj. Azmi

KL Menjerit ialah sebuah filem aksi romantik Malaysia 2002 arahan dan tulisan oleh Bade Hj. Azmi, dibintangi oleh Rosyam Nor, Lisdawati, Faizal Hussein, Liza Hanim, Hasnul Rahmat, Danny X-Factor dan Saiful Apek.[2] Berdasarkan dari skrip asal yang ditulis oleh Bade pada 1992, ia berkisarkan tentang Shahrol, seorang mat motor yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan bertemu dengan Ayu, seorang gadis kampung yang naif. Shahrol mendapati dirinya dicabar oleh Pit, yang mahu menguji kemahiran bermotor yang dimilikinya.[3][4][5]

KL Menjerit
Poster keluaran tayangan
PengarahBade Hj. Azmi
PenulisBade Hj. Azmi
Lakon layarBade Hj. Azmi
Dihasilkan oleh
Dibintangi
SinematografiRaja Mukhriz
Disunting olehS. Rakesh
Muzik olehAzman Abu Hassan
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehAstro Shaw
Tarikh tayangan
  • 24 Januari 2002 (2002-01-24) (Malaysia)
[1]
Masa tayangan
100 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM1.5 juta
Pecah panggungRM2.87 juta

KL Menjerit ditayangkan di pawagam pada 24 Januari 2002 oleh Tayangan Unggul.[6] Filem ini menerima pelbagai ulasan yang umumnya positif dan telah meraih kutipan pecah panggung hampir RM3 juta.[7] Ia telah menerima 8 kemenangan di Festival Filem Malaysia ke-16 dan 2 kemenangan di Anugerah Skrin 2003.[8][9] Prekuelnya, KL Menjerit 1 dikeluarkan pada 8 September 2005, manakala siri drama televisyen adaptasi filem ini disiarkan di Astro Ria pada 2008. Rosyam Nor dan Faizal Hussein kemudian menjayakan kembali watak masing-masing dalam filem Mat Moto arahan Pekin Ibrahim yang ditayangkan pada 2016.

Shahrol (Rosyam Nor), anak muda berusia 28 tahun berasal dari kampung di Perlis. Seorang yang agresif dan suka bertindak mengikut perasaan remajanya. Shahrol bersekolah setakat tingkatan empat. Kemudian Shahrol berhijrah ke Kuala Lumpur mencuba nasib. Tanpa kelulusan tinggi, dia hanya dapat kerja sebagai pembantu di bengkel motor. Kerana kesabarannya dia berjaya menjadi mekanik.

Kehidupannya dilingkungi dunia permotoran. Selain itu, Shahrol juga mempunyai kekasih bernama Linda Martopo (Liza Hanim). Bagaimanapun, pertemuan Shahrol dengan Ayu (Lisdawati) dan Tun (Hasnul Rahmat) banyak merubah hidup dan sikapnya. Shahrol bertemu Ayu di satu perlumbaan motor haram. Ayu baru tiba di Kuala Lumpur dari kampung untuk mencari kekasihnya, Mustaffa (Rashidi Ishak). Tetapi dia terperangkap oleh pengurus perlumbaan dan dijadikan sebagai anugerah bagi pemenang perlumbaan.

Pada awalnya Shahrol hanya berniat menolong Ayu tetapi akhirnya dia jatuh cinta dengan gadis itu. Tun yang berusia awal 20-an pula merupakan rakan baik Shahrol. Tun anak tunggal kepada seorang tokoh politik. Tun remaja bijak dan selalu mendapat keputusan cemerlang pada setiap peperiksaan. Orang tuanya tidak mengetahui Tun menghidap sejenis penyakit yang lama dideritai. Hidup sepi tanpa kasih sayang ibu bapa juga menjadi racun dalam hidupnya. Untuk mengisi kekosongan hidupnya, Tun berkawan dengan Shahrol.

Tun meskipun memiliki kehidupan dan harta serba lengkap tapi kehidupannya tidak 'terisi' kerana kurang cabaran dan perhatian seperti yang lain. Maka sebab itu dia bersahabat dengan Shahrul untuk mencari erti kehidupan sebenar disamping menambah kawan dan mencari pengalaman baru.

Pelakon

sunting

Penerbitan

sunting

KL Menjerit ialah filem kedua terbitan Tayangan Unggul selepas filem Sara (2001).[12] Ia merupakan filem ketiga arahan Bade Hj. Azmi, yang dikenali menerusi hasil kerjanya sebagai jurukamera untuk beberapa filem tempatan.[13][14][15] Beliau menulis skrip asal filem ini pada 1992 dengan jiwa yang marah dan memberontak. Kemudian ia diolah semula pada 1997 mengikut kedewasaan dan kematangan yang dilalui.[16][17]

Rosyam Nor dipilih melakonkan watak sebagai Shahrol, seorang mat moto. Watak ini dipilih sebagai tanda penghargaan kepada pelumba motosikal profesional, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, yang pernah muncul dalam iklan anti lumba haram tajaan Petronas.[18] KL Menjerit merupakan penampilan kedua Rosyam sebagai watak utama selepas Suami, Isteri dan .....? (1996). Menurut Rosyam, beliau menerima tawaran berlakon dalam filem ini kerana ingin mencuba watak lelaki romantik sambil menjelaskan belum pernah memegang watak lelaki yang sedang bercinta melainkan dalam drama sahaja.[19] Beliau juga mengakui watak Shahrol lakonannya diinspirasikan dari pengalamannya sebagai mat moto semasa zaman remajanya.[20] Lisdawati, yang ketika itu dikenali sebagai Nisdawati (nama sebenar beliau), memegang watak sebagai Ayu, seorang gadis kampung. KL Menjerit ialah filem kedua lakonannya dan filem pertama beliau sebagai pelakon utama.[21][22] Ditanya mengenai penglibatannya dalam filem itu, beliau berkata: "Seperti tidak percaya apabila saya terpilih beraksi dengan mereka yang lebih berpengalaman,".[23] Penyanyi, Liza Hanim memegang watak sebagai Linda Martopo. KL Menjerit menjadi percubaan sulung beliau dalam bidang lakonan, beliau turut menyumbangkan runut bunyi filem ini yang bertajuk "Gelisah Mimpi".[24][25][26]

KL Menjerit ialah filem pertama Raja Mukhriz Raja Kamaruddin sebagai pengarah fotografi. Beliau sebelum ini pernah menjadi pengarah fotografi untuk beberapa filem pendek yang dihasilkannya semasa menuntut di Akademi Filem Malaysia (AFM).[8] Penyampai radio ERA (kini bekas), Kudsia Kahar dan Seelan Paul membuat penampilan khas. Kos pembikinan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta. Penggambaran dijalankan selama 45 hari pada Mei dan Jun 2001 di beberapa lokasi menarik di Kuala Lumpur termasuk KLCC dan Kampung Baru; Litar Batu Tiga, Shah Alam, Selangor; Johor Bahru, Johor dan Perlis.[27][28][29]

Gaya dan tema

sunting

Menurut Utusan Malaysia, KL Menjerit menyentuh isu lumba haram dan aktiviti sosial di bandar raya Kuala Lumpur, namun mengambil pendekatan klise dan lumrah dalam filem Melayu. Aspek pencahayaan tidak dikawal dengan baik menyebabkan dalam beberapa adegan, di mana perakamannya agak kaku dan dalam adegan-adegan lain, ia gagal mencipta mood yang dikehendaki.[8] Akhbar itu juga memerhatikan bahawa resah dan gelisah golongan remaja agresif di Kuala Lumpur yang sepatutnya menjadi asas filem ini gagal diangkat sebaiknya sekaligus menjadi latar yang tidak jelas.[8]

Keluaran dan sambutan

sunting

KL Menjerit dikeluarkan pada 24 Januari 2002 di 22 pawagam seluruh negara dan menjadi filem Melayu pertama yang ditayangkan pada suku pertama 2002.[30][31][32] Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya mengumpul kutipan pecah panggung sebanyak RM800,000 dalam tempoh 5 hari selepas tayangan perdana rasmi.[33][34] Kutipannya meningkat sebanyak RM1.6 juta dalam tempoh 13 hari.[35] Pada minggu seterusnya, KL Menjerit berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.4 juta.[36][37]

Zulkarnain Arba'ain dari Berita Minggu dalam ulasan retrospektifnya menulis bahawa filem ini ialah karya yang "sungguh mantap dan jalan ceritanya tersusun rapi dengan plot yang bersesuaian". Beliau berpendapat "adanya unsur suspen, lucu, aksi dan sedih".[38] Menulis untuk Harian Metro, Abie Abdullah berpendapat watak lakonan Rosyam Nor dalam KL Menjerit berjaya lari dari kebiasaan watak-watak "aksi lasaknya dalam Lenjan dan Gerak Khas The Movie atau lawaknya dalam Suami, Isteri dan .....?".[39] Huzz dari Utusan Malaysia memberikan penarafan empat daripada lima bintang untuk filem ini.[40]

KL Menjerit telah dipertontonkan buat pertama kali di televisyen menerusi saluran Astro Showcase sepanjang Mac 2002.[41] Pada Oktober, filem ini bersama-sama dengan filem Idola terpilih mewakili Malaysia ke Festival Filem Asia Pasifik ke-47 (FFAP47) yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan.[42][43]

Pada Mac 2017, Harian Metro menyenaraikan KL Menjerit sebagai salah satu daripada 10 karya aksi terbaik.[44]

Anugerah

sunting

KL Menjerit telah menerima 8 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-16, memenangi kesemua 8 kategori, termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.[45][46][47] Di Anugerah Skrin 2003, filem ini telah menerima 2 daripada 3 pencalonan termasuk Pengarah Terbaik yang dimenangi oleh Bade Hj. Azmi dan Pelakon Lelaki Terbaik untuk Rosyam Nor. Ia juga dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik di anugerah sama, namun dimenangi oleh filem Embun.[48][49]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2003 Festival Filem Malaysia ke-16 Filem Terbaik KL Menjerit Menang
Pengarah Terbaik Bade Hj. Azmi Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Rosyam Nor Menang
Cerita Terbaik Bade Hj. Azmi Menang
Lakon Layar Terbaik Menang
Penataan Bunyi Terbaik Azman Abu Hassan Menang
Pelakon Harapan Lelaki Hasnul Rahmat Menang
Pelakon Harapan Wanita Nisdawati Menang
Anugerah Skrin 2003 Filem Terbaik KL Menjerit Tercalon
Pengarah Terbaik Bade Hj. Azmi Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Rosyam Nor Menang

Kesinambungan

sunting

Prekuel

sunting

Pada Jun 2003, susulan kejayaan filem KL Menjerit yang mendapat sambutan di pawagam, Tayangan Unggul mengumumkan bahawa filem ini akan disambung dengan Bade kembali mengarah dan menulis skrip.[50][51] Diberi tajuk KL Menjerit 1, ia diterbitkan sebagai prekuel sekaligus diiktiraf sebagai filem prekuel pertama Malaysia.[51] Rosyam Nor juga akan kembali memegang watak sebagai Shahrol dan digandingkan bersama Erra Fazira. Turut kembali beraksi ialah Danny X-Factor dan Saiful Apek dengan penambahan beberapa pelakon baru termasuk Que Haidar, Zul Huzaimy dan Sheera Iskandar.[51] Penggambaran dijalankan pada Mac dan Mei 2004. KL Menjerit 1 ditayangkan di pawagam pada 8 September 2005, 3 tahun selepas kejayaan filem pertama.[52]

Adaptasi televisyen

sunting

Sebuah siri drama televisyen adaptasi filem ini, KL Menjerit The Series disiarkan di Astro Ria dari 25 Februari hingga 4 April 2008.[53] Watak Shahrol yang dilakonkan oleh Rosyam Nor untuk versi filem, telah dilakonkan oleh Adi Putra. Barisan pelakon lain termasuk Que Haidar, Ijoy Azhari, Fizz Fairuz, Nasrizal Ngasri, Julia Ziegler, Ayu Raudhah dan Ainul Aishah. Skrip drama ini ditulis oleh Farhana Fauri dengan Gayatri Su-Lin Pillai berkhidmat sebagai penasihat penerbitan, manakala Fairuz Loy berkhidmat sebagai pengarah.[53]

Trivia

sunting

Lisdawati Nazaruddin asalnya menggunakan nama 'Nisdawati' pada kredit filem ini. Kemudian bertukar kepada Lisdawati dan kekal dengan nama itu sehingga kini. Suara Ayu dalam filem itu juga bukan suara beliau dan menggunakan suara pelakon lain (dubbing) sewaktu fasa pos-produksi.

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q "Catatan penerbitan KL Menjerit". Filem Kita. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 September 2015. Dicapai pada 4 Januari 2013.
  2. ^ Isa Ismail (2 Februari 2002). "Lesson in love and illegal racing" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  3. ^ Nor Akmar Samudin (16 Januari 2002). "KL Menjerit papar kisah mat motor". Harian Metro. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  4. ^ Ellyna Ali (18 Januari 2002). "KL Menjerit tonjol dunia Mat Motor". Berita Harian. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  5. ^ Zubir Mohd Yunus (20 Januari 2002). "KL pasti menjerit!". Berita Minggu. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  6. ^ Meor Shariman (1 Februari 2002). "Screaming start" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  7. ^ "Kekesalan penerbit KL Menjerit". Utusan Malaysia. 24 Februari 2002. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 April 2018. Dicapai pada 21 April 2018.
  8. ^ a b c d "KL Menjerit - Judul yang membara". Utusan Malaysia. 1 Februari 2002. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Julai 2018. Dicapai pada 15 Julai 2010.
  9. ^ Ziema, Dalilah Ibrahim (20 April 2003). "KL Menjerit grabs host of awards". The Star Online. Dicapai pada 15 Julai 2010.
  10. ^ "Bersama Danny X-Factor". Berita Minggu. 1 Julai 2001. Dicapai pada 6 Januari 2020.
  11. ^ Ellyna Ali (17 Februari 2002). "Tak sangka Kudsia ada bakat berlakon". Berita Minggu. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  12. ^ Abie Abdullah (5 September 2001). "KL Menjerit menanti reaksi". Harian Metro. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  13. ^ "KL Menjerit medan Bada baiki kelemahan". Berita Harian. 24 Mei 2001. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  14. ^ Khadijah Ibrahim (21 Mei 2001). "KL Menjerit... menguji ketabahan Badaruddin". Utusan Malaysia. Dicapai pada 5 Januari 2013.
  15. ^ Meor Shariman (26 Mei 2001). "A love triangle and screaming bikes" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 6 Januari 2020.
  16. ^ Nor Akmar Samudin (19 Mei 2001). "KL Menjerit filem pertama Badar". Harian Metro. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  17. ^ Saharudin Musthafa; Rudy Imran Shamsudin (10 Jun 2001). "KL Menjerit ujian buat Badar, penentu nasib Rosyam". Utusan Malaysia. Dicapai pada 5 Januari 2013.
  18. ^ Tengku Khalidah Tengku Bidin (16 Januari 2002). "KL Menjerit - Mendekati dunia pelumba haram". Utusan Malaysia. Dicapai pada 5 Januari 2013.
  19. ^ "Rosyam cuba watak lelaki romantik". Utusan Malaysia. 23 Mei 2001. Dicapai pada 5 Januari 2013.
  20. ^ Nor Akmar Samudin (22 Mei 2001). "Rosyam lumba haram". Harian Metro. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  21. ^ Hanisah Selamat (22 Mei 2001). "KL Menjerit uji bakat Nisda". Berita Harian. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  22. ^ Khadijah Ibrahim (14 November 2001). "KL Menjerit - Cabaran kepada Nisdawati". Utusan Malaysia. Dicapai pada 5 Januari 2013.
  23. ^ Zul Husni Abdul Hamid (21 Jun 2001). "Nisda dari iklan ke filem". Berita Harian. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  24. ^ Ahmad Saufi Mansor (13 Jun 2001). "Liza beralih ke dunia lakonan". Harian Metro. Dicapai pada 6 Januari 2020.
  25. ^ Khadijah Ibrahim (26 Mei 2001). "Liza Hanim, KL Menjerit ujian berlakon". Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 April 2017.
  26. ^ Rosli Manah (22 Januari 2002). "Liza Hanim - Resah menunggu reaksi peminat". Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 April 2015.
  27. ^ Abie Abdullah (1 Jun 2001). "Jeritan Bada". Harian Metro. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  28. ^ Zubir Mohd Yunus (24 Jun 2001). "KL Menjerit bakal menggegar". Berita Minggu. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  29. ^ "Lega KL Menjerit selesai". Berita Minggu. 29 Julai 2001. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  30. ^ Hanisah Selamat (26 November 2001). "Promosi serentak Idola, KL Menjerit". Berita Harian. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  31. ^ Ellyna Ali (27 Januari 2002). "Realiti hidup Mat Motor". Berita Minggu. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  32. ^ Zubir Mohd Yunos (6 Februari 2002). "Bintang KL Menjerit teruk kena belasah". Berita Harian. Dicapai pada 6 Januari 2020.
  33. ^ "KL Menjerit kutip RM800,000". Harian Metro. 30 Januari 2002. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  34. ^ Izza Safinaz Ibrahim (2 Februari 2002). "Karya tempatan terima sambutan". Berita Harian. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  35. ^ Akmal Abdullah (7 Februari 2002). "KL Menjerit kutip RM1.6j dalam 13 hari". Berita Harian. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  36. ^ Akmal Abdullah (21 Februari 2002). "KL Menjerit cecah pungut RM2.4j". Berita Harian. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  37. ^ Sani Salleh (20 Februari 2002). "KL Menjerit mampu kutip lebih RM3j". Harian Metro. Dicapai pada 4 Januari 2020.
  38. ^ Zulkarnain Arba'ain (3 Mac 2002). "KL Menjerit mantap". Berita Minggu. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  39. ^ Abie Abdullah (25 Januari 2002). "Rosyam lari dari kebiasaan". Harian Metro. Dicapai pada 6 Januari 2020.
  40. ^ Huzz (3 Februari 2002). "KL Menjerit bertaraf empat bintang!". Utusan Malaysia. Dicapai pada 5 Januari 2013.
  41. ^ Hanisah Selamat (11 Mac 2002). "KL Menjerit ke udara di Astro". Berita Harian. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  42. ^ Abie Abdullah (1 Oktober 2002). "KL Menjerit, Idola bertuah dipilih ke Seoul". Harian Metro. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  43. ^ Abie Abdullah (1 Oktober 2002). "Harap salah satu filem menang anugerah". Harian Metro. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  44. ^ Syafil Syazwan Jefri (11 Mac 2017). "10 karya aksi terbaik". Harian Metro. Dicapai pada 12 Februari 2018.
  45. ^ Akmal Abdullah (20 April 2003). "KL Menjerit raih lapan anugerah". Berita Harian. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  46. ^ Sharifah Arfah (20 April 2003). "'KL Menjerit' steals the show at film festival" (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  47. ^ Akmal Abdullah (24 April 2003). "KL Menjerit menang kerana isu moral, pemikiran". Berita Harian. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  48. ^ "Ragam Skrin". Harian Metro. 25 Ogos 2003. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  49. ^ Akmal Abdullah (23 Ogos 2003). "AS6: Laluan sukar bagi KL Menjerit?". Berita Harian. Dicapai pada 5 Januari 2020.
  50. ^ Akmal Abdullah (7 Jun 2003). "KL Menjerit bakal disambung". Berita Harian. Dicapai pada 6 Januari 2020.
  51. ^ a b c Muzlina Abu Bakar (23 April 2004). "KL Menjerit 1 - Menongkah arus penerbitan filem". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Jun 2018. Dicapai pada 21 Jun 2018.
  52. ^ Abie Abdullah (4 September 2005). "KL Menjerit 1 lebih puas". Metro Ahad. Dicapai pada 6 Januari 2020.
  53. ^ a b "Drama terunggul". Metro Ahad. 17 Februari 2008. Dicapai pada 6 Januari 2020.

Pautan luar

sunting