Virus adalah ejen kecil berjangkit yang hanya boleh berkembang biak di dalam sel organisma hidup. Virus boleh menjangkiti semua jenis organisma, dari haiwan, tumbuh-tumbuhan, bakteria dan arkea. Virus juga merupakan sejenis parasit intrasel obligat yang membiak dengan cara menawan sel-sel lain kerana mereka tidak berupaya untuk membiak sendiri.

Virus
"Rotavirus"
Rotavirus
Pengelasan virus e
(tanpa pangkat): Virus
Various

See text

Istilah virus biasanya merujuk kepada zarah-zarah yang menjangkiti eukariot (organisma multisel dan organisma unisel) manakala istilah faj digunakan untuk zarah-zarah yang menyerang prokariot (bakteria dan organisma seperti bakteria). Kebiasaannya, zarah-zarah ini membawa asid nukleik DNA mahupun RNA yang dilindungi dengan lapisan pelindung daripada protein atau gabungan protein-lipid.

Etimologi

Istilah "virus" datangnya daripada akar Bahasa Latin yang bermaksud racun atau bisa.[1] Pada hari ini, virus digunakan untuk merujuk kepada virus biologi dan juga sebagai metafora untuk perkara yang bersifat menular seperti parasit, contohnya idea. Istilah ini turut digunakan dalam sains komputer bagi mewakili aturcara yang menjangkiti aturcara komputer yang lain. Perkataan virion atau viron digunakan untuk zarah virus berjangkit tunggal.

Pengelasan virus

Taksonomi

Tatanama taksonomi spesies virus ditentukan oleh Jawatankuasa Taksonomi Virus Antarabangsa (ICTV). Sistem tatanama am virus adalah seperti di bawah:

Alam (-viria)
Subalam (-vira)
Filum (-viricota)
Subfilum (-viricotina)
Kelas (-viricetes)
Order (-virales)
Suborder (-virineae)
Keluarga (-viridae)
Subkeluarga (-virinae)
Genus (-virus)
Subgenus (-virus)
Spesies

Setakat 2019, satu alam (Riboviria), satu filum (Negarnaviricota), dua subfilum, enam kelas, 14 order, tujuh suborder, 150 keluarga, 70 subkeluarga, 1,019 genus, 59 subgenus dann 5,560 spesies virus telah dikenal pasti oleh ICTV.[2]

Kandungan genetik

Virus diklasifikasikan kepada beberapa kelas, misalnya:

  • Kelas I DNA berbenang berkembar (Double stranded DNA)
  • Kelas II DNA berbenang tunggal (Single stranded DNA)
  • Kelas III RNA berbenang berkembar (Double stranded RNA)
  • Kelas IV RNA berbenang tunggal positif, bertindak sebagai mRNA
  • Kelas V RNA berbenang tunggal negatif, bertindak sebagai templat untuk sintesis mRNA
  • Kelas VI RNA berbenang tunggal positif dengan DNA sebagai perantara (retrovirus)
  • Kelas VII DNA berbenang ganda dua dengan RNA sebagai perantara semasa proses replikasi.

Kelas kelas ini bukan klasifikasi filogenetik kerana virus-virus mungkin tidak berkongsi asal yang sama.

Mikrobiologi virus

Fasa hidup

Virus menawan sel perumah untuk memenuhi kitaran hidupnya iaitu menghasilkan lebih banyak zarah virus. Virus berada di antara kumpulan benda hidup dan benda bukan hidup. Virus boleh membiak dan mewarisi sifat generasi sebelumnya, tetapi bergantung kepada enzim perumah, dan boleh dikendalikan seperti molekul biasa contohnya boleh menghablurkan zarahnya dan berada dalam keadaan dorman. Sama ada virus hidup atau tidak, mereka merupakan parasit obligat dan tidak mempunyai kemampuan untuk membiak sendiri. Seperti kebanyakan parasit, mereka memerlukan perumah yang tertentu, misalnya sesetengah virus hanya boleh membiak dalam spesis tertentu tetapi sesetengah yang lain boleh membiak dalam pelbagai jenis spesis dalam proses replikasi.

Replikasi virus

Virus tidak boleh menjalani pembahagian sel secara sendiri, dan perlu mengambil alih mekanisme sel perumah untuk menjalani replikasi, yakni menghasilkan salinan virus induk. Secara umumnya, terdapat enam fasa replikasi virus seperti di bawah:

  1. Penyerapan (adsorption): Virus melekat pada membran plasma sel prumah melalui ikatan virus dengan reseptor sel perumah.
  2. Penusukan (penetration): Virion memasuki sel perumah secara endositosis atau "bergabung" antara sampul virus dengan membran sel.
  3. Nyahlapisan (uncoating): Kapsid virus dilarutkan dan kandungan genetik virus tersebar di dalam sel perumah.
  4. Replikasi genom: Genom virus direka semula oleh sel perumah.
  5. Pematangan (maturation): Struktur-struktur virus dihasilkan oleh sel perumah.
  6. Pembebasan (release): Virus-virus yang dihasilkan dibebaskan dari sel, menyebabkan lisis, yakni pengoyakan membran plasma sel perumah.

Proses replikasi antara RNA dan DNA adalah berbeza.

Struktur virus

Virusnya secaranya amnya lebih kecil saiznya berbanding bakteria, di mana diameter ukurannya dianggarkan antara 20 hingga ke 300 nanometer. Kebanyakan virus tidak dapat dilihat melalui mikroskop optik yang biasa, oleh itu mikroskop elektron digunakan untuk menggambarkan virion.[3]

Virion yang merupakan zarah virus sempurna biasanya terdiri daripada asid nukleik iaitu gen virus, teras protein yang menyimpan gen virus itu sendiri ,serta lapisan protein yang berfungsi sebagai pelindung (sampul). Sampul yang selalunya dihasilkan daripada membran sel perumah melindungi genom virus yang memberikannya mekanisma bebas dan tindakbalas konsisten terhadap ransangan luar kepada virus tersebut.

Asal

Asal usul virus adalah tidak jelas. Pada masa ini, virus dipercayai terhasil di dalam organisma perumah dan berasal daripada unsur seperti plasmid dan transposon. Ada juga yang berpendapat virus merupakan mikrob yang muncul secara berasingan dalam sup primordium. Bentuk bentuk lain adalah seperti viroid, virusoid, dan prion.

Patologi dan perubatan

Peranan dalam jangkitan

Contoh penyakit yang paling biasa ialah selsema yang disebabkan oleh pelbagai jenis virus. Selain itu, demam campak, AIDS, dan kudis selsema juga disebabkan virus. Kajian terbaharu menyaksikan kanser serviks adalah disebabkan separuhnya oleh papilomavirus. Ini menunjukkan perkaitan pertama antara kanser dan agen penjangkit. Selain itu, virus borna yang sebelum ini dipercayai menyebabkan penyakit neuron pada kuda, mungkin bertanggungjawab terhadap penyakit psikiatri pada manusia. Keupayaan virus untuk menyebabkan penyakit dipanggil kevirulenan.

Seseorang dengan penyakit virus boleh mengalami dua keadaan, iaitu mengalami jangkitan akut dalam jangka masa cepat atau mengalami jangkitan yang berpanjangan dengan risiko jangkitan semula.[4]

Pengesanan

Pengesanan, pengasingan dan analisis virus secara umumnya ialah proses yang mahal dan sulit. Penelitian virus memerlukan peralatan yang mahal dan golongan pakar dalam pelbagai bidang seperti teknologis, biologi molekul dan virologi. Kajian tentang virus lazim melibatkan jabatan-jabatan negara atau melalui kerjasama dengan pihak luar negara melalui badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia.[5]

Rawatan dan pencegahan

Disebabkan virus menggunakan sel perumah, virus sukar dibunuh. Cara yang terbaik ialah pencegahan melalui pemvaksinan dan penggunaan dadah untuk merawat simptom penyakit. Kebanyakan pesakit meminta antibiotik tetapi sebenarnya antibiotik tidak mampu melawan virus, penyalahgunaannya akan menyebabkan ketahanan antibiotik dalam bakteria. Sungguhpun begitu, kadang-kala, cara yang selamat adalah memulakan rawatan menggunakan antibiotik semasa menunggu keputusan sama ada simptom pesakit adalah disebabkan virus atau bakteria.

Pemvaksinan

Vaksin digunakan untuk mengekang jangkitan virus sebelum virus-virus sebenar dapat ditemui. Vaksin-vaksin virus berjaya mengurangkan risiko penyakit-penyakit berjangkit seperti polio, campak dan rubela.[6] Kini, vaksin-vaksin dapat digunakan terhadap lebih daripada 13 jangkitan virus,[7] dan lebih banyak vaksin virus digunakan terhadap haiwan.[8]

Aplikasi

Sains perubatan

Virus memainkan peranan penting dalam kajian biologi molekular dan sel kerana ia mengandungi sistem-sistem ringkas yang boleh diolah bagi tujuan mengkaji fungsi-fungsi yang ada pada sel.[9] Kajian yang dilakukan terhadap virus-virus ini serta pengunaan mereka memberikan banyak maklumat yang penting terhadap aspek-aspek biologi sel[10] seperti kajian genetik dan pemahaman yang mendalam kepada mekanisme genetik molekular seperti pereplikaan DNA, pemprosesan RNA, penterjemahan genetik, peredaran protein serta imunologi.

Rujukan

  1. ^ "virus | Definition of virus in English by Oxford Dictionaries". Oxford Dictionaries | English. Dicapai pada 2018-06-22.
  2. ^ ICTV Virus Taxonomy ICTV Virus Taxonomy Release History
  3. ^ Collier pp. 33–37
  4. ^ Evans, AS.; Kaslow, RA. (1997), Viral Infections of Humans:epidemiology and Control, New York: Plenum Publishing Corporation, ISBN 0-306-44856-4 (Templat:Google books with page)
  5. ^ Zuckerman, AJ.; Banatvala, JE.; Griffiths, P. (2009), Principles and Practice of Clinical Virology, England: John Wiley & Sons Ltd., ISBN 978-0-470-51799-4 (Templat:Google books with page)
  6. ^ Asaria P, MacMahon E. Measles in the United Kingdom: can we eradicate it by 2010?. BMJ. 2006;333(7574):890–95. doi:10.1136/bmj.38989.445845.7C. PMID 17068034.
  7. ^ Arvin AM, Greenberg HB. New viral vaccines. Virology. 2006;344(1):240–49. doi:10.1016/j.virol.2005.09.057. PMID 16364754.
  8. ^ Pastoret PP, Schudel AA, Lombard M. Conclusions – future trends in veterinary vaccinology. Revue Scientifique et Technique (International Office of Epizootics). 2007;26(2):489–94, 495–501, 503–09. doi:10.20506/rst.26.2.1759. PMID 17892169.
  9. ^ Collier p.8
  10. ^ Lodish, Harvey; Berk, Arnold; Zipursky, S. Lawrence; Matsudaira, Paul; Baltimore, David; Darnell, James.Viruses:Structure, Function, and Uses Retrieved on 16 September 2008

Bibliografi

  • Collier, Leslie; Balows, Albert; Sussman, Max (1998) Topley and Wilson's Microbiology and Microbial Infections ninth edition, Volum 1, Virology, penyunting: Mahy, Brian dan Collier, Leslie. Arnold. ISBN 0-340-66316-2.

Pautan luar

  •   Kategori berkenaan Virus di Wikimedia Commons