(Copy from Pelita Brunei)
HUKUM bersedekah dalam Islam adalah sunat sahaja. Walaupun begitu fadilatnya sangat besar. Umat Islam sangat-sangat digalakkan supaya memperbanyakkan bersedekah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 195 tafsirnya :
"Dan nafkahkanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik."
Orang yang bersedekah akan diberikan jaminan kemudahan oleh Allah dengan ganjaran yang berlipat ganda (700 kali) dan sebagai ganti seperti mana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Lail ayat 5-7 tafsirnya :
"Ada orang yang memberikan (menafkahkan hartanya) apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya) dan dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga)."
Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dinafkahkan akan, tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari yang bermaksud :
"Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma daripada hasil yang baik dan Allah Subhanahu Wata'ala hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah Subhanahu Wata'ala akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu menjadi seperti gunung)."
Amalan bersedekah sememangnya mempunyai kelebihan dan kekuatan sepertimana diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ahmad :
"Tatkala Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan bumi, maka bumi pun bergetar. Lalu Allah menciptakan gunung dengan kekuatan yang diberikan kepadanya, ternyata bumi pun terdiam."
Para malaikat kehairanan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya, "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung?"
Allah menjawab, "Ada iaitu besi" (kita mafhum bahawa gunung batu pun boleh menjadi rata ketika dikorek dan diratakan oleh buldozer atau sejenisnya yang dibuat daripada besi), para malaikat bertanya lagi, "Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi?"
Allah Yang Maha Suci menjawab "Ada iaitu api" (besi walau sekeras mana pun boleh menjadi cair dan hancur setelah dibakar api), para malaikat kembali bertanya "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api?"
Allah Yang Maha Agung menjawab "Ada, iaitu air" (api membara sedahsyat apa pun nescaya akan padam jika disiram air), para malaikat pun bertanya kembali "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada air?"
Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab, "Ada, iaitu angin" (air di Samudera yang luas akan serta-merta terangkat, bergulung-gulung dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tiada lain kerana kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat).
Akhirnya para malaikat bertanya lagi "Ya Allah, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dahsyat daripada itu semua?"
Allah Yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat Kehebatan-Nya menjawab, "Ada, iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya."
Hadis di atas jelas menunjukkan yang paling hebat, paling kuat dan paling dahsyat sebenarnya adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus dan ikhlas tanpa ada unsur-unsur menunjuk-nunjuk supaya diketahui orang.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa ikhlas dalam bersedekah. Bersedekah meskipun sedikit tetapi nilainya amat berharga di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Orang yang enggan memberikan sedekah sebahagian hartanya kepada orang yang memerlukan akan rugi di dunia dan akhirat. Orang yang bersedekah diibaratkan orang yang menabung di sisi Allah dengan jalan meminjamkan pemberian-Nya kepada Allah. Balasan yang akan diperolehi berlipat ganda. Mereka tidak akan rugi meskipun pada awalnya mereka kehilangan sesuatu.