Info ni saya dapat dari kawan. Sangat berguna untuk di amalkan bersama terutama untuk diri sendiri yang kadang2 terlalu cepat marah.
KETIKA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.
Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.
Allah berfirman bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).
Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang. Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.
Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43).
Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar. Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.
Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan. Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.
Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan. Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.
Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).
Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.
Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’.
Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah. Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.
Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku? Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.
Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan. Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya. Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.
Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.
Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.
Tahap keimanan diuji menerusi sikap pemaaf
PERBUATAN memohon dan memberi kemaafan adalah amalan mulia. Aidilfitri digalakkan saling bermaafan antara satu sama lain. Ucapan yang paling sering kita dengar ketika sambutan Aidilfitri adalah ‘maaf zahir dan batin.’
Adakalanya kita sukar memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan. Kadangkala juga kita masih terbawa-bawa dengan kesilapan yang dilakukan kepada kita pada masa lampau. Erti memberi kemaafan adalah apabila seseorang itu mampu untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu daripada mereka yang melakukan kesalahan itu, namun mereka tidak melakukannya, malah memaafkannya secara ikhlas.
Nabi Yusuf as adalah anak kesayangan bagi Nabi Yaakub dan baginda dicemburui oleh saudaranya yang lain. Mereka mengkhianati Nabi Yusuf dan mencampakkan Baginda ke dalam perigi. Namun, Baginda diselamatkan oleh sekumpulan musafir dari Mesir lalu mereka membawanya ke sana. Untuk dipendekkan cerita, akhirnya Nabi Yusuf dilantik oleh pemerintah Mesir untuk menjadi pembesar negara bertanggungjawab menjaga perbendaharaan. Baginda kemudian ditakdirkan bertemu semula dengan saudaranya yang mengkhianatinya sebelum ini. Dengan kekuasaan yang ada pada tangan Baginda, tentu sekali dengan mudah Baginda mampu membalas perbuatan khianat saudara kandungnya itu. Namun, sikap pemaaf Baginda menghindarinya daripada bersikap sedemikian dan kisah ini dirakamkan di dalam al-Quran melalui ayat:
“Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? ” Dia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang berbuat kebaikan.”
Mereka berkata: “Demi Allah ! Sesungguhnya Allah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan takwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang yang bersalah”.
Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (perbuatan kamu yang terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia juga Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. (Yusuf
(12) : 90-92)
Orang yang bertakwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang bertakwa). Allah mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga. Sikap pemaaf adalah akhlak yang mulia dan dituntut syarak. Memaafkan orang adalah akhlak mulia dan tergolong dalam amalan yang amat digalakkan. Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi Allah akan mudah mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Sesungguhnya Rasulullah adalah sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah adalah sikap pemaaf Baginda. Ini dapat kita perhatikan dalam banyak peristiwa yang dialami Baginda melalui banyak riwayat yang sabit. Namun, memadai bagi penulis menurunkan beberapa saja hadis yang berkaitan.
Sesungguhnya, beberapa kualiti diri yang perlu ada dalam diri masing-masing sebelum dapat menjadi seorang yang pemaaf. Lafaz maaf zahir dan batin pada hari lebaran ini dan lakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan sekadar mengikut adat resam. Kita hendaklah menjadi seorang yang gemar memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat ini adalah cermin bagi akhlak mulia dan ia dituntut syarak. Sikap saling memaafkan adalah ciri-ciri perlu wujud di dalam masyarakat Islam demi untuk mengukuhkan perpaduan serta persaudaraan yang kian terhakis.
Memaafkan Ketika Mampu Balas Dendam
Allah berfirman dalam Hadits Qudsi:
Nabi Musa telah bertanya kepada ALLAH: “Ya Rabbi! Siapakah di antara hambaMu yg lebih mulia menurut pandanganMu?” ALLAH berfirman: “Ialah orang yg apabila berkuasa(menguasai musuhnya),dpt segera memaafkan”.
(HQR Kharaithi dari Abu Hurairah R.A)
#Dalam perperangan Uhud. Nabi SAW mendapat luka pada muka dan juga patah beberapa giginya. Berkata salah seorang sahabat: “Cubalah Tuan Berdoa agar mereka celaka”.Nabi Muhammad menjawab:”Aku tidak diutuskan untuk melaknat seseorang,tetapi aku diutuskan untuk mengajak kepada kebaikan dan sebagai rahmat”. Lalu beliau menadah tangannya kepada ALLAH Yg Maha Mulia dan berdoa:
“Ya ALLAH,Ampunilah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.”
42. Asy Syuura
40. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik[1345] maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.
2. Al Baqarah
237.pema’afan kamu itu lebih dekat kepada takwa.
Ada tiga hal yg apabila dilakukan akan dilindungi ALLAH dalam pemeliharaanNya,ditaburi rahmatNya,dan dimasukkanNya ke dalam syurgaNya yaitu: Apabila diberi ia berterima kasih, apabila berkuasa ia suka memaafkan dan apabila marah ia menahan diri(tak jadi marah).
(R. Hakim dan Ibnu Hibban dari Ibnu Abbas)
Bersabda Nabi SAW. Kepada Uqbah bin Amir R.A: “Wahai Uqbah! Maukah engkau ku beritahu budi pekerti ahli dunia dan akhirat yg paling utama? Yaitu: Melakukan silaturahim(Menghubungkan kekeluargaan dengan org yg telah memutuskannya),memberi pada orang yg tidak pernah memberimu dan memaafkan org yg pernah menganiayamu)
-Ihya Ulumuddin 111; Hal 158
p/s: YA ALLAH,Kurniakanlah kami sifat pemaaf, pengampun dan lapang dada. YA ALLAH, Jadikanlah kami org yg dpt menahan diri dari meluapnya kemarahan dan org yg suka memaafkan yang lain.
Source : HPA Online