Followers Remaja Purba

Sunday, January 18, 2026

[18] MENJAGA DALAM DIAM


18 Januari 2026 - Ahad [28 Rejab 1447H]

Aku ada seekor kucing bernama Jasmine. Dak Jasmine ni jenis introvert — setiap kali rumah dikunjungi orang, mencicit dia akan lari menyorok tapi bila malam menjelma, dialah paling aktif. Siangnya pula penuh dengan rutin 'membesarkan badan'.. makan, rehat dan tidur.


Nak buat macam mana.
Kat rumah takde channel animal planet.


Sejujurnya, aku bukanlah orang yang mahir membela kucing indoor. Segala kelengkapan lengkap seperti pencinta kucing tegar, aku tak mampu sediakan. Sebelum ada yang cepat melatah dan mengecam, bolehlah baca entry aku di [SINI]. Aku malas nak ulas panjang-panjang, nanti ada pula yang terasa cuma satu yang aku pasti — dak Jasmine bukan kucing terabai bila bersama kami. Makan, minum cukup, grooming sekadar perlu. Tak ada pakaian untuknya kerana itu memang bukan fitrah seekor kucing.


Hasrat aku nak sunatkan ia tapi dak Nuha tak bagi. Katanya, 'Kesian ia ibu, Nuha nak tengok dia ada anak, nak main dengan anak dia'. Aduhai anak aku yang seorang ni.. siapalah nanti nak menguruskan semuanya. Harap pada babah kamu? Jauh panggang dari api.

Pendek cerita, sampai hari ini aku masih belum sunatkan dak Jasmine — faktor kewangan dan rasa kasihan pada dak Nuha jadi alasannya tapi dalam masa yang sama, aku pun perlu kasihan pada diri sendiri. Siapa pula nak hulurkan duit untuk uruskan semua tu nanti?


Sabar seorang isteri ada batasnya dan perubahan itu bukan pilihan lagi tapi tanggungjawab yang tidak boleh terus dielakkan.


Jadi buat masa ini, aku cuma ikut arus. Sabar selagi boleh. Dak Jasmine memang baik, tak pernah mendatangkan masalah. Dia sihat — cuma mungkin sedikit bosan sebab tak ada kawan. Apa pun keadaannya, dak Jasmine tetap amanah kecil dalam hidup aku. Selagi termampu, aku jaga sebaik yang boleh dengan cara dan kemampuan aku sendiri.

@RemajaPurba: .. yang retak dulu bukan tenaga tapi hati..

Saturday, January 17, 2026

[17] BEREHAT ATAU SELESAIKAN TUGASAN?


17 Januari 2026 - Sabtu [27 Rejab 1447H]

Sebelum ini, dak Nuha ada tanya, 'Ibu, bila lagi nak pergi kerja hari Sabtu?' 
Aku cuma jawab, 'tak tahu lagi' sebab memang belum ada kerja tambahan yang memerlukan aku hadir hujung minggu.


Tapi akhirnya, hari ini aku bawa dak Nuha ke tempat kerja, menemani aku menyiapkan tugasan yang perlu dihantar minggu depan. Kenapa tak siap masa hari bekerja? Awal tahun ni kerja sangat banyak, semua kena selesaikan ikut jadual yang ditetapkan. Ada dokumen tertentu terpaksa aku ketepikan dulu untuk beri laluan kepada yang lebih utama. Jadi, hari ini aku paksa diri hadir ke tempat kerja untuk selesaikan dokumen yang tertangguh itu.

Dari pukul 8:30 pagi sampai 12:30 tengah hari, aku leka dalam dunia kerjaku, sementara dak Nuha sampai terlena menunggu aku tapi dia seronok sebab dapat tengok dunia luaryang jauh sikit dari tempat tinggal kami.

Hanya bila bekerja pada hujung minggu, aku benar-benar rasa tenang tanpa gangguan dari empat penjuru. Sekurang-kurangnya, aku dapat selesaikan dokumen yang perlu dihantar nanti — tak perlu tergesa-gesa dan boleh fokus pada dokumen lain selepas itu.


Kadang-kadang, hujung minggu bukan untuk berehat tapi untuk selesaikan apa yang perlu supaya hari-hari lain lebih ringan.


Memang penat.. hujung minggu yang sepatutnya untuk berehat di rumah tapi aku paksa diri datang ke tempat kerja. Bagi aku, selagi boleh masuk ke tempat kerja, aku akan cuba selesaikan tugasan secepat mungkin. Aku tak nak membebankan diri sendiri dan tak nak menyusahkan orang lain. Lagi pula, kerja itu hanya aku yang buat — bayangkan kalau tiba-tiba diperlukan dan tiada back up, bukan ke susah jadinya?

Selesai di tempat kerja, kami terus balik rumah, takde singgah di mana-mana sebab dah cukup penat. Sampai di rumah, terus makan sebab en. Hubby dah siap masak. Itu pun rezeki sebab en. Hubby dah siap masak.


Petang..
Bila badan letih dan otak pula penat, tidur jelah jawabnya. Takde dah nak paksa diri untuk buat kerja rumah, rehat lagi penting, badan dah mula menua.


Malam..
Mula leka dalam dunia blog, mencari idea nak bercerita..


@RemajaPurba: ..

Friday, January 16, 2026

[16] SELAMAT HARI LAHIR INSAN BAIK YANG DIRINDUI


16 Januari 2026 - Jumaat [26 Rejab 1447H]

Hari ini genap dua tahun persaraan salah seorang kakak di tempat kerjaku. Alhamdulillah, beliau masih diberikan kesihatan yang baik, seperti katanya sambil berseloroh,. 'Sihat cara orang tualah'.

Bukan mudah untuk aku melupakan perjalanan kerja bersamanya. Banyak sisi baik dan buruk diriku yang beliau tahu, banyak cerita yang aku kongsikan terutamasaat aku berada di titik paling rendah dalam hidup. Dalam diam, beliaulah yang paling banyak mendengar dan tidak jemu menasihati aku.


BuatMu kak Zai..

SELAMAT HARI LAHIR buatmu kak Zai..
Happy Birthday to you..

Semoga dikurniakan kesihatan yang baik dalam menjalani rutin harian, dilapangkan dari kesulitan dan dilimpahkan rezeki yang berkat dan berpanjangan. Moga Allah makbulkan setiap permintaanmu.
Aamiin Ya Rabbal Alamiin.


Kini.. masing-masing tenggelam dalam rutin harian sendiri, hingga sedikit sukar untuk aku bertemu dengannya. Dalam kesibukan itu, rasa rindu pada beliau kerap hadir tanpa dipinta.

Semoga Allah sentiasa mengurniakan kesihatan dan ketenangan buat beliau. Terima kasih atas segala jasa, nasihat dan kehadiran yang pernah menjadi kekuatan dalam hidupku.

@RemajaPurba: Aku rindu..

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...